Categories
NASIONAL

Bicara kes Najib-Irwan bermula 6 Januari 2020

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan selama 52 hari bermula 6 Januri 2020 untuk perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang menghadapi enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, dan Datuk K. Kumaraendran bertindak bagi pihak Mohd Irwan Serigar.

Bagi bulan Januari, Hakim Mohd Nazlan menetapkan tarikh 6-9 Januari, 20-23 Januari dan 27-30 Januari untuk perbicaraan.

Mahkamah juga menetapkan perbicaraan pada bulan Februari iaitu 3-6 Februari, 10-13 Februari, 17-20 Februari dan 24-27 Februari.

Pada bulan Mac pula, perbicaraan ditetapkan pada 2-5 Mac dan 9-12 Mac manakala bagi bulan April, tarikh bicara ditetapkan pada 6-9 April, 13-16 April, 20-23 April dan 27-30 April.

Terdahulu, Jamil memaklumkan kepada mahkamah bahawa tarikh perbicaraan kes itu yang ditetapkan sebelum ini dari 8 Julai ini hingga 22 Ogos dilapangkan oleh mahkamah.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan yang baharu,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan bagaimanapun berkata tarikh perbicaraan sebelum ini dilapangkan untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang sedang berlangsung.

Pada 7 Jan lepas, pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil 70 saksi bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib dan Mohd Irwan Serigar.

Pada 25 Okt lepas, Najib, 66, dan Mohd Irwan Serigar, 62, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan pecah amanah apabila kes itu disebut di Mahkamah Sesyen.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia masing-masing dalam kapasiti terbabit diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu sejumlah RM1.2 bilion milik kerajaan Malaysia melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta terbabit.

Bagi pertuduhan ketiga mereka dituduh secara bersama, atas kapasiti sebagai penjawat awam dan memegang jawatan yang sama, melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)”, milik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan kepada mereka.

Kedua-dua mereka juga dituduh secara bersama, atas jawatan yang sama telah melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka dituduh bersama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik kerajaan Malaysia.

Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jabatan Peguam Negara fail permohonan harta dirampas dari Najib, Rosmah dan 16 lagi

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Jabatan Peguam Negara telah menfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah buah kereta yang dirampas dari bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Notis usul itu difailkan semalam di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, di sini, menamakan pendakwa raya sebagai pemohon dan 18 individu serta syarikat selaku responden-responden.

Dalam notis usul itu Pendakwa Raya memohon suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi supaya disiarkan satu notis dalam warta di bawah Seksyen 61(2) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Daripada Aktiviti Haram 2001, bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut apa-apa kepentingan dalam harta yang dirampas daripada semua responden untuk hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan.

Ini bagi pihak ketiga menunjukkan sebab mengapa harta-harta itu tidak harus dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Pendakwa Raya menamakan Najib sebagai responden pertama diikuti Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib, Nooryana Najwa Mohd Najib, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Ng Chong Hwa, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan |Geh Choh Hun sebagai responden kedua hingga ke-18.

Pendakwa Raya juga memohon perintah lain yang difikirkan adil, munasabah oleh mahkamah.

Alasan permohonan itu adalah bahawa Pendakwa Raya bertindak mengikut kuasa-kuasa yang diberi di bawah Seksyen 56(1) dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah telah berpuas hati harta yang disita oleh pegawai penyiasat polis antara 17 Mei 2018 hingga 11 Mac 2019 adalah berhubung dengan pelakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) atau hasil daripada aktiviti haram melibatkan responden-responden.

Permohonan itu juga turut disokong oleh afidavit yang diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya dan dua pegawai penyiasat polis pada 6 Mei 2019.

Antara barangan yang disita itu ialah, 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, USD100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama (17 Mei 2018) ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dan apa-apa faedah ke atasnya turut disita dalam beberapa akaun di Bank Islam Malaysia Berhad, Al-Rajhi Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad, RHB Bank Berhad, Public Bank Berhad, AmBank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad antara 16 Ogos 2018 dan 11 Mac 2019.

Turut dirampas satu unit hartanah di Mukim Bandar Tanjong Bungah, Pulai Pinang milik responden ke-13 pada 17 Januari tahun ini.

