Categories
NASIONAL

Kerajaan minta cadangan CSO tambah baik bantuan ke Gaza

SEPANG, 9 JULAI: Kerajaan mengajak semua pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pihak berkaitan untuk mengemukakan cadangan mengoptimumkan penggunaan sumber apabila menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, CSO boleh memberikan input kepada kerajaan berhubung cara terbaik untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka di lapangan yang membantu rakyat Palestin.

“Wisma Putra sedang mengkaji penyaluran wang kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Contohnya jika kerajaan membelanjakan USD100,000 untuk membantu rakyat Palestin, kita mengkaji kemungkinan bagaimana sebahagian daripada wang itu dapat disalurkan kepada CSO utama di lapangan (yang melakukan penyaluran bantuan kemanusiaan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengucapkan selamat jalan kepada delegasi ke Gaza, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.

Delegasi untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan terdiri daripada lapan orang sukarelawan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, yang akan kembali ke Malaysia pada 19 Julai ini.

Sementara itu, Dr Ahmad Sani berkata, delegasinya bersyukur kerana dapat memasuki Gaza kali ini selepas 40 percubaan gagal untuk memasuki zon konflik itu dalam tempoh enam tahun.

Semasa berada di Gaza, beliau berkata MAPIM akan merasmikan pusat kebudayaan Malaysia dan pusat kajian pendidikan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saifuddin adakan lawatan tiga hari ke Bangladesh

 

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Bangladesh mulai hari ini, lawatan pertamanya ke negara itu sejak memegang jawatan itu tahun lepas.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Saifuddin dijadualkan bertemu rakan sejawatannya Dr A.K. Abdul Momen dengan kedua-duanya dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala serta hal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Saifuddin juga dijadualkan melawat Hospital Medan Malaysia dan beberapa kem pelarian Rohingya di Cox Bazar di daerah pesisiran pantai tenggara Bangladesh.

“Lawatan ini akan menyediakan peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan mesra antara kedua-dua negara dan meningkatkan lagi kerjasama dua hala serta meneguhkan sokongan berterusan Malaysia kepada kerajaan Bangladesh dalam menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya,” kata kenyataan itu.

Malaysia dan Bangladesh mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang besar dengan perdagangan dua hala bernilai US$2.37 bilion pada 2018, peningkatan ketara sebanyak 35.4 peratus daripada US$1.75 bilion pada 2017.

Dari Januari hingga April 2019, perdagangan meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada US$793.1 juta berbanding US$771.5 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Bangladesh merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan rangka kertas putih selaras bantuan kemanusiaan pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Satu kertas putih berkaitan bantuan kemanusiaan secara sistematik bagi pelarian etnik Rohingya sedang disiapkan oleh Kementerian Luar bertujuan menyelaras bantuan kemanusiaan bagi pelarian itu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai satu pelan komprehensif berkaitan bantuan kemanusiaan untuk pelarian dari Mynamar itu supaya bantuan yang disampaikan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Walaupun Malaysia tidak mampu buat bantuan besar tapi apabila ada pelan sistematik, mungkin boleh dapat dana asing untuk bantu perkasa bantuan kemanusiaan pelarian etnik Rohingya,” katanya selepas melancarkan buku berjudul Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing: Melewati Pertukaran Rejim tulisan Muhammad Takiyuddin Ismail terbitan Universiti Malaya (UM) Press di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas usaha Malaysia yang komited meningkatkan kerja-kerja kemanusiaan di Cox’s Bazaar dan juga di Malaysia yang mempunyai ramai pelarian etnik Rohingya.

Apabila siap kelak, kertas putih yang mengandungi pelan hala tuju bantuan kemanusiaan terutamanya aspek pendidikan akan dibentangkan ke Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.

“Tidak cukup sekadar bagi kemudahan pendidikan sahaja tetapi kita kena nilai ianya berada di tahap mana dan mampu sampai ke mana. Anak-anak pelarian etnik Rohingya juga perlukan masa depan,” katanya.

