Categories
AGENDA NASIONAL

Kes SRC: Najib mula bela diri

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya berhubung dana SRC International Berhad (SRC).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 11 November memerintahkan Najib, 66, membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Pasukan pembelaan memulakan kesnya hari ini dengan Najib membaca pernyataan saksi setebal 243 muka surat, menyentuh antara lain mengenai pelantikan pengarah-pengarah 1Malaysia Development Berhad, Terengganu Investment Authority, Khazanah, Petronas, PNB, TNB, Telekom dan lain-lain.

Najib, yang juga Menteri Kewangan semasa memegang jawatan Perdana Menteri, juga menjelaskan dengan panjang lebar mengenai penubuhan 1MDB, peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dalam penubuhan TIA yang kemudiannya ditukar kepada 1MDB, serta idea di sebalik penubuhan SRC.

Beliau menyifatkan Jho Low sebagai individu yang sangat berpengaruh dan mempunyai hubungan luas dengan keluarga diraja Terengganu dan di Timur Tengah.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata atas alasan berkenaan beliau mengekalkan Jho Low sebagai penasihat 1MDB selepas Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA pada 2009 dan menukar namanya kepada 1MDB, dengan sahamnya dipegang oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Beliau berkata beliau melihat adalah sesuai bagi 1MDB untuk mempunyai lembaga penasihat bersama-sama dengan model pendahulunya (TIA) (Najib merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB).

Semasa pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib memberitahu mahkamah bahawa sebagai Perdana Menteri (ketika itu), beliau mempunyai kuasa mutlak dalam pelantikan pengarah-pengarah syarikat berkaitan kerajaan.

Najib yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri keenam Malaysia mulai April 2009 hingga Mei 2018, merupakan Perdana Menteri pertama di negara ini yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Beliau dituduh melakukan tujuh kesalahan antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Mahkamah menetapkan pembelaannya bermula pada 3 hingga 4 Disember, 9 hingga 12 Disember dan 16 sehingga 19 Disember.

Pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. Pasukan pendakwaan juga terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram manakala peguam Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.

Pada 22 dan 23 Oktober, mahkamah mendengar hujah daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan. Pendakwaan mengakhiri kesnya pada 27 Ogos, selepas 58 hari perbicaraan dengan 57 saksi dipanggil memberi keterangan.

Semasa perbicaraan itu, pendakwaan mengemukakan lebih 750 ekshibit, termasuk dokumen bank yang berkait dengan akaun Najib, urus niaga tunai, minit mesyuarat dan perbualan Blackberry Messenger mengenai transaksi akaun Najib.

Najib pertama kali dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 untuk berdepan tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Pada 8 Ogos, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana sama. Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan semua pertuduhan digabungkan dalam satu perbicaraan.

Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika disabitkan kesalahan, bekas Perdana Menteri itu berdepan, bagi setiap pertuduhan, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil Jabatan Audit mengaku rakam mesyuarat ‘Pinda Laporan Audit 1MDB’

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Seorang saksi hari ini mengakui bahawa beliau yang membuat rakaman audio berdurasi dua jam 45 minit pada mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Februari 2016.

Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensil milik pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, wakil JAN tanpa pengetahuannya ( Saadatul Nafisah) sebelum mesyuarat bermula.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata, beliau berbuat demikian sebagai persediaan untuk membuat minit mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB berkenaan kerana beliau tidak dibenarkan berada dalam bilik mesyuarat itu.

“Saya dilantik sebagai koordinator penyediaan laporan audit 1MDB. Disebabkan itu saya perlu mengetahui apa yang dibincangkan dalam mesyuarat terbabit kerana saya tidak boleh menyertainya (mesyuarat).

“Saadatul Nafisah tidak tahu yang saya menyimpan perakam dalam bekas pensil miliknya. Selepas mesyuarat habis, saya ambil perakam itu daripada bekas pensilnya sebelum membawanya ke pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram di hari keempat perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Ditanya Sri Ram perakam suara itu milik siapa, Nor Salwani berkata, ianya hak milik JAN.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata, beliau tidak sempat memberitahu Saadatul Nafisah mengenai tindakannya meletakkan perakam tersebut ke dalam bekas pensil serta tidak berniat untuk menyorok perakam itu.

