Categories
AGENDA NASIONAL

Identiti anak kapal rakyat Malaysia ditahan sedang dikenal pasti

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Identiti kapal dan 16 anak kapal rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Iran berhampiran pintu masuk ke Selat Hormuz semalam, kerana disyaki membawa bahan api seludup sedang dikenal pasti.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia) di Iran, sedang mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara itu.

“Setakat ini, kami sudah mendapat beberapa maklumat baru, tetapi masih perlu pengesahan. Identiti rakyat Malaysia belum dapat dikenal pasti.

“Kenyataan rasmi berhubung perkara ini akan dikeluarkan Wisma Putra nanti,” katanya kepada Bernama.

Semalam, media antarabangsa melaporkan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), merampas sebuah kapal disyaki menyeludup bahan api dan menahan 16 anak kapal warga Malaysia.

Menurut laporan itu, pihak berkuasa merampas 1.3 juta liter bahan api yang diseludup, daripada kapal tidak dinamakan, yang berada 15 batu nautika dari pulau Abu Musa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra bantu bawa pulang remaja maut di Australia

KUANTAN, 29 DIS: Wisma Putra akan membantu membawa pulang remaja dari daerah ini, yang maut semasa bermain papan luncur di Townsville, Queensland, Australia, semalam.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata perkara itu bergantung kepada keluarga mangsa terlibat, sama ada mahu membawa pulang atau mengebumikan jenazah di negara berkenaan.

“Urusan membawa balik sudah pasti melibatkan kos dan kementerian akan cuba membantu memudahkan urusan. Jika waris memilih dikebumikan di sana, pegawai kita di sana akan cuba bantu ia dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya.

“Kita berharap keluarga dan waris mangsa terlibat dapat berhubung dengan pegawai Wisma Putra secepat mungkin supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan dengan segera,” katanya.

Datuk Saifuddin Abdullah – Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media Australia mengenai kematian remaja itu yang dikatakan terlanggar tiang semasa bermain papan luncur ketika sedang bercuti dengan keluarganya di sana.

Pada perkembangan berasingan, Saifuddin juga berkata pihaknya akan membantu dalam urusan lima warga Malaysia yang cedera akibat kemalangan jalan raya di Kaherah, Mesir yang juga dilaporkan berlaku semalam.

Beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil insurans sebelum ke luar negara sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku kejadian tidak diingini supaya tidak timbul masalah seperti kos rawatan dan sebagainya.

“Dalam kes yang melibatkan kecederaan, lazimnya wakil kita akan membantu untuk mendapatkan rawatan di hospital yang percuma jika ada, atau di tempat yang bayarannya tidak terlalu mahal.

“Kita juga boleh membantu untuk mendapatkan tiket kapal terbang untuk pulang dengan segera, namun kita tidak akan membiayai tiket tersebut,” katanya.

Selain itu, Saifuddin juga memaklumkan kerajaan melantik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) bagi mengkaji dan mengesahkan laporan berita berhubung masyarakat Uyghur di Xinjiang, China.

“Kita mengambil pendirian berhati-hati dalam menilai semua laporan yang diterima daripada pelbagai pihak. Pada pertemuan saya dengan Menteri Luar China Wang Yi, saya memaklumkan kita ambil pendekatan peradaban dalam hal ini.

“Malaysia bukan dalam senarai negara yang menyokong saja laporan disediakan kerajaan China dan dalam masa sama, kita juga tidak dalam kumpulan negara yang mengkritik China secara terbuka. Ini kerana kita mahu pastikan kebenaran laporan yang kita baca dan terima,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Keselamatan jadi keutamaan pembukaan semula kedutaan di Korea Utara

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, semua langkah keselamatan perlu diberikan keutamaan berhubung keputusan Malaysia membuka semula kedutaan di Pyongyang, Korea Utara tahun depan.

Beliau berkata, meskipun semua langkah yang diambil tidak boleh didedahkan, tetapi antara perkara yang turut dipertimbang adalah status tanpa visa untuk rakyat Korea Utara ke negara ini.