Pendakwa Raya juga memfailkan notis usul sama terhadap Obyu Holding Sdn Bhd selaku responden tunggal bagi memohon perintah supaya disiarkan notis di bawah seksyen sama bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut harta yang disita daripada syarikat itu untuk menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak harus dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Antara yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 11,990 unit barang kemas, jam tangan 401 utas dan 16 unit aksesori jam tangan, cermin mata 234 unit dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi yang disita pada 31 Januari 2019.

Selain itu, sebuah hartanah di sebuah Daerah Kuala Lumpur turut disita pada 1 November 2018.

Semakan di mahkamah hari ini mendapati kes itu telah dibawa di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah.

Bagaimanapun, tarikh kes itu akan didengar di mahkamah mana belum ditetapkan lagi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pili kering, penduduk lepas geram pada ‘Bossku’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 APR: Bosan berhadapan masalah bekalan air kira-kira dua bulan, seorang penduduk Tasik Chini dekat Pekan menyalahkan ahli parlimennya Datuk Seri Najib Razak.

Penduduk itu menyeru bekas perdana menteri itu supaya tidak menyibuk di media sosial dengan aktiviti ‘bossku’ sehingga melupakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Dengan memuatkan foto-foto orang ramai menadah air dari lori tangki, Danif Mohamad sejak beberapa hari ini menyindir Najib yang didakwanya tidak mengambil berat masalah mereka.

“Lori [tangki] hantar air sampai ke malam. Chini ini di Mogadishu, tahu, bukan di Pekan. Malu-malu pula ‘bossku’. Sudah dua bulan menghadap masalah air ini,” coretnya di Facebook.

Melabel ahli parlimen Umno itu “tunggul”, penduduk itu menggesa “semua media buat liputan masalah air itu dengan harapan “biar dunia tahu hakikat sebenar!”

“Jangan hendak sibuk ‘bossku’ sahaja! Tularkan isu ini sahabat-sahabatku,” tulis Danif lagi di media sosial itu minggu lepas.

Ketika dihubungi SelangorKini hari ini, beliau menggesa penduduk Chini “lebih berani bersuara” agar pihak bertanggungjawab berusaha menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dilaporkan menafikan dakwaan gangguan bekalan air bersih di Gugusan Felda Chini sudah berlarutan sejak dua bulan lalu.

Seorang pegawainya berkata gangguan itu berlaku sejak awal Mac ekoran cuaca panas melampau yang mengakibatkan paras air Loji Rawatan Air (LRA) Chini susut.

Baru-baru ini, Sinar Harian juga melaporkan lori tangki bomba Pekan menghantar 20,000 liter air untuk penduduk Felda terbabit. Pada 8 Mac lalu, jabatan itu menghantar 60,000 liter air ke situ.

Semakan SelangorKini mendapati pengguna-pengguna Facebook di kawasan itu mengeluh di media sosial sejak minggu lepas susulan masalah yang berlarutan itu.

Foto Sumber: Facebook Danif Mohamad

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SRC: Najib gagal ketepikan tujuh pertuduhan

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan tujuh pertuduhan terhadapnya berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersetuju bahawa alasan pertuduhan terbabit cacat adalah tidak berasas.

Beliau juga berkata pertuduhan terhadap Najib tidak bersifat pendakwaan dua kali (double jeopardy) memandangkan setiap pertuduhan adalah berbeza dan sabitan hanya berlaku jika pihak pendakwaan membuktikan setiap pertuduhan.

“Pihak pendakwaan telah menyerahkan kesemua dokumen kepada pembelaan. Setakat ini, perbicaraan sudah berlangsung selama sembilan hari dan 21 saksi telah memberi keterangan dengan pemeriksaan balas yang ekstensif bersama-sama dokumen daripada saksi yang dibenarkan oleh mahkamah ini.

“Sukar untuk menerima tertuduh telah dikelirukan,” kata hakim.

Beliau juga berkata pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa adalah kesalahan-kesalahan yang berbeza dan tiada kependuaan.

“Sehubungan itu, permohonan ini ditolak,” katanya.

Pada 3 April, Najib memfailkan notis usul memohon mengetepikan tujuh pertuduhan terhadapnya atas alasan pertuduhan terbabit menyalahgunakan proses mahkamah serta defektif dari segi bentuk dan substans.

Mohd Nazlan pada hari sama menolak permohonan Najib agar notis usulnya didengar dahulu sebelum perbicaraan berlangsung.

