Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: 29 peratus sudah keluar mengundi setakat 12 tengah hari

SHAH ALAM, 12 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 29 peratus pengundi yang layak sudah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat jam 12 tengah hari tadi.

Sebelum ini, SPR menjangkakan sekitar 70 peratus daripada 2,597,742 pengundi berdaftar akan keluar mengundi hari ini.

Jangkaan itu sama seperti yang disasarkan dalam PRN Melaka dan Sarawak yang berlangsung pada November serta Disember tahun lalu.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, tempoh pengundian dari pukul 8 pagi juga dianjakkan sehingga pukul 6 petang iaitu pertambahan masa selama 30 minit bagi memberikan peluang kepada orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR: 87 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini

JOHOR BAHRU, 8 MAC: Sebanyak 87 peratus atau 18,625 individu telah melaksanakan tanggungjawab mereka bagi pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pengundi awal itu terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), serta pasangan masing-masing.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pihak PDRM, ATM, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Media PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Supt Ibrahim Mat Som berkata seramai 9,775 orang atau 84.3 peratus daripada 11,576 warga PDRM yang berdaftar sebagai pengundi awal telah keluar mengundi di seluruh negeri ini.

Katanya antara sebab peratusan mengundi dalam kalangan anggota polis tidak mencapai 100 peratus adalah disebabkan pengundi dikuarantin akibat dijangkiti Covid-19.

“(Juga kerana) bertukar tempat tugas ke kontinjen lain, bersara, meninggal dunia dan lain-lain sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya menambah tahap keselamatan semasa proses pengundian berjalan dengan aman, lancar serta terkawal.

Pengundian PRN Johor akan diadakan Sabtu ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR: Kempen PRN Johor dibenarkan sehingga 12 tengah malam

JOHOR BAHRU, 2 MAC: Ceramah, syarahan dan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini boleh diadakan hingga pukul 12 tengah malam.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan hari ini, pindaan tatacara operasi piawai (SOP) itu berkuat kuasa serta-merta dan dibuat berdasarkan cadangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain melanjutkan waktu berkempen, SPR turut membenarkan penganjuran kempen secara fizikal di dalam atau pekarangan pejabat dan bilik gerakan parti.

Namun, jumlah kehadiran termasuk penganjur, penceramah dan peserta menghadiri kempen berkenaan haruslah tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang dan tidak boleh diadakan di premis yang terbuka atau di tempat awam.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan COVID-19 bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, SPR menetapkan ceramah, syarahan dan kempen pada PRN Johor hanya boleh diadakan hingga 10 malam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi

BEAUFORT, 4 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pemilih pergi mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya berharap pengundi dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu.

“SPR juga memohon semua pihak khususnya pihak media agar turut memainkan peranan untuk menggalakkan pengundi pergi mengundi pada 18 Januari 2020,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Kimanis di sini, hari ini.

Terdahulu, Pegawai Pengurus PRK Kimanis, Jupari@Jupry Etok mengumumkan PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, yang akan dicabar oleh calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Kimanis pada hari ini dan hari mengundi pada 18 Januari manakala hari pengundian awal 14 Januari.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pemilih itu terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

Sementara itu, Azhar berkata, sebarang bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) boleh menurunkan bahan kempen yang berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.

“Setiap ceramah perlu mendapatkan permit daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan PDRM berkuasa untuk mengambil tindakan bagi aktiviti ceramah yang dijalankan tanpa permit,” katanya.

Azhar berkata, SPR melantik 80 pemerhati pilihan raya daripada 14 organisasi melibatkan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berkelayakan untuk memantau penjalanan proses PRK Kimanis.

Beliau berkata, keputusan PRK Kimanis dijangka diumumkan sebelum 10.00 malam pada 18 Januari.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azhar: SPR teruskan PRK Semenyih

SEMENYIH, 25 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti ditetapkan pada 2 Mac, kata Pengerusinya, Azhar Azizan Harun.

Ini susulan keputusan mahkamah berkaitan PRK itu yang memihak kepada suruhanjaya berkenaan.

“SPR menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang memutuskan bahawa semua keputusan dibuat SPR berhubung proses PRK DUN Semenyih adalah sah dan mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada serta menolak tuntutan saman yang dibuat seorang pengundi berdaftar di Semenyih terhadap SPR.

“Sehubungan itu, SPR akan meneruskan PRK Semenyih sepertimana telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BERNAMA.

Esok ialah hari pengundian awal bagi PRK itu.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Surat kepada SPR 48 jam adakan pertemuan

SHAH ALAM 21 SEPT: Surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dihantar dalam tempoh 48 jam bagi mengadakan pertemuan berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pertemuan dengan SPR perlu agar Kerajaan Negeri mendapat maklumat terperinci asas mengenai persempadanan semula itu.