Rohingya yang merupakan kumpulan minoriti Islam di Wilayah Rakhine, Myanmar, ditindas pihak tentera dan puak-puak lain di negara itu sehingga memaksa mereka melarikan diri dan mendapatkan perlindungan di kem sementara di sempadan susulan serangan ke atas etnik itu sejak lewat 2016. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Malaysia mahu pelan penghantaran pulang Rohingya lebih komprehensif

BANGKOK, 22 JUN: Malaysia mahukan supaya pelan penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya ke Myanmar dibuat secara komprehensif bagi menjamin keselamatan mereka, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurutnya dalam Majlis Makan Malam Menteri-menteri Luar Asean semalam, Malaysia menyuarakan pandangan agar sebarang pelan penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya, perlu mendapatkan pandangan dari mereka (etnik Rohingya sendiri), dan juga Civil Society Organisation (CSO) yang melakukan kerja-kerja kemanusiaan di kem pelarian Cox’s Bazaar.

Beliau berkata ia merupakan antara tiga perkara yang menjadi fokus Malaysia di Sidang Kemuncak Asean Ke-34 yang sedang berlangsung di Bangkok, dalam membantu pelarian etnik Rohingya.

Bercakap kepada media Malaysia selepas menghadiri Asean Foreign Minister’s Meeting (AMM) di sini hari ini, Saifuddin berkata Malaysia juga berhasrat untuk menegakkan keadilan untuk etnik Rohingya dan membawa pihak tidak bertanggungjawab yang telah melanggar hak asasi kumpulan itu ke muka pengadilan.

Ketiga, menurutnya Malaysia komited untuk meningkatkan kerja-kerja kemanusiaan iaitu di Cox’s Bazaar dan juga di Malaysia yang mempunyai ramai pelarian etnik Rohingya.

Rohingya yang merupakan kumpulan minoriti Muslim di Myanmar yang terpaksa meninggalkan kampung halaman berikutan penindasan yang dilalui mereka, yang memaksa mereka melarikan diri dan mendapatkan perlindungan di kem sementara di sempadan susulan serangan ke atas etnik itu pada 2017.

Sementara itu, ditanya berhubung operasi 24 jam di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao yang bermula sejak 18 Jun lalu, Saifuddin berkata ia telah mendapat sambutan yang baik, namun ada beberapa isu perlu diselesaikan, termasuk kesesakan di CIQ Sadao.

“Saya jangka perkara-perkara (isu yang timbul) akan dibincangkan di peringkat pegawai dahulu.

“Perkara ini (kesesakan di CIQ Sadao) perlu disegerakan sebab ia penting. Lebih kurang 60 peratus daripada perdagangan Thailand dan Malaysia adalah melalui kawasan ini (sempadan Malaysia-Thailand) dan menuju ke Pulau Pinang, Malaysia,” katanya.

Sebelum ini sebuah akhbar Bahasa Inggeris membuat laporan mengenai kesesakan di CIQ Sadao, yang menyaksikan ada kenderaan pengguna yang terpaksa beratur panjang selama enam jam sebelum dapat melepasi sempadan, ada juga laporan yang mengatakan bahawa masalah itu timbul berikutan perubahan prosedur oleh Jabatan Kastam Thailand. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Isu Laut China Selatan: Malaysia mahu ASEAN bersatu dalam penggubalan COC

BANGKOK, 22 JUN: Malaysia mahu negara anggota Asean bersatu dalam penggubalan Kod Tata Laku (COC) agar pertikaian Laut China Selatan dapat diselesaikan secara aman, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pendirian Malaysia dalam isu perebutan di Laut China Selatan tidak harus dibincangkan secara berasingan antara negara yang membuat tuntutan bertindih di kawasan itu, dan penggubalan COC pada Sidang Kemuncak Asean Ke-34 di Bangkok pula harus dilakukan menerusi perbincangan secara “Asean berkumpulan” dengan China.

