PETALING JAYA 02 MEI : PKR menolak alasan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendakwa masalah dakwat kekal yang tidak kekal pada jari pengundi berpunca dari kesilapan petugas yang tidak mengoncang botol dakwat terlebih dahulu.
Naib Presiden PKR Tian Chua berkata berkata PKR tidak dapat menerima alasan kakitangan SPR tidak mengikut peraturan pada botol dakwat, kerana masalah ini berlaku secara meluas di merata tempat pengundian pos.
Menurut Tian, SPR sebelum ini memberi jaminan bahan kimia dalam dakwat kekal itu meresapi kulit dan tidak mudah tanggal.
“Saya tidak terima langsung alasan yang dikatakan oleh Setiausaha SPR, Datuk Kamarudin (Mohamad Baria).
?Kalau itu prosedurnya, berlaku disatu tempat kita boleh terima tapi ini berlaku di merata tempat.”
Menjawab kritikan keras dari pelbagai pihak semalam, Kamarudin berkata dakwat itu perlu digoncang selama 30 minit sebelum ia digunakan.
Tian melahirkan kebimbangan dakwat yang digunakan dalam pengundian pos ini bukan bahan kimia yang dijamin itu.
“Kami dari Pakatan dan ramai lagi calon-calon telah hilang keyakinan terhadap Pengerusi SPR. SPR tidak lagi layak untuk kendalikan pilihanraya yang boleh meyakinkan rakyat dengan perkara yang begitu serius ini”
Di sidang akhbar yang sama, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata seorang anggota polis menunjukkan kepada beliau bagaimana dakwat itu tidak seperti yang dihebahkan oleh SPR.
“Selepas dia mengundi, dia tunjuk jarinya pada saya jam 12.00 selepas ceramah, jari tersebut bersih, bila ditanya, dia hanya menggunakan sabun.”