Categories
NASIONAL

Minyak naik, rumah jadi mahal tapi subsidi kroni tak dipotong

rafizi-pc-white-stripes-03

SHAH ALAM 6 SEPT: Kenaikan harga rumah yang heboh di kalangan rakyat, adalah rentetan kesempitan rakyat yang bertambah selepas kenaikan harga minyak, kata Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu, berkata pasti pembekal bahan binaan dan pemaju terpaksa mengambil langkah menaikkan harga rumah, selain faktor pertambahan kos tenaga buruh.

Beliau juga percaya ada syarikat yang menaikkan harga demi kelangsungan perniagaan ataupun ‘tumpang sekaki’ mengambil kesempatan.

The Star yang memetik Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Datuk Seri Michael Yam Kong Choy, melaporkan peningkatan harga minyak dijangka turut menyumbang kepada peningkatan harga rumah sehingga 10 peratus.

Bagi mengelak masalah itu, Rafizi berkata, kerajaan perlu memotong subsidi kepada syarikat kroni sebelum meletakkan beban kewangan itu kepada rakyat.

“Potong subsidi korporat, kurangkan bayaran dan juga kurangkan insentif yang dibayar kepada syarikat besar, kebanyakan mereka ini kroni.

“Kecualilah kalau semua perkara ini sudah dibuat dan tidak ada pilihan, maka barulah kita boleh bercakap tentang harga minyak.

“Kalau tidak naikkan harga minyak tanpa kira berapa banyak wang dihabiskan untuk subsidi korporat, kesannya seperti yang berlaku sekarang (kenaikan harga),” katanya kepada TV Selangor.

Beliau berkata, kesukaran memiliki rumah menghantui golongan muda, aoatah lagi mereka dikejar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Betapa terpisahnya menteri dari realiti apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malik kata hanya 0.1 peratus sahaja harga barang akan naik.

“Tidak betul. Yang betul memahami keadaan adalah rakyat. Setiap kali harga minyak naik, rakyat merasai bebannya dengan semua harga barangan lain,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Harga rumah bakal naik 10%

rumahSHAH ALAM, 5 SEPT – Peningkatan harga minyak sebanyak 20 sen yang diumumkan kerajaan pada hari Isnin lalu dijangka akan turut menyumbang kepada peningkatan harga rumah sehingga 10 peratus.

Laporan The Star yang memetik kenyataan wakil pemaju perumahan menyebut, peningkatan harga minyak itu menyebabkan kos bahan binaan meningkat.

Selain itu, peningkatan harga rumah berkenaan juga berpunca dari kekurangan jumlah tenaga kerja asing ekoran operasi besar-besaran yang dijalankan kerajaan untuk membasmi pendatang asing tanpa izin.

Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Datuk Seri Michael Yam Kong Choy dalam laporan itu berkata, kontraktor akan memindahkan kos yang ditanggung akibat kelewatan projek berkenaan kepada pembeli.

?Operasi ke atas tapak pembinaan juga menakutkan pekerja asing yang sah,? katanya seperti dipetik dalam laporan itu,”katanya.

Beliau berkata golongan pekerja berkenaan akan ponteng kerja atau menangguhkan kepulangan mereka ke negara ini, sehinggalah operasi penguatkuasaan itu berakhir.

Menurutnya, pemaju terpaksa menanggung kos lebih tinggi untuk tenaga kerja untuk mengelakkan daripada didenda kerana tidak mengikut perjanjian.

Yam berkata pemaju berkenaan terpaksa membayar ganti rugi kepada pembeli rumah sekiranya projek tersebut lewat disiapkan.

Tambahnya, peningkatan harga minyak tersebut akan menjejaskan rangkaian bekalan melibatkan lebih 100 jenis perniagaan.- The Star.