“Buat masa ini kita sedang memulihkan semula hubungan. Segala isu yang timbul kita akan tangani satu persatu. Ia tidak semestinya tanpa visa.

“Saya tidak mahu benar-benar melihat ke arah itu. Tapi sudah pasti lawatan perlu dibenarkan dan jika tidak, beberapa aspek berkaitan undang-undang dan peraturan imigresen perlu diperhalusi,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Foto BERNAMA

Saifuddin berkata, beliau yakin semua isu berbangkit dapat ditangani oleh kedua-dua pihak.

Sebelum ketegangan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, adik tiri pemimpin agung Korea Utara, Kim Jong-un pada Februari 2017, rakyat Korea Utara boleh melawat Malaysia tanpa visa dan begitu juga sebaliknya.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan, pembukaan semula kedutaan pada suku pertama 2020, secara tidak langsung membolehkan Malaysia memainkan peranan menggalakkan Korea Utara menyambung rundingan damai dengan jirannya, Korea Selatan.

“Selagi DPRK (Korea Utara) mempamerkan kesungguhan untuk berunding dan mara ke depan, ia memerlukan sedikit sebanyak galakan.

“Sebagai contoh, menarik balik sebahagian daripada sekatan. Tetapi ia tidak berlaku.

“Jadi dengan mengaktifkan semula kedutaan kita, ia memberi isyarat kepada DPRK bahawa kita menghargai bahawa anda kini bekerjasama dengan jiran anda dan kami mahu menjadi pihak yang secara tidak langsung terhadap perkembangan itu menerusi langkah memulihkan hubungan kita. Oleh yang demikian, kami mahu mengaktifkan semula kedutaan kami,” katanya.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang sejak bermulanya siasatan terhadap kematian Jong-nam.

Pada 4 Mac 2017, Malaysia mengisytiharkan Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, sebagai ‘Persona Non-Grata’ selepas gagal memohon maaf berhubung dakwaannya Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan dalam menyiasat pembunuhan itu. Sebagai tindak balas, Korea Utara mengambil tindakan yang sama.

Berkuat kuasa 6 Mac 2017, Malaysia menarik balik keistimewaan tanpa visa untuk warga Korea Utara.

Pyongyang kemudian bertindak menghalang kakitangan kedutaan Malaysia dan keluarga mereka meninggalkan Korea Utara. Malaysia juga mengambil langkah sama.

Ketegangan diplomatik sedikit reda selepas sembilan kakitangan Kedutaan Malaysia dan keluarga mereka yang dilarang meninggalkan Korea Utara selamat tiba di Malaysia pada 31 Mac 2017.

Malaysia juga membenarkan warga Korea Utara meninggalkan negara ini dan jasad Jong-nam juga dihantar ke Korea Utara atas permintaan keluarganya.

Sebelum kejadian itu, Malaysia kekal sebagai antara beberapa rakan dagangan Pyongyang selepas negara itu dipinggirkan oleh komuniti antarabangsa berikutan program peluru berpandunya nuklearnya.

Hubungan diplomatik kedua-dua negara mula terjalin pada 30 Jun 1973.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN saksama, parti berbilang kaum

PONTIAN, 11 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah sebuah parti gabungan yang mengamalkan sistem kesamarataan dan saksama antara satu sama lain, dengan anggota pentadbiran kerajaannya yang benar-benar berbilang kaum.

Ketua Setiausahanya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, selepas PAKATAN berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pentadbiran parti gabungan itu sentiasa meletakkan parti komponennya terdiri daripada PKR, Bersatu, DAP dan Amanah, memegang jawatan tertentu secara adil dan seimbang.

Malah, katanya perkara ini adalah bukti bahawa PAKATAN mengamalkan sistem pentadbiran yang mementingkan perpaduan kaum serta menghormati antara satu sama lain.

“PAKATAN adalah parti yang saksama. Apabila kita menang pada PRU14, memang jumlah kerusi Ahli Parlimen dalam empat parti PAKATAN tak sama…PKR paling banyak, nombor dua DAP, nombor tiga Bersatu dan (keempat) Amanah.