“Apabila saya diarah keluar dalam keadaan tergesa-gesa sebelum mesyuarat itu bermula, saya nampak bekas pensil di atas meja dan saya terus masukkan perakam ke dalamnya,” katanya.

Muhammad Shafee: Takkan kamu tidak ada etika untuk memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Dr Ali Hamsa) bahawa kamu sebagai wakil audit kena meletakkan alat perakam untuk tujuan mencatit minit?

Nor Salwani: Ketika itu, saya dalam keadaan kekalutan..saya tidak berpeluang untuk menyatakan demikian.

Semalam, rakaman audio mesyuarat itu yang dikaitkan dengan dakwaan meminda laporan akhir pengauditan 1MDB yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan Najib untuk periksa dokumen Justo didengar 13 Disember

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Disember untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan dan memeriksa dokumen diserahkan Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan itu dibuat berkaitan dengan perbicaraan rasuah dihadapi Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki, menjaga dan mengawal dokumen yang diserahkan Justo kepada SPRM berkaitan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, sama ada dalam bentuk fizikal atau dimuat turun daripada peranti storan digital, untuk diperiksanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes hari ini yang dihadiri peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Hakim turut memerintahkan semua pihak untuk memfailkan hujahan mereka sebelum atau pada 30 November.

Terdahulu, Muhammad Shafee berkata, beliau menerima afidavit berhubung permohonan itu oleh pihak pendakwaan semalam dan akan menjawab afidavit itu pada Selasa depan.

“Afidavit pihak pendakwaan telah disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Mustafa memberitahu media bahawa dalam afidavit itu, Azam menyatakan dokumen itu diterima dalam kedudukan rahsia rasmi dan dilindungi di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan.

Seorang lagi peguam mewakili Najib, Al Firdaus Shahrul Naing berkata, Justo pada waktu material merupakan pengarah PetroSaudi International Ltd dan beliau mempunyai akses kepada dokumen berkenaan.

Najib, 66, sebagai pemohon memfailkan notis usul pada 16 Oktober dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Najib antara lain memohon mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki dan mengawal dokumen berkenaan untuk menyerahkannya kepada beliau.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan dokumen yang dimohon adalah relevan dan dapat membantu pembelaan pemohon, yang mungkin telah digugurkan atau ditahan daripada dikeluarkan yang bercanggah dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata, pemeriksaan atau pengeluaran dokumen itu adalah tidak bercanggah dengan kepentingan awam, dan sebaliknya tidak mendedahkan dan menolak untuk ia diperiksa adalah menafikan hak pemohon untuk mendapat perbicaraan adil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendaftar SSM: 1MDB miliki modal terbitan RM1 bilion

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 27 Februari 2009, mempunyai modal terbitan sebanyak RM1 bilion.

Penolong Pendaftar SSM, Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata, syarikat persendirian itu yang mempunyai nombor pendaftaran syarikat 848230-V turut melantik beberapa individu termasuk Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai pengarah syarikat.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam pada hari pertama perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Syarikat 1MDB yang ditubuhkan dengan nama Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) ditukarkan nama kepada 1MDB pada 25 September 2009 dan Arul Kanda dilantik sebagai CEO pada 1 Januari, 2015.

Ketika merujuk kepada ‘written element of share’, bagi TIA, saksi berkata satu juta unit saham diterbitkan dan dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan.

Terdahulu, saksi pendakwaan pertama Setiausaha Bahagian (Perlembagaan dan Urusan Parlimen), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Daman Huri Nor, 55, mengesahkan jawatan yang pernah dipegang oleh Najib termasuk sebagai Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri dari 2006 hingga 2018.

Sementara itu, Akauntan Bahagian Kewangan Jabatan Perdana Menteri, Natasha Rahimah Haryati Mohamad, 47, yang merupakan saksi pendakwaan kedua menjelaskan mengenai penyata pendapatan tahunan dan penyata gaji Najib dari Januari 2006 hingga Mei 2018.

Katanya, Najib memperolehi gaji kasar sebulan RM58,605.15 dari April 2009 hingga Mei 2018 melalui akaun Bank Affin miliknya selain menerima bayaran khas RM1 juta selepas bersara sebagai Perdana Menteri seperti yang ditetapkan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan bersama-sama dengan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram Gharib, Rozaliana Zakaria, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Zulkefli, Hazmida Harris Lee, Tan Song Yan, Fatimah Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa Zainal Abidin.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Syahirah Hanapiah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili peguam Datuk N Sivananthan, Jasmine Cheong dan Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari, 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penangguhan ditolak, Bicara pinda audit 1MDB Najib-Arul Kanda bermula

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Perbicaraan bersama Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di atas pertuduhan bersubahat dalam membuat pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, bermula hari ini selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian memerintahkan perbicaraan itu dimulakan.

