Categories
AGENDA NASIONAL

Najib terkejut wang RM42 juta masuk akaun peribadi hanya drama

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Reaksi Datuk Seri Najib Tun Razak yang terkejut apabila mengetahui wang berjumlah RM42 juta dimasukkan ke akaun peribadinya hanyalah satu ‘drama’, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk V Sithambaram menyifatkan reaksi bekas Perdana Menteri itu sebagai berdrama kerana beliau tidak mengambil sebarang tindakan perundangan berhubung perkara itu.

Sithambaram berhujah demikian berhubung keterangan saksi pendakwaan ke-37, Pengarah Urusan Ihsan Perdana Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan saksi pendakwaan ke-49, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling bahawa Najib ‘terkejut’ apabila diberitahu seseorang telah memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya.

“Tertuduh, jika beliau tidak bersalah berhubung wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaunnya ini, sepatutnya telah menyaman pihak bank kerana telah mendepositkan wang yang menyalahi undang-undang, memungkinkan akaunnya telah digunakan untuk pengubahan wang haram.

“Rasa terkejut yang dialami tertuduh selepas mengetahui wang RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadinya secara salah, sepatutnya diterjemah dengan membuat laporan polis untuk memperlihatkan kemarahannya terhadap wang yang bukan dalam pengetahuannnya itu.

“Tidak ada Perdana Menteri yang tidak mahu membuat laporan polis jika mengetahui mengenai transaksi itu,” katanya dalam hujahan di akhir kes pendakwaan.

Sithambaran berkata, kegagalan Najib untuk mengambil sebarang tindakan mudah berhubung kemasukan wang itu, memperlihatkan beliau tidak bersalah, adalah tidak benar.

“Oleh itu, tindakan tertuduh itu adalah luar biasa bagi seseorang yang akaunnya mungkin telah digunakan untuk kegiatan jenayah, melainkan tertuduh menyedari jenayah itu dan takut sebarang laporan polis akan mendedahkan kesalahannya,” katanya.

“Apabila wang masuk ke dalam akaun, semua berasa gembira. Hari ini menakjubkan, Yang Arif, begitu banyak drama di dalam mahkamah ini…tetapi apabila wang dimasukkan ke dalam akaun, tiada tindakan diambil, semua gembira sehingga perbicaraan bermula,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan dua hari bermula hari ini untuk hujahan kes pendakwaan.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Pendengaran lucut hak harta FORT 26 November

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT) bersetuju untuk melucutkan hak ke atas wang RM407,011.46 yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh memaklumkan mahkamah bahawa tiada peguam atau wakil daripada pihak yayasan hadir hari ini.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran pewartaan dan notis pihak ketiga telah disiarkan pada 10 September lepas.

“Pada 9 Julai lalu pihak yayasan telah menghantar surat kepada Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu persetujuan untuk melucut hak harta itu,” katanya di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff.

Bagaimanapun, Hakim Rozana berkata, beliau mahu wakil daripada pihak yayasan hadir pada prosiding kes itu dan menetapkan 26 November bagi pendengaran permohonan melucut hak wang itu.

Sementara itu, bagi kes lain, peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor memberitahu media bahawa Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 6 Disember untuk pendengaran permohonan pendakwaan bagi meminda notis usul lucut hak wang daripada badan itu.

“Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis pada 2 Disember ini,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Nik Haslinie Hashim.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM677,872.55 yang disita SPRM tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pihak pendakwaan menfailkan notis usul bagi memohon melucut hak ke atas wang yang disita daripada kedua-dua entiti itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low bertindak sebagai ‘consigliere’ Najib

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low bertindak sebagai ‘consigliere’ atau penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrol Azral, 49, menggambarkan Jho Low sebagai ‘consigliere’, perkataan Itali yang maknanya dalam kamus Merriam-Webster sebagai “seseorang yang menjadi penasihat atau kaunselor kepada ketua organisasi jenayah”.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas perdana menteri berkenaan melibatkan dana 1MDB.

