Categories
AGENDA NASIONAL

KDN hantar 17 cadangan pertimbang naik gaji polis

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Buat kajian berhubung penjara swasta

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Jabatan Penjara disaran membuat kajian berhubung ‘private prison’ atau penjara swasta jika pelaksanaannya wajar diberi pertimbangan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata jabatan berkenaan boleh membuat kertas cadangan berhubung perkara itu jika dirasakan ia dapat dilaksanakan, dan kemudian kemukakan kepada kementerian untuk pertimbangan.

“Jika pihak kementerian merasakan ia (kertas cadangan) boleh dibawa kepada Kabinet, Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sendiri akan membawanya ke Kabinet untuk dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Kolokium Pembaharuan Penjara di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Kajang dekat sini, semalam.

Beliau berkata setakat ini, kira-kira 74,000 banduan sedang menjalani hukuman di penjara seluruh negara walaupun kapasiti sebenar hanya boleh memuatkan kira-kira 52,000 penghuni.

Mohd Azis berkata ​​​​​​​beliau sempat melihat operasi penjara swasta semasa lawatannya ke United Kingdom baru-baru ini dan tidak memerlukan kerajaan untuk membina penjara baharu.

Sementara itu, mengulas berhubung langkah kerajaan bagi menaik taraf penjara lama di negara ini, Mohd Azis berkata tiga penjara iaitu di Pengkalan Chepa, Kelantan; Batu Gajah, Perak dan Seremban, Negeri Sembilan akan ditambah baik bermula tahun hadapan.

Katanya tiga lagi penjara iaitu di Taiping, Perak; Muar, Johor dan Pulau Pinang yang juga perlu diselenggara turut mendapat perhatiannya.

“Struktur bangunan ini sudah terlalu lama dan kami akan mendapatkan peruntukan …jika boleh untuk tahun hadapan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemansuhan Akta Hasutan tidak boleh terburu-buru

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Pemansuhan Akta Hasutan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Beliau berkata, sebaliknya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil kira implikasi pindaan berbangkit kepada perundangan lain sekiranya pemansuhan akta ini berlaku.

Mohd Azis menjelaskan terdapat peruntukan di bawah akta itu yang bersangkutan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan serta perundangan dan akta lain.

“Komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) ialah kita akan memansuhkan akta ini, bagaimanapun kita kena pastikan tiada kelompangan undang-undang berlaku sekiranya akta ini dimansuhkan.

“Kita tidak mahu apabila akta ini dimansuhkan kita tercari-cari (solusi lain) dan ini akan menimbulkan masalah,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PAKATAN-Lembah Pantai) yang bertanya tentang tempoh masa bagi pemansuhan akta berkenaan ketika sesi jawab lisan.

“Jawatankuasa khas sedang giat bersidang termasuk dalam soal memastikan Akta Hasutan ini selaras dengan janji manifesto kita untuk mansuhkan, tetapi saya tidak dapat beri tempoh masa yang khusus tentang bila akta ini akan dimansuhkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

365 pelawat asing dihalang masuk semasa gangguan sistem KLIA

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Seramai 365 pelawat asing dikenakan arahan Notis Penolakan Masuk (NTL) ke negara ini oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semasa insiden kegagalan teknikal dan gangguan sistem operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ogos lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, JIM telah mengambil segala langkah kawalan sepanjang kegagalan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) dan sentiasa memastikan kawalan pintu masuk negara tidak dibolosi dengan mudah demi keselamatan negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM tidak berkompromi dari aspek keselamatan dalam memastikan kawalan di pintu masuk sentiasa dipantau sepanjang insiden gangguan teknikal pada sistem di KLIA dan KLIA 2 pada Ogos lepas,” katanya pada sesi jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Azis menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berhubung statistik kemasukan pelancong asing ke negara ini semasa insiden berkenaan.

Mohd Azis berkata, rekod Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menunjukkan 368,042 pelawat asing tiba di KLIA dan KLIA2 dari 21 hingga 25 Ogos, dan 347,981 pelawat asing berlepas keluar melalui dua lapangan terbang itu bagi tempoh sama. Kegagalan TAMS dilaporkan berlaku dalam tempoh masa itu.