Najib dalam permohonannya bertarikh 13 November, berkata jika perbicaraan itu diteruskan seperti yang dijadualkan, beliau akan mengalami prejudis kerana beliau dan peguamnya akan memerlukan satu tempoh masa yang munasabah dan cukup untuk menyiapkan pembelaannya untuk kes SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan itu kini bersiap untuk masuk pembelaan diri bagi kes melibat SRC International Sdn Bhd, di mana beliau didakwa dengan tujuh pertuduhan penyelewengan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi yang lain. Pembelaan beliau akan disambung pada 3 Disember.

Beliau menyatakan bahawa dalam permohonan itu pasukan pembelaannya, pada masa yang sama, juga terlibat dalam penyediaan satu lagi kes 1MDB yang akan bermula pada 28 Ogos.

Permohonan Najib, bagaimanapun telah dibantah oleh Arul Kanda, yang menggesa mahkamah agar melihat kepada kepentingan setiap individu tertuduh, bukan kepada seorang tertuduh sahaja, dan meminta mahkamah agar meneruskan perbicaraan kerana beliau mahu diberi peluang untuk keadilan terhadap diri sendiri.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan bersama-sama dengan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram Gharib, Rozaliana Zakaria, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Zulkefli, Hazmida Harris Lee, Tan Song Yan, Fatimah Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa Zainal Abidin.

Arul Kanda Kandasamy. Foto BERNAMA

 

Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Syahirah Hanapiah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili oleh peguam Datuk N Sivananthan, Jasmine Cheong dan Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Pada 4 Januari tahun ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pendakwaan bagi kes melibatkan Najib dan Arul Kanda didengar bersama-sama.

Pada 12 Disember, 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Najib dituduh, atas kapasitinya sebagai seorang pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari, 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SRC: Najib diperintah bela diri kes seleweng RM42 juta

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Datuk Seri Najib Tun Razak membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengumumkan keputusan itu pada 11.34 pagi.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri Najib, 66, bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu.

Anggota Parlimen Pekan itu dituduh melakukan semua kesalahan itu antara 17 Ogos , 2011 dan 2 Mac, 2015.

Najib adalah perdana menteri keenam dari 2009 sehingga 2018 ialah ketua kerajaan yang pertama di Malaysia dihadapkan ke mahkamah.

Najib yang berada dalam kandang tertuduh kelihatan tenang semasa hakim menyampaikan keputusan itu di dalam mahkamah yang penuh sesak.

Hakim Mohd Nazlan yang membuat keputusan itu pada akhir kes pendakwaan berkata, mahkamah mendapati elemen menggunakan kedudukan, tidak amanah dan pengubahan wang haram oleh tertuduh telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Hakim berkata, keterangan yang dicatatkan dalam minit mesyuarat menunjukkan tertuduh hadir pada dua mesyuarat yang meluluskan jaminan kerajaan berjumlah RM4 bilion untuk SRC oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Jaminan kerajaan bagi jumlah RM4 bilion itu telah diluluskan dalam dua peringkat iaitu RM2 bilion setiap satu.

“Pinjaman KWAP  itu tidak mungkin diluluskan tanpa jaminan kerajaan dan pinjaman itu disalurkan dengan kadar segera sekiranya tertuduh bukan seorang Perdana Menteri atau Menteri Kewangan pada ketika itu.

“Tertuduh mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas syarikat (SRC) selaku Menteri Kewangan dan MOF Inc sebagai pemegang saham tunggal SRC,” katanya.

Hakim berkata bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah cuba untuk campur tangan dalam perkara SRC tetapi telah dihalang oleh tertuduh.

Mahkamah menetapkan 3 dan 4 Disember, 9 hingga 12 Disember dan 16 hingga 19 Disember untuk Najib membela diri.

