Categories
NASIONAL

Selepas 35 tahun, Mohamad Fuzi akhirnya tinggalkan PDRM

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Suasana meriah namun sayu, mengakhiri persaraan Ketua Polis Negara ke-11, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib hari ini.

Beliau yang menabur bakti selama 35 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diraikan pada Majlis Paluan Berundur, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini dihadiri lebih 500 pegawai kanan pengurusan tertinggi termasuk anggota keluarga.

Majlis yang bermula pada pukul 5.00 petang itu, dimeriahkan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM yang mengalunkan beberapa buah lagu serta deklamasi sajak selama sejam, sebelum majlis paluan berundur dimulakan.

Mohamad Fuzi juga turut diberikan penghormatan memimpin pancaragam itu, sebelum menaiki kenderaan istiadat polis bersama ahli keluarganya dan meninggalkan acara itu.

Turut hadir Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Mohamad Fuzi dilahirkan pada 4 Mei 1959 di Parit, Perak mula memasuki perkhidmatan PDRM sebagai Kadet ASP pada 8 Jan 1984.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya ialah Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dari 1998 hingga 2005; Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman dari 2007 hingga 2009; Pengarah Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism) Bukit Aman dari 2009 hingga 2014; dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dari 2015 hingga 2017.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Fuzi serah tongkat kuasa KPN kepada Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini menyerahkan Tongkat Kuasa Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.

Majlis serah terima tugas jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hamid dilantik secara kontrak sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok.

Pelantikan Abdul Hamid mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Selain itu, Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 Bukit Aman Datuk Ramli Hassan dilantik sebagai Pemangku Pengarah Cawangan Khas yang baharu berkuat kuasa esok.

Tongkat Kuasa jawatan berkenaan diserahkan Abdul Hamid sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, juga di Pulapol.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPN: Pertemuan dengan PM berhubung IPCMC

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

“Kita adakan mesyuarat tergempar baru-baru ini berhubung beberapa perkara yang diusulkan jawatankuasa terlibat antaranya meletakkan (kuasa) tindakan tatatertib di bawah IPCMC.

“Usul ini menerima banyak tentangan daripada ahli Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP), Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) dan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena acara jualan buku ‘Mes PDRM Pada Era 100 Tahun’ di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya telah mengutus sepucuk surat kepada pucuk pimpinan negara dengan ketiga-tiga persatuan itu menyatakan persetujuan untuk menemui Perdana Menteri berhubung bantahan itu.

Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas perlantikan, promosi dan juga semua isu-isu mengenai tatatertib pegawai polis.

Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah sebelum ini dilaporkan meminta kerajaan menyatakan garis masa bagi penubuhan IPCMC dan langkah yang diambil bagi memastikan ia benar-benar bebas serta mempunyai kuasa menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang. Selain itu bukan sekadar memberi syor tatatertib seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini.

Pada 4 April lepas, Dr Mahathir dilaporkan berkata, IPCMC bebas untuk melakukan siasatan terhadap badan penguat kuasa itu dan kerajaan tidak akan campur tangan bagi menangani sebarang aduan mengenai polis.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas cadangan penubuhan IPCMC untuk menyiasat kes kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat yang didakwa membabitkan polis Cawangan Khas (SB) seperti yang dilaporkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM ucap terima kasih kepada Fuzi Harun

KUALA LUMPUR, 30 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Mohamad Fuzi Harun atas perkhidmatan beliau selaku Ketua Polis Negara selama ini.

“Menerima kunjungan hormat perpisahan sebentar tadi dari Tan Sri Fuzi Harun, Ketua Polis Negara yang akan menamatkan perkhidmatan Sabtu ini. Terima kasih dan setinggi penghargaan atas perkhidmatan selama ini,” katanya dalam laman Facebook beliau, semalam.

Dr Mahathir turut memuat naik tiga keping gambar yang diambil ketika kunjungan Fuzi di pejabat perdana menteri.

Terdahulu media melaporkan kontrak perkhidmatan Fuzi Harun akan tamat pada Mei ini.

