Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ambang tahun baharu: MB ajak umat Islam sertai solat hajat, mohon jauhi musibah

SHAH ALAM, 31 DIS: Dato’ Menteri Besar menyeru umat Islam untuk bersama menunaikan solat sunat hajat dan zikir munajat dalam Program Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di sini dan masjid-masjid daerah sebagai salah satu usaha supaya Selangor dilindungi dari sebarang bencana.

“Saya menyeru umat Islam yang berkesempatan untuk hadir bersama-sama moga doa kita dipanjangkan dan diterima Allah agar terhindar dari dugaan besar sebagaimana kita harungi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada beberapa pihak korporat menerusi Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di Bangunan Annex di sini hari ini.

Selain solat sunat hajat dan zikir munajat, antara pengisian program anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah solat maghrib, solat sunat ba’diah (sendiri), solat taubah (sendiri), solat sunat awabin maal hifz iman berjemaah, bacaan yasin dan solat isyak.

Jais memaklumkan program itu akan diadakan serentak di Masjid Negeri di sini dan masjid-masjid daerah dengan orang ramai boleh hadir seawal jam 6.15 petang.

“Tatacara operasi piawai (SOP) dan jumlah kehadiran adalah sama seperti ditetapkan Jais sebelum ini iaitu 3,500 jemaah di Masjid Negeri.

“Bagi masjid-masjid daerah pula, jumlah kehadiran juga sama seperti SOP sebelum ini iaitu bergantung kepada keluasan masjid antara 750 hingga 1,000 jemaah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Umat Islam dijemput sertai program mohon negeri sejahtera petang ini

SHAH ALAM, 31 DIS: Umat Islam di negeri ini dijemput untuk bersama ke Program Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022 yang akan diadakan lewat petang ini.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan program itu akan diadakan serentak di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di sini dan masjid-masjid daerah dengan orang ramai boleh hadir seawal jam 6.15 petang.

“Tatacara operasi piawai (SOP) dan jumlah kehadiran adalah sama seperti ditetapkan Jais sebelum ini iaitu 3,500 jemaah di Masjid Negeri.

“Bagi masjid-masjid daerah pula, jumlahnya juga sama seperti SOP sebelum ini iaitu bergantung kepada keluasan masjid antara 750 hingga 1,000 jemaah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari akan turut hadir ke program di Masjid Negeri dengan antara pengisiannya adalah solat maghrib, solat sunat ba’diah (sendiri), solat taubah (sendiri), solat sunat awabin maal hifz iman berjemaah, solat hajat berjemaah, zikir munajat, bacaan yasin dan solat isyak.

Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir akan memimpin bacaan yasin, tahlil dan doa khas pada program di Masjid Negeri manakala di masjid-masjid daerah akan diketuai pegawai tadbir agama Islam daerah.

Sebelum ini, Amirudin berkata sambutan Tahun Baharu 2022 peringkat negeri dibatalkan dan diganti dengan program keagamaan.

Beliau berkata pihaknya akan menganjurkan majlis tahlil, doa selamat dan zikir munajat sebagai menghormati serta bersimpati kepada mangsa banjir.

“Program dikendalikan Jais. Surau, musala digalakkan sertai aktiviti ini dan susun ikut kesesuaian.

“Individu, syarikat atau mana-mana kumpulan dinasihatkan tidak menganjur sebarang program,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KDEBWM dijangka gerak 200 lori bersih kawasan banjir di Sri Muda

SHAH ALAM, 31 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) dijangka menambah sehingga 200 lori untuk menjalankan kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda di sini hari ini.

Dato Menteri Besar menerusi Facebook memaklumkan setakat 9.50 pagi tadi agensi tersebut telah menempatkan 180 lori pembersihan di kawasan berkenaan.

“Dijangkakan 200 lori pembersihan akan digerakkan ke Taman Sri Muda hari ini bagi mengeluarkan sampah-sampah dari kediaman dan jalan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Semalam, Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya menjalankan kerja pembersihan pascabanjir secara besar-besaran di Taman Sri Muda agar proses tersebut dapat diselesaikan segera.

