Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan kebajikan persekutuan dikreditkan selewatnya 10 November

PUTRAJAYA, 5 NOV: Bantuan kebajikan persekutuan bagi bulan November akan mula dikreditkan ke dalam akaun 484,828 penerima di seluruh negara pada Khamis ini (7 November) dan dijangka selesai pada atau sebelum 10 November ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kelewatan bayaran itu adalah disebabkan isu teknikal melibatkan prosedur menurunkan peruntukan kepada agensi.

“Peruntukan sudah lulus tetapi nak masuk (kredit) ke dalam akaun belum lagi… memang dah sampai tapi ada masalah teknikal. Kementerian minta maaf,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Perbincangan Meja Bulat dan Kelas Induk Tentang Industri halal, di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Zulkifli Ismail dalam kenyataan pada Jumaat lepas memaklumkan kelewatan bayaran bagi bulan ini disebabkan masalah teknikal.

Dr Wan Azizah berkata kementerian akan menambah baik prosedur tersebut untuk memastikan masalah itu tidak berulang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kaji undang-undang kesalahan bunuh diri

SERENDAH, 21 OKT: Kerajaan sedang dalam proses penilaian dan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mengkaji keperluan meminda undang-undang berhubung kesalahan bunuh diri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dalaman bersama agensi-agensi lain mengenai isu kesihatan mental yang kini semakin meningkat.

“Saya telah membincangkan isu menjadikan bunuh diri sebagai satu jenayah semasa mempengerusikan mesyuarat antara agensi berkaitan isu kesihatan mental.

“Pada mesyuarat itu, saya dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) telah menekankan keperluan kerajaan untuk mengkaji semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya selepas melancarkan ‘Digital Space’ (Makmal ICT) di Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS), di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata Jabatan Peguam Negara sedang meneliti dan mengkaji perundangan sedia ada berkaitan isu berkenaan.

“Setelah kajian itu selesai, saya akan bincang perkara ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye supaya Seksyen 309 Kanun Keseksaan dimansuhkan dan tidak menghukum individu yang cuba membunuh diri kerana mereka bukan penjenayah, sebaliknya menderita penyakit mental seperti kemurungan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata peruntukan RM80 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini akan digunakan untuk menaik taraf, membaiki dan menyelenggara 67 institusi JKM termasuk pusat jagaan kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya dan warga emas.

Katanya JKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses menyediakan maklumat lengkap dan menyaring keperluan setiap institusi bagi mengelakkan pemberian peruntukan yang bertindih.

Mengenai ‘Digital Space’ yang merupakan satu hasil kolaborasi strategik antara Malaysia Airports Holdings Berhad dan KPWKM melalui JKM itu, Dr Wan Azizah yakin sokongan dan usaha sama sedemikian akan dapat memantapkan program-program pembangunan masyarakat.

‘Digital Space’ itu menempatkan 13 unit komputer di dalam sebuah makmal ICT PPKKS yang dinaik taraf dan bakal memanfaatkan lebih 50 pelajar di pusat berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pagar terus kawasan setinggan terlibat kebakaran di Pandan Jaya

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) diarah memagar terus kawasan perumahan setinggan di Pandan Jaya di sini, yang terlibat dengan beberapa kejadian kebakaran, bagi memastikan tidak lagi wujud pembinaan rumah setinggan yang baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata kawasan itu tidak sesuai dijadikan kawasan penempatan atau perumahan kerana kedudukan tanah yang sempit dan terletak di bawah kabel elektrik TNB.

“InsyaAllah TNB akan melakukannya dengan segera sebaik sahaja mangsa kebakaran berpindah ke rumah transit masing-masing tidak lama lagi.

“Kawasan ini tidak sesuai dijadikan kawasan penempatan atau perumahan kerana kedudukan tanah yang sempit dan terletak bawah pylon (kabel elektrik TNB),” katanya selepas majlis penyampaian Surat Tawaran Rumah Transit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 24 keluarga layak menerima surat tawaran rumah transit DBKL itu. Mereka terdiri daripada 40 keluarga mangsa empat kebakaran di kawasan Indian Settlement, Pandan Jaya.

Beberapa insiden kebakaran dilapor di kawasan setinggan yang telah wujud sejak tahun 1970-an itu berikutan struktur binaan yang tidak sempurna, rapuh dan mudah runtuh, selain penyambungan dan pendawaian elektrik dibuat secara tidak sah.

Kejadian kebakaran pada 30 Mei tahun lepas membabitkan 25 rumah, manakala pada 6 Jan lepas melibatkan dua buah rumah, kebakaran pada 25 Mei pula melibatkan 10 rumah dan terbaru pada 17 Jun melibatkan lapan rumah.

Dua daripada kejadian itu disebabkan litar pintas pendawaian lampu, satu berpunca daripada litar pintas pendawaian elektrik manakala satu lagi disebabkan pemetik api oleh kanak-kanak yang bermain masak-masak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gas helium jika dicampur boleh undang bahaya – TPM

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Insiden belon meletup di Dataran Putrajaya semalam, berkemungkinan berpunca daripada gas helium yang dicampur bagi menjimatkan kos, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, sekiranya bahan tersebut dicampur sebarang kemungkinan boleh berlaku sehingga mengundang bahaya.

“Kalau gas helium sahaja tidak membimbangkan kerana setahu saya kalau tidak ada campuran tidak ada masalah.