“Macam mana kita (PAKATAN) nak seimbangkan, apabila kita melantik ahli Dewan Negara kita cuba seimbangkan. Contohnya parti yang paling banyak kerusi dalam Dewan Rakyat adalah PKR, apabila lantik Senator pula, kita tidak lantik terlalu ramai daripada PKR…kita seimbangkannya dengan melantik Senator daripada DAP, Amanah dan Bersatu,” katanya pada ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, di sini malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November, manakala undi awal pada 12 November ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan calon PAKATAN, Karmaine Sardini, Datuk Seri Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional, calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, Wendy Subramaniam mewakili Gerakan serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Sochua bukan ditahan, cuma jalani pemeriksaan biasa

PONTIAN, 10 NOV: Pemimpin parti pembangkang Kemboja, Mu Sochua tidak ditahan pihak berkuasa Malaysia sebaliknya cuma melalui proses pemeriksaan biasa di lapangan terbang, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pemeriksaan itu mengikut standard operasi berikutan Kerajaan Malaysia menerima surat daripada kerajaan Kemboja untuk menghantar pulang tokoh-tokoh yang namanya tersenarai dalam surat itu.

“Sebenarnya semua (pemimpin parti pembangkang Kemboja) yang sampai di Malaysia bukan ditahan tetapi mereka melalui proses tertentu yang dipakai oleh pihak berkuasa kita di lapangan terbang, itu adalah SOP (prosedur operasi standard) yang lazim. Kemboja beri senarai nama tokoh-tokoh politik ini, sebab parti mereka telah diharamkan.

“Mereka (kerajaan Kemboja) minta kalau tokoh-tokoh ini sampai (negara kita), dihantar balik ke Kemboja,” katanya ketika ditemui Bernama selepas memberi ceramah kelompok sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sebuah rumah di Kampung Teluk Kerang, dekat sini malam tadi.

Wanita berusia 65 tahun, yang juga Naib Presiden Cambodia National Rescue Party (CNRP) yang diharamkan di negara itu, dilaporkan ditahan oleh Jabatan Imigresen bersama dua lagi warga Kemboja ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 November lalu.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata pihak berkuasa telah memberi kebenaran kepada pemimpin pembangkang Kemboja itu memasuki negara ini kerana kerajaan Malaysia membuat keputusan tanpa sebarang desakan daripada mana-mana pihak.

“Kita membuat keputusan tentang apa yang berlaku dalam negara dan di sempadan negara kita tanpa desakan mana-mana pihak. Jadi apabila kes-kes sebegini berlaku kita ada proses tertentu, itu yang berlaku di lapangan terbang, mereka semua dibenarkan masuk ke Malaysia dan mereka bebas bertemu dengan teman-teman mereka dan sebagainya.

Kita ikut SOP dan tidak ikut apa yang dipohon oleh pihak Kemboja kerana kita buat keputusan nak hantar orang balik ke, nak benar orang masuk ke dan sebagainya itu mengikut pengiraan kita sendiri,” katanya.

Minggu lepas, Thailand tidak membenarkan Sochua masuk ke negara itu apabila beliau tiba di lapangan terbang utama di Bangkok.

Beliau, kemudiannya menaiki penerbangan ke Indonesia, sebelum Kerajaan Kemboja meminta wanita itu ditahan selepas mengadakan satu sidang media di sana.

Dilaporkan, pihak berkuasa Kemboja tahun ini menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang berikutan dakwaan mengenai cubaan menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Hun Sen.

Puluhan aktivis pembangkang yang meninggalkan Kemboja kerana bimbang ditahan menyatakan kesediaan untuk pulang sebagai tanda sokongan terhadap pengasas CNRP Sam Rainsy, yang kini hidup dalam buangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia-Jordan kerjasama buka pejabat kedutaan Palestin

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kementerian Luar sudah memulakan usaha mengumpul maklumat bagi melaksanakan keputusan kerajaan membuka pejabat perwakilan diplomatik Malaysia ke Palestin di Amman, Jordan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Kementerian Luar Malaysia dan Kementerian Luar Jordan sedang bekerjasama bagi mengenal pasti proses untuk merealisasikan hasrat kerajaan Malaysia dalam hal itu.