Jumaat lepas, hakim menetapkan hari ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan itu selepas mendengar hujah peguam-peguam Najib – Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin – serta pendakwa raya ad hoc Datuk V. Sithambaram.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib tidak persoal transaksi bank

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memfailkan sebarang notifikasi kepada Ambank berhubung sebarang kesilapan, ketidakteraturan, percanggahan, pengeluaran tidak sah dan penipuan transaksi membabitkan akaun peribadi beliau dengan bank berkenaan.

Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa tiada rekod menunjukkan Najib mengambil sebarang tindakan terhadap bank berkenaan kerana melakukan transaksi yang salah atau tanpa kebenaran.

Saksi ke-21 itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Datuk V. Sithambaram pada hari kesembilan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib.

Sithambaram: “Sebagai pengurus, adakah anda menyedari atau membuat catatan sebarang pemberitahuan oleh Najib kepada Ambank memaklumkan apa-apa kesilapan, ketidakteraturan, percanggahan, pengeluaran tidak sah dan penipuan transaksi ?

Uma Devi: “Untuk pengetahun dan rekod saya, tiada”

Sithambaram: “Berdasarkan rekod anda, adakah sebarang aduan bertulis oleh Najib kepada bank?

Uma Devi : “Tiada​​​​​​​”

Sithambaram: “Najib telah memberikan mandat kepada Nik Faisal Ariff Kamil. Nik Faisal melakukan transaksi bagi pihak Najib?. Dia beri mandat kepada Nik Faisal untuk mengambil buku cek, penyata bank dalam tiga akaun?

Uma Devi : “Ya”​​​​​​​

Sithambaram: “Sebagai pengurus bank, adakah anda tahu jika sebarang tindakan perundangan diambil oleh Najib berhubung tiga akaun berkenaan ?

Uma Devi : “Saya tidak tahu”

Apabila ditanya apa tujuan bank mengeluarkan penyata akaun, beliau berkata ia adalah untuk pelanggan menyemak transaksi mereka secara bulanan dan jika ada sebarang ketidakteraturan, pelanggan boleh mengemukakan aduan kepada bank dalam tempoh 14 hari.

Beliau juga berkata keseluruhan transaksi diijalankan secara mandat sejak akaun itu dibuka pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada Mac 2015.

Terdahulu, saksi itu ditunjukkan empat surat mandat yang diberikan oleh Najib kepada Nik Faisal dan satu lagi surat dari Nik Faisal memperakui surat mandat berkenaan.

“Mandat ini adalah bagi Nik Faisal menjalankan transaksi perbankan, mengambil buku cek, penyata bank dan memberi arahan bertulis mengenai draf bank dan overdraf berhubung tiga akaun milik Najib,” katanya sambil menjelaskan mandat berkenaan kepada Nik Faisal belum ditarik balik.

Sementara itu, ketika diperiksa balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, saksi itu berkata sekumpulan pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah datang ke bank itu pada 6 Julai 2015 bagi mendapatkan beberapa dokumen.

“Saya membawa mereka ke bilik mesyuarat di tingkat sembilan dan saya diarah oleh oleh ketua saya untuk membantu mereka mendapatkan dokumen yang mereka mahukan. Pada masa itu, pegawai BNM telah membaca beberapa akta dan ketika itu saya tidak memahaminya,” kata Uma Devi.

Harvinderjit: “Adakah mereka beritahu anda bahawa mereka berada di situ untuk menyiasat akaun tertentu ?

Uma Devi : “Tidak”

Harvinderjit: “Pegawai BNM memberitahu anda bahawa mereka mahu menyiasat nama-nama tertentu ?

Uma Devi: “Ya. Nama tersebut ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd, Najib, Yayasan Gemilang dan juga 1MDB (1Malaysia Development Board). Saya hanya boleh ingat itu.

Bagaimanapun, beliau berkata[pegawai BNM tidak memaklumkan bahawa mereka mahu membekukan akaun itu.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali disambung jam 2.30 petang ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pengurus bank sahkan RM14.5 juta dimasukkan dalam akaun Najib

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat transaksi kemasukan wang berjumlah RM14.5 juta ke akaun AmPrivate Banking-Y1MY milik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak antara Julai 2014 dan 11 Februari 2015.

Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 40, ketika membacakan penyataan saksinya berkata wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun AmBank (AmPrivate Banking-Y1MY) bernombor 211-202-2011898 milik Najib.