Mohamad Fuzi, yang genap 60 tahun pada 4 Mei ini, dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 4 Sept tahun 2017 bagi menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau menyertai Polis Diraja Malaysia sebagai kadet ASP pada 8 Jan 1984 .

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPN: Polis ambil keterangan bekas pegawai Najib

KUALA LUMPUR, 24 APR: Polis telah memanggil bekas pegawai Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bagi membantu siasatan berhubung penularan klip video perbicaraan kes mahkamah bekas Perdana Menteri itu yang sedang berlangsung, di media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum ia dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Awal hari ini dia (pegawai itu) dipanggil untuk beri keterangan. Polis akan ambil tindakan dan kita akan rujuk dengan Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” jelasnya.

Sabtu lepas, polis dilaporkan sudah membuka siasatan berhubung penularan klip video berdurasi dua minit 12 saat itu yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook pegawai tersebut pada 19 April.

Mohamad Fuzi bercakap kepada pemberita di Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan serta Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

AS wajar tarik semula nasihat perjalanan ke Malaysia

KUNAK, 18 APRIL: Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) dengan menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang ditanda K iaitu mempunyai risiko penculikan dan dijadikan tebusan, wajar ditarik balik, kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ketua Polis Negara itu berkata, perkara terbabit mendukacitakan kerana Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan AS terhadap Malaysia sebagai tidak berasas serta tidak mantap.

“Malaysia dari segi aspek kawalan keselamatan sentiasa serius dan siap siaga untuk menghadapi apa jua kemungkinan

“Tahap kawalan keselamatan kita ketika ini kita beri perhatian khususnya di pantai timur Sabah dan di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kita bekerjasama dengan agensi sahabat keselamatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, pengeluaran Nasihat Perjalanan itu bercanggah dengan statistik kemasukan pelancong ke negara ini, termasuk ke kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang meningkat dari semasa ke semasa.

“Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan itu bersifat menjejaskan keyakinan orang ramai termasuk pelancong antarabangsa untuk berkunjung ke pusat peranginan di negara ini, khususmya kawasan pantai,” katanya.

Sementara itu, katanya PDRM giat memantau penyusupan masuk pengganas asing atau Foreign Terrorist Fighters (FTF) ke negara ini, dengan Sabah sebagai salah satu tempat hendak dijadikan pusat transit oleh elemen Daesh sebelum ke Selatan Filipina.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu setakat ini khususnya di Sabah adalah terkawal dengan operasi berterusan dilaksanakan.

“Pada Mac lalu ada 13 tangkapan FTF termasuk di Sabah.

“Kita tahu kehendak mereka mahu menjadikan Sabah sebagai transit ke Selatan Filipina tetapi kita tidak akan membenarkan gerakan itu berlaku,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan anggota PDRM tidak leka dengan kejayaan yang diperoleh kerana dalam era ini wujud pelbagai lagi ancaman yang boleh datang pada bila-bila masa termasuk ancaman Daesh.

Katanya, air tidak selalu tenang, begitu juga situasi keadaan keselamatan yang perlu konsisten di pantau serta diawasi dari semasa ke semasa. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

91 laporan polis kerana hina Agong – Fuzi

KUALA LUMPUR, 13 APR: Sebanyak 91 laporan polis telah diterima setakat semalam berhubung status dimuatnaik oleh pemilik Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang menghina dan mencerca Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM 5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Fuzi menambah, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial atau mana-mana rangkaian komunikasi, untuk membuat sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan juga kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, satu status dimuat naik di laman Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ tular di media sosial sejak beberapa hari lalu memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong diubah suai yang menghina dan mencerca baginda.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kertas siasatan insiden pelajar UM dikasari diserah kepada Peguam Negara esok

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Kertas siasatan berkaitan insiden beberapa penuntut Universiti Malaya (UM) dikasari oleh penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara esok, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Kita telah mengambil 26 keterangan berhubung kejadian itu dan menunggu arahan selanjutnya daripada Peguam Negara,” katanya ringkas ketika ditanya perkembangan siasatan insiden itu yang berlaku di hentian bas di Pantai Baharu, Jumaat lepas.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Hari Polis Ke-212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, hari ini.