Semasa disoal Muhammad Shafee sama ada Jho Low mewakili Sultan Mizan Zainal Abidin (Yang di-Pertuan Agong ketika itu) atau Najib dalam hal ehwal Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Shahrol Azral, berkata Jho Low mewakili Najib pada masa itu.

Muhammad Shafee: Sebagai apa?

Shahrol Azral: Sebagaimana dalam perkataan Itali? Consigliere. Dia (Jho Low) adalah orang yang memastikan segalanya berjalan lancar untuk Najib.

Muhammad Shafee: Sebagai apa? Perdana Menteri atau Menteri Kewangan?

Shahrol Azral: Sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan pemegang saham khas TIA, yang kemudiannya dinamakan sebagai 1MDB.

Muhammad Shafee: Sebagai CEO, kamu ini seolah-olah apa yang dikatakan oleh orang Itali sebagai ‘soprammobile’ atau hiasan meja, hanya untuk hiasan. Kamu setuju?

Shahrol Azral: Tidak setuju.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengerusi LV antara empat tokoh dalam Lembaga Penasihat 1MDB

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Empat tokoh terkenal di peringkat antarabangsa termasuk Pengerusi dan Ketua Eksekutif LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton SE, Bernard Arnault telah dicadangkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Teak Jho atau Jho Low untuk menganggotai Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa selain Arnault, tokoh lain yang dinamakan Jho Low ialah Hamad bin Jassim bin Jaber Al Thani (Perdana Menteri Qatar ketika itu), Pengerusi CITIC Group of China Chang Zhenming, dan CEO Mubadala Khaldoon Al Mubarak.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu membabitkan dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Semua nama ini dicadangkan oleh Jho Low?

Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee: Semua empat nama penasihat antarabangsa dalam BOA. Tidak ada seorang pun daripada mereka menghadiri mesyuarat?

Shahrol Azral: Ya.

Saksi itu menjelaskan bahawa agak sukar untuk mendapatkan mereka semua bertemu di satu tempat.

Shahrol Azral, 49, berkata surat perlantikan kepada BOA telah dihantar kepada tokoh-tokoh ini termasuk Arnault yang beliau sendiri temui di Paris untuk menyampaikan surat pelantikan.

Beliau berkata, Arnault secara lisan menerima pelantikannya manakala Chang menjawab dengan surat penerimaan.

Semasa Muhammad Shafee bertanya mengenai rasionalnya di sebalik pelantikan tokoh-tokoh tersebut seperti Arnault, yang terkenal dalam perniagaan fesyen, Shahrol Azral berkata beliau merupakan antara ahli perniagaan terbaik dunia ketika itu.

“Bernard Arnault merupakan antara ahli perniagaan utama dunia. Saya rasa itu cukup untuk menjadi alasan. Saya ingat beliau antara lima orang terkaya,” katanya.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hutang 1MDB RM30 bilion ditanggung MoF, kerajaan

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berada dalam keadaan berhutang berjumlah RM30 bilion yang ditanggung oleh Kementerian Kewangan (MoF) dan Kerajaan Persekutuan.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dari 2009 sehingga peletakan jawatannya pada Mac 2013 berkata demikian apabila menjawab soalan tambahan oleh pendakwa utama Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-16 perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan dana 1MDB.

Sri Ram: Oleh itu, semasa anda meninggalkan 1MDB, apakah jumlah hutang 1MDB? Shahrol Azral menjawab kira-kira RM30 bilion.

Sri Ram: Dan untuk RM30 bilion itu, yang diterima oleh 1MDB ialah satu pembayaran untuk nota Murabahah, Shahrol Azral menjawab, ya, pada tahun 2010.

Sri Ram: Anda bersama 1MDB dari 2009 hingga 2013. Siapa yang menanggung RM30 bilion itu?