“Ini adalah untuk tertuduh menyangkal keterangan. Saya mendapati elemen menyalahgunakan kedudukannya, tidak amanah dan melakukan pengubahan wang haram telah dibuktikan dan, oleh itu, tertuduh diperintah untuk membela diri,” katanya.

Selepas hakim selesai membacakan penghakiman itu, Najib ditawarkan tiga pilihan untuk membela dirinya dan beliau memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dan tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas. Pasukan itu turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan peguam bela.

Terdahulu, Najib yang diiringi anaknya Nooryana Najwa dan Datuk Mohamad Nizar, tiba di Kompleks Mahkamah di sini pada 8.45 pagi.

Pada 9 pagi, beliau perlu menghadiri satu lagi perbicaraan melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Prosiding kes itu ditangguhkan pada 10 pagi berikutan Najib perlu hadir di hadapan Hakim Mohd Nazlan untuk keputusan kes SRC.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarek Obaid terima AS$85 juta komisen perjanjian 1MDB-PSI

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid menerima AS$85 juta sebagai komisen daripada syarikat itu, didakwa dimiliki ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Bekas CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata syarikat, Good Star Ltd telah membayar AS$85 juta kepada Tarek, yang juga merupakan pengasas bersama PSI, sebagai komisen bagi perjanjian usaha sama antara PSI dan 1MDB.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa beliau ditunjukkan penyata bank JP Morgan oleh peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas pada hari ke-28 perbicaraan kes 1MDB bekas Perdana Menteri.

Muhammad Shafee: Berdasarkan penyata bank, Tarek dibayar AS$85 juta daripada AS$700 juta oleh Good Star untuk komisen, sebagai sebahagian daripada JV (usaha sama) antara 1MDB dan PSI.

Shahrol Azral: Ya. Usaha sama itu adalah perjanjian antara 1MDB-PetroSaudi.

Muhammad Shafee: Jadi, sebanyak AS$700 juta wang kita ke sana, AS$85 juta kepada Tarek sebagai komisen atau hanya dakwaan sebagai komisen, Shahrol Azral menjawab, “Ya”.

Muhammad Shafee: Adakah ini komisen bona fide (sebenar) atau pencurian secara terang-terangan?

Shahrol Azral: Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk menentukannya.

Muhammad Shafee: Anda adalah jurutera. Berapakah peratusannya?

Shahrol Azral: Lebih sedikit 10 peratus.

Muhammad Shafee: Cukup tinggi komisen bagi satu usaha sama dan saksi menjawab, “Ya”.

Shahrol Azral juga bersetuju dengan Muhammad Shafee dia tidak dimaklumkan oleh Tarek pada masa itu mengenai bayaran tersebut, yang mungkin ada konflik kepentingan bagi pihak Tarek.

Ditanya sama ada Tarek isytiharkan wang itu hasil daripada usaha sama tersebut, Shahrol Azral berkata, “Tidak”.

Terdahulu, Shahrol Azral bersetuju dengan Muhammad Shafee, Tarek telah membayar sebahagian daripada AS$85 juta yang diterima daripada Good Star kepada Pengarah PetroSaudi Patrick Mahoney.

Muhammad Shafee berkata, berdasarkan dokumen perbankan, Tarek telah memindahkan AS$33 juta ke akaun bank milik Patrick Mahoney pada 20 Oktober 2009.

Peguam itu berkata, ini kira-kira dua minggu selepas Tarek menerima AS$85 juta daripada Good Star, yang sebelum itu menerima AS$700 juta daripada 1MDB.

Muhammad Shafee: Jadi, Tarek menerima AS$85 juta, kemudian dia bayar Patrick Mahoney AS$33 juta, Shahrol Azral menjawab, “Ya”.

Bagaimanapun, saksi itu berkata beliau tidak mengetahui apa-apa tentang bayaran yang diterima Tarek dan Patrick Mahoney.

Shahrol Azral juga berkata mungkin Tarek membayar kira-kira £127,000 bagi perkhidmatan guaman kepada White & Case, firma guaman London yang mewakili syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi dan pembayaran itu mungkin dibuat oleh, sama ada PSI atau PetroSaudi Cayman.

Saksi itu berkata demikian selepas Muhammad Shafee membangkitkan bayaran perkhidmatan undang-undang kepada firma guaman itu.

