Categories
SELANGOR

25 Ahli Majlis MBSA mula tugas

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 OGOS: Seramai 25 ahli majlis secara rasminya dilantik Kerajaan Selangor bagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kesemua ahli majlis berkenaan mempunyai pengalaman, pendidikan dan terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Diharapkan supaya semua ahli majlis ini dapat membantu memperkasakan sistem penyampaian maklumat MBSA, selain dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik.

“Semoga semuanya dapat memberikan pandangan dan idea meningkatkan prestasi pentadbiran MBSA,” katanya dalam kenyataan.

Majlis angkat sumpah dan menandatangani Surat Akujanji itu turut disaksikan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Semua dilantik akan berkhidmat di kawasan pentadbiran MBSA bagi penggal 2018-2020.

Categories
SELANGOR

MBSA sedia 6 lokasi minyak masak terpakai

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan tong pengumpulan minyak masak terpakai untuk kemudahan peniaga bazar ramadan di enam lokasi sekitar Shah Alam.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, tong tersebut disediakan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dibeberapa lokasi antaranya di Seksyen 6, Seksyen 11, Seksyen 17, Seksyen 25, Seksyen U8 dan U13

“Usaha ini bagi menggalakkan orang ramai khususnya peniaga bazar supaya tidak membuang minyak masak terpakai ke atas rumput atau dalam longkang.

“Hal ini bertujuan memupuk kesedaran orang awam untuk menjaga alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Bazar Ramadan Mampan Peringkat MBSA 2018 di tapak bazar Seksyen 17, semalam.

Program itu diteruskan menggunakan konsep ‘waste to wealth’ dimana komuniti boleh menjana pendapatan dengan setiap 1kg minyak masak terpakai dibayar dengan harga RM1 oleh MBSA.

Untuk rekod, program kitar semula minyak masak telah dilaksanakan di kawasan MBSA sejak 2009.

MBSA juga menyediakan perkhidmatan menghantar dan mengambil tong bagi pengumpulan minyak masak untuk restoran, kantin, kilang makanan dan hotel dengan kapasiti tong adalah 60 liter, 200 liter dan 1,000 liter.

Categories
SELANGOR

Bazar Ramadan Mampan MBSA kearah bandar rendah karbon

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) komited meningkatkan kesedaran peniaga bazar ramadan berhubung penggunaan produk jenis biodegradasi menerusi program Bazar Ramadan Mampan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, MBSA mengedarkan 150 pembungkus makanan jenis biodegradable (Green-Blue) keluaran Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) kepada peniaga bazar di Seksyen 17 bagi menggalak dan memperkenal produk itu.

“Bekas makanan ini dihasilkan daripada kertas disalut plastik. Selain kelebihannya yang mudah lupus dalam waktu singkat, kajian SIRIM juga mendapati bekas ini boleh menyimpan makanan berkuah selain mampu tahan sehingga dua minggu tanpa bocor

“Ia juga dapat membantu mengawal pencemaran alam sekitar akibat daripada pembuangan plastik dan polisterina yang tidak hancur,” katanya selepas pelancaran Program Bazar Ramadan Mampan Peringkat MBSA 2018 di tapak bazar Seksyen 17, semalam.

Untuk rekod, pembungkusan Green-Blue adalah teknologi pembungkusan inovatif yang menggabungkan konsep biodegradasi dan pembaikpulih sumber bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan perniagaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharin berkata, MBSA turut mengedarkan bekas makanan jenis mangkuk tingkat kepada pengunjung bertuah sebagai dorongan untuk terus menyokong Kempen Bebas Polistirena Shah alam 2018.

Kempen anjuran bersama Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor dan Nestle Nestlè Manufacturing itu bertujuan member kesedaran awam kepada masyarakat mengenai kepentingan pengurangan penggunaan beg plastik sekali gus menggalakkan penggunaan ‘biodegradable bag’ serta penguatkuasaan pematuhan larangan penggunaan polistirena.

Dalam program sama, MBSA turut mengedarkan 500 bubur lambuk kepada pengunjung.

Tahun ini MBSA mengeluarkan 1,987 permit bazar ramadan di 38 lokasi seluruh kawasan pentadbirannya.

Categories
SELANGOR

Pertandingan Kitar Semula MBSA-F&N masuki tahun ke-12

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus berkolaborasi dengan F&N Beverage Marketing (F&N) dalam penganjuran Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2018 yang kini memasuki tahun ke-12.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, program yang bertujuan memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar itu menampilkan kelainan apabila MBSA turut memperkenalkan kategori baru iaitu Anugerah Khas Kutipan e-waste.

“Anugerah Khas Kutipan e-waste merujuk kepada kutipan sisa barangan elektrik dan elektronik terpakai.

“Kategori baru ini akan dinilai melalui kejayaan mereka mengumpul bahan kitar semula e-waste terberat dan ia terbuka kepada sekolah rendah dan menengah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kitar Semula peringkat Sekolah MBSA 2018 di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, hari ini.