“COC yang akan mula dibincangkan pada akhir tahun ini harus dibuat secara Asean berkumpulan. Kita akan menekankan hal ini kerana ada satu atau dua negara Asean yang mahu berbincang secara berasingan,” katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri Asean Foreign Minister’s Meeting (AMM) di sini hari ini.

COC dilihat akan lebih berkesan dalam mengawal keamanan di Laut China Selatan berbanding dengan Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) yang tidak berkuasa.

Sementara itu, Saifuddin berkata pembabitan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad di Sidang Kemuncak Asean Ke-34 ini bermula dengan sesi pleno pada petang ini, disusuli dengan majlis pembukaan dan sesi pemukiman Sidang Kemuncak Asean esok pagi, dan beliau dijangka membawa suara Malaysia dalam isu berhubung pelarian etnik Rohingya.

Beliau berkata Dr Mahathir juga dijangka akan menyatakan sokongan Malaysia kepada tema yang dipilih pengerusi Asean, Thailand, iaitu “Advancing Partnership for Sustainability”.

“Satu lagi, Dr Mahathir dijangka akan membincangkan soal ekonomi Asean dalam usaha meningkatkan perdagangan intra-Asean yang kini tidak lebih daripada 25 peratus jumlah perdagangan sesama Asean.

“Perdana Menteri dijangka mencadangkan satu dua pandangan bagaimana kita boleh memperkukuhkan ekonomi Asean yang memiliki jumlah penduduk yang melebihi 600 juta orang, dan juga kerjasama erat bagi memanfaatkan negara anggota Asean,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saifuddin terkejut, sedih dengan pemergian tiba-tiba Morsi

PUTRAJAYA, 18 JUN: Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah terkejut dan berasa amat sedih dengan pemergian secara tiba-tiba bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi selepas beliau rebah dalam mahkamah pada Isnin (17 Jun).

“Saya ingin memanjangkan perasaan sedih yang amat mendalam kepada keluarga beliau (Morsi) dan rakyat Mesir. Sumbangan Morsi kepada keadilan dan demokrasi di Mesir akan dikenang sampai bila-bila. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan memasukkannya ke Jannah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata sepanjang tempoh pemerintahannya sebagai presiden, Morsi menunjukkan keberanian dan ketabahan moral dalam cubaannya untuk membawa Mesir keluar daripada pemerintahan kuku besi dan mewujudkan demokrasi sebenar di sana.

Morsi adalah presiden pertama Mesir yang dilantik secara demokrasi ekoran revolusi Arab Spring pada 2011.

Morsi menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah sejak beliau digulingkan dan dipenjarakan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2013, yang dipimpin presiden sekarang Abdel-Fattah al-Sisi.

Morsi, 67, meninggal dunia ketika menghadapi perbicaraan atas tuduhan “mengintip”. Beliau telah meminta untuk bercakap pada sesi itu sebelum rebah dan meninggal dunia. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cari jalan bantu rakyat Malaysia dihukum gantung di Singapura

KLUANG, 21 MEI: Kerajaan sedang berusaha mencari jalan untuk membantu seorang rakyat tempatan yang dijadualkan menjalani hukuman mati di Singapura Jumaat ini akibat kesalahan mengedar dadah.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen) Datuk Liew Vui Keong sedang berusaha mencari jalan untuk membantu Pannir Selvam Pranthaman yang dijadualkan menjalani hukuman itu dalam masa tiga hari lagi.

“Tadi saya telah berbincang dengan Liew dan beliau sedang berusaha bagi pihak Putrajaya (Malaysia) untuk cuba menyakinkan kerajaan Singapura jikalau rakyat kita ini boleh dielakkan daripada hukuman mati,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Infaq Perdana Ramadan anjuran Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Muafakat Kampung Tengah, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas permintaan keluarga Pannir hari ini yang memohon campur tangan kerajaan dalam menghentikan hukuman itu dengan alasan Pannir tidak diberikan peluang untuk mendapat pengampunan di bawah undang-undang republik itu.

Saifuddin berkata dalam kes-kes serupa sebelum ini, kerajaan juga telah mengamalkan pendekatan sama iaitu berusaha membantu mereka yang disabitkan kesalahan dengan memohon hukuman yang lebih ringan daripada Singapura.