Shahrol Azral: MoF (Kementerian Kewangan), Kerajaan Malaysia, kerana 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Saksi pendakwaan kesembilan itu mengatakan hutang-hutang itu termasuk bon RM5 bilion yang dikeluarkan oleh syarikat yang dijamin oleh Kementerian Kewangan, dan bon berikutnya berjumlah AS$3.5 bilion jaminan bersama oleh International Investment Co Petroleum (IPIC) dan MoF.

Mengenai jaminan bersama, Shahrol Azral berkata jika berlaku keingkaran, 1MDB sepatutnya membayar terlebih dahulu dan sekiranya tidak dapat membayar, pemegang bon boleh pergi kepada jaminan IPIC.

Ditanya oleh Sri Ram di mana IPIC akan mendapat wang dari? Saksi itu menjawab, ia akan mendapatkannya daripada MoF, induk kepada 1MDB.

Sri Ram: Adakah anda sedar bahawa IPIC membuat tuntutan?

Shahrol Azral: Ya, kami telah diberi taklimat dalam salah satu mesyuarat lembaga. Ia sama ada 2015 atau 2016 semasa saya masih dalam lembaga.

Kepada soalan sama ada saksi telah menarik balik notis abritasi yang dikeluarkan oleh IPIC, Shahrol Azral menjawab, “Ya, lembaga itu juga diberi taklimat mengenai perkara ini. Walau bagaimanapun, saya tidak boleh ingat tarikh mesyuarat “.

Sri Ram: Pada masa yang anda tinggalkan 1MDB pada bulan Mac 2013, apakah masalah IPIC telah diselesaikan?

Shahrol Azral: Apabila saya meninggalkan lembaga pada 2016, perkara itu belum diselesaikan. Tetapi masalah sudah berbangkit.

Ditanya oleh Sri Ram sama ada tertuduh (Najib) mengambil sebarang langkah untuk menangani masalah itu, saksi utama pendakwaan menjawab “Tiada pada pengetahuan peribadinya kecuali apa yang diberi taklimat kepada lembaga oleh Arul Kanda Kandasamy (CEO 1MDB)”

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari, 2011 dan 19 Disember, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah disambung Isnin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib lulus pinjaman AS$1.225 bilion 1MEHL

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad Energy Holdings Limited (1MEHL) pernah diberi kelulusan oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB untuk membuat pinjaman dengan Deutsche Bank AG sebanyak AS$1.225 billion pada 2014.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata pinjaman pertama sebanyak AS$250 juta pada 22 Mei 2014 dan AS$975 juta pada 21 Ogos 2014 adalah bertujuan untuk pembayaran penamatan ‘Aabar Option’.

Kelulusan untuk membuat pinjaman ini turut diluluskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemegang saham 1MDB dan juga sebagai Menteri Kewangan Diperbadankan.

Katanya, ini kerana setiap urusan 1MDB yang melibatkan kepentingan kewangan perlu mendapatkan kelulusan daripada Najib dahulu.

Shahrol Azral berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini pada hari ke-16 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Ketika menjelaskan mengenai ‘Option Aabar’, saksi pendakwaan kesembilan berkata beliau difahamkan pihak 1MDB dalam cadangan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) 1MDB Energy Group di dalam Bursa Malaysia.

“Ia dikenali sebagai Option Buy Back iaitu proses untuk menebus semula “Aabar Options” ketika proses pembelian pengeluar tenaga bebas (IPP) pada 2012 dahulu sebagaimana yang dimeterai oleh 1MDB dengan Aabar iaitu di dalam Option Agreement.

“Penebusan Aabar Options ini dibuat melalui anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited,” kata Shahrol Azral.

Bagaimanapun, saksi penting pendakwaan itu berkata beliau tidak terlibat dalam proses berkenaan kerana pada Mac 2013 beliau telah dipindahkan ke unit Pemandu dan tidak lagi menjawat jawatan sebagai CEO 1MDB.

“Walaubagaimanapun, saya telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB. Cuma ketika mesyuarat BOD 1MDB berlangsung, apabila terdapat isu atau keperluan membuat keputusan berkaitan sektor tenaga di 1MDB, saya menarik diri dari mesyuarat bagi mengelakkan konflik kepentingan dengan jawatan saya di Pemandu,” katanya.

