Categories
NASIONAL SELANGOR

Salahuddin: Umno Boleh Berdemo Jika Pakatan kuasai Putrajaya

SHAH ALAM, 20 JUN: Kesungguhan Pakatan Rakyat (PR) menyuburkan demokrasi dibuktikan apabila Umno akan dibenarkan berdemontrasi sekiranya Pakatan menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata pada masa itu Pakatan akan memberi ketetapan bahawa polis tidak akan memakai gas pemedih mata sekirannya perhimpunan Umno berjalan dengan aman.

“Sebagai rakyat dan pemimpin, PR akan menyuburkan demokrasi sebab apa yang penting, berikan demokrasi itu kepada rakyat. Ia istrumen penting yang kita rasakan Umno memang perlu pada waktu itu.

“Mungkin mereka pun pada waktu itu akan kerap buat demontrasi,” ujar beliau dalam program ‘Debat Sinar’ yang bertajuk ‘Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi’ malam tadi.

Salahuddin, yang juga MP Kubang Kerian mewakili Pakatan, manakala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mewakili Umno-BN.

Salahuddin memberi jaminan bahawa pihak polis akan bertindak lebih profesional berbanding di dalam peristiwa himpunan BERSIH 3.0 pada April 28 lalu.

“Insyaallah pada masa itu kita akan berikan SOP (Piawaian Prosedur Operasi) yang profesional kepada Polis Diraja Malaysia, tidak ada gas, tidak ada belantan.

“Sejauh mana yang kita tahu, selagi demontrasi itu aman tidak bersenjata.

?Pada ketika itu Insyaallah kalau Datuk Saifuddin masa tu dah sertai PR dan jadi Menteri Dalam Negeri dia akan pastikan selagi mana ia aman dan tidak bersenjata,” katanya lagi dalam debat yang diadakan di Auditorium Kompleks Media Karangkraf di sini.

Salahuddin turut menjelaskan, Umno sendiri mula menerima demontrasi jalanan sebagai sebahagian dari demokrasi apabila parti itu kerap menganjurkan demontrasi terhadap Kerajaan Pakatan Pulau Pinang dan Selangor.

“Umno pun sekarang ini mungkin belajar nak jadi pembangkang, mula buat demontrasi,” ujar Salahuddin.

 

Categories
NASIONAL

Shuhaimi: TPM Manipulasi Isu Pinjaman PTPTN di Selangor Serang PM

SHAH ALAM, 14 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan sengaja memanipulasikan keputusan penarikan penggantungan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melemahkan pengaruh Perdana Menteri.

Demikian menurut Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini.

“UMNO, terutamanya di Selangor patut berasa risau akan ‘pendek akal’ Menterinya yang ‘sama panjang akal’ dengan Timbalan Perdana Menteri yang dilihat, ‘sengaja lagi suka’ jika PM diserang oleh pelajar dan keluarganya!

“Ada sesuatu yang boleh dimanipulasikan di sana oleh TPM (Timbalan Perdana Menteri).

“Apatah lagi PM Najib Razak adalah Pengerusi UMNO Selangor,” menurut kenyataan akhbar tersebut.

Kenyataan akhbar itu turut berpendapat bahawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mampu bertindak lebih matang berbanding Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.

“Khaled Nordin patut ‘berasa malu’ dengan timbalanya yang jauh lebih matang dan terbuka.

“Penarikan balik sekatan itu sudah terlambat dan ia mengingatkan kepada pepatah Inggeris, ‘Once bitten, twice shy!’

“Khaled perlu diajar oleh ahli-ahli Umno,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum ini pada 8 Jun baru-baru ini, PTPTN telah mengambil keputusan membekukan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Khaled dan Muhyiddin dilaporkan menyokong keputusan PTPTN kerana mahu Selangor menyediakan pendidikan percuma seperti yang diwar-warkan oleh Pakatan Rakyat.

Setelah kedua menteri Umno-BN dan PTPTN dikecam hebat, keputusan itu ditarik semula dalam tempoh masa kurang 24 jam berikutnya.

Pendirian kerajaan persekutuan yang ‘flip flop’ dalam isu ini telah diserang bertubi-tubi oleh pemimpin Pakatan Rakyat dan sesetengah golongan masyarakat negara ini.