“Saya mengesahkan sejumlah RM10 juta dimasukkan ke dalam akaun itu pada 8 Julai 2014, RM1 juta dimasukkan pada 23 Julai 2014 dan RM3.5 juta dimasukkan pada 11 Februari 2015,” katanya ketika diminta membuat pengesahan ke atas Penyata Akaun Ambank itu yang dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim.

Semalam Uma Devi mendedahkan sebanyak RM64 juta dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Banking-1MY milik Najib bernombor 211-202-201188-0 antara 8 Julai 2014 dan 10 Februari 2015.

Uma Devi, yang berkhidmat dengan Ambank sejak 5 Mac 2012, turut mengesahkan borang pembukaan akaun bagi akaun berkenaan atas nama Datuk Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak yang dibuka pada 31 Julai 2013 dan nama pemilik akaun diletak sebagai AmPrivate Banking-Y1MY sebagai nama utama dan diikuti oleh nama Datuk Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak.

Saksi ke-21 pendakwaan itu yang menyambung keterangannya hari ini terdapat juga surat arahan oleh Nik Faisal Ariff Kamil bertarikh 23 Jun 2014 bertajuk ‘Transfer Instruction’ dan mengesahkan bahawa itu adalah surat arahan kepada AmBank untuk memindahkan RM3 juta daripada akaun AmBank bernombor 211-202-201188-0 (Akaun AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib.

“Surat arahan ini turut mengarahkan AmBank untuk memasukkan RM1 juta daripada RM3 juta itu ke dalam akaun 211-202-2011898 dan baki RM2 juta dimasukkan ke akaun 211-202-201190-6 (Akaun AmPrivate Banking-Y1MY),” katanya pada hari kesembilan perbicaraan kes Najib, berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Uma Devi berkata terdapat juga surat arahan oleh Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd) bertarikh 8 Julai 2014 untuk memindahkan RM20 juta daripada akaun AmBank 211-202-201188-0 (Akaun AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib.

“Surat arahan itu turut mengarahkan AmBank untuk memasukkan RM10 juta daripada RM20 juta itu ke akaun Ambank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY),” katanya.

Saksi itu berkata terdapat transaksi pemindahan keluar wang daripada akaun Ambank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib antara Ogos 2014 dan 11 Februari 2015.

“Saya mengesahkan RM10 juta dipindah keluar pada 21 Ogos 2014, RM1 juta dipindah keluar pada 28 Ogos 2014 dan RM3,496,500.00 dipindah keluar pada 11 Februari 2015,” katanya.

Uma Devi turut mengesahkan terdapat surat arahan oleh Nik Faisal bertarikh 21 Ogos 2014 untuk memindahkan RM10 juta daripada Akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib.

“Surat arahan itu turut mengarahkan Ambank untuk memasukkan RM10 juta ke akaun AmBank bernombor 211-202-2011906 (AmPrivate Banking-Y1MY),” jelasnya.

Saksi itu juga mengesahkan terdapat surat arahan oleh individu sama bertarikh 28 Ogos 2014 kepada AmBank untuk memindahkan RM1 juta daripada akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib.

“Surat arahan itu turut mengarahkan AmBank untuk memasukkan RM1 juta ke akaun Ambank bernombor 211-202-2011906 (AmPrivate Banking-Y1MY),” katanya.

Beliau juga mengesahkan bahawa AmBank menerima surat arahan daripada Nik Faisal bertarikh 10 Februari 2015 untuk memindahkan RM3.5 juta daripada akaun AmBank bernombor 211-202-2011906 (AmPrivate Banking-Y1MY) ke akaun bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY).

“Saya mengesahkan bahawa baki dalam akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) sebelum kemasukan RM3.5 juta pada 11 Februari 2015 adalah RM120,083.08. Selepas kemasukan RM3.5 juta pada 11 Februari 2015, baki bagi akaun itu menjadi RM3,620.083.08,” jelasnya.

Saksi itu juga mengesahkan bahawa cek bernombor 000303 dengan nilai RM3.5 juta bertarikh 21 Januari 2015 dikeluarkan daripada akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib dan dimasukkan ke akaun CIMB Bank bernombor 8000642271 milik Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

“Saya juga mengesahkan bahawa cek Ambank bernombor 000303 didebit daripada akaun bernombor 211-202-2011898 pada 22 Januari 2015. Namun, jumlah yang silap telah dikredit ke akaun CIMB Bank itu di mana RM3,500 dipindahkan daripada akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) ke akaun CIMB berkenaan,” katanya.