“Tetapi kalau gas itu (helium) dicampur sebab untuk jimatkan kos, itu kita risau,” katanya selepas majlis penyampaian Surat Tawaran Rumah Transit Program Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Insiden belon meletup dipercayai berisi gas helium selepas selesai Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya semalam menyebabkan 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berusia antara empat hingga 30-an melecur.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan pengunjung berebut memotong tali yang mengikat tiga gugusan belon termasuk menggunakan pemetik api.

Daripada jumlah itu, lima mangsa dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun masih dirawat di wad Hospital Putrajaya kerana kecederaan melecur tahap dua.

Bagi mengelak insiden sama berulang, Dr Wan Azizah mengingatkan orang ramai agar tidak merokok dan menggunakan pemetik api secara sengaja atau tidak, ketika berada berdekatan belon helium yang menjadi ‘prop’ pada sebarang majlis.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sehingga kini, empat pesakit stabil dan akan dibenarkan keluar wad selepas menjalani pemeriksaan rapi daripada doktor.

“Mereka adalah tiga dewasa dan seorang kanak-kanak. Pesakit kini stabil namun masih perlukan rawatan lanjut kerana luka,” katanya.

Susulan insiden itu, beliau berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat memberikan bantuan kaunseling segera kepada mangsa terlibat yang trauma.

Dr Wan Azizah berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan timbalannya Teo Nie Ching berhubung garis panduan keselamatan bagi mengelak insiden itu berulang pada masa hadapan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit sendi dinasihat dapatkan ubat, rawatan berdaftar KKM

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihati penghidap penyakit artritis, iaitu penyakit berkaitan sendi agar tidak mengambil jalan mudah untuk sembuh dengan mendapatkan rawatan dan ubat yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

“Pada masa kini terdapat rawatan yang terkini seperti ubatan biologik yang terbukti dapat merawat penyakit dan seterusnya memberi peluang kepada pesakit untuk menjalani hidup secara normal tanpa hilang upaya fizikal,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Artritis Sedunia 2019, di sini hari ini.

Artritis merupakan sejenis keradangan pada sendi yang menyebabkan pesakit berasa sakit pada bahagian sendi, kurang fleksibel atau sukar untuk bergerak.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata beliau dimaklumkan bahawa wanita lebih ramai menghidap penyakit seperti artritis rheumatoid dan sistemik lupus eritematosus (SLE) berbanding lelaki dan ia berlaku ketika pesakit di umur reproduktif dan produktif.

“Penyakit artritis rheumatoid ialah penyakit sendi autoimmune yang paling lazim, dan menyerang satu peratus daripada populasi sedunia,” katanya.

Timbalan perdana menteri turut menarik perhatian bahawa data Pendaftaran Keradangan Artritis Kebangsaan yang mengumpul maklumat daripada semua hospital negeri Kementerian Kesihatan mendapati sebanyak 6,059 pesakit menghidap artritis rheumatoid.

“87.4 peratus daripada pesakit artritis rheumatoid adalah wanita, iaitu untuk setiap lelaki yang menghidap penyakit sendi ini, seramai tujuh wanita yang menghidapnya. Penyakit ini lazimnya menyerang wanita di antara lingkungan umur 21 hingga 60 tahun,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar lebih peka tentang tanda-tanda awal penyakit itu kerana ia boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira jantina mahu pun umur.

Ini kerana katanya walaupun fungsi sendi begitu penting dalam kehidupan seharian, namun masalah-masalah sendi sering diketepikan atau diabaikan oleh masyarakat.

“Adalah penting kita mengetahui tanda-tanda awal penyakit agar rawatan dapat diberikan dengan segera sebelum komplikasi penyakit berlaku seperti kecacatan anggota,” katanya.

Hari Artritis Sedunia yang disambut pada 12 Oktober setiap tahun di seluruh dunia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran tentang penyakit berkaitan sendi.

-BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ayam lambang kebangkitan fajar menyinsing

Perutusan Tahun Baru Cina 2017

OLEH DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Tahun Baru Cina kali ini merupakan Tahun Ayam. Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memperuntukkan masa cuti Tahun Baru Cina ini, dengan penuh ketenangan dan harmoni bersama keluarga dan taulan.

Ayam adalah lambang kebangkitan, fajar yang menyinsing. Kejayaan pada tahun ini hanya akan diperolehi melalui kegigihan dan kesungguhan. Oleh kerana unsur api mengusai tahun ini, ayam yang dilihat penuh kesabaran, disiplin dan teratur ini juga mempunyai semangat yang membara pada tahun ini.

Memandangkan cabaran tahun 2017 dijangkakan amat getir, kita harus berusaha dengan lebih gigih. Namun demikian, jangan sesekali kita terlupa salahguna kuasa dan penyelewengan para kleptokrat yang mengakibatkan kita terpaksa menempuh cabaran-cabaran ini.

Kesan kleptokrasi menyebabkan matawang kita menjadi lemah yang mengakibatkan kelesuan ekonomi. Lalu yang menanggung beban adalah rakyat yang hilang pekerjaan dan dihimpit kos sara hidup yang makin meninggi.

Walau apa rintangan yang mendatang, jangan sesekali kita patah semangat. Bulatkan tekad dan kuatkan semangat dalam menempuh segala cabaran.

Kegigihan dan kesungguhan kita ditagih dalam perjuangan panjang kita memperbaiki keadaan sedia ada serta membina Malaysia baru yang lebih adil, makmur dan sejahtera.

Gong Xi Fa Cai

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden Parti Keadilan Rakyat

Keputusan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh P044 – 7/5/2015

1. Keputusan pengiraan undi di IKBN, Bukit Mertajam
2. Ucapan kemenangan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail di Kubang Semang, sebaik sahaja di ishytiharkan menang.