Ini selaras dengan tindakan Malaysia meletakkan moratorium kepada hukuman mati mandatori.

“Biasanya memang Putrajaya berusaha untuk, kalau boleh (agar) mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh (mati) tetapi dikenakan hukuman yang lebih ringan, misalnya penjara seumur hidup,” katanya.

Ditanya pula bagaimana Putrajaya boleh mengatasi isu notis pelaksanaan hukuman yang didakwa diberikan dalam tempoh singkat, Saifuddin berkata tidak banyak yang boleh dilakukan kerajaan Malaysia.

“.. ini kerana ia merupakan cara bagaimana Singapura melaksanakan undang-undang mereka. Tidak banyak ruang untuk kita membuat aduan, tapi biasanya apa yang kita buat ialah kita cuba sebaik mungkin untuk membantu rakyat kita,” katanya.

Hari ini, keluarga Pannir melalui kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty menjadikan kerajaan Malaysia sebagai harapan terakhir mereka untuk menyelamatkan Pannir.

Ini ekoran mereka sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Pannir, termasuk menghantar rayuan terakhir kepada Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Pannir, 32, disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Singapura dengan kesalahan itu pada 27 Jun 2017.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia, Vietnam cari penyelesaian baharu atasi pencerobohan nelayan

KUANTAN, 18 MEI: Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk mencari kaedah penyelesaian baru berhubung isu pencerobohan nelayan negara itu ke perairan Malaysia yang semakin meruncing kebelakangan ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, isu pencerobohan nelayan antara perkara yang dibangkitkan pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar, Pham Binh Minha semasa lawatan rasminya ke negara itu pada Khamis lepas.

“Kita berhadapan dengan masalah banyak bot nelayan Vietnam menceroboh perairan Malaysia yang menyebabkan ramai rakyat negara itu ditahan sehingga lokap sesak dan kawasan simpanan bot nelayan yang dirampas penuh.

“Saya maklumkan kepada pihak Vietnam bahawa kita (Malaysia) tidak suka menangkap nelayan mereka kerana ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan, sebaliknya kita perlu menanggung kos makan mereka sepanjang berada dalam tahanan sebelum diusir pulang ke negara asal,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Parlimen Indera Mahkota kali kedua di Kompleks Dagangan Mahkota di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik agensi penguatkuasaan Malaysia, sebanyak 748 bot nelayan Vietnam ditahan dalam perairan Malaysia melibatkan penahanan 7,203 rakyat negara itu bermula 2006 hingga awal Mei 2019.

“Kita berharap memorandum persefahaman (MoU) kaedah penyelesaian baru ini dapat dimeterai selewat-lewatnya hujung tahun ini iaitu pada pertemuan kedua Menteri Luar kedua-dua negara yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

“Isu ini juga akan diperhalusi pada mesyuarat pegawai kanan Malaysia-Vietnam yang dijadualkan berlangsung Julai ini kerana pada ketetapannya kita telah bersetuju untuk berbincang kerana Malaysia tidak pernah berbangga menangkap nelayan mereka.

“Pada pertemuan sebelum ini, kerajaan Vietnam juga memberi jaminan bahawa mereka akan mendidik nelayan mereka supaya tidak terus menceroboh sempadan perairan Malaysia,” katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata, MoU seumpamanya telah ditandatangani antara Malaysia dengan Indonesia melibatkan persetujuan untuk ‘tahan bagi pemeriksaan dan terus mengusir’ bot nelayan yang melangkau sempadan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saifuddin lakukan lawatan rasmi ke Vietnam

PUTRAJAYA, 16 MEI: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah kini sedang melakukan lawatan rasmi ke Vietnam bermula hari ini, lawatan pertama beliau ke negara itu sejak memegang jawatanberkenaan pada tahun lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, Saifuddin dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Pham Binh Minh, yang juga Menteri Luar negara itu.

