Categories
AGENDA SUKANKINI

FAS: Luqman masih pemain Selangor 2

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Perpindahan penyerang sensasi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara dan Selangor 2, Luqman Hakim Shamsudin ke kelab profesional Belgium, KV Kortrijk kini terletak di tangan pemain kelahiran Kota Bharu itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata FAS bersetuju secara prinsipnya untuk melepaskan pemain berusia 18 tahun itu.

Katanya, FAS kini hanya menunggu keputusan akhir penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 itu untuk memutuskan masa hadapannya.

“Antara kelab dengan kelab (KV Kortrijk) saya sahkan FAS secara prinsip bersetuju tetapi belum ada apa-apa (dokumen) ditandatangani sebab ia berkait rapat dengan perbincangan antara kelab dan pemain.

“Luqman kena kembali kepada FAS dengan jawapan. Jika beliau setuju dengan terma-terma yang ditetapkan baru semua pihak terlibat akan menandatangani segala dokumen rasmi,” katanya kepada Bernama.

Ahli perniagaan terkemuka negara, Tan Sri Vincent Tan yang juga pemilik KV Kortrijk mendedahkan Luqman Hakim menjadi milik pasukan itu, demikian menurut laporan media tempatan.

Bagaimanapun, Shahril berkata Luqman Hakim masih milik Selangor 2 memandangkan FAS belum mengeluarkan surat pelepasan kepada pemain itu.

“Apa Vincent nak katakan terpulang kepada dia tetapi belum lagi ada dokumen rasmi yang telah ditandatangani. Setahu saya, FAS belum lepaskan Luqman secara rasmi. FAS belum ada keluarkan surat pelepasan selagi Luqman belum kembali kepada kami dengan apa yang beliau persetujui,” jelas Shahril.

Luqman Hakim mencipta sejarah selepas menjadi pemain pertama Malaysia yang ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab KV Kortrijk selama lima tahun bermula musim ini.

Berdasarkan perancangan asal, Luqman Hakim sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City pada Januari lepas sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijk, namun hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan masalah visa dan penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Beri peluang pemain Selangor 2 bukti kemampuan

SHAH ALAM, 25 JUN: Barisan pemain muda Selangor 2 termasuk penyerang sensasi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin berpeluang diserapkan ke dalam pasukan utama Selangor musim ini.

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan tidak menafikan perkara itu yang juga menjadi harapan sebahagian penyokong skuad Gergasi Merah untuk melihat lebih ramai pemain muda terutama Luqman Hakim diberikan tempoh permainan dalam skuad utama.

Sathianathan berkata beliau mengamalkan sifat keterbukaan dalam memberi peluang kepada pemain muda membuktikan kemampuan di peringkat tertinggi, namun seseorang pemain itu harus ‘membeli’ kepercayaannya terlebih dahulu.

“Saya sudah pernah peluang kepada Indra (Indra Putra Mahayuddin), Shukor (Muhammad Shukor Adan) dan Hairuddin (Hairuddin Omar) dan ramai lagi pemain muda. Saya tidak kisah tetapi atas nama saja saya tidak boleh bagi.

“Pada saya, persembahan enam hingga lapan bulan lepas yang baik ditampilkan itu sejarah. Saya ingin lihat persembahan sekarang. Jadi saya tunggu laporan Michael (Michael Feichtenbeiner) ketua jurulatih Selangor 2. Berdasarkan laporan dan pemerhatian, saya sudah pilih lima pemain,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata kapten skuad B-18 negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi antara salah seorang daripada lima pemain muda Selangor 2 yang berada dalam radarnya.

Peluang Luqman Hakim yang dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran menyertai pasukan Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk, selain dilaporkan dirisik beberapa kelab Eropah, untuk diserapkan ke dalam skuad utama Selangor tampak cerah jika beliau cemerlang dalam kempen Liga Premier bersama Selangor 2.

Menurut Sathianathan, pemain muda perlu mencabar diri untuk membuktikan kemampuan merebut posisi yang kebiasaannya diisi pemain import jika mengintai peluang menembusi barisan pemain utama.

“Jadi ramai ada peluang, tetapi kena tunjuk. Jangan atas nama saja, pemain kena tunjuk aksi dalam padang untuk saya serap bersama Selangor. Tidak kira sesiapa pun, kalau Selangor 2 ada pemain tua pun saya boleh ambil kalau dia beraksi dengan baik.

“Istilah pemain muda kalau dia sekarang berumur 18 atau 19 dia bukan muda lagi, tetapi apa yang buat saya masukkan seseorang berbakat tinggi itu dalam pasukan…adakah dia lebih baik daripada pemain import yang kita ada di posisi itu. Kedua, adakah dia menyinar bersama Selangor 2?,” jelasnya.

Selangor kini berada di kedudukan kelima, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas bergelut di permulaan musim dengan sekadar mencatat satu kemenangan dan dua seri dalam empat aksi pertama Liga Super.

-BERNAMA