Terdahulu, saksi mengesahkan dokumen bertajuk ‘letter of approval dan support (LOS)’ daripada Najib selaku Menteri Kewangan bertarikh 29 Ogos 2014, bagi pinjaman AS$250 juta dan AS$975 juta yang diambil bagi proses IPO 1MDB Energy Group di dalam Bursa Malaysia.

Menyentuh mengenai pembukaan akaun bank 1MDB Energy Holdings Limited di Falcon Private Bank, Hong Kong pada 9 Oktober 2012, saksi berkata bank itu dipilih oleh pengarah 1MDB Terence Geh dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Tetapi saya tidak mempersoalkan kenapa mereka memilih bank ini dan apa tujuan utama akaun ini dibuka di sini cuma apa yang saya tahu bank ini dimiliki oleh Aabar dan ini mungkin akan memudahkan lagi urusan 1MDB Energy Holdings Limited dengan pihak Falcon Private Bank Limited nanti,” katanya.

Ketika ditanya Sri Ram, apakah tujuan akaun itu dibuka di Falcon Private Bank Limited, Shahrol Azral berkata beliau tidak ingat.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari, 2011 dan 19 Disember, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas CEO syak diarah keluar 1MDB kerana kurang senang transaksi kewangan

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengesyaki bahawa beliau dikeluarkan daripada 1MDB pada 2013 kerana beliau banyak menzahirkan perasaan kurang senangnya terhadap transaksi-transaksi kewangan yang semuanya dilakukan dengan cepat.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, mendedahkan perkara itu ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini pada hari ke-16 perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram

Beliau yang dilantik sebagai CEO Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) pada 23 Mac 2009, dan selepas itu CEO 1MDB telah diarahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) pada 15 Mac 2013, di mana unit itu terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

TIA ditukar nama kepada 1MDB pada 25 September 2009.

“Saya mengesyaki yang saya dikeluarkan dari 1MDB kerana pada masa itu saya banyak menzahirkan perasaan kurang senang saya terhadap transaksi-transaksi kewangan yang semuanya dilakukan dengan cepat.

“Walaubagaimanapun saya masih dalam lembaga pengarah 1MDB pada masa itu, dengan alasan diberikan oleh Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho) untuk manage optics,” kata saksi itu.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, selepas kecoh isu 1MDB pada 2015 dan 2016, Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB dengan sebulat suara membuat cadangan kepada Najib untuk resign tetapi mereka diarahkan untuk stay sebagai BOD, sehingga (BOD) baru dilantik pada 2016.

Ketika ditanya Sri Ram, adakah BOD baru digantikan pada 2016, saksi berkata “Ya”.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari, 2011 dan 19 Disember, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usahasama 1MDB GIL-ADMIC dimuktamad dalam dua bulan

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Cadangan usahasama antara 1Malaysia Development Berhad Global Investments Limited (1MDB GIL) dan syarikat Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC) berjumlah AS$6 bilion dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata beliau yakin bahawa kesemuanya memang telah diatur dan dikehendaki dengan sangat cepat.

“Cadangan usahasama AS$6 bilion hanya diutarakan pada pertengahan Januari, namun lebih kurang dalam tempoh dua bulan segalanya telah berjaya dimuktamadkan termasuklah pengeluaran LOS (Letter of Support) oleh MOF, perbincangan dengan Abu Dhabi, penubuhan ADMIC, penubuhan 1MDB GIL dan banyak lagi.

“Pengumpulan dana juga telah berjaya diperoleh sebanyak AS$3 bilion pada 19 Mac 2013 ke dalam akaun 1MDB GIL. Pada saya, ia sememangnya suatu yang tidak mustahil dan bukan melalui prosedur normal.