Muhammad Shafee: Tetapi hakikatnya ia datang daripada Tarek, adakah ia tidak menunjukkan sesuatu? Shahrol Azral menjawab, “Tanpa maklumat lanjut, saya tidak dapat memastikan”.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB saluran strategik bagi Najib

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, 1MDB adalah saluran strategik bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sebagai pekerja, beliau mahu berkhidmat dengan baik.

Shahrol Azral, 49, bagaimanapun, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau akan terus meletakkan jawatan sekiranya diberi peluang memegang jawatan CEO 1MDB semula.

Dalam pemeriksaan balas peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi kesembilan pihak pendakwaan itu memberi keterangan sekiranya beliau mengetahui pembohongan yang dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang, beliau secara sukarela akan melepaskan jawatannya itu.

“Pada masa itu, saya tidak mungkin tahu berapa banyak kebenaran yang diberitahu kepada saya oleh Jho Low dan Casey mengenai usaha sama 1MDB-PetroSaudi. Termasuk pengalihan sebanyak AS$700 juta untuk usaha sama itu,” katanya.

Terdahulu, mahkamah mendengar A$700 juta dipindahkan ke akaun Good Star Ltd, syarikat yang pada mulanya dikatakan sebagai anak syarikat PSI tetapi kemudiannya didedahkan sebagai syarikat yang dikuasai Jho Low.

Shahrol Azral berkata, beliau mula menunjukkan keterangan dokumentari atau documentary evidence mengenai pemilikan Jho Low terhadap Good Star apabila dia disiasat pada 2018 oleh pihak berkuasa Malaysia.

Muhammad Shafee kemudiannya merujuk saksi kepada e-mel antara Deutsche Bank dan RBS Coutts, menyatakan walaupun RBS Coutts adalah penerima AS$700 juta, ia tidak dapat mengkreditkan dana itu ke dalam akaun yang bernombor 11116073, melainkan nama penuh pemegang akaun diperoleh.

Shahrol Azral mengakui beliau telah melihat e-mel koresponden sebelum itu dan memandangkan beliau bertindak bagi pihak 1MDB, beliau bertanggungjawab untuk mengetahui siapakah pemegang akaun itu.

“Ia adalah penting. Saya telah membuat salinan dan menghantar e-mel itu ke BlackBerry Messenger (BBM) Jho Low untuk meminta maklumat yang diperlukan oleh RBS Coutts.

“Jho Low adalah yang pertama menjawab, selepas dia menjawab, saya tidak fikir ada pengesahan lain daripada pihak lain,” kata Shahrol Azral.

Mengulas perkara itu, peguam itu berkata, Shahrol Azral hanya mendapatkan maklumat itu daripada Jho Low kerana beliau tahu sensitiviti nama pemegang akaun, dan beliau tahu ia adalah Good Star, yang mana saksi tidak bersetuju.

Shahrol Azral berkata, ini adalah kerana Jho Low adalah penyelaras dan perancang urus niaga dan satu-satunya orang yang akan memaklumkan kepada beliau ketika transaksi berjalan.

Prosiding hari ini merupakan perbicaraan hari ke-28 kes terhadap Najib, 66, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Perbicaraan bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas CEO 1MDB: Mungkin salah saya dengar cakap Najib

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa mungkin salahnya ‘mendengar’ cakap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hal berkaitan dengan dana syarikat milik negara itu.

Shahrol Azral, 49, saksi dalam kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas mengenai sama ada beliau mempunyai kewajipan fidusiari terhadap bekas Perdana Menteri itu, berkata: ‘Ya’.

Saksi itu kemudian diminta oleh peguam untuk mengemukakan apa-apa dokumen yang menyatakan bahawa beliau mempunyai kewajipan fidusiari kepada pengerusi lembaga penasihat.

Muhammad Shafee: Adakah kamu tahu tugas fidusiari kamu hanya kepada 1MDB, sebagai sebuah syarikat, malah bukan kepada pemegang saham? Ini undang-undangnya.

Shahrol Azral: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee: Bolehkah kamu tunjukkan sebarang dokumen yang menyatakan kamu mempunyai tanggungjawab fidusiari kepada pengerusi lembaga penasihat?

Shahrol Azral, bagaimanapun tidak dapat mengemukakan dokumen berkenaan.

Muhammad Shafee: …kerana kamu tidak faham konsep undang-undang syarikat, saya katakan kepada kamu bahawa kamu tidak faham mengenai undang-undang syarikat.