“Kedua-dua pihak (Malaysia dan Vietnam) dijangka berbincang pelbagai isu dua hala mencakupi tajuk yang luas selain isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” menurut Wisma Putra.

Kenyataan sama turut menyatakan bahawa lawatan itu membuka peluang kepada Malaysia dan Vietnam untuk memperkukuhkan komitmen dalam memperkasakan kerjasama bawah kerangka Perkongsian Strategik yang telah ditandatangani kedua-dua negara pada Ogos 2015.

Menurut Wisma Putra, hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Vietnam adalah besar dengan perdagangan dua hala dianggarkan bernilai US$13.31 bilion pada 2018, menjadikan Malaysia sebagai rakan dagangan ketujuh terbesar Vietnam.

Malaysia adalah sumber pelaburan asing langsung (FDI) ke-12 terbesar bagi Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak US$7.04 bilion sejak 2013.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saifuddin: Nota bantahan terhadap pencerobohan nelayan Vietnam

KUANTAN, 5 MEI: Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada Vietnam berhubung pencerobohan nelayan mereka ke perairan negara, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, nota bantahan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan kerajaan juga akan meminta penjelasan daripada kedutaan Vietnam di Malaysia berhubung perkara tersebut.

Malaysia juga berhasrat mengadakan rundingan mengenai penyerahan semula bot nelayan yang ditahan apabila perkara berkenaan selesai, katanya.

“Dalam kes pencerobohan perairan oleh nelayan asing, pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengusir atau menahan bot terlibat bergantung kepada perjanjian antara kedua-dua negara.

“Kita juga akan ikut prosedur ditetapkan jika menangkap nelayan asing di sini. Biasanya kita tidak suka menahan bot itu dalam masa yang lama dan menyerahkan semula bot itu selepas semuanya selesai,” katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau Parlimen Indera Mahkota di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media semalam, berhubung penahanan dua bot nelayan Vietnam oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Laut China Selatan kerana dipercayai sudah berada dalam perairan Malaysia.

Saifuddin juga berkata, kerajaan akan berusaha untuk mendapatkan semula lebih lima bot nelayan tempatan yang ditahan di Selat Melaka oleh pihak berkuasa Indonesia sepanjang tahun ini.

“Kita dan Indonesia mempunyai perjanjian iaitu nelayan dari kedua-dua negara yang melewati sempadan akan diusir kerana kita tidak menggalakkan bot-bot nelayan ini ditahan.

“Di Selat Melaka memang agak mudah nelayan tersasar kerana perairan yang sempit dan kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu mereka,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saifuddin: Kerajaan PH tidak pinggir Islam

KUANTAN, 4 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah meminggirkan Islam, sebaliknya melaksanakan pelbagai agenda yang mendaulatkan agama rasmi negara.

Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, antara contoh yang boleh dilihat ialah usaha kerajaan memulihkan semula institusi Islam terbesar negara, Tabung Haji.

“PH juga memperkenalkan gagasan rahmatan lil alamin iaitu rahmat kepada semua serta prinsip maqasid syariah yang meletakkan objektif syariah di tempat yang lebih tinggi.

“Kerajaan juga memberi perhatian kepada institusi tahfiz seperti pemberian bantuan kewangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Apresiasi Kecemerlangan Akademik dan Pelancaran Program Sinar Kasih peringkat Parlimen Indera Mahkota di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Luar berkata demikian semasa diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenainya, termasuk Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang menganjurkan Himpunan Rakyat Pertahan Kedaulatan Islam di ibu negara hari ini.

Beliau bagaimanapun menyifatkan penganjur perhimpunan itu berhak untuk berhimpun memandangkan ia adalah sebahagian daripada hak kebebasan bersuara.

Sementara itu di Putrajaya, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad semasa mengulas perhimpunan berkenaan berkata tanggapan bahawa Islam diancam pada pada masa ini ialah satu persepsi yang sengaja diada-adakan.