“Bagi lokasi pejabat perwakilan itu, kementerian berpandangan adalah lebih praktikal bagi pejabat perwakilan ditempakan di Amman, Jordan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Ini sebab utama Malaysia tidak boleh membuka pejabat perwakilan di Ramallah di Tebing Barat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang meminta kementerian menyatakan butir perancangan kerajaan untuk membuka kedutaan Malaysia di Amman, Jordan, serta tempoh masa kedutaan akan dibuka dan beroperasi.

Saifuddin berkata jika pejabat perwakilan ditempatkan di Ramallah, Malaysia perlu berurusan dengan Israel secara rasmi bagi perkara logistik, pentadbiran dan urusan keluar-masuk.

Mengulas cadangan Reezal Merican supaya kerajaan melantik ‘honorary consul’ dalam kalangan rakyat Palestin yang mempunyai hubungan baik dengan pihak Hammas dan Fattah serta pihak berkuasa Palestin, Saifuddin berkata ia adalah cadangan yang baik.

Bagaimanapun, jika diwujudkan ‘honorary consul’ itu, ia harus diwakili oleh kedua-dua pihak Hamas dan Fatah sebagai langkah menyantuni mereka.

“Malaysia negara kecil tetapi kita terkenal dengan diplomasi, kita memahami politik dalaman dalam kalangan masyarakat Palestin, maka kita harus menyantuni mereka dengan baik,” katanya.

Pada sesi itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengajak anggota dewan daripada pembangkang dan kerajaan berdiri sebagai tanda sokongan berhubung keputusan membuka kedutaan itu dengan majoriti anggota yang hadir di dewan berdiri menunjukkan sokongan mereka.

“Saya fikir dewan ini perlu merakamkan tahniah kepada kerajaan berhubung langkah mendirikan (perwakilan) dan kalau boleh kita semua berdiri sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam usaha ini,” katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Baku, Azerbaijan mengumumkan Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin di Jordan bagi membolehkannya memberi bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Dr Mahathir sertai pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak NAM

BAKU, 23 OKT: Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka berkongsi pandangan mengenai kepentingan Pergerakan Negara-Negera Berkecuali (NAM) berdiri teguh dalam bekerjasama menangani cabaran dunia globalisasi apabila menyertai pemimpin-pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak NAM ke-18 di sini.

“Perdana Menteri juga dijangka menegaskan pentingnya pergerakan itu berpegang kepada dasar berkecuali serta menghormati prinsip asas penubuhan NAM yang termaktub dalam Prinsip Bandung,” kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah kepada media Malaysia di sini, Rabu.

Menurutnya, ia adalah tepat pada masanya kerana Dr Mahathir telah menghantar mesej tegas pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, bulan lalu, bahawa ancaman terbesar kepada multilateralisme adalah unilateralisme yang berlaku apabila negara-negara berkuasa memilih untuk melakukan perkara mengikut cara mereka sendiri.

NAM mempunyai konsep asas yang berasal daripada Persidangan Asia-Afrika – juga dikenali sebagai Persidangan Bandung yang diadakan di Indonesia pada 1955, yang menjadi landasan pembentukan pergerakan itu.

Antara lain, NAM memperjuangkan rasa hormat terhadap kedaulatan dan integriti wilayah semua negara, mengiktiraf kesaksamaan dalam kalangan semua bangsa dan semua negara serta tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

Pergerakan itu bermula dengan 25 negara anggota pada 1961 dan kini berkembang menjadi 120 negara anggota, 17 negara pemerhati dan 10 organisasi pemerhati, sekali gus menjadi forum multilateral kedua terbesar selepas PBB.

Saifuddin berkata Dr Mahathir dijangka tiba di ibu negara Azerbaijan pada Khamis ini untuk sidang kemuncak dua hari bermula Jumaat ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir akan diiringi oleh isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan pegawai kanan kerajaan ke Sidang Kemuncak Baku di mana 17 Ketua-Ketua Negara dan lima Perdana Menteri dijadual hadir.

“Ini akan merupakan penampilan pertama Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Ketujuh Malaysia pada Sidang Kemuncak NAM ini,” katanya.