Uma Devi berkata beliau dimaklumkan bahawa ‘Cheque Prosessing Centre Ambank’ mengambil tindakan pembetulan terhadap kesilapan memproses cek Ambank bernombor 000303.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat pastikan apa tindakan pembetulan yang dilakukan oleh pihak ‘Cheque Prosessing Centre Ambank’,” katanya.

Saksi itu juga mengesahkan terdapat surat daripada Najib kepada AmBank Berhad bertarikh 3 Mac 2015 untuk menutup ketiga-tiga akaun bernombor 2112022011880, 2112022011898 dan 2112022011906.

“Ketiga-tiga akaun itu ditutup pada 9 Mac 2015 dan baki ketiga-tiga akaun berkenaan dipindahkan ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd.

“Baki akaun bernombor 2112022011898 ketika ditutup adalah RM721.57, baki akaun bernombor 2112022011880 ketika ditutup adalah sebanyak RM690.11 dan baki akaun bernombor 2112022011906 ketika ditutup adalah RM101,952.14,” jelasnya.

Uma Devi turut mengesahkan bahawa baki ketiga-tiga akaun berkenaan iaitu sebanyak RM103,361.17 telah dipindahkan ke akaun Ihsan Perdana melalui satu cek AmBank bernombor 004836 bertarikh 9 Mac 2015.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Mahkamah larang muat naik prosiding Najib di media sosial

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melarang mana-mana pihak memuat naik atau berkongsi apa-apa video atau prosiding mahkamah dalam perbicaraan kes dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata transkripsi rakaman mahkamah (CRT) adalah untuk kegunaan mahkamah dan bukan untuk tatapan awam kerana sebarang komen atau ulasan yang diberikan, boleh prejudiskan kes itu.

“Sebarang bentuk rakaman tidak dibenarkan, bukan sahaja pautan video siaran langsung atau live streaming dan ini termasuk CRT. CRT untuk tujuan transkripsi bukan untuk dimuat naik.

“Saya harap pihak pembelaan dan pendakwaan, yang merupakan pegawai mahkamah agar mematuhi perkara ini. Saya juga mahu mengingatkan semua orang agar tidak membuat sebarang komen yang boleh prejudiskan perbicaraan kes ini dan boleh menimbulkan penghinaan terhadap mahkamah,” kata hakim.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon perintah mahkamah untuk menghalang pihak ketiga daripada memuat naik CRT tanpa kebenaran.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc Datuk V. Sithambaram memberitahu mahkamah video CRT itu telah dimuat naik di laman sosial Facebook minggu lepas.

Sithambaram menegaskan rakaman CRT itu hanya boleh diperoleh selepas menandatangani perjanjian iaitu tidak membekalkan rakaman itu kepada pihak lain, atau memuat naik ke mana-mana medium.

Beliau juga berkata CRT diberi kepada pihak pendakwaan dan pembelaan dengan janji ia adalah bagi kegunaan perbicaraan bagi memastikan nota keterangan adalah tepat.

“Kami memohon pihak pembelaan berjanji tidak akan menyerahkan CRT ini kepada mana-mana pihak ketiga. Orang awam dan netizen juga harus diberi amaran tidak memuat naik tanpa kebenaran mahkamah. Tindakan itu akan menjejaskan integriti mahkamah.

“Kami memohon perintah mahkamah untuk menghalang pihak ketiga daripada memuat naik CRT tanpa kebenaran,” katanya.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahnya menegaskan penyebaran rakaman prosiding mahkamah adalah amalan biasa di United Kingdom dan salinan video itu boleh diakses di arkib negara dan dalam talian.

“Ia adalah keistimewaan bagi pihak pelanggan. Saya perlu mengetahui apa yang berlaku.

“Saya agak terkejut, ketika kami memohon perintah larangan, mereka (pihak pendakwaan) telah membantah. Sekiranya permohonan kami dibenarkan, masalah ini tidak akan timbul. Pihak pendakwaan yang telah membantah untuk perintah larangan itu dan sekarang mereka pula, “siapa yang makan cabai, dia terasa pedas”.

“Kami mahu perbicaraan ini disiarkan secara langsung. Ia (video yang dimuat naik ini) tidak memudaratkan sesiapa. Kita sepatutnya mengadakan prosiding secara langsung seperti perbicaraan kes OJ Simpson untuk ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pada Sabtu, video berdurasi dua minit dan 12 saat bertajuk, Hari Kelima Perbicaraan Datuk Seri Najib memaparkan rakaman prosiding peguam Najib, Muhammad Shafee menyoal balas saksi yang viral di media sosial.