Shahrol Azral: Mungkin saya silap untuk menganggap bahawa saya patut mendengar Datuk Seri Najib dalam semua hal berkaitan 1MDB.

Peguam itu kemudian menyoal saksi sama ada Najib pernah memintanya untuk hanya mendengar lembaga penasihat dan tidak melaporkan kepada lembaga pengarah.

“Tidak, beliau tidak pernah. Kalau boleh saya tambah, beliau juga tidak pernah berkata ‘Shahrol (Azral) dengar kepada lembaga pengarah sahaja, jangan dengar cakap saya’,” kata saksi itu.

Muhammad Shafee kemudiannya merujuk kepada minit mesyuarat pada Oktober 2009, yang menyatakan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat.

Shahrol Azral berkata, dokumen berkenaan disediakan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Muhammad Shafee: Jho Low nampaknya tahu apa yang PM mahu cakap.

Shahrol Azral: Ya, menarik bukan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lembaga Pengarah 1MDB tidak dimaklum dana JV AS$1 bilion dipecah

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dimaklumkan mengenai keputusan untuk memecahkan dana AS$1 bilion untuk syarikat usaha sama (JV) 1MDB-PetroSaudi International Ltd (PSI) kepada AS$300 juta dan AS$700 juta, dengan jumlah besar kepada Good Star Ltd.

Sebelum itu, saksi dalam perbicaraan kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, maklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa AS$700 juta telah dipindahkan ke akaun Good Star Ltd, syarikat yang pada mulanya dikatakan sebagai anak syarikat PSI tetapi kemudiannya didedahkan sebagai syarikat yang dikuasai ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, persetujuan lembaga pengarah tidak diperoleh sebelum dana berkenaan dipecahkan disebabkan kekangan masa dan “kerana ia perlu dilakukan”.

Semasa ditanya peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, semasa pemeriksaan balas, saksi itu berkata berdasarkan kepada Resolusi Pekeliling Pengarah( DCR), lembaga pengarah sebelum itu telah meluluskan sejumlah wang (AS$1 bilion) untuk dibayar hanya kepada syarikat JV yang akan menerima satu bilion saham.

Shahrol Azral bagaimanapun tidak dapat menamakan individu di sebalik keputusan untuk memecahklan dana tersebut, yang bertentangan dengan DCR.

“Saya telah bersetuju untuk memecahkannya dengan andaian ia boleh dilakukan dan memandangkan Jho Low rapat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, dan pada masa itu, dalam fikiran saya ‘ini suatu yang perlu dilakukan dan semua dalam keadaan baik’.

“Casey Tang (Pengarah Eksekutif 1MDB) meyakinkan saya yang tidak mengapa (dipecahkan) dan kami akan memaklumkan lembaga pengarah kemudiannya,” kata saksi pendakwaan itu.

Terdahulu, saksi itu berkata pemecahan wang AS$1 bilion itu berlaku selepas Casey membawa dokumen yang ditandatangani CEO dan pengasas bersama PSI, Tarek Obaid untuk meminda beberapa klausa dalam perjanjian JV.

Shahrol Azral berkata, beberapa pindaan itu termasuk perubahan akaun bank JV daripada Banca Della Svizerra Italiana (BSI) Bank kepada JP Morgan dan AS$700 juta akan dibayar kepada PSI.

Saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau mengetahui mengenai pemecahan dana tersebut dan keputusan memecahkan pembayaran AS$1 bilion untuk syarikat JV kepada AS$700 juta dan AS$300 juta sebagai cuai.

“Ia hanya mengenai bagaimana pembayaran dibuat kepada syarikat JV, Casey meyakinkan saya dan dengan niat baik, saya menerimanya dan ia bukan cuai, keputusan dibuat berdasarkan apa yang saya tahu dan percaya pada masa itu,” katanya.

Shahrol Azral berkata beliau tidak berminat untuk membaca laporan 1MDB disediakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) yang telah menuduhnya terlibat dalam pemindahan AS$700 juta dana 1MDB kepada Good Star milik Jho Low pada 2009.

“Saya mengimbas dokumen itu tetapi ia mempunyai maklumat tidak lengkap. DOJ tidak bertanya langsung kepada saya (mengenai 1MDB). Jadi lebih baik saya membiarkan pihak berkuasa Malaysia menyiasat dan melaporkan,” katanya.

