Categories
SELANGOR

18 Ekar Tanah Untuk Penempatan 400 Penduduk Taman Permata Dengkil


SHAH ALAM, 12 JUL: Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar berkata, 18 ekar tanah dikenalpasti mencukupi untuk pembangunan rumah teres setingkat kepada 400 keluarga di Taman Permata Dengkil.

Katanya, Kerajaan Negeri bersedia memberikan tanah itu kepada Kerajaan Pusat untuk dibangunkan projek perumahan seperti apa yang dijanjikan mereka dahulu kepada penduduk itu.

“18 ekar sahaja mencukupi kalau kerajaan pusat nak menunaikan janji mereka dahulu kepada penduduk Taman Permata dan boleh kemukakan surat kepada pejabat tanah untuk dibawa ke mesyuarat Exco,” katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Marsum Paing (Dengkil-BN).

Sebelum ini, pembangunan pusat pentadbiran baru di Putrajaya telah mengambil tanah ladang-ladang besar dan menyebabkan pekerja-pekerja ladang ini kehilangan tempat tinggal dan mereka dipindahkan ke kediaman transit di Pangsapuri Taman Permata Dengkil di tapak seluas 10.7 ekar.

Namun, selepas 12 tahun, janji yang dibuat Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada mereka ternyata sia-sia.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Mohd Zin Mohamed berjanji di dalam suratnya kepada Kerajaan Pusat untuk menyediakan rumah teres setingkat bagi memindahkan penduduk dari pangsapuri itu yang mengalami pelbagai masalah.

Walaubagaimanapun, Dr.Xavier berkata, tuntutan yang dibuat oleh Mohd Zin tidak diterima kerana meminta 100 ekar dan Kerajaan Negeri hanya boleh memberikan 18 ekar sahaja kepada pembangunan itu.

“Surat yang dikemukakan MP Sepang tu minta 100 ekar tanah tapi kerajaan negeri hanya boleh bagi 18 ekar sahaja dan ianya memang mencukupi.

“Kita tidak boleh beri tanah sesuka hati kepada persatuan penduduk, dan kalau MP sepang bersetuju, kita boleh adakan perbincangan lanjut,” katanya lagi.