KDEB Waste Management (KDEBWM) menggunakan lori roro (roll on roll off) bagi melancarkan kerja pembersihan pascabanjir di kawasan sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam pada 31 Disember 2021. Foto Facebook KDEBWM

Menurutnya, tenaga kerja dan jentera akan ditambah ke kawasan itu apabila operasi pembersihan di daerah lain telah berakhir.

Sehingga semalam, kerja pembersihan bermula 25 Disember di situ mencapai kira-kira 35 hingga 40 peratus dan bakinya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Lima pusat pemindahan masih beroperasi, tempatkan 479 mangsa banjir

SHAH ALAM, 31 DIS: Lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Selangor masih beroperasi setakat 8 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter memaklumkan PPS itu membabitkan tiga daerah yang terkesan musibah pada 18 Disember lalu.

“Lima PPS sedang dioperasikan melibatkan 134 keluarga dan 479 orang mangsa,” menurutnya hari ini.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar luahan mangsa banjir selepas menyampaikan bantuan Selangor Bangkit di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Susulan itu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden terbabit dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB tinjau lokasi tanah runtuh, serah bantuan banjir di Gombak

SELAYANG, 30 DIS: Dato’ Menteri Besar hari ini meninjau tiga lokasi tanah runtuh di daerah Gombak yang merupakan kawasan kritikal akibat hujan lebat pada 18 Disember lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari tiba di Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang kira-kira jam 10.45 pagi sebelum ke dua lokasi lain di Persiaran 3 Jalan FT01 dan Jalan Melati 20, Taman Melati.

Selain itu, beliau juga dijadual hadir ke Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak untuk menyerahkan bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir.

Dalam lawatan ke Apartmen Teratai, Amirudin turut bertemu dengan beberapa penduduk bagi memberi penjelasan berkenaan keadaan terkini di situ.

Terdahulu, seramai 38 keluarga di pangsapuri itu diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan tebing berhampiran kediaman mereka runtuh.

Susulan kejadian, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah meletakkan kanvas di tebing itu bagi mengelakkan situasi bertambah teruk.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir berkurang kepada lebih 2,000 di pusat pemindahan

HULU LANGAT, 29 DIS: Lebih 2,000 mangsa banjir ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat jam 8 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah PPS yang masih beroperasi juga semakin berkurangan jika dibandingkan tempoh awal kejadian banjir iaitu 203 PPS dengan melibatkan 47,000 mangsa.

“Jumlah ini tidak termasuk mangsa di dalam rumah dan kita juga sedang mengenal pasti individu keseluruhan sebagai penerima sumbangan.

“Setakat ini, semua kawasan dinaiki air sudah surut termasuk di Kuala Selangor dan proses pembersihan giat dijalankan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui selepas meninjau pascabanjir di Hulu Langat hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri kini sedang giat mengumpul semua keperluan untuk mangsa banjir terutama dapur dan tong gas.

“Buat masa ini, kita sudah ada penyumbang dan mengumpul 5,000 keperluan serta jangka disalurkan kepada mangsa banjir minggu hadapan.

“Kita galakkan mereka memberi sumbangan keperluan asas lain seperti tilam, bantal, dapur, tikar dan gas yang juga diperlukan mangsa banjir selain daripada makanan,” katanya.

Terdahulu, Amirudin melawat dan membersihkan kawasan sekitar Hulu Langat yang terjejas teruk akibat banjir di Taman Sri Nanding seawal jam 8 pagi tadi.