Difahamkan rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas Pegawai Khas Najib, Isham Jalil, pada kelmarin, yang telah ditonton 227,000 kali dan dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook yang mendapat lebih 1,900 komen.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu dipercayai sedutan prosiding pada hari kelima perbicaraan Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Semalam, polis membuka siasatan berhubung penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata siasatan kes dibuat susulan satu laporan polis, di Balai Polis Batu 9, Cheras.

“Siasatan dibuka di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pasukan pembela Najib gagal gugur saksi keenam pendakwa

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan kelayakan saksi keenam daripada memberi keterangan pada perbicaraan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa keterangan Zulkarnain Mohamad adalah relevan kerana berkaitan dengan tujuh pertuduhan yang dihadapi oleh Najib.

Terdahulu, selepas Zulkarnain, pereka dalaman ABS Trend Master Sdn Bhd mengangkat sumpah untuk memberi keterangan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pembelaan, membuat permohonan secara lisan untuk menggugurkan kelayakan saksi itu daripada memberi keterangan dengan alasan keterangan saksi itu tidak berkaitan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya.

“Kami (pasukan pembela) perlu membangkitkan perkara ini sebelum saksi mula memberi keterangan. Keterangannya tidak berkaitan dengan pertuduhan kerana anak guam saya dituduh menerima wang dan bukannya membelanjakan wang,” kata beliau.

Pasukan pendakwaan hyang diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas berhujah bahawa keterangan Zulkarnain mungkin menunjukkan jejak transaksi pengubahan wang haram dari segi menerima hasil daripada kegiatan haram.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berhujah bahawa keterangan sasi keenam adalah perlu bagi kes pihak pendakwaan bagi tujuan mengetahui jejak pengaliran wang oleh tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoz, Datuk V.Sithambaram pula berhujah bahawa pihak pendakwaan memanggil saksi tersebut untuk membuktikan unsur-unsur pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh

“Itulah sebabnya saksi tersebut dipanggil. Mahkamah tidak boleh menolak buktinya tanpa mendengar keterangan itu terlebih dahulu, kerana ia terlalu awal pada peringkat ini,” kata beliau.

Pada pembukaan prosiding tengah hari, pihak pendakwaan sekali lagi membuat permohonan lisan untuk prosiding esok ditangguhkan kerana anggota-anggota pasukan pendakwaan perlu menghadiri mesyuarat mengenai pemisahan kuasa antara pejabat peguam negara dan pendakwa raya.

Muhammad Shafee kemudian bersetuju dengan cadangan itu sambil berkata anggota pasukan pembelaan juga perlu menghadiri mesyuarat penting.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan kedua-dua permohonan itu dan menangguhkan prosiding esok sehingga isnin, 22 April pada 9 pagi.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peguam Najib minta laporan pengesahan transaksi cek

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dibicarakan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini, meminta saksi kelima pendakwaan mengemukakan laporan pengesahan berkaitan transaksi cek yang terdapat dalam sistem perbankan Ambank cawangan Jalan Raja Chulan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Harvinderjit Singh yang mewakili Najib selepas pendakwaan tidak membantah.

Terdahulu, Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek Ambank cawangan Jalan Raja Chulan Badrul Hisam Mohamad berkata beliau boleh mengemukakan laporan itu ketika diminta berbuat demikian oleh Harvinderjit.

Harvinderjit: Bolehkah anda memeriksa data anda untuk mengesahkan sama ada maklumat dalam akaun ini betul atau tidak?

Badrul Hisam: Boleh

Hakim: Jadi, anda mahu beliau datang dan mengemukakan laporan itu kepada mahkamah?

Harvinderjit: Ya.

Sebelum itu, Harvinderjit merujuk beberapa cek kepada saksi bagi mendapatkan pengesahan berkaitan kesahihan butirannya, termasuk nama penerima, tarikh dan nombor akaun.

Terdahulu, Badrul Hisam bersetuju dengan Havinderjit bahawa setiap cek perlu diperiksa terlebih dahulu untuk menentukan sama ada ia sudah ditunaikan atau sebaliknya.

Beliau berkata jika terdapat cek yang ditolak, pihak bank akan mengeluarkan notis kepada pengeluar cek (bank).