Katanya pertemuan itu diputuskan setelah Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) mengambil maklum cadangan SPR dan membantahnya.

“MMKN mengambil maklum dengan cadangan tersebut dan kita membantah cadangan dibuat SPR dan MMKN bersetuju mengambil langkah berikut.

“Saya keluarkan satu surat rasmi kepada SPR hari ini untuk mengadakan pertemuan dengan SPR supaya kita diberikan maklumat tentang asas mereka membuat sempadan tersebut.

“Apakah metadologinya, apakah sistemnya, apakah asas digunakan kerana cadangan dikemukakan SPR itu melanggari dua peruntukan besar dalam Perlembagaan Persekutuan setelah kita merujuk peguam,” kata Mohamed Azmin.

Sebelum ini, Mohamed Azmin sekali lagi menolak saranan supaya Dewan Negeri Selangor (DNS) dibubarkan lebih awal bagi pilihan raya awal negeri.

EZY

Categories
NASIONAL

PRU13: Umno BN didakwa langgar peraturan SPR

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Barisan Nasional (BN) didakwa melanggar peraturan ditetapkan Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) apabila membelanjakan lebih daripada RM1.5 bilion dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata berdasarkan peraturan SPR, perbelanjaan seseorang calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah RM100,000 manakala calon Parlimen RM200,000.

SHAMSUL ISKANDAR“Jika kiraan kasar dibuat bagi setiap kerusi ditandingi Umno BN dalam PRU13 lalu adalah 500 kerusi DUN iaitu RM50 juta dan 222 parlimen (RM44.4 juta) dengan jumlah keseluruhan RM94.4 juta.

“Maka apakah kewajaran dan keperluan Umno BN untuk berbelanja lebih dari RM1.5 bilion dan ia tidak menyalahi peraturan pilihan raya sebagaimana ditetapkan SPR?.

“Jumlah itu adalah teramat besar serta mencecah 16 kali ganda dari jumlah dibenarkan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Shamsul berkata, pengakuan dibuat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bahawa Umno BN membelanjakan lebih dari RM1.5 bilion dalam PRU13 lalu amat mengejutkan.

Katanya, ia bercanggah dengan kenyataan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebelumnya yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan parti itu hanya membelanjakan RM1.5 bilion.

SPR“Undang-undang dan garis panduan ditetapkan jelas dilanggar secara terbuka Umno-BN dan ia diakui sendiri pemimpinnya.

“Sehubungan itu, KEADILAN menuntut penjelasan rasmi daripada SPR berkenaan perkara ini iaitu apakah tindakan Umno-BN dalam PRU13 lalu boleh dianggap sebagai satu bentuk korupsi dengan menggunakan wang membeli undi rakyat?” soalnya.

Mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, calon bagi setiap kerusi DUN dan Parlimen masing-masing tidak boleh berbelanja melebihi had ditetapkan.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di mana terbatal kelayakan sebagai wakil rakyat dan kehilangan hak.

-AA-

Categories
NASIONAL

Mohd Hashim dilantik Pengerusi SPR baru

SHAH ALAM, 20 JAN: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dilantik sebagai pengerusi baru berkuatkuasa 24 Januari ini.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang akan bersara bulan ini, lapor Bernama.

Hashim AbdullahAbdul Aziz akan mencapai umur persaraan wajib pada Januari berdasarkan Perkara 114 (3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pengerusi SPR mesti meletak jawatan apabila mencapai usia 66 tahun.

Mohd Hashim yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Oktober 1954 memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR pada September 2014.

Sebelum itu, beliau adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

-AA-

Pengerusi SPR : Hashim Abdullah ganti Abdul Aziz


Datuk Seri Hashim Abdullah dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang akan bersara bulan ini.

‘Anwar Ibrahim’ dalam daftar pengundi, SPR masih belum respon

Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum memberi maklum-balas yang selaras dengan ketetapan undang-undang berhubung isu kelayakan Anwar Ibrahim sebagai pengundi P044.

3,000 pengundi hantu akan dibawa masuk ke PRK Permatang Pauh?

Pakatan Rakyat melahirkan kebimbangan komplot BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menghasilkan 3,000 pengundi yang akan mengundi BN pada PRK P044.

BERSIH 2 0 : Malaysia perlu MP berkualiti, bukan ramai tetapi bermasalah

Sinopsis

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa meningkatkan ketelusan persempadanan semula dan perjalanan pilihan raya bagi membolehkan para pengundi memilih pemimpin yang berkualiti sebagai wakil rakyat mereka.

Ini berikutan, sesetengah Ahli Parlimen sedia ada didapati tidak memiliki kualiti yang diperlukan ketika berbahas di Parlimen.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, keadaan ini hanya membazir lebih banyak masa perjalanan persidangan Dewan Rakyat.