Categories
AGENDA NASIONAL

Semua tadika, taska beroperasi sepenuhnya Januari depan – menteri

BUTTERWORTH, 14 NOV: Semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), akan beroperasi sepenuhnya menjelang Januari tahun depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ketika ini 10,301 kelas Tadika dan 544 kelas Taska itu, beroperasi mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua institusi pendidikan awal kanak-kanak itu ketika ini beroperasi mengikut segala tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat dan ditetapkan, jadi ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak-anak, kerana Kemas mengambil semua langkah yang sepatutnya bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

“Kami menjangkakan awal tahun depan semua tadika dan taska Kemas akan beroperasi sepenuhnya. Apapun, kita telah bersedia (jika operasi taska dan tabika Kemas dibuka sepenuhnya nanti). Guru-guru pun semua telah lengkap divaksin ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B Malaysia), di sini malam tadi.

Hadir sama Presiden Alumni 4B Malaysia Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini, dan pada majlis itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar yang turut hadir, menerima anugerah penghargaan khas di atas sumbangannya terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebelum ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahdzir Khalid minta 20 peratus daripada projek solar RM1.25 bilion – saksi

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bekas menteri pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta 20 peratus daripada Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings).

Ia adalah sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2016.

Rayyan Radzwill Abdullah, 41, rakan perniagaan kepada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pada perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar itu.

Akberdin: Kita dah tahu peranan dimainkan oleh Mahdzir dalam projek ini, oleh kerana peranan dimainkan oleh beliau saya katakan beliau telah meminta 20 peratus daripada Jepak sebagai balasan atau upah kerana bantu Jepak Holdings dalam projek ini.

Rayyan Radzwill: Ya, melalui rakannya bernama Md Fuad Yasin dan dia (Md Fuad) merupakan salah seorang individu yang hadir dalam mesyuarat teknikal pertama (berhubung projek ini) di KPM.

Akberdin: Ingat atau tidak, oleh kerana 20 peratus besar, Saidi cakap tidak boleh entertain (layan) sebab (20 peratus) terlalu tinggi dan selepas berbincang, 20 peratus dikurangkan kepada RM60 juta bagi tempoh lima tahun atau RM1 juta bagi tempoh 60 bulan.

Rayyan Radzwill: Ya benar.

Saksi pendakwaan ke-16 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Dalam keterangannya sebelum ini, Mahdzir yang juga saksi pendakwaan kelima menyangkal dakwaan peguam Rosmah bahawa beliau ada menerima habuan RM60 juta daripada Jepak Holdings sebagai balasan kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek solar tersebut.

Rayyan Radzwill yang juga Pengarah Syarikat Nanocarb Technology Sdn Bhd turut memberitahu mahkamah bahawa Saidi ada memberitahunya bahawa rakan perniagannya itu membayar RM50,000 untuk penginapan hotel perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, Kedah, ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.

Saksi pendakwaan itu juga bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Pahang Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib turut memainkan peranan penting dalam membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar itu.

“Sebagai balasan atas khidmat diberi oleh Datuk Aazmey, Jepak telah buat ‘perjanjian perkhidmatan perundingan’ dengan beliau tentang bayaran yang perlu diberikan kepadanya,” soal Akberdin dan Rayyan Radzwill menjawab ya selain menambah beliau yang telah menyediakan perjanjian berkenaan bagi pihak Jepak Holdings.

“Secara ringkasnya, persetujuan antara Jepak Holdings dan Datuk Aazmey melalui perjanjian itu ialah Jepak Holdings secara prinsipnya telah bersetuju untuk beri Datuk Aazmey RM50 juta,” kata Akberdin.

“Jumlah tidak ingat tetapi yang saya ingat empat atau lima peratus yang dipersetujui (daripada nilai projek solar RM1.25 bilion),” jawab saksi itu.

“Setuju atau tidak Saidi telah bayar hampir RM2 juta kepada Datuk Aazmey,” kata Akberdin dan Rayyan Radzwill menjawab: “Setuju, Datuk Aazmey ada beritahu saya.”

Saksi tu pada satu ketika kelihatan sebak apabila menyatakan bahawa beliau daripada awal tidak bersetuju dengan tindakan menawar dan ‘menabur’ wang yang banyak kepada ahli politik bagi mendapatkan projek tersebut.

Rayyan Radzwill berkata beliau bersetuju membantu Saidi dalam kerja-kerja teknikal bagi mendapatkan projek solar itu disebabkan beliau datang dari keluarga miskin yang kerap mengalami gangguan elektrik.

“Saya beritahu Saidi jangan beri wang kepada mereka (ahli politik) tetapi kalau nak beri juga berilah kepada kawasan mereka, namun Saidi tetap berdegil dan menyatakan perkara itu (menabur wang) adalah perlu bagi mendapatkan sesuatu projek. Sebab itu banyak urusan pemberian wang oleh Saidi di luar pengetahuan saya. Apabila berlaku penipuan terhadap terma-terma projek saya terpanggil untuk membuat laporan polis,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahdzir: ‘Mem’ tahu tentang projek solar

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi di sini beliau dihubungi bekas pembantu Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar hibrid sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahdzir, 59, berkata Datuk Rizal Mansor menghubunginya mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan hanya memberikan projek rintis tenaga solar kepada Jepak Holdings Sdn Bhd sedangkan Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan untuk membatalkan sistem lama set generator atau genset diesel dan diganti dengan sistem baru iaitu “projek solar hibrid Jepak”.