Semasa kejadian, Najib sedang menyampaikan ucapan kepada sekumpulan penuntut di sebuah restoran di luar UM yang terletak berhadapan hentian bas berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung fahaman Neo Nazi di negara ini, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan terhadap fahaman atau kumpulan itu setakat ini.

“Kita tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu (Neo Nazi)…tetapi kita akan pantau,” jelasnya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pencemaran Kimia: Sembilan lelaki direman

JOHOR BAHRU, 19 MAC: Polis menahan sembilan lelaki yang direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, dua daripada mereka ditahan di negeri ini manakala baki tujuh lagi di luar Johor dengan kesemua tangkapan dibuat kelmarin.

Mahkamah membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka bermula hari ini selama enam hari,” katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya kes disiasat menurut Seksyen 278 Kanun Keseksaan kerana menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan.

Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun serta Seksyen 326 kanun sama kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Mohamad Fuzi sebelum itu menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Johor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.

Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dikesan pada 7 Mac selepas ramai pelajar, guru dan petugas sekolah mengalami sesak nafas, muntah, loya dan sakit tekak.

Pada 13 Mac, Kementerian Pendidikan mengarahkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang ditutup berikutan beberapa gelombang “Simptom Kim Kim” yang berlaku di beberapa sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Setiausaha Agung BN akan disiasat di bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik di Semenyih, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, satu laporan polis telah diterima setakat semalam berhubung kes itu.

“Siasatan berhubung kes terbabit sedang dilakukan dan kita akan turut memanggil beberapa individu untuk dirakamkan keterangan mereka.

“Sebaik dilengkapkan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya secepat mungkin bagi tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis peringatan ulang tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke-63 di sini, hari ini.

Katanya, kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengecam kenyataan Mohamed Nazri dalam satu ceramah di Semenyih, yang dianggapnya bertujuan mencetuskan kebencian perkauman dan perasaan tidak puas hati bagi tujuan memenangi Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail dilaporkan berkata demikian berhubung kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Nazri berkaitan pelantikan Ketua Hakim, Peguam Negara dan Menteri Kewangan dalam kalangan bukan kaum Melayu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis bentuk jawatankuasa bantu RCI

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Polis membentuk satu jawatankuasa bagi membantu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat penyeludupan manusia di Wang Kelian, Perlis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, proses penubuhan RCI berkenaan masih berjalan untuk mengetahui individu yang akan hadir dalam RCI bagi membantu siasatan kes itu.

“Kami mengalu-alukan pegawai dan anggota polis yang pernah terlibat dengan penugasan dan siasatan berkaitan kes Wang Kelian ini akan dipanggil.

“Ada ahli-ahli dilantik kerajaan dan perlu perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jadi kita tunggu siapa yang akan dilantik dan polis sedang membuat persiapan yang sewajarnya bagi proses RCI ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis serah terima pemakaian pangkat pegawai kanan polis dan penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis, di sini hari ini.

Terdahulu, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, lebih tiga tahun lepas.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, senarai individu yang akan menganggotai suruhanjaya itu telah pun ada dan akan diserahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas RCI itu dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, ia akan diberikan masa selama enam bulan untuk menyiasat perkara itu sebelum membentangkan laporannya.

Pada Mei 2015, polis mengumumkan penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit sempadan negara di Wang Kelian.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Polis cari empat individu bantu siasatan kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Polis sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah kesalahan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, individu pertama adalah wanita warga Singapura dikenali sebagai Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55, yang beralamat di No. 19, Parkstone Road, 437662, Singapura.

“Polis juga mencari lelaki tempatan, Low Hock Peng dan wanita tempatan, Goh Gaik Ewe, masing-masing berusia 67 tahun dan beralamat di No. 69, Tanjung Bungah Park, 11200 Tanjong Bungah, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, turut dicari ialah Tan Kim Loong, 41, yang beralamat di No. 20 M, Jalan 5/40, Taman Pusat Kepong, 52000 Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengenali individu berkenaan supaya menghubungi Superintendan Foo Wei Min di talian 03-26101402 atau Deputi Superintendan Albany Hamzah di talian 019-2412826 dari Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman atau mana-mana balai polis berhampiran.

SUMBER: BERNAMA