“Antara sebab lain saya mengatakan ia telah diatur dan dikehendaki dengan sangat cepat ialah, apabila cadangan usahasama dengan Aabar Investment PJS (Aabar) yang diluluskan pada DCR 8A/2013 (Director’s Circular Resolution) tersebut telah dijadikan pelan sokongan (kerana due diligence terhadap real property asset mengambil masa yang lama).

“Ia telah dijadikan pelan sokongan supaya sekiranya pengumpulan dana sebanyak AS$6 bilion ini tidak berjaya (LOS tidak dapat diperoleh) maka mereka akan meneruskan dengan usahasama seperti dalam DCR 8A/2013,” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata ini menunjukkan bahawa mereka langsung tidak mahu membuang masa dan akan mencuba segala kemungkinan yang ada bagi menjayakan pengumpulan dana tersebut melalui cara yang paling pantas.

“Selain itu, lagi satu sebab ialah apabila DCR 12/2013 1MDB telah ditarikhkan pada 12 Mac 2013, kemudian perjanjian dengan Abu Dhabi juga pada Februari 2013 dan DCR 1/2013 1MDB GIL juga bertarikh 12 Mac 2013.

“Ia kelihatan seperti semuanya telah disahkan melalui kesemua dokumen dan prosedur-prosedur tersebut walaupun ia adalah satu yang hampir mustahil untuk kesemuanya dilakukan pada tarikh yang sama,” katanya semasa membacakan penyataan saksinya setebal 270 muka surat pada hari ke-16 perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1MDB.

Beliau berkata pada masa itu, lawatan Crown Prince Abu Dhabi juga diaturcara oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebagai salah satu aktiviti sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) dan untuk memberi keyakinan kepada pelabur dan rakyat Malaysia bahawa ia adalah satu projek yang benar-benar berlaku.

Shahrol Azral berkata, apabila melihat dari kesemua gerak kerja dan apa yang telah berlaku, ia dengan pasti menunjukkan seperti kesemua aturan itu akan merumuskan kepada satu objektif yang beliau tidak pasti.

“Walau bagaimanapun, fakta bahawa Jho Low beritahu saya bahawa pengumpulan dana itu akan memberikan satu impak besar dalam PRU, merupakan satu yang sangat masuk akal dan konsisten memandangkan PRU juga adalah pada tahun yang sama,” katanya.

Ketika dirujuk kepada dokumen berhubung pendaftaran Malaysian Abu Dhabi Investment Company (MADIC) yang telah didaftarkan pada 5 Mac 2013 oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi itu berkata beliau pernah melihat dokumen itu.

Katanya, dokumen itu menjelaskan penukaran nama syarikat tersebut kepada Abu Dhabi Malaysia Investment Company Limited (ADMIC) pada 12 Mac 2013.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB GIL terbit bon AS$3 bilion dengan sokongan Najib

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad Global Investments Limited (1MDB GIL) telah menerbitkan bon berjumlah AS$3 bilion dengan sokongan Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam syarikat Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC) sedangkan syarikat itu tidak beroperasi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, selepas terbitan bon AS$3 bilion oleh 1MDB GIL, tidak ada sebarang urusan oleh ADMIC dan tidak ada apa-apa suntikan dana ke dalam ADMIC seperti rancangan awal.

“ADMIC dicetuskan oleh Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) kononnya untuk menjadi ‘special purpose vehicle’ (SPV) kepada usahasama Project Catalyze. Semua telah digariskan dalam pelan perancangan Jho Low kepada saya melalui emel sulit. Manakala, Jasmine Loo (peguam 1MDB) akan menguruskan penubuhan ADMIC sepertimana arahan Jho Low.

“ADMIC sebenarnya tidak aktif dan ia tidak dilaksanakan sepertimana yang dicadangkan. Saya terpaksa melaksanakan arahan Jho Low kerana ia adalah mandat dan kehendak Datuk Seri Najib,” katanya yang turut memaklumkan cadangan usahasama 1MDB dan Aabar Investment PJS (Aabar) melalui ADMIC langsung tidak dilaksanakan sepertimana yang dibentangkan kepada Kementerian Kewangan sehingga berjaya menerima terbitan dana sebanyak AS$3 bilion.

