Categories
NASIONAL

PDRM kerjasama dengan JAKIM kekang fahaman syiah

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengekang aktiviti penyebaran fahaman syiah di negara ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya mempunyai maklumat berhubung perkara berkenaan dan yakin ia dapat ditangani dengan sebaiknya.

“Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai ‘Who Is Hussain’ yang menyebarkan risalah dipercayai ajaran Syiah di sekitar ibu negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Datuk Mazlan Mansor dilantik secara rasmi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, manakala isterinya Datin Farihah Mohd Zamri sebagai Naib Pengerusi Perkep Malaysia.

Ditanya sama ada pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan NGO berkenaan, Abdul Hamid berkata pihaknya akan menyemak perkara itu dan meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan.

Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa gambar menunjukkan sekumpulan individu melakukan aktiviti penyebaran risalah ‘Who Is Hussain?’ kepada orang ramai secara terbuka bertujuan meminta orang awam melawat laman web yang menjadi doktrin ajaran Syiah.

Sementara itu, Abdul Hamid menyeru masyarakat mengamalkan sikap bersederhana dalam tindakan untuk memperjuangkan hak masing-masing yang membabitkan kaum dan agama bagi mengelak tindak balas radikal atau ekstrim.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung permintaan Hindraf supaya mempertimbangkan untuk memberi perlindungan keselamatan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

“Kita ada NGO (badan bukan kerajaan) yang perjuangkan kepentingan masing-masing…ambil pendekatan sederhana, fahami dan sensitif supaya dapat elak situasi boleh cetuskan provokasi oleh individu yang ekstrim dan radikal dalam pendirian mereka.

“Polis tegas dalam mengambil tindakan terhadap semua bentuk keganasan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik,” katanya.

Semalam, Hindraf dalam satu kenyataan menghargai kejayaan PDRM mematahkan serangan pengganas dan pembunuhan, baru-baru ini, namun pada masa sama meminta Abdul Hamid mempertimbangkan untuk menyediakan perlindungan keselamatan tambahan kepada Waytha Moorthy.

Penasihat undang-undang Hindraf, Karthig Shan dilaporkan berkata perkara membimbangkan mereka apabila pengganas yang ditahan awal bulan ini mempunyai niat untuk membunuh beberapa personaliti berprofil tinggi berikutan dakwaan kononnya mereka gagal menyemangati Islam dan mempersendakan agama itu.

Beliau berkata penyokong Hindraf amat bimbang kerana sebelum ini terdapat serangan ke atas Waytha Moorthy di pejabatnya pada 16 Ogos 2017, selain menjadi sasaran ketika perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskrimininasi Kaum (ICERD) dan dijadikan kambing hitam membabitkan isu rusuhan kuil Seafield seterusnya kematian anggota bomba Muhammad Adib Kassim.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PDRM tahan 11 suspek seludup migran, palsukan dokumen perjalanan

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket penyeludupan migran dan pemalsuan dokumen perjalanan Malaysia membabitkan warga Sri Lanka selepas menahan 11 suspek sejak operasi dilancarkan hujung bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, operasi berkenaan dilancarkan pada 30 April lalu dengan menahan seorang wanita warga Sri Lanka dan seorang warga tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika cuba berlepas ke Eropah dengan menggunakan pasport Malaysia yang telah dipalsukan.

“Empat lagi suspek yang terdiri daripada tiga warga Sri Lanka dan seorang warga Jerman, ditahan di sekitar ibu negara kerana turut terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu menurutnya, PDRM menahan lima lagi suspek yang terdiri daripada dua warga tempatan dan tiga warga Sri Lanka di sekitar Selayang pada 2 Mei lepas.

“Daripada keseluruhan 11 suspek ditahan, lima daripadanya disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Antipemerdagangan Orang Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 manakala enam lagi migran Sri Lanka selebihnya dituduh di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana cuba menyeludup keluar ke Eropah melalui KLIA,” katanya.

Abdul Hamid berkata dengan kesemua penahanan itu, PDRM telah melumpuhkan sindiket migran yang licik yang beroperasi sejak pertengahan 2018 serta mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, Eropah dan Malaysia.