Malah, beliau berkata, kali terakhir Perdana Menteri Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak NAM ialah pada 2009 apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri sidang edisi ke-15 di Mesir.

Saifuddin berkata tema sidang kemuncak ke-18 kali ini iaitu “ Berpegang Kepada Prinsip Bandung” bagi memastikan tindak balas bersama dan mencukupi terhadap cabaran dunia semasa.

“Kita anggap tema ini sangat bertepatan dengan perkembangan politik dan ekonomi semasa. Sekurang-kurangnya dalam keadaan negara-negara anggota NAM sudah timbul kerisauan sekiranya NAM melencong daripada objektif asal,” tambah beliau.

Pada sidang kemuncak ini, Azerbaijan, negara merdeka bekas jajahan Kesatuan Soviet, mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi NAM di bawah Presiden Ilham Aliyev bagi tempoh tiga tahun akan datang daripada Venezuela.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya di luar sidang kemuncak itu bagi membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama.

“Perjumpaan tersebut dijangka mengeratkan hubungan dua hala dengan negara-negara berkenaan serta mengukuhkan persefahaman mengenai isu-isu serantau dan global,” kata Saifuddin, sambil menambah penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak itu adalah penting kerana ia mencerminkan komitmen berterusan negara terhadap pergerakan itu.

“Ia juga membolehkan Malaysia dan negara-negara membangun lain mempunyai suara yang bersatu dalam pelbagai isu global dan serantau, katanya.

Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak NAM ke-13 pada 2003 iaitu lebih 16 tahun lalu ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat pada masa itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kumpulan terakhir mangsa kemalangan di Turki selamat tiba

SEPANG, 22 OKT: Kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang kemalangan ketika sedang mengikuti rombongan di Turki pada minggu lalu selamat tiba di tanah air malam ini.

Mereka merupakan enam peserta daripada 34 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mengalami kecederaan serius akibat kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia pada 16 Oktober lalu.

Mereka adalah Shahmun Ishak; Zurani Mohamad Darum; Amim Mohamad Darum; Norzakiah Mohd Akhir; Shamsul Bahrin Md Shukur dan Mohd Zain Sarman.

Kemalangan tersebut turut mengorbankan seorang kakitangan PKNS, Azalan Miswan, 50.

Turut menyambut ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Semalam, 27 kakitangan PKNS itu yang terselamat dalam kemalangan terbabit pulang ke tanah air manakala jenazah Azalan dibawa pulang Sabtu lepas.

Saifuddin ketika ditemui media berkata keenam-enam akan terus dibawa ke Hospital Pakar Avisena, Shah Alam, Selangor bagi rawatan lanjut.

“Saya bersyukur mereka selamat pulang ke tanah air, dan suka mengingat kepada rakyat Malaysia untuk belajar dari pengalaman ini agar mempunyai ejen pelancongan baik dan mengambil insurans ketika melancong di luar negara,” katanya.

Katanya, amalan terbaik yang ditunjukkan PKNS ketika mengendalikan situasi tersebut dengan cekap dan baik wajar dicontohi organisasi lain dan rakyat Malaysia amnya.

Mohd Azizi berkata PKNS telah menghantar kumpulan khas untuk mengurus dan membantu mangsa-mangsa kemalangan di sana selain mendapatkan bantuan daripada pihak Kedutaan Malaysia di Turki.

Salah seorang mangsa, Mohd Zain Sarman yang cedera di bahagian muka berkata dirinya bersyukur urusan beliau di sana dipermudahkan walaupun menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan orang tempatan.

“Saya berterima kasih kepada PKNS dan pihak kedutaan yang membantu kami untuk pulang segera ke tanah air,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia terbuka terima lawatan wakil PBB

KAJANG, 4 OKT: Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan terbuka dalam menerima sebarang lawatan daripada Pesuruhjaya Tinggi atau Pelapor Khas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, pendekatan terbuka ini berbeza dengan kerajaan terdahulu yang ada kalanya tidak membenarkan wakil daripada PBB datang untuk melihat suasana di dalam negara.

“Kerajaan sekarang tidak ada apa yang mahu ditutup dan sekiranya terdapat kelemahan dalam pentadbiran, kita (kerajaan) sedia perbaiki dan kita memang bersikap terbuka,” katanya selepas mengiringi Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet ke Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) di sini, hari ini.

Bachelet kini dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia bermula semalam, yang juga melakar sejarah apabila menjadi Pesuruhjaya Tinggi pertama PBB melawat Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Bachelet terbuka untuk menemui sesiapa sahaja yang beliau mahu semasa lawatannya di sini dan beliau bebas untuk menulis laporannya tanpa sebarang campur tangan.

“Kami telus dalam cara kami melaksanakan sesuatu, ia sememangnya terpulang kepada mereka (wakil PBB) untuk menulis laporan mereka selepas melakukan lawatan. Mereka mungkin memberi beberapa cadangan dan usul dan kami terbuka dalam hal ini.

“Meskipun kami mungkin mempunyai cara kami yang tersendiri dalam berurusan dengan perkara tertentu tetapi kami mahu menambah baik (keadaan di Malaysia) dan itu yang paling penting,” katanya.

Bachelet juga akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan P Waytha Moorthy, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan organisasi masyarakat sivil semasa lawatannya di sini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Kurang kepercayaan kekal dalam kalangan Rohingya

BANGKOK, 1 OGOS: Kekurangan kepercayaan kekal dalam kalangan Rohingya menyebabkan ribuan dalam kalangan mereka enggan pulang ke rumah, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

“Kita faham bahawa penghantaran balik tidak boleh berlaku kerana terdapat kekurangan kepercayaan sekarang.

“Rohingya tidak percaya mereka selamat. Siapa yang mahu pulang jika anda tahu anda tidak selamat,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Saifuddin berkata, Rohingya adalah salah satu isu yang dibangkitkan oleh Malaysia dalam sesi Plenary AMM yang dipengerusikan Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai.

Beliau menambah bahawa harus ada pemahaman yang jelas antara kerajaan Myanmar dan Bangladesh untuk memastikan penghantaran balik Rohingya berlaku.

Saifuddin menegaskan pelaku keganasan terhadap Rohingya mesti dibawa ke muka pengadilan.

Dilaporkan lebih daripada 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas kempen pengawalan ketenteraan oleh tentera Myanmar di Rakhine yang terletak di bahagian barat negara itu sebagai tindak balas terhadap serangan, pada 2017.

Kempen itu membawa kepada tuduhan bahawa pasukan keselamatan melakukan perogolan dan pembunuhan beramai-ramai dan membakar ribuan rumah.

Bangladesh kini menampung lebih 1.1 juta Rohingya. Bangladesh sudah menyerahkan senarai baharu 25,000 Rohingya ke Myanmar untuk pengesahan sebelum penghantaran ke Rakhine.

Semasa sesi pleno, Saiffudin menyeru supaya dikaji semula Terma Rujukan (ToR) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan ASEAN (AICHR) untuk meningkatkan pelaksanaan dan keberkesanannya dalam mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia di rantau ini.

“Kami sepatutnya mengkaji semula ToR untuk memastikan AICHR lebih berkesan. Ini adalah untuk memastikan terdapat mekanisme tertentu untuk membuat aduan jika ada sesuatu yang berlaku di negara dan tempat tertentu.

“Tidak ada mekanisme yang jelas bagaimana untuk membuat aduan dan apakah tindakan yang akan diambil oleh AICHR untuk menangani isu berkenaan, “katanya.

AICHR, yang ditubuhkan pada tahun 2009, bagi menunjukkan komitmen ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama serantau tentang hak asasi manusia

Di samping Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura telah banyak kali menyuarakan sokongan untuk usaha ini.

Selain itu, Saifuddin mengulangi sokongan Malaysia untuk Timor Leste menjadi ahli baru di ASEAN.

Walau bagaimanapun, beliau berkata ASEAN memutuskan bahawa perlu ada misi mencari fakta untuk membuat penilaian

“Kami berharap akhirnya akan ada laporan mengenai perkara ini. Kami berharap Timor Leste akan menjadi ahli ASEAN, “katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saifuddin ketuai delegasi Malaysia ke persidangan AMM/PMC di Bangkok

BANGKOK, 30 JULAI: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-52/Pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM / PMC ke-52) dari 28 Julai hingga 3 Ogos di Bangkok.