Shahrol Azral berkata, ia merupakan perancangan Jho Low, namun tanpa sokongan Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Najib, maka ‘Letter of Support’ tidak akan dikeluarkan, seterusnya terbitan dana tersebut tidak akan diperoleh.

Shahrol Azral ketika merujuk dokumen ‘Joint Venture Agreement Relating to ADMIC by Aabar and 1MDB” bertarikh 12 Mac 2013, berkata dokumen itu merupakan perjanjian berhubung penubuhan ADMIC iaitu syarikat SPV bagi tujuan usahasama 1MDB dengan Aabar Investment PJS, yang telah ditandatangani pada 12 Mac 2013 di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di antara wakil 1MDB, Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin dan Pengerusi Aabar, Khadem Al Qubaisi.

“Saya juga hadir sebagai saksi dan telah menandatangani perjanjian ini di ruangan saksi sebagai CEO 1MDB. Saya sahkan perjanjian ini adalah merupakan satu bentuk kesefahaman yang mana setiap pihak perlu menyuntik dana sebanyak AS$3 bilion ke dalam syarikat ADMIC ini.

“Maka dengan itulah, 1MDB GIL iaitu anak syarikat 1MDB telah menerbitkan bon AS$3 bilion bagi mematuhi perjanjian ini. Namun begitu, saya difahamkan bahawa syarikat ADMIC tidak beroperasi dan Aabar tidak menyuntik sebarang dana ke dalam ADMIC,” katanya semasa membacakan penyataan saksinya pada hari ke-16 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Menurut saksi pendakwaan kesembilan itu, majlis menandatangani perjanjian berkenaan turut dihadiri Datuk Seri Najib bersama-sama dengan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Menceritakan mengenai penubuhan syarikat ADMIC, saksi itu berkata syarikat berkenaan telah diuruskan sepenuhnya oleh Jasmine Loo sepertimana yang dirancang dalam pelan perancangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Syarikat ini ditubuhkan pada 5 Mac 2013 dengan dua ‘ordinary share’ yang dimiliki 1MDB dengan saya sebagai Director. Kemudiannya, Jasmine Loo menguruskan pemindahan satu share kepada 1MDB GIL dan satu share kepada Aabar pada 10 Ogos 2013.

“Saya lihat ini juga sebagai satu lagi langkah yang tergesa-gesa kerana syarikat ini telah ditubuhkan pada 5 Mac 2013 bagi tujuan usahasama tersebut yang ditandatangani pada 12 Mac 2013,” katanya yang turut memaklumkan tujuan asal ADMIC adalah sebagai SPV pelaburan 50:50 antara 1MDB dan Aabar.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib ada kepentingan dalam usahasama RM18 bilion 1MDB-Aabar

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kepentingan dalam perjanjian usahasama berjumlah RM18 bilion (AS$6 bilion) yang dimeterai antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan anak syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC), Aabar Investment PJS (Aabar).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, kehadiran Najib dalam majlis menandatangani perjanjian dua hala itu pada 12 Mac 2013 yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya jelas menunjukkan bahawa bekas Perdana Menteri tersebut mempunyai ‘interest’ dan usahasama itu ‘baby’ Najib.

“Tindakan Datuk Seri Najib ini selaras dengan perancangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kerana kesemua perjalanan dan perancangan sehingga berjayanya majlis menandatangani perjanjian usahasama berkenaan adalah diatur dan dirancang olehnya (Jho Low).

“Ini berdasarkan makluman, ‘action plan’ dan perbincangan oleh Jho Low kepada saya dan Jasmine Loo (peguam 1MDB) dalam memastikan majlis itu terlaksana,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya setebal 270 muka surat pada hari ke-16 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Shahrol Azral ketika merujuk kepada dokumen ‘1MDB Media Release – RM18 billion Strategic Partnership For Growth’ memaklumkan bahawa perjanjian itu telah ditandatangani oleh Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin dan Pengerusi Aabar, Khadem Al Qubaisi.