Beliau berkata usaha mengesan dan membanteras rangkaian penyeludupan migran akan terus dipertingkatkan PDRM demi memastikan kegiatan penyeludupan migran dibanteras sepenuhnya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis tahan empat lelaki rancang pembunuhan berprofil tinggi

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Empat lelaki disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas yang merancang melancarkan operasi pembunuhan berprofil tinggi, ditahan di sekitar Terengganu dan Lembah Klang, pada Ahad hingga Selasa lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, kesemua suspek terbabit antaranya mempunyai perancangan melancarkan operasi pembunuhan bagi menuntut keadilan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya tahun lalu.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditangkap mengaku menganggotai sel “Wolf Pack” pengganas Daesh serta bersedia untuk melancarkan serangan di negara ini pada minggu pertama bulan Ramadan bagi membalas dendam terhadap kematian Muhammad Adib.

“Sel ini juga merancang untuk melakukan pembunuhan terhadap personaliti-personaliti berprofil tinggi yang dituduh tidak memperjuangkan dan menghina agama Islam.

“Selain itu, mereka juga merancang untuk melakukan serangan berskala besar terhadap tempat-tempat ibadat seperti agama Kristian, Hindu, Buddha dan pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, suspek pertama yang ditahan adalah rakyat tempatan yang juga ketua sel “Wolf Pack” pengganas Daesh berusia 34 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan.

“Suspek adalah dalang yang merancang untuk melakukan pembunuhan dan serangan ke atas tempat-tempat ibadat seperti agama Kristian, Hindu dan Buddha termasuk pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

“Tangkapan ini juga membawa kepada rampasan sepucuk pistol jenis CZ 9mm bersama 15 butir peluru dan enam ‘improvised explosives deviced’ (IED) yang setiap satu berukuran lebih kurang 18cm panjang,” katanya.

Beliau berkata, senjata api dan enam batang IED itu diperoleh dari sebuah negara jiran dan akan digunakan dalam operasi pembunuhan dan serangan terhadap tempat-tempat ibadat bukan Islam itu serta pusat hiburan.

Selain itu, suspek kedua yang ditahan merupakan seorang lelaki berketurunan Rohingnya dan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Abdul Hamid berkata, lelaki yang berusia 20 tahun itu bekerja sebagai pelayan restoran dan mengaku menganggotai kumpulan pengganas itu serta menyokong kumpulan pengganas Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA).

“Suspek turut merancang untuk melancarkan serangan ke atas kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dan berjihad di Rakhine,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

Fuzi serah tongkat kuasa KPN kepada Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini menyerahkan Tongkat Kuasa Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.

Majlis serah terima tugas jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hamid dilantik secara kontrak sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok.

Pelantikan Abdul Hamid mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Selain itu, Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 Bukit Aman Datuk Ramli Hassan dilantik sebagai Pemangku Pengarah Cawangan Khas yang baharu berkuat kuasa esok.

Tongkat Kuasa jawatan berkenaan diserahkan Abdul Hamid sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, juga di Pulapol.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM sahkan Hamid Bador dicadang sebagai Ketua Polis Negara

PUTRAJAYA, 1 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dicadangkan sebagai Ketua Polis Negara.

“Saya fikir Agong (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) sudah tandatangan (surat pelantikan),” katanya ketika ditemui media yang meminta pengesahan sama ada Abdul Hamid adalah merupakan Ketua Polis Negara yang baharu.

Dr Mahathir berkata demikain selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2019, yang bertemakan “Pekerja Amanah, Aspirasi Negara” di sini hari ini.

Sebelum ini timbul ura-ura Abdul Hamid akan dipilih bagi mengisi jawatan nombor satu polis itu menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang akan bersara wajib pada 3 Mei.

Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 4 Sept 2017.

Dr Mahathir turut ditanya mengenai calon jawatan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang sebelum ini dipegang Tan Sri Razali Ismail.

Beliau berkata buat masa ini, masih belum ada calon untuk jawatan itu.

“Itu kita akan lihat dan mereka akan dapat pemimpin yang baru kerana Razali, dia minta berhenti,” katanya.

Razali meletak jawatan sebagai Pengerusi Suhakam pada 15 April lepas, dua minggu sebelum tempoh tugasnya berakhir.

Beliau yang memegang jawatan itu sejak 2016 sepatutnya mengakhiri tempoh tugas selama tiga tahun pada 27 April.

– BERNAMA

Foto Sumber: Facebook Bernama Radio