Ahmad Zaharin berkata, tahun ini turut dipertandingkan acara sampingan iaitu pertandingan laman kitar semula sekolah untuk sekolah rendah dan menengah.

“Oleh kerana kesungguhan ditunjukkan para guru dalam menyampaikan matlamat pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, MBSA berbesar hati memperkenalkan satu lagi anugerah khas.

“Anugerah Khas Guru Cemerlang diperkenalkan dengan tawaran hadiah RM1,000 bagi kategori sekolah rendah dan menengah, ia akan diberikan kepada guru yang sudah menyertai pertandingan ini sekurang-kurangnya tiga tahun berturut serta pernah memenangi anugerah sebelum ini,” katanya.

Ahmad Zaharin berkata, MBSA turut meneruskan anugerah sedia ada yang melibatkan tiga kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan pra sekolah yang mana setiap pelajar perlu mengumpulkan sebanyak mungkin barangan kitar semula seperti kertas, plastik dan aluminum.

“Tujuan utama kempen ini diteruskan untuk mendidik masyarakat terutamanya pelajar dan golongan muda terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam rutin harian,” katanya.

F&N Beverage Marketing terus komited bekerjasama dengan MBSA setiap tahun dengan sumbangan RM28,200 bagi menjayakan program tersebut.

Selain itu, MBSA turut menerima sumbangan dari Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd iaitu wang tunai RM1,500 untuk Hadiah Anugerah Khas Tetra Pak Tertinggi.

Tahun lalu, pertandingan itu berjaya mengumpul berat kutipan barangan kitar semula sekitar 143,946.2 kilogram (kg) melibatkan enam tadika, 20 sekolah menengah dan 17 sekolah rendah berbanding 121,321.2 pada 2016.

Ahmad Zaharin berkata, MBSA mengharapkan penyertaan pada tahun ini akan terus meningkat dan mendapat sambutan menggalakan daripada sekolah dan tadika.

Categories
SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MBSA sempena Merdeka sarat aktiviti menarik

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 OGOS: Sekali lagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Hari Tanpa Kenderaan buat kali ke-6 sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke 60, hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, penganjurannya memberi fokus terhadap aspek penjagaan alam sekitar ke arah menjadikan Shah alam Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030 selain melahirkan warga kota yang mengamalkan gaya hidup sihat.

IMG_3261“Sepanjang program ini, orang ramai hanya dibenarkan menggunakan basikal, roller blade, papan luncur, berjalan kaki dan skuter blade di sekitar pusat bandaraya,” katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini hari ini.

Sempena bulan kemerdekaan, MBSA bersama rakan startegik program turut mengadakan beberapa aktiviti menarik antaranya promosi buah-buahan, melukis ‘doodle’ di atas jalan menggunakan kapur serta pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Antara agensi yang terlibat adalah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS), Galeri Shah Alam, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan DEMC Specialist Hospital Shah Alam.

“Kita turut memberikan hadiah kepada tiga orang pengunjung yang memenangi Pertandingan Pakaian Beragam Terbaik,” katanya.

IMG_3256Selain itu, Zaharin berkata, MBSA turut menyediakan perkhidmatan ‘Chu Chu Train’ secara percuma, selain penyewaan basikal dan sukter elektrik serta face painting untuk pengunjung yang hadir.

Katanya, warga Shah Alam juga turut berpeluang membeli baja kompos dan menaiki bas elektrik SMART Selangor.IMG_3260 IMG_3247 IMG_3239 IMG_3230 IMG_3222

Categories
SELANGOR

MBSA keluar 1,790 permit bazar Ramadan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 MEI: Sekurang-kurangnya 1,790 permit bazar Ramadan dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kepada penjaja yang bakal berniaga tahun ini.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, MBSA turut mengadakan sesi taklimat bazar mulai 15 hingga hari ini (18 Mei 2017).

Katanya, ia bagi memastikan penjaja mematuhi syarat dan peraturan semasa menjalankan perniagaan.

“Peniaga perlu memelihara tahap kebersihan iaitu aspek penyediaan juadah makanan dan minuman bermula daripada proses membeli bahan mentah, penyediaannya dan semasa juadah dijual.

IMG_7734“MBSA akan membuat pemantauan setiap hari menerusi Jabatan Pelesenan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran di kesemua tapak bazar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Taklimat Bazar Ramadan dan Penyerahan Permit Bazar Ramadan 2017, di Dewan Teratai, di sini, hari ini.

Ahmad Zaharin berkata, terdapat 35 lokasi bazar Ramadan disediakan MBSA antaranya di Seksyen 6, 7, 8, 13, 24, 25 dan U3.

Katanya, kadar bayaran permit bagi jenis jualan makanan dan minuman adalah di antara RM257 hingga RM347, mengikut kategori berbakar dan tidak berbakar.

“Manakala, bagi tapak persatuan atau swasta, kadar bayaran dikenakan adalah sebanyak RM167,” katanya.

Taklimat bazar turut mendapat kerjasama syarikat pengeluar makanan seperti produk Adabi, Unilever, Nextle, Indomee dan Mamee.