“Upacara menandatangani perjanjian itu dilakukan di hadapan Datuk Seri Najib dan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan. Ia diadakan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Putrajaya dan diuruskan oleh pegawai di PMO yang diketuai oleh Datuk Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Najib).

“Saya sahkan bahawa ini adalah merupakan satu mandat besar Datuk Seri Najib iaitu ingin memastikan agar usahasama antara Abu Dhabi dan Malaysia dimeterai melalui syarikat 1MDB dan Aabar Investment PJS,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, perjanjian yang ditandatangani itu merupakan satu peristiwa besar antara 1MDB dan Aabar kerana ia merupakan “G to G deal” serta melibatkan usahasama strategik kedua-dua negara.

“Peranan Datuk Seri Najib yang aktif dalam membincangkan perkara ini dan juga arahan serta mandat daripada beliau telah menyakinkan saya untuk melaksanakan usahasama ini kerana semua perancangan adalah melalui Jho Low iaitu individu penting yang diletakkan oleh Datuk Seri Najib dalam menggariskan strategi-strategi beliau termasuklah joint venture (JV).

“Tindakan Datuk Seri Najib ini adalah selari dengan ‘action plan’ Jho Low dalam merancang kerjasama ini dan mengikut corak kerjasama yang beliau (Najib) tentukan,” jelasnya.

Saksi penting pendakwaan itu berkata, secara keseluruhannya, ia adalah idea dan perancangan Jho Low setelah melalui perbincangan secara mendalam dengan Najib yang merupakan ‘ultimate power’ dalam 1MDB berdasarkan maklum balas Jho Low dan pelan perancangan melalui emel sulit beliau.

“Ini jelas bahawa ia perlu disegerakan kerana ingin memastikan kehadiran Putera Mahkota Abu Dhabi sebagai saksi semasa perjanjian ini dimeterai kerana ia penting dari segi politik memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang hampir tiba. Jho Low sendiri yang memaklumkan bahawa usahasama ini akan memberikan kesan kepada PRU13,” jelasnya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tindakan Najib ‘selaras sempurna’ dengan topik perbincangan Jho Low

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau percaya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, diberi mandat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengurus pengeluaran semua bon syarikat dan jaminan International Petroleum Investment Co (IPIC) kerana tindakan yang diambil oleh bekas Perdana Menteri itu sepadan dengan topik perbincangan yang dihantar kepada beliau oleh Jho Low.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-15 perbicaraan Najib berhubung 1MDB.

Sri Ram: Anda berkata anda percaya bahawa Jho Low diberi mandat oleh Najib. Apakah alasan anda mempunyai kepercayaan itu?

Shahrol Azral: Kerana pada waktu itu, saya telah memerhatikan tindakan dan topik perbincangan yang dimulakan dari Jho Low dipenuhi dengan tindakan Najib.

Sri Ram: Dalam kata lain, tindakan itu yang diambil oleh tertuduh sepadan dengan topik perbincangan yang dihantar kepada anda oleh Jho Low?

Shahrol Azral: Tindakan sepadan dengan sempurna.

Terdahulu, ketika membaca kenyataan saksinya, saksi menekankan bahawa beliau percaya bahawa Jho Low diberi mandat oleh Najib untuk mengurus semua pengeluaran bond syarikat dan jaminan IPIC.

Mahkamah juga mendengar daripada Shahrol Azral bahawa lembaga pengarah 1MDB pada Oktober 2012 meluluskan syarikat untuk meminjam RM800 juta daripada Affin Investment Bank bagi tujuan mengambilalih Mastika Lagenda.

“Kelulusan itu dibuat oleh lembaga itu menerusi pekeliling pengarah bertarikh 9 Oktober 2012.