“Urusan itu akan dibuat oleh pengurus bank dengan bahagian pemprosesan cek untuk menyelesaikan perkara itu. Kemudian pengurus bank akan memberitahu pemegang akaun berhubung penolakan cek,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung petang ini. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saksi dedah Umno terima wang dari akaun Najib

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dan Umno Bahagian Johor Bharu menerima pembayaran melalui cek masing-masing berjumlah RM1 juta dan RM300,000 daripada akaun Ambank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2015.

Pengurus Kanan Pusat Pemprosesan Cek Ambank, Badrul Hisam Mohamad, 45, berkata kesemua cek itu telah berjaya ditunaikan berdasarkan kepada maklumat yang lengkap dan mengesahkan tiada kesalahan terdapat pada kesemua cek berkenaan.

Katanya, kedua-dua transaksi itu dikeluarkan melalui cek daripada akaun AmIslamic bernombor 2022011906.

Melalui pertuduhan pengubahan wang haram, dinyatakan bahawa nombor akaun 2022011906 adalah milik bekas perdana menteri itu.

Badrul Hisam, yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang pemprosesan cek turut mengesahkan sebuah parti dari Sabah iaitu UPKO juga menerima pembayaran melalui cek bernilai RM1 juta manakala Trustee of Rumah Penyayang Tun Abdul Razak menerima bayaran RM400,000 melalui cek daripada akaun sama.

Semasa pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi meminta saksi itu membuat pengesahan ke atas kesemua cek berkenaan pada hari kelima perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Selain itu, Badrul Hisam juga mengesahkan sebanyak 13 lagi cek telah dikeluarkan daripada akaun AmIslamic Bank bernombor 2022011906 (akaun Najib) kepada beberapa individu dan syarikat.

Saksi pendakwaan kelima itu mengesahkan juga pengeluaran cek dari akaun yang sama berjumlah RM240,000 kepada Syarikat Vital Spire Sdn Bhd; Zulqarnain & Co. berjumlah RM2.5 juta; Centre of Strategic Engagement Sdn Bhd sebanyak RM300,000, sejumlah RM238,914 kepada penerima bernama Lim Soon Peng; ABS Trend Master Sdn Bhd berjumlah RM100,000; Solar Dhine Sdn Bhd (RM1 juta); Asmadi Abu Talip (RM50,000); Manisah Othman (RM13,800); MOZ Malaysia Sdn Bhd (RM56,500) dan Syadilah Enterprise (RM77,300) antara 30 Jan dan 26 Feb 2015.

Badrul Hisam turut mengesahkan sekeping cek berjumlah RM3.5 juta telah dimasukkan ke dalam akaun penerima atas nama Hafarizam Wan & Aisha Mubarak melalui akaun bernombor 2022011898 pada 21 Jan 2015.

Beliau juga turut mengesahkan dua keping cek dikeluarkan oleh syarikat SRC International Sdn Bhd melalui dua transaksi kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd, masing-masing berjumlah RM20 juta dan RM103,361.17 pada 12 Dis 2014 dan 9 Mac 2015.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

BNM siasat 12 akaun termasuk milik Najib

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa serbuan di Ambank Jalan Raja Chulan dijalankan berhubung dengan transaksi dan akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, berkait dengan dakwaan pelanggaran Bahagian IV Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFUA).

Ahmad Farhan Sharifuddin, 32, pengurus Jabatan Risikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM) berkata beliau menerima arahan daripada pegawai atasannya Abd Rahman Abu Bakar bagi pasukannya menjalankan serbuan di Ambank pada 6 Julai 2015.

Beliau turut mengesahkan bahawa serbuan oleh BNM di Ambank Jalan Raja Chulan bertujuan membantu siasatan oleh pasukan petugas pada tahun 2015 berkaitan dengan akaun serta transaksi 1MDB dan Najib berhubung dakwaan pelanggaran Bahagian IV AMLATFUA.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, saksi pihak pendakwaan itu berkata beliau menerima arahan pada malam sebelum 6 Julai 2015 dan beliau turut diarah datang ke pejabat lebih awal pada 6 Julai.

Harvinderjit : Apa arahan yang anda terima daripada Abd Rahman?

Ahmad Farhan : Menyiasat transaksi serta akaun bank milik Datuk Seri Najib yang didakwa melanggar Bahagian IV AMLATFUA.

