Categories
SUKANKINI

Hamidin lawat Aspire Academy di Qatar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melakukan lawatan rasmi ke akademi sukan serba canggih dan terkenal di dunia, Aspire Academy di Doha, Qatar, semalam.

Ketibaan beliau disambut Pengarah Prestasi dan Sains Bola Sepak Aspire Academy, Prof. Valter Di Salvo; Koordinator Prestasi Bola Sepak Aspire Academy, Daniele Bonanno dan Pegawai Perhubungan Awam Aspire Academy, Esperanza Campuzano.

Valter Di Salvo adalah bekas jurulatih kecergasan Lazio, Real Madrid dan Manchester United merupakan individu penting dalam membangunkan Aspire Football, salah satu komponen di Aspire Zone.

Hamidin dibawa melawat kemudahan di Aspire Football yang siap dibina sepenuhnya pada 2017 merangkumi sebanyak 15 padang bola sepak dan dua padang rumput tiruan termasuk padang tertutup.

“Sebelum lawatan ini (semalam), saya telah bertemu dengan Saoud Al-Mohannadi, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) yang juga Ahli Majlis FIFA untuk membincangkan kerjasama dengan Aspire Academy ini dalam membantu FAM menghantar pasukan remaja B-13 hingga B-18 kita terutama pasukan elit remaja negara di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang untuk datang menjalani kem latihan di akademi ini secara lebih kerap.

“Aspire Academy ini sememangnya diakui mempunyai kelengkapan latihan, perubatan dan kemudahan moden yang lengkap dan terkini. Sudah tentu kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak kita,” katanya.

Lawatan ke Aspire Academy itu adalah sebahagian program kunjungan hormat Hamidin selaku Presiden FAM dan Exco AFC yang menerima jemputan peribadi daripada Presiden QFA, Sheikh Hamad Khalifa Al Thani.

Aspire Academy ditubuhkan pada 2004 untuk mencari dan membangunkan atlet muda terbaik Qatar dengan program bola sepaknya telah membawa negara itu memenangi Kejuaraan B-19 AFC 2014 dan layak ke Piala Dunia B-20 2015.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

FAM dan JFA jalin kerjasama

PUTRAJAYA, 5 APR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) bagi mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal, pembangunan belia dan kejurulatih.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kerjasama itu akan membuka ruang pembangunan demi kepentingan bersama termasuk bola sepak wanita, futsal serta pertadbiran, pengkomersialan dan penajaan pendapatan.

Mou itu ditandatangani oleh Hamidin dan rakan sejawatannya dari JFA, Kohzo Tashima serta disaksi oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino; Setiausaha Agung, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John.

Terdahulu, delegasi pemimpin bola sepak yang diketuai Infantino mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengenai MoU itu, Hamidin berkata, beliau gembira dapat menjalin kerjasama buat pertama kali dengan JFA.

“Saya percaya ia bukan hanya memperkukuhkan ikatan yang sedia wujud antara kedua-dua negara malah menjadi titik permulaan penting dalam usaha berterusan ke arah meningkatkan standard bola sepak negara masing-masing,” katanya pada sidang media.

“Bagi pihak FAM, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir kerana memberikan kami peluang berkongsi pandangan dengan beliau. Kami yakin sebagai pemimpin yang mengasaskan Dasar Pandang Ke Timur, Tun Dr Mahathir menyokong projek ini.

“Dengan kejayaan layak ke Piala Dunia FIFA secara berturut-turut sejak 1998 dan muncul juara Piala Dunia Wanita FIFA, Jepun menawarkan peluang yang tidak terbatas untuk belajar,” katanya.

Sementara itu, Tashima menyifatkan kerjasama itu sudah pasti menghasilkan impak positif terhadap pembangunan bola sepak serta membentuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua persatuan itu.

“JFA berpegang teguh kepada usaha mengukuhkan kerjasama kami dengan rakan anggota Asian. MoU ini membuka kepada pelbagai peluang baharu yang menyediakan platform bagi mengeratkan persahabatan yang baik antara FAM dan JFA.

“Menandatangani MoU di sini selepas kunjungan hormat kepada Tun Dr Mahathir memang merupakan pengesahan besar kepada projek ini, sebagai tanda kerajaan Malaysia ingin menjadikan bola sepak sebagai agenda negara,” katanya.

Dalam pada itu, Infantino berkata, beliau gembira untuk menyaksikan majlis memeterai kerjasama yang bersejarah antara kedua-dua negara itu dan percaya kerajaan Malaysia akan menyumbang dalam usaha FAM memartabatkan bola sepak negara.

“FIFA juga berpendapat bantuan kerajaan amat penting dan kami amat berbesar hati untuk diberi peluang untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Dr Mahathir. Kami percaya kerajaan Malaysia boleh menyumbang melalui perkongsian ikhlas dengan FAM dari segi infrastruktur, kewangan dan penajaan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rafizi Kepada SPR : Jawab Isu Jangan Dolak Dalik – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya diminta supaya jangan mengalihkan isu dari kegagalan suruhanjaya itu dibawah mereka kepada soal siapa lebih jantan.

2. Exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim dilantik menjadi Setiausaha Agung baru persatuan itu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

3. Peluang sepenggal lagi yang diberikan kepada Elizabeth Wong bagi menerajui portfolio Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar akan digunakan sebaik mungkin oleh beliau bagi menjayakan misi mengurangkan ‘carbon emissions’ di Selangor.

4. Dalam tempoh lima tahun ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menaiktaraf dan menyelenggara tapak-tapak pelancongan yang terdapat di negeri ini.