Beliau turut melepaskan bantuan ke kampung Orang Asli (Malim Gunung) di Pekan Batu 18 dan menyerahkan sumbangan pascabanjir ke pusat pemindahan sementara Sungai Serai.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB tinjau kawasan tanah runtuh kampung Orang Asli, hantar pasukan bantuan

HULU LANGAT, 29 DIS: Dato’ Menteri Besar hari ini meninjau kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba di lokasi menunggang motosikal diberikan taklimat oleh bomba berhubung situasi terkini keadaan di kawasan tersebut.

Beliau turut menghantar sukarelawan pendaki dan anggota bomba terlibat untuk mengagih bantuan bekalan makanan serta keperluan harian kepada penduduk terputus hubungan akibat banjir .

Amirudin ketika berucap memaklumkan bantuan tersebut adalah sesi kedua untuk mangsa banjir di perkampungan tersebut.

“Kerajaan Negeri dan unit bencana mengucapkan terima kasih atas komitmen diberikan. Kita faham untuk sampai ke tempat itu mempunyai lebih 20 ke 30 ‘check point’ tanah runtuh.

“Saya harap sukarelawan terlibat terus berhati-hati kerana risiko masih ada berikutan struktur tanah masih lembut. Ini bukan misi kemanusiaan sahaja tetapi faktor keselamatan perlu dijaga untuk elak kemalangan,” katanya.

Amirudin melawat dan membersihkan sekitar Hulu Langat yang terjejas teruk akibat banjir di Batu 16/17 dan Taman Sri Nanding seawal jam 8 pagi tadi.

Beliau turut melepaskan bantuan ke kampung Orang Asli (Malim Gunung) di Pekan Batu 18 dan menyerahkan sumbangan pascabanjir ke pusat pemindahan sementara Sungai Serai.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Bantuan banjir diberi mulai esok, manfaat lebih 30,000 keluarga

SEPANG, 28 DIS : Lebih 30,000 keluarga terjejas banjir menerima bantuan menerusi program Selangor Bangkit mulai esok, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu turut meliputi keluarga mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita akan memanggil semula keluarga yang sudah pulang ke rumah dari PPS. Bagi yang enggan berpindah ke PPS ketika bencana juga akan menerima bantuan ini, kita akan cuba mengenal pasti mereka.

“Di Sepang sahaja 9,000 keluarga tidak berpindah ke PPS, yang di PPS lebih 9,000 keluarga. Jumlah di sini sahaja sudah mencecah lebih 18,000, belum kira kawasan lain.

“Di Taman Sri Muda pun kita sedang kira angkanya dan saya rasa mencecah lebih 30,000 keluarga terima bantuan,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan pascabanjir di Sepang di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Amirudin turut bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan kediaman di Kampung Chemperai Dengkil selain meninjau kerja baik pulih jambatan menghubungkan Dengkil ke Banting yang runtuh akibat banjir.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

 

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri’ Amirudin Shari membantu penduduk membersihkan kawasan terlibat banjir di Kampung Cemperai, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Lokasi dipenuhi sampah banjir sekitar Shah Alam dibersihkan

SHAH ALAM, 27 DIS: Beberapa lokasi di bandar raya ini yang terjejas akibat banjir hingga dipenuhi sampah telah dibersihkan semalam.

Dato’ Menteri Besar menerusi Twitter malam tadi berkongsi gambar keadaan sebelum dan selepas di Jalan Padang Jawa di mana ada salah satu lokasi mengambil masa kurang 20 minit untuk dibersihkan.

“Tinjauan sekitar beberapa lokasi di Shah Alam yang sebelum ini dipenuhi timbunan sampah dan sisa tinggalan banjir kini sudah selesai dibersihkan.

“Usaha ini akan diteruskan dan ditingkatkan lagi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Kerajaan Negeri menyasarkan kerja pembersihan dan kutipan sampah pascabanjir dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

Amirudin berkata setakat ini proses berkaitan di seluruh negeri hanya 25 peratus dan diharap dapat ditingkatkan kepada 50 peratus pada hujung minggu ini.