“Kerajaan PH menyelamatkan Melayu dan Islam dengan memastikan pentadbiran negara bersih dari salah guna kuasa dan rasuah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran Festival Ramadan Putrayaja 2019 di Presint 3, Putrajaya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wisma Putra lebih berwaspada sampaikan maklumat berkaitan isu, dasar

PUTRAJAYA, 23 APR: Kementerian Luar akan lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat berkaitan perkara dan dasar penting susulan kontroversi yang melanda isu Statut Rom, kata Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat juga keperluan untuk mendedahkan pembohongan dan manipulasi fakta yang menyelubungi isu Statut Rom yang telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

“Mungkin kami boleh berkomunikasi dan menjelaskan perkara ini dengan lebih baik kepada orang ramai. Bagaimanapun kami juga berdepan dengan golongan yang gemar memanipulasi fakta. Mereka tidak menjelaskan perkara sebenar.

“Manipulasi fakta kadangkala ditambah dengan tindakan membangkitkan ketakutan awam, dan manipulasi fakta akibat kebimbangan tidak berasas tidak sepatutnya berlaku, sehingga menyebabkan kabinet mengambil keputusan sedemikian (untuk menarik diri daripada Statut Rom).

“(Kami) belajar selepas menangani isu ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa),” katanya kepada pemberita dalam temu bual di pejabat beliau di Wisma Putra di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengapa ICC menjadi isu sehingga menyebabkan Malaysia membuat keputusan untuk menarik diri daripada perjanjian itu.

Menteri berkenaan berkata setakat ini beliau telah muncul dalam dua rancangan bual bicara untuk mendedahkan pembohongan selain memaklumkan fakta mengenai statut itu kepada orang ramai.

ICC telah diwujudkan pada 2002 dan ditadbir oleh Statut Rom.

ICC merupakan mahkamah jenayah antarabangsa tetap pertama yang berasaskan perjanjian dengan tujuan menamatkan kekebalan bagi pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa seperti genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

Malaysia telah menandatangani Statut Rom pada 4 Mac 2019 dan menghantarnya kepada setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari yang sama.

Pada 5 April, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom ICC susulan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, serta menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan kerana Statut berkenaan berbahaya kepada negara.

Sementara itu, dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung PBB ke-73 di New York pada September 2018, Dr Mahathir berkata, Malaysia akan meratifikasi semua instrumen teras PBB yang berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia.

Berikutan itu, pada Oktober 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, kerajaan komited untuk meratifikasi enam perjanjian termasuk ICERD dalam suku pertama 2019.

Bagaimanapun pada November 2018, kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan meratifikasi ICERD dan berkata, ia mengambil pandangan umum sebelum membuat sesuatu keputusan.

Saifuddin berkata, kementerian itu telah mencadangkan pembentukan satu jawatankuasa pemilihan berkaitan dasar luar di parlimen, yang bakal menjadi platform bagi membincangkan isu-isu sedemikian pada masa akan datang.

Beliau menegaskan bahawa membawa perjanjian dan persetujuan kepada jawatankuasa pemilihan adalah satu langkah yang baik namun “Saya tidak pasti jika anda ingin berdebat di depan jawatankuasa itu.”

Menteri itu memberi amaran bahawa langkah itu akan mewujudkan satu dahuluan baharu dalam proses membuat keputusan.

“Dalam kita berusaha untuk berunding, perlu ada jalan untuk berbuat demikian. Dan cara kita ialah melalui platform jawatankuasa pemilihan kerana ia sesuatu yang membabitkan parlimen, sesuatu yang orang boleh faham,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, kerajaan tidak boleh berdepan satu situasi yang menyaksikan segala-galanya perlu dibawa ke parlimen.

“Ya, terdapat perkara yang anda perlu dapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan perkenan Raja-Raja Melayu, namun ICC bukanlah antara perkara itu,” katanya.

Menteri itu berkata, pada masa lalu, lebih 100 perjanjian sama ada telah ditandatangani, atau ditandatangani dan diratifikasi pada masa yang sama oleh Malaysia. Daripada jumlah itu, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik adalah satu-satunya perjanjian yang dibentangkan di parlimen.

SUMBER: BERNAMA