Categories
AGENDA SUKANKINI

Luqman Hakim teruja dipanggil sertai latihan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Pemain sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin cukup teruja dan bermotivasi apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pertama bermula 22 hingga 30 Mac ini, kata ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Beliau berkata pemain berusia 19 tahun itu berada pada tahap baik dengan keyakinan diri berbekalkan latihan dan pengalaman bersama beraksi bersama kelab Liga Belgium, KV Kortrijk.

“Memang kita sudah lama merancang untuk memanggilnya ke latihan skuad kebangsaan dan ini merupakan masa yang sesuai, selain kelab pun bersetuju untuk melepaskannya.

Bakat Luqman Hakim Shamsuddin dikesan dari Akademik Mokhtar Dahari (AMD) dan pernah mewakili Selangor kini mengikat kontrak dengan kelab Belgium, KV Kortrijk.

“Namun, kita tidak mahu memberikan tekanan kepadanya kerana kali pertama menyertai skuad senior,” katanya yang akan mengumpulkan pemain selepas lebih setahun sebagai persediaan ke kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.

Menerusi entri Facebook KV Kortrijk semalam, foto penyerang berbisa skuad Bawah-19 tahun negara berkenaan kelihatan dengan beg pakaiannya bersedia untuk pulang ke tanah air buat kali pertama sejak menyertai kelab tersebut pada Ogos lalu.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata pemain naturalisasi baharu Guilherme De Paula juga bakal dipanggil ke kem tersebut, manakala keputusan mengenai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Liridon Krasniqi yang kini dipinjamkan ke kelab Australia, Newcastle Jets, perlu dikaji semula kerana beberapa kekangan seperti kuarantin.

Beliau berkata senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan, yang akan diadakan dalam norma baharu di sebalik perjuangan menentang pandemik COVID-19 itu, akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.

Pengendali berusia 52 tahun dari Kedah itu, turut mahu melihat status kecederaan pemain seperti Muhammad Safawi Rasid (JDT) dan Brendan Gan (Selangor FC) sebelum membuat keputusan.

“Pemain baru mula beraksi dalam tiga perlawanan Liga Malaysia selepas sekian lama dan ada yang cedera. Jadi saya akan buat keputusan dalam masa satu atau dua hari lagi.

“Selepas lebih setahun sejak kem latihan, fokusnya adalah untuk mendapatkan semula teknik dan rentak permainan. Kita perlu menggilap kembali kemahiran, berusaha dengan gigih dan mendapatkan semula rentak pasukan.

“Pada masa sama, kami tidak boleh memberi tekanan yang banyak kepada pemain kerana mereka baru sahaja memulakan liga…akan beraksi hanya lima perlawanan sebelum menyertai kem latihan,” katanya.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menyambung balik aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia itu, yang terganggu lebih setahun akibat Covid-19, menentang UAE pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Malaysia berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G dengan sembilan mata selepas lima perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Luqman Hakim ‘menjadi’ bersama skuad utama KV Kortrijk

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Penyerang muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin terus mempamerkan prestasi membanggakan apabila menjaringkan gol sulung dalam penampilan pertama bersama skuad utama kelab KV Kortrijk, pada Sabtu.

Pada aksi persahabatan itu, KV Kortrijk menewaskan BX Brussels 2-1 dalam perlawanan berlangsung di Belgium.

Ini merupakan gol kedua pemain bawah 19 tahun (B-19) negara selepas meledak gol pertama di bumi Eropah bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) KV Kortrijk ketika pasukan itu tewas 1-4 kepada KRC Gent minggu lepas.

Luqman Hakim bagaimanapun tidak mahu berasa selesa sebaliknya bertekad untuk terus bekerja keras bagi memikat hati pengurus kelab Yves Vanderhaeghe.

“Ia sukar buat saya kerana ini pertama kali bermain di Eropah, dan setiap pemain berusaha gigih, bagaimanapun, ia bagus untuk saya. Saya boleh belajar dari mereka (untuk perbaiki permainan),” katanya dalam laman sosial KV Kortrijk.

Luqman Hakim berlepas ke Belgium bulan lepas setelah menandatangani kontrak lima tahun bersama KV Kortrijk yang dimiliki taikun perniagaan Malaysia Tan Sri Vincent Tan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Luqman Hakim lengkapkan perpindahan ke kelab Belgium, KV Kortrijk

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Pemain bola sepak remaja sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin hari ini melengkapkan proses perpindahannya ke kelab profesional Belgium, KV Kortrijk dengan mengikat kontrak lima tahun bersama kelab tersebut.

