Categories
NASIONAL

Statut Rom: Kementerian Luar panggil ‘Resident Coordinator’ PBB

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MEI: ‘Resident Coordinator’ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia diminta untuk memberi penjelasan kepada Kementerian Luar Negeri hari ini, berhubung proses dan status terkini penarikan diri Malaysia dari Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, maklumat di laman sesawang PBB setakat ini menunjukkan Malaysia kekal sebagai Negara Pihak dan kedudukan terbabit nyata mengecewakan.

“Walaupun Malaysia sudah mengemukakan surat penarikan diri dari Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa kepada pihak PBB, namun pengekalan Malaysia sebagai Negara Pihak kepada triti terbabit seperti yang tertera dalam laman sesawang PBB adalah sangat mengecewakan,” katanya.

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan Jemaah Menteri supaya Malaysia menarik balik penyertaannya ke Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan media pada 8 Mei lalu berkata, kerajaan sudah mengemukakan surat penarikan diri Malaysia kepada Setiausaha Agung PBB pada, 29 April lalu.

Categories
NASIONAL

Malaysia dikeluarkan senarai Statut Rom setelah PBB lengkap prosedur

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengeluarkan nama Malaysia daripada senarai Negara-negara Pihak Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) setelah PBB melengkapkan prosedur penarikan diri Malaysia daripada Statut Rom ICC.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan telah mengemukakan surat penarikan diri penyertaan Malaysia ke Statut Rom kepada Setiausaha Agung PBB, selaku depositori bagi triti tersebut, pada 29 April lepas.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan keputusan Jemaah Menteri supaya Malaysia menarik diri penyertaannya ke Statut Rom ICC pada 5 April lepas.

“Isu ini juga telah disentuh semasa sesi penggulungan Dewan Rakyat yang telah berlangsung pada 30 April lepas yang mana persoalan mengenai perkara ini telah dijawab Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Marzuki Yahaya,” kata kenyataan itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Statut Rom: Pensyarah perlu bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Empat pensyarah yang terbabit dalam rumusan eksekutif Statut Rom yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja, pada 2 April lalu perlu bertanggungjawab dan bersedia memikul akauntabiliti terhadap apa jua yang ingin mereka ketengahkan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, ia selari dengan janji kerajaan untuk mengangkat kebebasan akademik seperti yang diputuskan Kabinet sebelum ini.

“Pada masa sama, kita berharap isu ini diperdebat secara ilmiah dan berfakta tanpa mempunyai niat tertentu sama ada bersifat politik atau tidak.

“Oleh yang demikian, mereka yang terbabit perlu bertanggungjawab dan bersedia memikul akauntabiliti terhadap apa jua yang mahu diperdebatkan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas surat terbuka yang ditujukan kepadanya daripada anggota kumpulan bekas penjawat awam G25 Tan Sri Alwi Jantan yang dilaporkan di laman sebuah portal berita, merujuk kepada tindakan empat pensyarah terbabit yang dilihatnya melakukan kesalahan sebagai penjawat awam.

Rumusan eksekutif bagi meratifikasikan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) itu dilakukan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr Rahmat Mohamad; pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz serta dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Alwi mempersoalkan sama ada tindakan keempat-empat ahli akademik itu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada naib canselor masing-masing sebelum membentangkan rumusan kertas kerja kepada Majlis Raja-Raja.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wisma Putra lebih berwaspada sampaikan maklumat berkaitan isu, dasar

PUTRAJAYA, 23 APR: Kementerian Luar akan lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat berkaitan perkara dan dasar penting susulan kontroversi yang melanda isu Statut Rom, kata Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat juga keperluan untuk mendedahkan pembohongan dan manipulasi fakta yang menyelubungi isu Statut Rom yang telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

“Mungkin kami boleh berkomunikasi dan menjelaskan perkara ini dengan lebih baik kepada orang ramai. Bagaimanapun kami juga berdepan dengan golongan yang gemar memanipulasi fakta. Mereka tidak menjelaskan perkara sebenar.

“Manipulasi fakta kadangkala ditambah dengan tindakan membangkitkan ketakutan awam, dan manipulasi fakta akibat kebimbangan tidak berasas tidak sepatutnya berlaku, sehingga menyebabkan kabinet mengambil keputusan sedemikian (untuk menarik diri daripada Statut Rom).

“(Kami) belajar selepas menangani isu ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa),” katanya kepada pemberita dalam temu bual di pejabat beliau di Wisma Putra di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengapa ICC menjadi isu sehingga menyebabkan Malaysia membuat keputusan untuk menarik diri daripada perjanjian itu.

Menteri berkenaan berkata setakat ini beliau telah muncul dalam dua rancangan bual bicara untuk mendedahkan pembohongan selain memaklumkan fakta mengenai statut itu kepada orang ramai.

ICC telah diwujudkan pada 2002 dan ditadbir oleh Statut Rom.

ICC merupakan mahkamah jenayah antarabangsa tetap pertama yang berasaskan perjanjian dengan tujuan menamatkan kekebalan bagi pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa seperti genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

Malaysia telah menandatangani Statut Rom pada 4 Mac 2019 dan menghantarnya kepada setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari yang sama.

Pada 5 April, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom ICC susulan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, serta menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan kerana Statut berkenaan berbahaya kepada negara.

Sementara itu, dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung PBB ke-73 di New York pada September 2018, Dr Mahathir berkata, Malaysia akan meratifikasi semua instrumen teras PBB yang berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia.

Berikutan itu, pada Oktober 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, kerajaan komited untuk meratifikasi enam perjanjian termasuk ICERD dalam suku pertama 2019.

Bagaimanapun pada November 2018, kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan meratifikasi ICERD dan berkata, ia mengambil pandangan umum sebelum membuat sesuatu keputusan.

Saifuddin berkata, kementerian itu telah mencadangkan pembentukan satu jawatankuasa pemilihan berkaitan dasar luar di parlimen, yang bakal menjadi platform bagi membincangkan isu-isu sedemikian pada masa akan datang.

Beliau menegaskan bahawa membawa perjanjian dan persetujuan kepada jawatankuasa pemilihan adalah satu langkah yang baik namun “Saya tidak pasti jika anda ingin berdebat di depan jawatankuasa itu.”

Menteri itu memberi amaran bahawa langkah itu akan mewujudkan satu dahuluan baharu dalam proses membuat keputusan.

“Dalam kita berusaha untuk berunding, perlu ada jalan untuk berbuat demikian. Dan cara kita ialah melalui platform jawatankuasa pemilihan kerana ia sesuatu yang membabitkan parlimen, sesuatu yang orang boleh faham,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, kerajaan tidak boleh berdepan satu situasi yang menyaksikan segala-galanya perlu dibawa ke parlimen.

“Ya, terdapat perkara yang anda perlu dapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan perkenan Raja-Raja Melayu, namun ICC bukanlah antara perkara itu,” katanya.

Menteri itu berkata, pada masa lalu, lebih 100 perjanjian sama ada telah ditandatangani, atau ditandatangani dan diratifikasi pada masa yang sama oleh Malaysia. Daripada jumlah itu, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik adalah satu-satunya perjanjian yang dibentangkan di parlimen.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Empat jenayah jadi undang-undang jika Statut Rom diratifikasi

KUALA LUMPUR, 18 APR: Empat jenayah antarabangsa iaitu pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan akan dijadikan sebagai undang-undang tempatan sekiranya Malaysia meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata, selepas diratifikasi, ia harus dijadikan sebagai undang-undang negara sama ada menerusi pindaan akta sedia ada atau mewujudkan akta baharu, tanpa memerlukan sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Ia (Statut Rom) adalah di peringkat antarabangsa. Selepas ia diratifikasi (jika tidak tarik diri), keempat-empat jenayah antarabangsa itu harus dijadikan jenayah dalam mahkamah tempatan. Adakah ia perlukan pindaan Perlembagaan, jawapannya tidak.

“Selepas kita wujudkan undang-undang atau akta itu, andainya berlaku ada rakyat atau pemimpin tetapi bukan Agong, bukan raja terlibat dengan jenayah itu (antara empat jenayah), mahkamah Malaysia boleh mendakwa dia. Kalau mahkamah Malaysia telah mendakwa mereka, ICC tak akan masuk campur, ” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel, di sini malam tadi.

Jelas Saifuddin lagi, prinsip ICC adalah sebagai mahkamah pilihan terakhir apabila negara yang terlibat secara jelas tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pesalah terbabit.

Katanya, selagi negara itu berkehendak dan berkemampuan untuk mengadili dan seterusnya menghukum pesalah terbabit, kita boleh buat sendiri dan ICC tidak akan campur tangan.

Pada 5 April lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dalam kalangan masyarakat.

Sambil menegaskan bahawa keputusan itu bukan disebabkan Statut itu membahayakan, Perdana Menteri berkata, Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC yang Malaysia tandatangani pada 4 Mac lepas, boleh ditarik semula sebelum Jun tahun ini.

ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa melibatkan jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Sebelum ini, sesetengah pihak mendakwa sekiranya Malaysia menerima Statut Rom, akan wujud kes bertentangan, misalnya berlaku kes hak asasi manusia di negara ini, dan ini akan mengakibatkan Malaysia hilang kebebasannya untuk menggubal dasar serta undang-undangnya sendiri.

Saifuddin menjelaskan Malaysia boleh kembali menandatangi ICC, sekiranya berhasrat untuk berbuat demikian pada masa akan datang kerana keputusan untuk menyertai ICC itu adalah bersifat sukarela.

SUMBER: BERNAMA