Categories
SELANGOR

Jom solat hajat atasi jerebu 23 Oktober

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 OKT: Orang ramai dipelawa menyertai solat hajat dan munajat menghadapi musibah jerebu serentak di seluruh masjid di Selangor selepas solat Jumaat, pada 23 Oktober ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ia juga boleh dilakukan pada bila-bila masa di antara solat fardu di masjid atau surau seluruh Selangor.

YUNUS HAIRI“Diharap rakyat dapat mengambil langkah utama memastikan kesihatan diri sendiri dan ahli keluarga tidak terjejas ekoran jerebu.

“Mereka yang berisiko tinggi perlu sentiasa ambil ubat seperti dinasihatkan, pakai penutup muka, minum banyak air, kurangkan aktiviti luar, sentiasa jaga kebersihan dan ambil makanan sihat dan bersih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, solat hajat dan munajat itu dilaksanakan bertujuan memohon jerebu dipulihkan serta kesihatan dan keselamatan rakyat dilindungi.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) dijangka akan berada di dalam zon tidak sihat sehingga penghujung tahun ini.

Pada masa sama, Yunus menyarankan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk terus memantau perkembangan bacaan IPU semasa bagi tindakan lanjut.

“Jika berlaku peningkatan ke tahap Tidak Sihat dan Sangat Tidak Sihat, JAIS boleh mengambil tindakan menutup sekolah di bawah seliaannya.

“Marilah kita berdoa agar dosa diampuni,agar Allah mengangkat musibah ini serta melindungi rakyat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya. Kepada Allah kita berserah.” katanya.

Categories
SELANGOR

Dakwah santai menelusuri ceruk daerah menjelang 2016

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 OKT: Pendekatan dakwah secara santai diketengahkan dalam program Bual Bicara – Jalan Ke Syurga diperluas ke peringkat daerah melalui pelbagai aktiviti berikutan sambutan membanggakan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program seumpama itu diselitkan dalam Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) bermula tahun depan.

YunusHairi“Program Bual Bicara – Jalan Ke Syurga peringkat negeri diharap dapat diperluaskan ke peringkat daerah dengan Jabatan Agama Islam Daerah mengambil inisiatif mengadakannya.

“Program ilmu berbentuk informal yang boleh diadakan di tempat santai seperti kawasan pasar malam dan tempat menjamu selera bersama masyarakat terutama anak muda,” katanya kepada Selangor Kini.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus juga sedang giat merangka penambahbaikan program 3K seperti bengkel pasca perkahwinan.

“Terdapat permintaan untuk diadakan program seperti itu apabila ketika ini kita melihat berlaku perceraian dan pergaduhan dalam sistem kekeluargaan,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Jalan Ke Syurga fokus isu rempit

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 OKT: Program Bual Bicara – Jalan Ke Syurga di Dataran Kemerdekaan di sini semalam berlangsung meriah dengan sambutan membanggakan daripada masyarakat setempat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program dakwah itu adalah kesinambungan program sebelumnya dengan menjadikan Dataran Kemerdekaan sebagai lokasi pilihan berikutan kekuatan yang dimilikinya.

YunusHairi“Dataran ini dianggap terbaik kerana ada pengunjungnya dan pengalaman ditempuh seperti program santai Ramadan sejak 2011 dan tahun ini adalah tahun ke lima pelaksanaannya.

“Saya kira perlu ada kesinambungan dan akan kita teruskan dengan program dakwah lain selepas ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Jalan Ke Surga mengupas pelbagai isu kehidupan masyarakat termasuk memberi penumpuan terhadap golongan ‘mat rempit’ dengan menampilkan penalis jemputan, Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Awi Rockers dan Mel Wings membicarakan tajuk ‘Hijrahku’.

“Ini adalah sebahagian program dakwah yang kita jalankan di Selangor.

“Ia berterusan menerusi program bual bicara lain dengan tumpuan berbeza dan penceramah juga berbeza mengikut kesesuaian,” katanya.

Dengan kejayaan penganjuran itu, pihaknya merancang meneruskan program diikuti seterusnya pada 7 dan 21 November serta 19 Disember ini.

-NR-

Categories
SELANGOR

Erat silaturrahim, pupuk perpaduan kaum

SHAH ALAM, 24 SEP : Rakyat Selangor diminta supaya mengeratkan silaturrahim, meneguhkan muafakat dan menyemarakkan perpaduan antara kaum sempena sambutan Aidiliadha tahun ini.

Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ia bagi memastikan pembangunan dan kemajuan negeri terus dipacu pada masa hadapan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga semakin rancak merancang agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat Selangor.

mark short yb ahmad yunus“Dengan pengurusan yang berhemah dan cekap, Kerajaan Negeri kini mempunyai rizab simpanan sebanyak RM3 bilion yang akan digunakan untuk kepentingan rakyat Selangor dalam pembentangan Belanjawan 2016.

“Kita perlu merealisasikan titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu penggubalan dasar kerajaan mengikut keutamaan selaras dengan tuntutan Maqasid Syariah dengan mementingkan kebajikan dan keadilan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan jemaaj haji dari Malaysia khususnya rakyat Selangor dalam menunaikan ibadah tahun ini.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesihatan rohani dan jasmani oleh Allah SWT untuk menunaikan ibadah Haji pada tahun ini serta dikurniakan‘Haji Mabrur”,” katanya.

Categories
SELANGOR

JKR diminta bertindak segera pastikan Jambatan Pulau Carey selamat

Oleh : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 SEP: Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta menjalankan tindakan segera bagi memastikan jambatan Pulau Carey selamat digunakan dan tidak mendatangkan bimbang kepada orang ramai.

Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pengguna jalan raya yang kerap menggunakan laluan di situ berasa resah ekoran tiang konkrit jambatan yang retak selepas dilanggar tongkang hanyut, Selasa lalu.

Yunus-Hairi“Kejadian itu amat membimbangkan orang ramai yang menggunakan laluan dari Morib ke Klang dan kini terpaksa berpatah balik mencari laluan alternatif.

“JKR diharap dapat bertindak segera bagi mengatasi perkara itu supaya pengguna berasa selamat menggunakan laluan berkenaan,” katanya.

Dimaklumkan, laluan Pulau Carey ke Banting merentasi jambatan itu masih boleh digunakan secara bergilir.

Namun, laluan sebelah Banting ke Pulau Carey terpaksa ditutup sementara akibat keretakan struktur tiang konkrit selain memberi ruang kepada JKR untuk melakukan pemeriksaan terperinci.

Bagaimanapun, Ahmad Yunus yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata ia perlu dibaiki segera sebelum dibuka sepenuhnya kepada umum.

Beliau juga meminta pihak berkaitan yang menggunakan pengangkutan air di situ memastikan keselamatan kenderaan demi kebaikan semua.

“Kejadian tongkang hanyut itu amat merbahaya dan perlu dielakkan daripada berlaku lagi,” katanya.

-NR-