“Lembaga juga memberi saya kuasa untuk mengurus perkara berhubung perjanjian dan menandatangani perjanjian bagi pihak syarikat sebagai CEO dan pengarah urusannya,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013 di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Projek Genting Sanyen dilaksana selepas dilulus Najib

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Proses pemerolehan IPP Genting Sanyen (M) Sdn Bhd melalui 100 peratus ekuiti Mastika Lagenda Sdn Bhd yang dinamakan projek Greyhound dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan yang mewakili Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), pada 2012.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini pada hari ke-15 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

“Untuk makluman, sepanjang proses pemerolehan ini dilaksanakan, 1MDB ada meminta kelulusan Najib sebagai Menteri Kewangan mewakili MOF Inc dan sebagai pemegang saham yang memiliki saham penuh 1MDB.

“1MDB juga mendapatkan kelulusan dari Najib merangkap Menteri Kewangan selaras dengan Seksyen 6 Akta Jaminan (Pertubuhan Perbadanan) 1965 selepas kelulusan dari pemilik saham 1MDB iaitu Najib juga.

“Beliau (Najib) juga telah sedia maklum tentang kelulusan tersebut kerana beliau telah menurunkan tandatangan ke atas dokumen berkenaan,” katanya.

Ketika dirujuk kepada surat Menteri Kewangan bertarikh 3 Ogos 2012, saksi berkata ia adalah surat kelulusan daripada Najib atas kapasitinya sebagai Kementerian Kewangan kepadanya bagi meluluskan cadangan “kemudahan pinjaman tidak melebihi RM1.0 bilion dan US$1.75 bilion 10 year notes” berkenaan dengan pengambilalihan Genting.

“Kelulusan ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 6 Akta Jaminan (Pertubuhan Perbadanan) 1965. Ini adalah kerana segala keberhutangan dalam apa bentuk sekalipun mesti mendapat kelulusan Menteri Kewangan Malaysia terlebih dahulu.

“Kelulusan ini mesti diperolehi selepas mendapat kelulusan dalaman 1MDB iaitu, kelulusan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan kelulusan pemilik saham 1MDB iaitu MOF Inc iaitu Najib. Saya percaya bahawa Jasmine Loo sebagai pegawai yang menyediakan kertas kerja berkenaan pembiayaan ini telah mendapatkan tandatangan Najib pada masa tersebut.

“Saya tidak terlibat dalam urusan dengan bahagian pinjaman Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kelulusan tersebut. Saya tidak pasti sama ada terbitan bon ini ada melalui proses yang sepatutnya di Kementerian Kewangan atau tidak sehingga kelulusan diberikan oleh Najib atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan,” katanya.

Ketika dirujuk kepada “1MDB director’s circular resolution bertajuk ‘proposed acquisition of Mastika Lagenda Sdn Bhd” bertarikh 10 Ogos 2012, saksi pendakwaan kesembilan berkata ia adalah pekeliling pengarah yang memberikan kelulusan cadangan pengambilalihan ekuiti Mastika Lagenda yang memegang 75 peratus Genting Sanyen Power Sdn Bhd yang memiliki Genting Sanyen Kuala Langat Power Station.

“Selain itu juga telah mendapat kelulusan untuk mengambilalih 100 peratus ekuiti Mastika Utilities & Services Sdn Bhd dan 100 peratus ekuiti Mastika Water Management Sdn Bhd. Pekeliling ini menyatakan bahawa saya diberikan mandat dan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kesemua urusan dokumentasi pembelian ini yang bernilai RM2.75 bilion.

“Selain itu, 1MDB diberi kelulusan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan tidak melebihi RM1 billion dan terbitan bon sebanyak AS$1.75 bilion bagi urusan pengambilalihan ekuiti tersebut dengan struktur yang sama dengan pembelian TEHSB sebelum ini.

“Terbitan Bon ini juga akan dijamin oleh 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC). Saya tandatangan di ruangan nama saya di sebelah kanan mukasurat 3 dokumen ini,” katanya sambil menambah Goldman Sachs adalah penasihat kewangan dan peguam Jasmine Loo sebagai wakil pasukan pelaburan 1MDB.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari, 2011 dan 19 Disember, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA