Categories
AGENDA SUKANKINI

FAS: Luqman masih pemain Selangor 2

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Perpindahan penyerang sensasi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara dan Selangor 2, Luqman Hakim Shamsudin ke kelab profesional Belgium, KV Kortrijk kini terletak di tangan pemain kelahiran Kota Bharu itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata FAS bersetuju secara prinsipnya untuk melepaskan pemain berusia 18 tahun itu.

Katanya, FAS kini hanya menunggu keputusan akhir penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 itu untuk memutuskan masa hadapannya.

“Antara kelab dengan kelab (KV Kortrijk) saya sahkan FAS secara prinsip bersetuju tetapi belum ada apa-apa (dokumen) ditandatangani sebab ia berkait rapat dengan perbincangan antara kelab dan pemain.

“Luqman kena kembali kepada FAS dengan jawapan. Jika beliau setuju dengan terma-terma yang ditetapkan baru semua pihak terlibat akan menandatangani segala dokumen rasmi,” katanya kepada Bernama.

Ahli perniagaan terkemuka negara, Tan Sri Vincent Tan yang juga pemilik KV Kortrijk mendedahkan Luqman Hakim menjadi milik pasukan itu, demikian menurut laporan media tempatan.

Bagaimanapun, Shahril berkata Luqman Hakim masih milik Selangor 2 memandangkan FAS belum mengeluarkan surat pelepasan kepada pemain itu.

“Apa Vincent nak katakan terpulang kepada dia tetapi belum lagi ada dokumen rasmi yang telah ditandatangani. Setahu saya, FAS belum lepaskan Luqman secara rasmi. FAS belum ada keluarkan surat pelepasan selagi Luqman belum kembali kepada kami dengan apa yang beliau persetujui,” jelas Shahril.

Luqman Hakim mencipta sejarah selepas menjadi pemain pertama Malaysia yang ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab KV Kortrijk selama lima tahun bermula musim ini.

Berdasarkan perancangan asal, Luqman Hakim sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City pada Januari lepas sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijk, namun hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan masalah visa dan penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan cari jalan kurangkan kos MRT2

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan dalam usaha mencari jalan mengurangkan kos bagi projek Aliran Transit Massa 2 (MRT2) selepas membatalkan seketika jajaran ketiga projek itu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MRTCorp, Datuk Seri Shahril Mokhtar selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) hari ini.

Pertemuan itu bertujuan membincangkan langkah serta tindakan yang perlu diambil bagi mengurangkan kos MRT2 yang dianggarkan RM32 bilion.

“(Jajaran 3) dibatalkan buat masa sekarang. Kami berbincang bagaimana mencari jalan untuk mengurangkan lagi kos terutamanya Jajaran 2.

“Kami sedang berusaha sehabis baik kurangkan kos untuk jimatkan duit rakyat,” katanya lapor Bernama.

Shahril bagaimanapun tidak menyatakan angka khusus sasaran pengurangan kos tersebut.

Difahamkan, Jajaran MRT2 membabitkan sejauh 52.2 km iaitu 13.5km adalah laluan bawah tanah dengan mempunyai 37 stesen.

Pada masa sama beliau juga mengulangi bahawa projek MRT3 masih ditangguh buat masa ini.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Projek MRT3 yang masih dalam tahap perancangan dibatalkan kerana menelan kos tinggi antara RM40 bilion sehingga RM 45 bilion.