Harvinderjit : Menyiasat akaun dan transaksi 1MDB?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : SRC International Sdn Bhd?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : Gandingan Mentari Sdn Bhd?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : Ihsan Perdana Sdn Bhd?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : Anda menjalankan serbuan, semua sekali 12 akaun, termasuk akaun simpanan Datuk Seri Najib.

Ahmad Farhan : Ya

Saksi itu berkata tiga pasukan menjalankan serbuan itu pada hari yang sama, tapi di tingkat berlainan di bangunan Ambank itu.

Ditanya oleh peguam sekiranya beliau dia sedar kewujudan pelbagai agensi dalam pasukan petugas yang diwujudkan pada tahun 2015 itu, beliau berkata mereka terdiri daripada pasukan polis, BNM, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun beliau tidak kenal semua anggota pasukan itu, kecuali bekas ketuanya Sri Zeti Aziz.

“Pada 2015, anda berumur 28 tahun dan baru menyertai BNM kira-kira tiga setengah tahun, tapi dminta menyiasat akaun bank milik Perdana Menteri, tentu anda amat teruja, kan? Ia saat tidak boleh dilupakan?” tanya Harvindenjit yang membuatkan saksi menjawab “Ya”.

Semasa memberi penjelasan mengenai serbuan itu, katanya beliau dan pasukannya bergerak terus ke Tingkat 24 bangunan Ambank dan menemui pengurus kerjasama bank Joanna Yu dan memberitahunya bahawa pasukan itu telah menjalankan siasatan sekali lagi keatas Najib, SRC, 1MDM dan lain-lain syarikat yang didakwa melanggar Bahagian IV AMLATFUA.

Katanya beliau sebelum ini beliau pernah menemui Joanna pada bulan Mei dan Jun 2015 bagi merekodkan kenyataan berhubung siasatan yang sama.

Harvinderjit : Adakah anda merampas sebarang alat elektronik seperti komputer, telefon bimbit Blackberry daripada Joanne Yu?

Ahmad Farhan : Saya tidak ingat.

Harvinderjit : Adakah anda tahu mengenai perbualan telefon Blackberry antara Joanna Yu dan Jho Taek Low atau “Jho Low”?

Ahmad Farhan : Saya tidak tahu.

Harvinderjit : Adakah anda tahu ada komunikasi menerusi email antara Joanna dan pemilik akaun seperti Datuk Seri Najib berhubung transaksi?

Ahmad Farhan : Saya tidak ingat.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kes Najib tegang, peguam pertikai pendakwa

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Perbicaraan hari keempat kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd menjadi tegang selepas pembelaan mempertikai kaedah pemeriksaan semula oleh pendakwaan.

Semasa pemeriksaan semula saksi kedua pendakwaan, Pengurus Bank Negara Malaysia Azizul Adzani Abdul Ghafar, peguam Harvinderjit Singh berkata pendakwaan hanya perlu menyoal perkara yang dibangkitkan semasa pemeriksaan balas.

“Ini adalah pemeriksaan semula… mungkin rakan saya yang bijaksana perlu merujuk kepada soalan dan jawapan,” katanya.

Pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas bangun dan berkata setiap orang memiliki gaya tersendiri ketika menjalankan pemeriksaan utama, pemeriksaan balas atau pemeriksaan semula.

“Kami tidak perlukan pembelaan untuk mengajar kami. Kami tidak perlukan peguam bela untuk mencadangkan kaedah pemeriksaan semula.

“Kami telah mendengar pemeriksaan balas sehingga lima jam. Kami beri ruang kepada beliau (Harvinderjit)…Tak bolehkah berikan ruang yang sama (kepada pendakwaan)?

“Gaya pemeriksaan oleh setiap peguam adalah berbeza. Saya telah melakukan perbicaraan selama 42 tahun,” katanya.

Harvinderjit: Saya tidak mencadangkan sebarang gaya pemeriksaan tertentu kepada pendakwa raya.

“Cara DPP mengemukakan soalan adalah seperti meletakkan kata-kata dalam mulut saksi,” katanya

Harvinderjit juga berkata ini bukan soal pengalaman, sebaliknya menurut Seksyen 138 subseksyen 3 Akta Keterangan 1950, pemeriksaan semula hendaklah ditumpukan kepada penjelasan berhubung perkara-perkara yang disentuh dalam pemeriksaan balas.

“Ini bukan soal masa, Yang Arif. Perlu ada konteks, sama ada soalan spesifik,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata “sebut sahaja perkara yang anda ingin periksa semula.”

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.
-BERNAMA