Menurut laporan itu, Sharol Azral memaklumkan, DOJ menggelarnya ‘1MDB Official Number 2’ manakala Casey Tang ‘1MDB Official Number 1’.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertuduhan CBT terhadap Najib selesai dengan penyelewengan RM42 juta

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai apabila wang RM42 juta diseleweng daripada SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berhujah dalam kes pecah amanah, kesalahan itu selesai apabila terdapat penyelewengan yang tidak jujur berhubung dana RM42 juta tersebut.

“Kami menyatakan wang itu telah disalahgunakan daripada SRC International Sdn Bhd. Jadi kesalahan itu selesai…persoalan mengenai resit wang itu tidak timbul. Ia tidak penting, tiada siapa yang kerugian atas kehilangan itu,” katanya dalam hujahan di akhir kes pendakwaan yang didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Sithambaram menjelaskan kes CBT dan pengubahan wang haram adalah dua pertuduhan yang berbeza yang memerlukan elemen yang berbeza untuk membuktikannya, dan mereka (pendakwaan) tidak membuat pertuduhan yang tidak betul.

“Kerugian/kehilangan salah atau keuntungan salah bukanlah ‘ramuan’ yang perlu dibuktikan dalam CBT dan isu yang berkaitan dengan resit yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan bukanlah ‘bahan’ yang perlu dibuktikan dalam CBT.

“Resit itu adalah bahan bagi kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA). Sama ada ia adalah sama dengan RM42 juta dalam kes CBT bukanlah satu pertimbangan memandangkan bahannya berbeza,” katanya.

Menjawab hujah pihak pembelaan berkaitan kesahihan dan kebolehterimaan dokumen yang dikemukakan pihak pendakwaan sebagai bukti, Sithambaram berkata berdasarkan Seksyen 71 AMLA, membolehkan pendakwa raya atau pihak berkuasa untuk mendapatkan apa-apa dokumen atau salinan dokumen di bawah akta itu.

“Undang-undang membenarkan ia untuk diterima,” katanya dan menambah Parlimen yang meluluskan undang-undang itu telah membuat perbezaan jelas mengenai bagaimana bukti itu ditunjukkan di bawah akta ini, iaitu pertuduhan yang dihadapi Najib.

Najib, 66, berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peguam Negara: Najib atur penipuan SRC sejak dari mula

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengatur penipuan SRC International Sdn Bhd sejak permulaan lagi, di mana dia telah mendapat manfaat selama lebih daripada tiga tahun, kata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata, tertuduh juga merupakan “pengarah di belakang tabir” SRC yang mendapat manfaat kewangan dari tabung SRC, di mana beliau diberi amanah kawalan sepenuhnya keatas harta benda SRC.

Thomas juga berkata, Najib memiliki kepentingan terhadap SRC.

“Kepentingan yang dimiliki tertuduh disembunyikan di sebalik pelbagai tipu helah, di belakang nama orang yang tidak dapat dicari, dan watak-watak yang diragui,” katanya dalam penghujahannya di penghujung kes pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini.

Bagaimanapun, Thomas berkata, fakta-fakta tetap menunjukkan bahawa tertuduh dan proksinya mengawal di belakang tabir SRC.

“Mengapa kerajaan amat berminat dan melakukan segalanya bagi membantu SRC, sebuah syarikat yang baharu dibangunkan tanpa rekod lampau, baharu beroperasi 12 bulan, dan amat berminat untuk memberi kemudahan mendapatkan pinjaman RM2 bilion, dan diikuti dengan RM2 bilion yang kedua dalam tempoh masa lapan bulan antara keduanya, kepada SRC?

“Kesimpulan yang tidak dapat dinafikan lagi adalah ia harus menunjuk kepada kepentingan tertuduh dalam SRC,” katanya.

Thomas seterusnya berhujah bahawa kuasa “melantik” dan memecat” yang diberikan oleh Perlembagaan SRC kepada tertuduh mempunyai kesan yang menjadikan beliau sebagai pembuat keputusan yang muktamad di SRC.

“Tiada keputusan-keputusan yang penting yang boleh diputuskan oleh SRC tanpa arahan daripada tertuduh, memang tidak ada,” katanya.

Najib, 66, berdepan dengan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan penggubahan wang yang melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok.

– BERNAMA