Pada usia 18 tahun, Luqman Hakim pemain utama skuad Bawah 19 (B-19) Kebangsaan, akan menjadi rakyat Malaysia pertama bermain di Divisi Utama A, Belgium.

Difahamkan Luqman Hakim akan menerima pendapatan pada sekitar RM20,000 hingga ke RM23,000 sebulan, selain disediakan sebuah apartment dan kereta.

Beliau telah diperkenalkan sebagai seorang pemain ‘De Kerels’ pada satu majlis yang turut dihadiri pemilik KV Kortrijk Tan Sri Vincent Tan, Duta Besar Belgium ke Malaysia Pascal H Gregoire dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon.

“Satu perkara bersejarah untuk bola sepak Malaysia, beliau mungkin rakyat Malaysia pertama bermain di Eropah dan pemain Malaysia bermain dalam liga premier Belgium. Ia satu keputusan besar buat kelab, pihak pengurusan juga merasakan ia terlalu awal, tetapi saya sebagai pemilik meminta beliau (Luqman Hakim) diberikan peluang,” kata Tan pada sidang media selepas majlis tersebut.

Luqman Hakim dijangkakan akan bertolak ke Kortrijik minggu depan bagi menjalani pemeriksaan perubatan sebagai persediaan menghadapi Liga Pro yang dijadualkan bermula bulan ini.

Penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 itu, gembira untuk akhirnya menyertai pasukan di Belgium itu selepas perbincangan yang memakan masa berbulan, termasuk laporan yang mengaitkan beliau dengan beberapa kelab Eropah.

“Saya rasa amat bangga dan bersyukur diberi peluang untuk bermain di sana. Jadi saya harap rakyat Malaysia berdoa semoga saya dapat bermain dengan 100 peratus,” katanya pemain kelahiran Kota Bharu itu.

Berdasarkan perancangan asal, Luqman Hakim sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City pada Januari lepas sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijk, namun hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan masalah visa dan penularan pandemik Covid-19.

Luqman Hakim telah tersenarai dalam senarai tahunan ‘Next Generation’ Guardian, selaku 60 pemain remaja berbakat terbaik pemain dan juga salah seorang daripada 80 bakat muda dari seluruh dunia untuk anugerah ‘Golden Boy’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sertai kelab Belgium, MB harap Luqman harumkan nama negara

SHAH ALAM, 5 JULAI: Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain bola sepak Selangor, Luqman Hakim Shamsudin yang menyertai kelab divisyen 1 Belgium, KV Kortrijk.

Beliau berharap penghijrahan penyerang muda negara itu akan akan mengharumkan nama negara.

“Tahniah dan selamat berjaya diucapkan kepada adik Luqman Hakim,” kata Dato’ Menteri Besar menerusi Twitter hari ini.

Semalam, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengesahkan perpindahan Luqman Hakim apabila mencapai persetujuan bersama KV Kortrijk dan langkah itu mampu memperkukuhkan karier profesional pemain remaja itu ke peringkat seterusnya.

“Kami berharap ia memberi manfaat kepadanya serta membantu industri bola sepak negara dalam jangka masa panjang seterusnya membuka lebih banyak peluang kepada pemain muda tempatan mengembangkan karier di luar negara,” katanya.

Pada usia 18 tahun, Luqman Hakim dinobatkan sebagai salah satu bakat terbesar negara oleh Goal Malaysia dalam senarai NxGn 2020.

Beliau juga menjadi penjaring terbanyak AFC U-16 walaupun hanya bermain dua perlawanan, dan pada masa sama menjadi tonggak penting membantu skuad remaja negara di Kejuaraan Remaja AFF U-19, tahun lalu.

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAS: Luqman masih pemain Selangor 2

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Perpindahan penyerang sensasi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara dan Selangor 2, Luqman Hakim Shamsudin ke kelab profesional Belgium, KV Kortrijk kini terletak di tangan pemain kelahiran Kota Bharu itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata FAS bersetuju secara prinsipnya untuk melepaskan pemain berusia 18 tahun itu.

Katanya, FAS kini hanya menunggu keputusan akhir penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 itu untuk memutuskan masa hadapannya.

