Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan subsidi petrol bersasar diumum dalam tempoh terdekat

KOTA KINABALU, 8 OGOS: Kerajaan akan mengumumkan keputusan pelaksanaan subsidi petrol bersasar yang dijanjikan kepada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam masa terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, satu kertas bersama sudah dimuktamadkan kementeriannya dan Kementerian Kewangan untuk dibentangkan kepada jemaah menteri.

Katanya, kertas bersama itu dimuktamadkan dalam satu pertemuan yang dihadiri bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta pegawai kanan di dua kementerian berkenaan, semalam.

“Dalam masa terdekat ini, ia akan dibentang kepada jemaah menteri untuk diberi lampu hijau jika jemaah menteri berpuas hati dan jika tidak berpuas hati akan ada pembetulan.

“Jika jemaah menteri berpuas hati, kerajaan akan mengumumkan secara rasmi pelaksanaannya merangkumi seluruh negara dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Seminar Katakan Tidak Kepada Tipuan Bida anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus turut hadir pada seminar julung kali diadakan oleh suruhanjaya itu.

Saifuddin Nasution diminta mengulas Belanjawan 2019 yang dibentangkan Guan Eng pada November tahun lalu yang menyatakan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Melalui mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Berhubung penyalahgunaan Permit Kelulusan (AP) diberikan untuk mengimport kubis bulat yang menyebabkan harga sayur meningkat, Saifuddin Nasution berkata, laporan dapatan kajian pasaran sektor makanan dikendali MyCC itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri.

Katanya, ia akan disusuli dengan tindakan termasuk penambahbaikan mana-mana agensi dan kementerian dalam urusan import kubis bulat itu.

“Ia bukan satu pembentangan sahaja menerusi hasil dapatan kajian oleh MyCC yang mengambil masa sembilan bulan itu tetapi disusuli dengan tindakan,” katanya

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

46,331 pelajar manfaatkan Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan

SUNGAI BULOH, 6 OGOS: Seramai 46,331 pelajar kolej vokasional dari seluruh negara berjaya memanfaatkan Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) dengan peruntukan RM2.9 juta, sehingga kini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kewujudan dana itu memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Malah katanya, baki RM7.1 juta daripada peruntukan keseluruhan RM10 juta masih terbuka kepada pelajar yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

“Saya amat menggalakkan pelajar untuk merebut peluang memohon dana S1P1P memandangkan ia masih dibuka dan setakat ini tiada tarikh tutup.

“Kita juga memberi ruang dan kebebasan kepada pelajar untuk menceburi apa sahaja jenis perniagaan mengikut kreativiti mereka selagi ia sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan ‘1st Student Entrepreneurship Program’ di Kolej Vokasional Sungai Buloh, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM, Datuk Muez Abd Aziz.

Program anjuran SSM itu memperkenalkan slogan ‘perniagaan satu kerjaya’ dalam usaha menarik pelajar menceburi bidang perniagaan sebagai kerjaya, sejurus tamat belajar di kolej vokasional.

Program itu adalah terakhir dianjurkan hari ini selepas rentetan daripada siri jelajah yang dilaksanakan di Kolej Vokasional Nibong Tebal, Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Kolej Vokasional Port Dickson dan Sekolah Menengah Teknik Melaka sebelum ini.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya seminar ilmu keusahawanan, perkongsian pengalaman usahawan berjaya, seminar memulakan perniagaan dan taklimat beberapa agensi.

Turut disediakan 30 gerai jualan dan pameran daripada pelajar kolej vokasional bagi memberi ruang kepada mereka menjalankan perniagaan selain mendapat maklumat berkenaan bantuan disediakan agensi kerajaan untuk usahawan.

Categories
BERITA UTAMA

KPDNHEP: Waspada beli barang dalam talian

SUNGAI BULOH, 6 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika membeli barangan dalam talian.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hal itu kerana kes penipuan membabitkan dalam talian semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Katanya, faktor lain berpunca daripada kadar bilangan pendaftaran syarikat e-dagang yang semakin meningkat di negara ini.

“Bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, pihak kami menerima kira-kira 11,393 kes membabitkan pelbagai aduan daripada masyarakat.

“Malah, daripada jumlah itu, 25.7 peratus adalah aduan berkaitan penipuan transaksi dalam talian iaitu kedua tertinggi selepas aduan harga barang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan ‘1st Student Entrepreneurship Program’ di Kolej Vokasional Sungai Buloh, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Muez Abd Aziz.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution turut menasihatkan pembeli supaya berwaspada ketika melakukan transaksi pembayaran sewaktu membeli-belah secara dalam talian.

“Kita ingin menasihatkan pembeli supaya lebih berhati-hati ketika mahu melakukan transaksi pembayaran, baik dengan syarikat atau individu yang menjualnya.

“Bagi mengelakkan menjadi mangsa, pembeli digalakkan menyemak profil dan syarikat penjual terlebih dahulu melalui laman sesawang KPDNHEP serta penjual yang berdaftar mestilah mendapat pensijilan Biztrust,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pantau rapi Permit Kelulusan import kubis bulat

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Proses pengeluaran Permit Kelulusan (AP) untuk mengimport kubis bulat perlu dikawal secara rapi bagi memastikan pengguna mempunyai pilihan mendapatkan sayuran berkenaan pada harga kompetitif.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hal itu kerana wujud elemen penyalahgunaan elemen AP kubis bulat berdasarkan dapatan kajian semula pasaran sektor makanan di bawah Akta Persaingan 2010 (AP 2010).

“Isu ini dikenalpasti menjadi faktor penyumbang kepada kenaikan harga sayuran terbabit di pasaran tempatan, malahan hubungan rapat antara pemain pasaran menimbulkan isu persaingan dalam pasaran sayur-sayuran.

“Bukan hanya kementerian berkenaan mengeluarkan AP, malah pemiliknya juga harus dipantau dan bukan dijadikan sebagai satu pihak memiliki AP tetapi mengambil keuntungan daripada pemain import,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Market Review on Food Sector Under The Competition Act 2010, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abdul Aziz; Pengerusi MyCC, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.

Selain kubis bulat, kajian semula pasaran yang dibuat secara menyeluruh itu turut memberi fokus kepada beberapa barangan makanan terpilih iaitu daging, ikan kembung, rumusan bayi dan sawi.

Saifuddin Nasution berkata, kajian berkenaan bagi meneliti struktur pasaran, daya saing pasaran dan menentukan sama ada terdapat perlakuan anti-persaingan dalam sektor makanan, seterusnya mengurai punca di sebalik kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini.

“Sebahagian daripada dapatan, MyCC juga mencadangkan beberapa syor penambahbaikan kepada proses persaingan dalam kelima-lima subsektor itu, selari usaha kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Baja subsidi: Ketirisan bukan berpunca daripada NAFAS

GURUN, 4 OGOS: Isu ketirisan dan penyelewengan dalam agihan baja subsidi kepada petani, bukan berpunca di peringkat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), sebaliknya ia sering dikesan di peringkat lebih bawah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada segi jalur pengagihan baja, ia jelas menunjukkan bahawa tanggungjawab NAFAS selesai, selepas proses pengedaran dibuat kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Daripada PPK, agihan (baja) dilakukan kepada petani… Di sana penguatkuasa kita kesan ada kes (ketirisan baja) tapi tidak mencemaskan, tapi ia wujud.

“Penguatkuasa (kementerian) temui beberapa kes jualan baja subsidi kepada pihak tertentu, yang kemudiannya buat pembungkusan semula (baja),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di sini, hari ini.

Katanya, NAFAS juga merupakan pertubuhan di peringkat kebangsaan yang mempunyai struktur di peringkat negeri dan kawasan, justeru ia mempunyai kekuatan jaringan untuk memastikan keberkesanan pengagihan baja di peringkatnya.

“Jadi munasabah tiada penglibatan NAFAS (dalam isu ketirisan pengagihan baja),” kata Saifuddin yang diiringi Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi pada lawatan itu.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MNFSB, Wan Kharizal Wan Khazim dan Pengurus Besar NAFAS, Ahmad Shaari.

Dalam pada itu katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti mengilang dan memborong baja di bawah Akta Bekalan 1961, pihaknya mengingatkan petani yang layak menerima baja subsidi, agar menggunakan kemudahan disediakan kerajaan itu sebaiknya.

“Daripada segi penguatkuasaan, walaupun isu ketirisan baja tidak berada pada tahap yang terlalu mengancam, namun kita cuba bendung di peringkat awal, kerana program ini bagi manfaat besar kepada golongan petani.

“Petani yang layak terima subsidi baja ini, sebaiknya manfaatkan untuk tanaman padi supaya hasil mereka lebih baik dan meningkat sehingga enam tujuh tan (sehektar),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SSM lancar Pelan Induk Skim Kepentingan

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan Pelan Induk Skim Kepentingan yang akan memanfaatkan semua sektor ekonomi untuk menjana pendapatan perniagaan serta mendapatkan dana atau pembiayaan alternatif bagi tujuan menjalankan aktiviti ekonomi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, skim itu berdaftar dan diiktiraf di bawah ‘Financial Service Act 2013 (FSA 2013)’ sebagai satu daripada aktiviti pengumpulan deposit yang terkecuali daripada kawal selia di bawah akta itu sepertimana aktiviti terkawal di bawah Akta Pasaran Modal dan Sekuriti (CMSA 2007).

“Skim itu akan menjadi penyelesaian pembiayaan alternatif perniagaan dan fleksibel bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan membantu membangunkan industri sokongan.

“Pelancaran pelan induk skim ini juga menggariskan beberapa strategi pelaksanaan mampan dan bersepadu bagi mengembangkan industri skim kepentingan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan SSM 2019 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, hari ini.

Lebih 1,000 ahli komuniti perniagaan dan korporat menyertai persidangan kali kesembilan itu sejak diperkenalkan pada 2011.

Persidangan selama dua hari bertemakan ‘Future Proofing Business In The Digital Age’ itu adalah agenda tahunan SSM untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak berkepentingan seperti pengamal sektor korporat serta komuniti perniagaan.

Saifuddin Nasution berkata, persidangan kali ini memberi tumpuan kepada perubahan landskap perniagaan serta cabaran terhadap perubahan digital yang mana teknologi memainkan peranan penting dalam arus informasi, proses globalisasi dan ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, 122 notis kompaun yang dikeluarkan SSM telah menerima diskaun pengurangan kompaun secara automatik dengan jumlah sebelum potongan RM377,800.

Pengurangan kompaun secara automatik, yang diperkenalkan SSM pada awal bulan ini, telah menawarkan diskaun antara 30 hingga 85 peratus dengan nilai pengurangan keseluruhan RM278,365 daripada jumlah notis dikeluarkan itu.

Saifuddin Nasution berkata, SSM melaksanakan inisiatif itu sebagai langkah memudahkan komuniti korporat yang terlibat dapat menyelesaikan denda bayaran bagi tempoh ditetapkan dengan penjimatan kompaun diberikan.

Kadar pengurangan kompaun secara automatik itu dari satu hingga 40 hari akan menerima diskaun 85 peratus, 41-60 hari (75 peratus); 61-90 hari (60 peratus) dan 91-180 hari (30 peratus). – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Beri masa kerajaan muktamad pelaksanaan subsidi petrol

NIBONG TEBAL, 13 JULAI: Kerajaan meminta rakyat memberikan sedikit masa untuk memuktamadkan mekanisme pelaksanaan sistem subsidi petrol secara bersasar terutama kepada golongan berpendapatan rendah atau B40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun pelaksanaannya tidak mengikut sasaran pada suku kedua tahun ini seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019, namun pihaknya optimis ia dapat dilaksanakan tahun ini.

Katanya, sepanjang tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya mengadakan banyak pertemuan dengan pemegang taruh seperti syarikat minyak, pengusaha stesen minyak, persatuan pengguna, Bank Negara, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan sekretariat yang membina data penerima untuk mencari mekanisme terbaik bagi pelaksanaan sistem terbaharu itu.

“Kami mengambil masa dua suku pertama ini kami penuhkan begitu dan sekarang kami telah pun berjaya siapkannya, tapi prosesnya harus dengan izin ataupun perkenan daripada jemaah menteri. Kami kini sedang menyiapkan kertas jemaah menteri yang merupakan kertas bersama antara KPDNHEP dan Kementerian Kewangan.

“Sekarang kita dah masuk minggu kedua bulan Julai. Saya optimis kita boleh bentangkan (kertas jemaah menteri) dalam bulan ini juga. Bila kita dah selesaikan yang itu dan kita boleh umumkan. Sabar, insyaAllah kita akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum di BH Petrol Jawi, di sini hari ini.

Rakyat Malaysia dianggar menggunakan kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan dengan 90 peratus daripadanya ialah RON95 bersubsidi, manakala selebihnya RON97.

Pada Februari lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dihadkan pada kadar RM2.08 untuk semua pengguna tanpa mengira kenaikan harga minyak global.

Saifuddin Nasution berkata kertas jemaah menteri itu merangkumi semua perancangan dan mekanisme pelaksaan sistem subsidi petrol secara bersasar itu termasuk garis masa dan jumlah penerima yang diterangkan secara terperinci.

Beliau berkata buat masa ini semuanya berjalan lancar dan pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah dalam penyediaan kertas jemaah menteri itu.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata tahap kesedaran masyarakat terhadap pengendalian bahan petrol dan keselamatan di stesen minyak semakin meningkat selepas pelaksanaan kempen berkenaan.

Beliau berkata perkara itu berdasarkan kepada jumlah kemalangan di stesen minyak yang masih berada pada tahap rendah.

“Tapi itu bukan bermakna kita boleh berpeluk tubuh, ini adalah usaha berterusan. Kita tidak boleh ambil sikap sudah terhantuk baru terngadah, dah kena baru kita nak kesal. Jadi, sekarang kita usahakan dari awal,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Pertemuan dengan pemegang taruh kongsi maklumat subsidi

JITRA, 12 JUL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh dan agensi media bagi menyampaikan maklumat berkaitan pelaksanaan subsidi petrol bersasar sebelum ia diperkenalkan tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara pemegang taruh itu ialah persatuan pengguna, pengusaha stesen minyak, syarikat minyak dan agensi lain seperti Bank Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Penglibatan pemegang taruh ini telah dibuat dan sesi penerangan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa. Kita sangat komited untuk sampaikan maklumat kepada mereka.

“Contohnya, sebelum ini kita berjumpa dengan senior editor agensi media di mana tujuan perjumpaan itu adalah supaya rakyat negara dapat memperoleh maklumat terkini, tepat dan sahih berkaitan pelaksanaan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan subsidi petrol bersasar di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak media juga diharap dapat memainkan peranan membantu memberi penerangan kepada rakyat apabila pelaksanaan subsidi bersasar itu diperkenalkan kelak.

Sesi penerangan kepada golongan sasar juga akan dimulakan dalam masa terdekat sebaik sahaja kertas kabinet berkaitan perkara itu diluluskan jemaah menteri.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kementeriannya bersama Kementerian Kewangan dalam proses menyediakan kertas itu dengan menumpukan kepada keperluan dan cadangan yang menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan itu dapat memberi manfaat kepada golongan sasar.

“Pelaksanaan subsidi bersasar ini sepatutnya sudah dimulakan pada suku kedua tahun ini tetapi kita sedikit lewat tetapi ingin dimaklumkan bahawa matlamat kementerian adalah bagi memastikan pelaksanaan pemberian subsidi ini kelak menyeluruh dan hanya mempunyai kecacatan yang minimum,” katanya.

Ditanya mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR menyifatkan ia bukan ancaman besar Pakatan Harapan (PH).

“Tahniah kepada dia (Najib) atas pelantikan itu dan tahniah juga kepada BN kerana melihat beliau masih aset penting kepada parti.

“Pelantikan itu proses biasa dan ia bukan satu ancaman besar kepada PH dan saya rasa politik Malaysia akan jadi lebih meriah selepas ini dan kita akan bersaing dalam suasana politik yang sihat,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin Nasution melancarkan penjualan bahan api Infiniti Euro-5 Diesel di stesen minyak BH Petrol Jitra. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tribunal keluar RM3 juta ‘award’ kes tipu pakej pelancongan

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Sebanyak RM3 juta ‘award’ dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna (Tribunal) bagi tempoh 2016 hingga 31 Mei tahun ini, bagi kes penipuan pakej pelancongan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah ‘award’ itu membabitkan 1,057 kes difailkan pengguna dalam tempoh berkenaan dengan keseluruhan tuntutan berjumlah RM6.6 juta.