“Datuk Rizal juga memberitahu saya, Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas perdana menteri) membuat keputusan dan Mem juga mengetahui projek solar hibrid Jepak. Beliau (Rizal) bertanya saya kenapa perlu buat syarat lain.

“Saya beritahu kepada Rizal ia keputusan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan dan saya hanya bersetuju dengan keputusan tersebut,” katanya ketika membacakan penyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani.

Mahdzir berkata beliau tahu perkataan ‘Mem’ itu merujuk kepada Rosmah dan Rizal sebenarnya menelefon bagi pihak Rosmah.

Terdahulu, bekas menteri itu memberitahu mahkamah bahawa Najib mengarahkan Kementerian Pendidikan melaksanakan projek solar hibrid bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak bagi menggantikan projek genset diesel sedia ada.

Mahdzir berkata Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin bertemunya pada 2015 bagi membincangkan rancangan syarikat untuk memperkenalkan sistem hibrid solar bagi penghasilan elektrik.

“Saidi merupakan kenalan lama saya sejak akhir tahun 90-an. Saidi telah berjumpa dengan saya dalam dua atau tiga bulan sebelum kementerian mendapat arahan Najib untuk pelaksanaan projek itu.

“Saya mempunyai tanggapan bahawa Saidi ingin mengambil alih keseluruhan projek genset diesel dengan bantuan saya tetapi saya menolak pemohonannya kerana kementerian masih terikat dengan kontrak sedia ada. Saidi pada masa itu hanya akur dengan kata-kata saya.

“Bagaimanapun, pada 23 Disember 2015, saya menerima arahan daripada Najib bagi melaksanakan projek solar hibrid Jepak yang disampaikan kepada saya melalui minit yang dicatatnya ‘bersetuju dilaksanakan sistem baru ini dan batalkan sistem lama’.

“Antara Disember 2015 dan 31 Mei 2016, Saidi selalu meminta bantuan saya untuk menyegerakan permohonan projek solar hibrid dan memberikan projek itu kepada Jepak.

“Saya bagaimanapun tidak melayan permintaan Saidi dan kerap kali memberitahu bahawa beliau perlu menuruti proses pentadbiran dan menunggu maklum balas daripada pegawai kementerian,” katanya.

Bagaimanapun, selepas April 2016, rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah mendesaknya untuk memberikan projek itu kepada Jepak dan meminta menuruti sahaja arahan Perdana Menteri tanpa melalui proses teknikal.

“Saya pernah beritahu Saidi dan Rayyan bahawa kementerian mempunyai rancangan penyambungan sekolah di Sarawak ke talian grid elektrik dan pembatalan kontrak secara mendadak akan mendatangkan implikasi perundangan dan kewangan kepada Kementerian Pendidikan,” katanya.

Mahdzir berkata mereka tidak berpuas hati dengan perkara itu kerana ia akan mengurangkan bilangan sekolah untuk projek solar hibrid.

Rosmah, 68, berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin depan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rundingan air: Selangor mahu tangani isu secara Holistik

IMG_3807

SHAH ALAM 16 OGOS : Kerajaan Negeri mahu pendekatan menyeluruh dalam menangani soal perawatan dan pembekalan air terus diperbincangkan bersama Kerajaan Persekutuan.

Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan & Kerajaan Prihatin V Ganabathirau menegaskan Selangor mahu cadangan-cadangan alternatif yang lebih ekonomik tetapi berkesan terus diterokai dan diperhalusi dalam perbincangan itu sebelum Kerajaan Negeri mempersetujui pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2).

“Kerajaan Negeri perlu mencari penyelesaian jangka masa panjang dan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat. Kita sedia maklum projek Langat 2 akan menelan kos yang besar dan tentu akan membebankan Kerajaan Negeri dan rakyat nanti,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini yang mengumumkan rundingan bersama Kerajaan Negeri berhubung Langat 2 sudah mencapai kemajuan.

Ganabatirau berkata pendirian rasmi Kerajaan Negeri berhubung perkembangan terbaru ini hanya akan diumumkan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, di masa yang sesuai.

Projek Langat 2 dijangka menelan kos sebanyak RM8 bilion, dan akan merawat 1.89 bilion liter air mentah bagi keperluan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Kerajaan Negeri mengemukakan beberapa cadangan alternatif antaranya menaiktaraf kemudahan takungan Sungai Selangor di Bestari Jaya.

Dengan kos yang lebih efisien, projek terbabit dijangka menyalurkan 2,000 juta liter sehari, atau 20 peratus lebih dari jumlah air harian yang diperlukan Lembah Klang.

Turut dicadangkan adalah penyiapan pembangunan projek mitigasi 1 dan projek mitigasi 2 melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Kedua-dua projek mitigasi itu mampu mengeluarkan air terawat lebih 600 juta liter sehari.

Kemudahan loji air di Bukit Jelutong yang terbiar turut dicadangkan bagi meningkatkan lagi kapasiti air sebanyak 50 juta liter sehari.

“Ketika ini, krisis air sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu. Namun, kita tidak menolak bahawa kita memerlukan air yang banyak akan datang kerana Selangor sebuah negeri yang maju dan pesat membangun,” tegas Ganabathirau.

Langkah-langkah kos efektif ini dicadangkan Kerajaan Negeri yang bimbang pengguna Selangor terpaksa menanggung beban tarif air yang tinggi akibat dari pembinaan projek Langat 2.