“Antara kelab dengan kelab (KV Kortrijk) saya sahkan FAS secara prinsip bersetuju tetapi belum ada apa-apa (dokumen) ditandatangani sebab ia berkait rapat dengan perbincangan antara kelab dan pemain.

“Luqman kena kembali kepada FAS dengan jawapan. Jika beliau setuju dengan terma-terma yang ditetapkan baru semua pihak terlibat akan menandatangani segala dokumen rasmi,” katanya kepada Bernama.

Ahli perniagaan terkemuka negara, Tan Sri Vincent Tan yang juga pemilik KV Kortrijk mendedahkan Luqman Hakim menjadi milik pasukan itu, demikian menurut laporan media tempatan.

Bagaimanapun, Shahril berkata Luqman Hakim masih milik Selangor 2 memandangkan FAS belum mengeluarkan surat pelepasan kepada pemain itu.

“Apa Vincent nak katakan terpulang kepada dia tetapi belum lagi ada dokumen rasmi yang telah ditandatangani. Setahu saya, FAS belum lepaskan Luqman secara rasmi. FAS belum ada keluarkan surat pelepasan selagi Luqman belum kembali kepada kami dengan apa yang beliau persetujui,” jelas Shahril.

Luqman Hakim mencipta sejarah selepas menjadi pemain pertama Malaysia yang ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab KV Kortrijk selama lima tahun bermula musim ini.

Berdasarkan perancangan asal, Luqman Hakim sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City pada Januari lepas sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijk, namun hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan masalah visa dan penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Beri peluang pemain Selangor 2 bukti kemampuan

SHAH ALAM, 25 JUN: Barisan pemain muda Selangor 2 termasuk penyerang sensasi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin berpeluang diserapkan ke dalam pasukan utama Selangor musim ini.

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan tidak menafikan perkara itu yang juga menjadi harapan sebahagian penyokong skuad Gergasi Merah untuk melihat lebih ramai pemain muda terutama Luqman Hakim diberikan tempoh permainan dalam skuad utama.

Sathianathan berkata beliau mengamalkan sifat keterbukaan dalam memberi peluang kepada pemain muda membuktikan kemampuan di peringkat tertinggi, namun seseorang pemain itu harus ‘membeli’ kepercayaannya terlebih dahulu.

“Saya sudah pernah peluang kepada Indra (Indra Putra Mahayuddin), Shukor (Muhammad Shukor Adan) dan Hairuddin (Hairuddin Omar) dan ramai lagi pemain muda. Saya tidak kisah tetapi atas nama saja saya tidak boleh bagi.

“Pada saya, persembahan enam hingga lapan bulan lepas yang baik ditampilkan itu sejarah. Saya ingin lihat persembahan sekarang. Jadi saya tunggu laporan Michael (Michael Feichtenbeiner) ketua jurulatih Selangor 2. Berdasarkan laporan dan pemerhatian, saya sudah pilih lima pemain,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata kapten skuad B-18 negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi antara salah seorang daripada lima pemain muda Selangor 2 yang berada dalam radarnya.

Peluang Luqman Hakim yang dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran menyertai pasukan Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk, selain dilaporkan dirisik beberapa kelab Eropah, untuk diserapkan ke dalam skuad utama Selangor tampak cerah jika beliau cemerlang dalam kempen Liga Premier bersama Selangor 2.

Menurut Sathianathan, pemain muda perlu mencabar diri untuk membuktikan kemampuan merebut posisi yang kebiasaannya diisi pemain import jika mengintai peluang menembusi barisan pemain utama.

“Jadi ramai ada peluang, tetapi kena tunjuk. Jangan atas nama saja, pemain kena tunjuk aksi dalam padang untuk saya serap bersama Selangor. Tidak kira sesiapa pun, kalau Selangor 2 ada pemain tua pun saya boleh ambil kalau dia beraksi dengan baik.

“Istilah pemain muda kalau dia sekarang berumur 18 atau 19 dia bukan muda lagi, tetapi apa yang buat saya masukkan seseorang berbakat tinggi itu dalam pasukan…adakah dia lebih baik daripada pemain import yang kita ada di posisi itu. Kedua, adakah dia menyinar bersama Selangor 2?,” jelasnya.

Selangor kini berada di kedudukan kelima, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas bergelut di permulaan musim dengan sekadar mencatat satu kemenangan dan dua seri dalam empat aksi pertama Liga Super.

-BERNAMA