“Pihak syarikat yang menawarkan pakej pelancongan berkenaan harus patuh dalam tempoh 14 hari dari tarikh ‘award’ dikeluarkan atau diserahkan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PAKATAN-Johor Bahru) berhubung keberkesanan Tribunal dalam membantu rakyat bagi kes penipuan seperti pakej pelancongan.

Tribunal yang ditubuhkan sejak 15 November 1999 berperanan menyediakan saluran alternatif kepada pengguna, untuk menuntut hak secara tebus rugi dan menyelesaikan pertikaian dengan cara lebih mudah.

Saifuddin Nasution berkata bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini pula, tuntutan tebus rugi terhadap perkhidmatan agensi pelancongan mencatat jumlah pemfailan tertinggi membabitkan 202 kes selain pengubahsuaian rumah (196 kes), pembaikan kenderaan (112 kes), dan pendidikan (102 kes).

Katanya, sejumlah RM1.7 juta ‘award’ dikeluarkan Tribunal bagi tuntutan terhadap semua perkhidmatan berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung keperluan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak peguam bagi membantu pengguna membuat tuntutan di Tribunal, Saifuddin Nasution berkata bantuan berkenaan dilihat lebih diperlukan selepas ‘award’ dikeluarkan oleh Tribunal.

“Apabila sesuatu award diberikan, pihak pengguna kena mendaftar keputusan Tribunal di mahkamah, barulah keputusan itu boleh dilaksanakan.

“Di situ, kadang-kadang pengguna merasakan terbeban dan tidak faham proses, kalau ada badan guaman, NGO yang nak ambil (membantu), di situ ada ruang di mana pengguna boleh dibantu,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

KPDNHEP bangun data raya barangan pengguna – Saifuddin

PUTRAJAYA, 2 JUL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memiliki data raya, yang dibangunkan sendiri serta mengandungi lebih 40,000 jenis barangan pengguna, pada tahun depan, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata beberapa pegawai kementerian itu sedang menjalani latihan sekurang-kurangnya tiga bulan bagi memiliki kemahiran membangunkan data raya mengikut acuan kementerian itu.

“Dengan data tersebut, kementerian boleh membuat jangkaan terhadap paten dan potensi turun naik sesuatu barangan mengikut kawasan, daerah dan negeri serta musim tertentu,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Maklumat daripada data itu juga akan dijadikan panduan untuk kementerian memperkenal program dan dasar tertentu berkaitan kepenggunaan pada masa akan datang, katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata pihaknya kini dalam fasa akhir penyediaan kertas kabinet berhubung pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan dijangka boleh dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet pada bulan ini.

“Perkara berkaitan kerangka, mekanisme dan kaedah pelaksanaan telah dimuktamadkan bersama MOF (Kementerian Kewangan) pada mesyuarat minggu lepas,” katanya, sambil menambah kertas kerja itu turut melibatkan maklum balas Kementerian Kewangan.

Beliau berkata inisiatif itu sedia dilaksanakan tahun ini setelah mendapat ‘lampu hijau’ Kabinet.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin menyeru komuniti korporat mengambil peluang membayar kompaun melalui kemudahan pengurangan kadar kompaun secara automatik yang dilaksanakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bermula semalam.

Antara lain, mekanisme dan kadar pengurangan kompaun secara automatik itu menetapkan mereka yang menjelaskan dalam tempoh satu hingga 40 hari akan menikmati kadar pengurangan dari nilai asal kompaun sehingga 85 peratus, katanya.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan hadis untuk menolak usul pengisytiharan harta yang dibentangkan di Parlimen kerana berlawanan dengan pendirian parti itu sebelum ini.

Menurut Saifuddin, Tuan Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian sebelum ini pernah mencabar pemimpin kerajaan terdahulu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri untuk mengisytiharkan harta.