Wisma Putra berkata, menteri luar Asean akan membincangkan isu berkaitan komuniti, pelaksanaan Rangka Tindakan Keselamatan Politik ASEAN 2025, hala tuju masa depan ASEAN serta persediaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan ke-35 yang akan diadakan pada November .

“Menteri luar juga akan membincangkan dan bertukar pandangan mengenai perkara berkaitan isu serantau dan antarabangsa sama seperti perkembangan di Laut China Selatan, keadaan di Rakhine, keadaan di Semenanjung Korea, memerangi keganasan dan ekstremisme, keselamatan maritim serta isu keselamatan bukan tradisional yang lain,” katanya.

Thailand, pengerusi Asean semasa, menjadi tuan rumah AMM / PMC ke-52 dan Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Centara Grand dan Pusat Konvensyen Bangkok di Central World, di sini.

Saifuddin akan diiringi isterinya, Datin Norlin Shamsul Bahri, pegawai kanan Kementerian Luar, Misi Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Indonesia. AMM ke-52 akan didahului oleh beberapa mesyuarat persediaan di peringkat Pegawai Kanan.

Di samping itu, Saifuddin dan menteri luar ASEAN lain juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Pasca-Menteri (PMC) dengan Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah (EU), India, Jepun, Korea, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat.

Malaysia adalah penyelaras negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-Australia untuk tempoh 2018-2021.

Saifuddin dan Menteri Luar Negeri dan Wanita Australia Senator Marise Payne akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-Australia pada 1 Ogos.

Menteri Luar Asean juga akan mengambil bahagian dalam mesyuarat Suruhanjaya Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear (SEANWFZ) Asia Tenggara, Mesyuarat ke-20 Menteri Luar ASEAN Campur tiga, Sidang Kemuncak ke-9 Menteri Luar Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN Ke-26 (ARF).

Menteri luar ASEAN juga dijadual mengadakan hubungan dengan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Wakil Hak Asasi Manusia.

Wisma Putra berkata, Saifuddin juga dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari ASEAN dan rakan dialog di luar sidang AMM/PMC untuk membincangkan dan mengukuhkan kerjasama mengenai isu strategik kepentingtan bersama.

Pada akhir AMM/PMC ke-52, menteri luar dijangka mengadopsi beberapa dokumen hasil, termasuk ‘Communique Bersama AAM ke-52 yang akan mengetengahkan perbincangan serta keputusan penting yang dibuat semasa mesyuarat.

Menterii Luar ASEAN dijadualkan menyaksikan majlis menandatangani ‘Instrument of Accession to Treaty of Amity and Cooperation (TAC) ‘di Asia Tenggara oleh Peru.

TAC berfungsi sebagai kod perilaku utama untuk hubungan antara negara di Asia Tenggara, dengan tujuan utama mempromosikan keamanan dan keamanan di rantau ini.

Thailand berkata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha akan merasmikan esok AMM / PMC ke-52 esok.

Sebelum majlis perasmian, Menteri-menteri Luar ASEAN akan membuat membuat kunjungan hormat ke atas Prayuth.

Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai akan mempengerusikan AMM dan mempengerusikan bersama PMC dengan Rakan Dialog dan pertemuan lain.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Saifuddin lakukan lawatan tiga hari ke Jakarta

PUTRAJAYA, 19 JUL: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan lawatan tiga hari ke Jakarta, Indonesia mulai hari ini, menurut Wisma Putra.

Saifuddin yang diiringi pegawai Kementerian Luar dijadual bertemu rakan sejawatannya, Retno LP Marsudi bagi membincangkan kerjasama dan hubungan dua hala selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa untuk kepentingan bersama.

Menurut Wisma Putra, Saifuddin juga dijadual menyampaikan ceramah mengenai ‘Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu’ di Universitas Paramadina.

“Lawatan itu dijangka dapat memperkukuhkan hubungan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia untuk kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara,” katanya. – BERNAMA