Keadaan di Jalan Padang Jawa, Shah Alam sebelum dan selepas dibersihkan. Foto Facebook Amirudin Shari

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan turun kepada 11,981

SHAH ALAM, 26 DIS: Seramai 11,981 mangsa banjir ditempatkan di 60 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat 8 malam tadi.

Perkembangan itu dikongsi Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook dan jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 17,912 mangsa dan juga 95 PPS semalam.

“Jumlah PPS dan bilangan mangsa di PPS terus menurun. 60 PPS sedang dioperasikan melibatkan 2,992 keluarga dan 11,981 mangsa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Petang tadi, beliau memaklumkan pusat pemindahan itu kekal dibuka meskipun banjir surut.

Menurutnya, penutupan PPS hanya boleh diisytiharkan selepas keputusan dibuat jawatankuasa bencana negeri.

“PPS tetap dibuka untuk keselesaan dan kebajikan mangsa, ini kerana masih ada kediaman yang belum dibersih dan mereka masih berulang-alik ke sana,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Positif Covid-19, MB doakan Tuan Ibrahim dan keluarga segera sembuh

SHAH ALAM, 26 DIS: Dato’ Menteri Besar mendoakan supaya Menteri Alam Sekitar dan Air serta lima ahli keluarganya sembuh daripada Covid-19.

“Mendoakan agar Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan keluarga diberi kesembuhan segera dan kesihatan yang baik, InsyaAllah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Terdahulu, Tuan Ibrahim memaklumkan beliau bersama lima ahli keluarga disahkan positif Covid-19.

“Mohon doa semua. Saya, empat orang anak dan seorang cucu telah disahkan positif Covid-19. Kami telah menjalani kuarantin beberapa hari lalu.

“Seorang cucu selamat dilahirkan semalam, bagaimanapun dia disahkan negatif tetapi ibunya masih ditahan di Hospital Sungai Buloh. Doakan,” katanya di Facebook.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Pemakluman sukarelawan ke misi bantuan banjir untuk tujuan keselamatan

SHAH ALAM, 26 DIS: Dato’ Menteri Besar meminta masyarakat membaca kenyataan penuhnya berhubung sukarelawan yang menyertai misi bantuan mangsa banjir perlu memaklumkan kepada Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu perlu dilakukan supaya kehadiran individu atau kumpulan itu ke lokasi bencana diketahui pihak berkuasa.

“Pemakluman ini harus dibuat bagi tujuan keselamatan. Agar pihak berkuasa tahu siapa yang masuk ke kawasan banjir. Kedua bagi tujuan koordinasi agar bantuan tidak hanya tertumpu ke sesuatu kawasan sahaja,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Amirudin menerusi hantaran berbeza juga mengulangi asas utama tindakan itu dibuat iaitu demi keselamatan.

“Keselamatan adalah asas utama. Saya dimaklumkan pihak polis ada sukarelawan yang turut menjadi korban, kita ucapkan takziah namun perkara ini tidak boleh berulang.

“Isu permohonan bantuan juga saya telah minta permudahkan namun kita tak boleh ‘compromise’ isu keselamatan,” katanya.

Kelmarin, beliau dilaporkan berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi dan sukarelawan yang menyertai misi bantuan mangsa banjir di Selangor perlu memaklumkan kehadiran mereka kepada Kerajaan Negeri.

Amirudin berkata langkah itu akan memudahkan pihaknya menerusi Majlis Sukan Negeri bagi menyelaraskan pergerakan sukarelawan seterusnya menumpukan kawasan lebih memerlukan bantuan.

“Saya jangkakan menjelang perayaan Krismas, menjelang hujung minggu ini, jumlah kehadiran (sukarelawan) akan lebih ramai, saya perlu melihat bagaimana koordinasi dapat dibuat.

“Bukan ingin menghalang (bantuan dan sukarelawan) tetapi mengelakkan sebarang pembaziran tenaga dan kerja kerana penumpuan yang kurang di satu tempat tetapi terlebih tumpu di satu tempat yang lain,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Radio.