Dewan Rakyat semalam sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Anggota Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing selepas usul yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong itu dibahaskan oleh 26 anggota Parlimen.

Saifuddin berkata pengisytiharan harta merupakan satu mekanisme bagi membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan bersungguh-sungguh dalam meningkatkan integriti dan melawan rasuah. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saifuddin: PKR enggan layan desakan, tuduhan

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu mengambil langkah enggan melayan sebarang desakan mahupun tuduhan membabitkan kepimpinan tertinggi parti.

Sebaliknya, beliau berkata PKR menganggap semua yang berlaku sebagai asam garam yang perlu dihadapi dan diterima oleh parti.

Mengenai terdapat desakan pemimpin politik supaya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Saifuddin menyifatkan perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana sudah jelas.

“Berdasarkan Konvensyen Pakatan Harapan pada 6 Januari 2018, tiga perkara telah dipersetujui, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai pengganti Perdana Menteri.

“Setakat ini, dua perkara sudah kerajaan laksanakan…hanya tinggal satu lagi, jadi tunggu lah,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) di sini hari ini.

Menurutnya lagi, PKR tidak perlu melayan desakan mana-mana pihak termasuk Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohd Shaid Rosli yang mendesak Dr Wan Azizah meletak jawatan terlebih dahulu jika PKR mahu peralihan kuasa di antara Dr Mahathir dan Anwar berlaku. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

110 kes tidak pamer tanda harga dikesan

 

BUKIT MERTAJAM, 1 JUN: Hanya dua kes membabitkan peniaga bertindak menaikkan harga barangan kawalan melebihi harga ditetapkan, dicatat sepanjang 10 hari tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sejak ia dilancarkan 21 Mei lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 110 kes membabitkan kesalahan peniaga tidak mempamerkan tanda harga direkodkan sepanjang pemeriksaan ke atas 28,242 premis perniagaan di seluruh negara.

“Hanya dua kes peniaga menaikkan harga barang, maka kita melihat skim kawalan harga musim perayaan ini berjaya dan sangat berkesan. Ia menyaksikan peniaga-peniaga kita mematuhi syarat yang ditetapkan kementerian.

“Malah, sepanjang pemantauan penguat kuasa kita khususnya di pasar raya juga, sehingga semalam, kebanyakan 27 barang kawalan dalam SHMMP dijual dibawah harga ditetapkan,” katanya semasa berucap pada Majlis Iftar bersama Pengamal Media Zon Utara di sini malam ini.

Saifudin berkata, berdasarkan tinjauan dan pemeriksaan, terdapat peniaga yang menjual harga jauh lebih murah berbanding harga yang ditetapkan kementerian umpamanya ayam yang dijual pada harga RM3.99 sekilogram iaitu di Junjung Kota Bahru Kelantan.

Sementara itu, katanya sebuah syarikat tempatan yang merupakan satu-satunya pengimport sejenis barangan utama pengguna di negara ini dikenal pasti mengaut keuntungan sebanyak 133 peratus.

Beliau berkata, margin keuntungan tersebut dikenal pasti oleh pihaknya menerusi harga jualan barangan terbabit kepada pemborong.

Bagaimanapun beliau berkata, pada masa ini nama syarikat dan jenis barangan itu masih belum boleh didedahkan kepada umum kerana notis beri alasan yang dikemukakan kepada mereka belum dapat diserahkan kepada pihak pengurusannya.

“Kita tahu siapa pengimport terbabit dan kementerian sudah berusaha mengeluarkan notis kepada mereka supaya mengemukakan alasan kenapa mengaut margin keuntungan secara berlebihan.

“Kita sudah berusaha menghantar notis berkenaan sebelum ini, tetapi gagal kerana syarikat terbabit tidak beroperasi pada hari terbabit. Bagaimanapun, kita hantar semula (notis) kepada mereka hari ini,” katanya.

Saifuddin berkata, menjadi perkara biasa jika sesebuah syarikat mahu memastikan perniagaannya mendapatkan keuntungan namun mengaut keuntungan yang berlebihan adalah satu tindakan yang tidak bersesuaian.

– BERNAMA