Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi R&R di kawasan PKPB dilanjut hingga 12 tengah malam – PLUS

KUALA LUMPUR, 20 FEB: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melanjutkan operasi premis makanan dan minuman di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di lebuh raya kendaliannya hingga 12 tengah malam di negeri-negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata bagi negeri-negeri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia kekal beroperasi bermula 6 pagi hingga 10 malam.

“Selari dengan tatacara operasi piawai (SOP) PKPB, waktu operasi terkini dan kapasiti tempat duduk berdasarkan kepada saiz meja sudah pasti memudahkan pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan bersama keluarga atau kumpulan pekerja untuk makan bersama.

“Kami berharap langkah ini dapat membantu meningkatkan perniagaan kepada pengusaha gerai dan rakan niaga kami kerana pertambahan kunjungan orang ramai ke R&R sangat dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata semasa tempoh PKP dan PKPB, semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam dengan menjalankan pembersihan berjadual lebih kerap.

“Untuk menikmati pelbagai hidangan makanan dari gerai dan rakan niaga, PLUS menasihatkan pelanggan supaya dapat membuat Pra-Pesanan makanan menerusi Aplikasi PLUS atau klik https://orderdisini.plus.com.my/. Pelanggan juga boleh melayari Facebook rasmi PLUS Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai fungsi Pra-Pesanan.

“PLUS juga menggalakkan pelanggan supaya memuat turun aplikasi PLUS bagi memudahkan mereka merancang perjalanan di lebuh raya dengan terdapatnya maklumat trafik terkini serta paparan kamera litar tertutup (CCTV) mengenai keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aplikasi PLUS bantu pengguna jalan raya rancang perjalanan

KUALA LUMPUR, 18 JAN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyediakan platform digital Aplikasi PLUS bagi membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini termasuk perkhidmatan bantuan PLUSRonda bagi mereka yang terkandas di lebuh raya.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata kira-kira 380,000 pengguna telah memuat turun aplikasi yang diperkenalkan pada 2014 itu, sekali gus menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa di lebuh raya.

“Aplikasi ini membolehkan pengguna jalan raya melihat sendiri paparan kamera litar tertutup (CCTV) keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya.

“Bagi pengguna jalan raya yang terkandas atau mengalami masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya, mereka boleh menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan menekan butang SOS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata sebaik sahaja butang SOS ditekan pada telefon bimbit, petugas PLUS dapat mengetahui kedudukan pengguna jalan raya di lebuh raya kendaliannya.

“Sejurus memperoleh maklumat daripada butang SOS, pegawai Pusat Kawalan Trafik PLUS akan menghubungi pengguna jalan raya itu secepat mungkin untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci tentang masalah yang dihadapi sebelum pasukan PLUSRonda diarahkan untuk ke lokasi dengan segera,” katanya.

Selain itu, katanya, aplikasi itu juga menyediakan kalkulator tol untuk memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat bayaran tol serta membuat prapesanan makanan di hentian rawat dan rehat (R&R) terpilih atau berinteraksi dengan PUTRI, ‘chatbot’ pertama industri lebuh raya untuk mendapatkan pelbagai maklumat tentang PLUS.

Aplikasi PLUS yang kali terakhir dinaik taraf pada Disember 2020 boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store bagi peranti android atau App Store untuk pengguna iPhone.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PLUS sedia 221 pasukan ronda hadapi Krismas, tahun baharu

KUALA LUMPUR, 23 DIS: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Senai-Desaru Expressway (E22) menyediakan seramai 221 pasukan rondaan di Lebuhraya Utara-Selatan dan E22 sebagai persediaan menghadapi Krismas dan tahun baharu.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata pasukan itu, yang terdiri daripada 548 pegawai PLUSRonda dan Pasukan Keselamatan E22, akan melakukan rondaan secara berterusan di kedua-dua lebuh raya.

“Kehadiran mereka adalah untuk menjaga perjalanan orang ramai yang akan bercuti menyambut Krismas dan Tahun Baharu serta memberikan bantuan kepada pelanggan pada bila-bila masa.

“Lebuhraya Utara-Selatan dan E22 menyediakan perjalanan lebih pantas dan lebih selesa ke Desaru menerusi Persimpangan Senai Utara yang mengambil masa kurang daripada 1 jam,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata di E22, pengguna lebuh raya memerlukan masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke Persimpangan Bandar Penawar dengan jarak perjalanan 70 kilometer.

Azman berkata pengguna terbabit boleh meneruskan perjalanan ke Desaru melalui Jalan Persekutuan FT92 dengan jarak kira-kira 10 kilometer menerusi E22 dari Persimpangan Senai Utara PLUS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) Jamal Abd Nasir Taharim berkata kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan di kedua-dua lebuh raya dapat membantu pengguna menikmati perjalanan selesa.

“R&R PLUS yang berada di Seremban, Ayer Keroh, Pagoh dan Machap serta R&R E22 di R&R Layang menyediakan pelbagai jenis kemudahan untuk kegunaan pengguna lebuh raya,” menurutnya dalam kenyataan sama.

PLUS dan E22 juga menasihati orang ramai yang ingin melakukan perjalanan untuk bercuti pada hujung tahun ini supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya yang ditetapkan serta menyediakan kemudahan pembayaran seperti Touch ‘n Go dan e-Dompet dengan jumlah wang yang mencukupi.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Zakat RM2.77 juta untuk asnaf, fakir, miskin di Selangor sepanjang 2018

SUBANG JAYA, 17 OGOS: Penyedia perkhidmatan lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan wang zakat keseluruhan RM2.77 juta untuk diagihkan kepada golongan asnaf, fakir dan miskin di Selangor, sepanjang tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, bagi tempoh perniagaan sama, pihaknya memperuntukkan RM17 juta untuk diagihkan kepada golongan berkenaan di seluruh negeri yang berada di bawah kendalian syarikat itu.

“Antara negeri terbabit adalah Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

“Pengeluaran zakat ini dijalankan setiap tahun, malahan tahun lalu kita turut membuat perkara sama kerana sudah tentu kita mementingkan mereka yang berada di sepanjang jajaran PLUS,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada program Sumbangan Zakat PLUS Bersama Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di Dewan PPR berkenaan di sini, hari ini.

Datuk Azman Ismail. Foto FIKRI YUSOF/SELANGOKINI.

Hadir sama, EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Mengenai program hari ini, Azman berkata, seramai 300 asnaf dan fakir miskin yang berada di sekitar Ibu Pejabat PLUS menerima zakat membabitkan peruntukan RM150,000.

Katanya, setiap asnaf menerima sumbangan sebanyak RM500 yang sedikit sebanyak mampu meringankan beban ditanggung golongan berkenaan.

“Ini adalah sebahagian daripada zakat yang kami keluarkan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Ramadan lalu, jadi pengagihan secara langsung ini sudah mendapat kelulusan daripada LZS untuk diagihkan,” katanya.