Kegagalan TAMS itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata, adalah tidak benar dakwaan bahawa kerajaan memudahkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada pelancong dari China dan Hong Kong.

“Adalah ditegaskan bahawa penganugerahan kewarganegaraan Malaysia adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak diberikan sewenang-wenangnya,” kata timbalan menteri itu.

Beliau menjawab soalan Awang Hashim (PAS-Pendang) mengenai perkara itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azis Jamman selamat jalani pembedahan

KOTA KINABALU, 26 APRIL: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang mengalami kecederaan selepas terbabit kemalangan motosikal Rabu lepas selamat menjalani pembedahan semalam.

Menurut kenyataan media di group WhatsApp Media Datuk Azis Jamman, Azis yang juga Anggota Parlimen Sepanggar selamat menjalani pembedahan itu di Hospital Gleneagles kira-kira pukul 11 malam tadi.

“Datuk Azis berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan susulan pembedahan.

“Hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat dan doktor menasihati Datuk Azis supaya berehat buat masa ini,” jelas kenyataan itu.

Dalam kejadian Rabu lepas, motosikal ditunggangi Azis terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menyertai Konvoi Jelajah Kesedaran Bahaya Dadah di Nabalu, Jalan Tamparuli-Ranau, dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika Azis yang juga Anggota Parlimen Sepanggar menunggang motosikalnya bersama-sama peserta konvoi lain ketika dalam perjalanan menuju ke Ranau.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KDN usaha hapuskan ‘musuh dalam selimut’ dalam agensi penguatkuasa

KOTA KINABALU, 3 FEB: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pihaknya kini sedang berusaha menjejaki dan menghapuskan ‘musuh dalam selimut’ yang berada dalam agensi penguatkuasa di bawah kementerian itu.

Beliau berkata, terdapat sebilangan kecil pegawai dalam agensi penguatkuasa menjadi dalang dengan membocorkan maklumat operasi sehingga membantutkan usaha membanteras kegiataan jenayah di negara ini.

“Saya tahu ada dalang dalam kalangan kita yang menjadi musuh dalam selimut membocorkan maklumat apabila kita melakukan operasi tertentu.

“Sebab itu kita sukar untuk menangkap kepala penjenayah itu dan yang ditangkap hanya ‘ikan bilis’.

“Ini adalah salah satu cabaran yang kita perlu hadapi. Oleh itu kita mahu bersihkan pengkhianat itu untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasa di bawah kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Skuad ‘Realisasi Aspirasi Kesejahteraan Komuniti’ anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Darau dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mohd Azis berkata, penganjuran program itu sangat bertepatan dalam membantu memerangi dadah di negara ini, selain memupuk masyarakat tentang bahayanya dadah sehingga menjadi musuh nombor satu negara.

“Masalah dadah kini bukan setakat menjadi masalah sosial malah ia kini menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Oleh itu komitmen dan pembabitan semua pihak khususnya di semua peringkat lapisan masyarakat diperlukan untuk membanteras dadah.

“Orang ramai perlu melaporkan sekiranya ada kegiatan dadah di kawasan masing-masing. Jangan biarkan ia melarat sehingga merosakkan anak-anak kita yang sudah tentu menjadi pemimpin masa hadapan negara,” katanya.

Mohd Azis berkata, dalam usaha memerangi dadah di Sabah pihaknya telah mengarahkan polis dan beberapa lagi penguatkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melakukan tindakan tegas antaranya merobohkan rumah setinggan yang didapati melindungi pengedar dadah.

“Tindakan tegas ini menunjukkan kerajaan sangat serius dalam usaha memerangi dadah, jika kita lakukan operasi khususnya di perumahan setinggan dan mendapati ada dadah disimpan dalam rumah berkenaan maka kita akan robohkan rumah berkenaan.

“Ini adalah isyarat jelas bahawa kita tidak berkompromi soal dadah,” katanya.

SUMBER: BERNAMA