Categories
RENCANA SELANGOR

Anak Selangor cipta plastik ‘ghaib’

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 11 APR: Cukup mengagumkan! itulah yang boleh digambarkan apabila anak jati Selangor berjaya menghasilkan plastik boleh ‘ghaib’ dalam air kurang dari dua jam.

Lebih menarik apabila air yang mempunyai kandungan plastik itu masih selamat untuk alam sekitar memandangkan ia diperbuat daripada batang kelapa sawit.

Kejayaan itu adalah hasil usaha gigih Mohd Suhaidi Jaapar dan isterinya, Norazwa Mustapha melalui Syarikat Palm Fiber Sdn Bhd.

Inovasi berkenaan sememangnya cukup bermakna apabila pencemaran plastik sudah menjadi wabak yang berbahaya kepada hidupan laut dan manusia.

Setiap hari, berjuta-juta plastik digunakan manusia dan akhirnya akan dibuang ke tapak pelupusan sampah atau hanyut ke laut.

Sedangkan plastik itu hanya mampu reput dalam tempoh 20 hingga 100 tahun mengikut kajian Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat.

Pengurus Pemasaran Palm Fiber, Norazwa Mustapha berkata, plastik yang dihasilkan syarikatnya itu sudahpun memasuki pasaran Singapura dan dijadikan beg dobi di kalangan pengusaha hotel negara republik berkenaan.

Katanya, peka dengan kegunaan harian, pihaknya turut membekalkan dua jenis plastik.

“Ini memandangkan Malaysia mempunyai kekerapan hujan yang agak tinggi, jadi, syarikat kami turut menghasilkan plastik yang boleh reput kurang dalam tempoh seminggu.

“Oleh itu ia sesuai digunakan untuk mengisi barang tanpa pengguna perlu bimbang ia akan reput dengan cepat,” katanya kepada SelangorKini.

Palm Fiber adalah salah satu peserta Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 yang berlangsung Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada 3 hingga 6 April lalu.

Norazwa berkata, bukan mudah untuk melawan pencemaran plastik kerana ia digunakan dalam semua kegunaan harian sebagai perabot, kenderaan dan yang paling aktif penggunaannya berkaitan pembungkusan makanan.

Katanya, bagaimanapun plastik mesra alam sekitar itu sudah dipasarkan ke Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka itu turut menjalani kajian dan penyelidikan selama setahun melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Tetapi itu bukanlah halangan, kita perlu terus mendidik masyarakat dengan nasihat dan juga tindakan seperti penggunaan pembungkusan ‘biodegradable’ sebegini.

“Malaysia yang turut terkesan dengan pencemaran plastik di lautan, mestilah bersungguh-sungguh mendidik masyarakat tentang pencemaran plastik, termasuk isu berkaitan alam sekitar lain seperti perubahan cuaca, ancaman kepelbagaian biologi dan pencemaran bahan kimia,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

Aplikasi ‘Verify Halal’ bantu pelancong kenal pasti produk halal

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 5 APR: Aplikasi ‘Verify Halal’ dapat membantu pelancong khususnya umat Islam yang berkunjung ke luar negara bagi mencari produk halal.

Ketua perkongsian antarabangsa dan acara global Serunai Commerce Sdn Bhd, Intan Suriya berkata, melaluinya, pengguna boleh membuat semakan status bagi mencari restoran, kafe dan juga produk halal.

“Selepas ini, jika anda berkunjung ke mana-mana negara, tidak perlu lagi pening kepala untuk membuat semakan melalui Google atau sebagainya, sebaliknya hanya gunakan ‘Verify Halal’ sahaja.

“Sehingga kini aplikasi berkenaan sudah dimuat turun lebih 100,000 pengguna sejak mula dicipta tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Serunai Commerce Sdn Bhd adalah salah satu peserta yang menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Mengulas lanjut, Intan berkata, aplikasi dihasilkan melalui usahasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu turut berjaya menangani isu viral yang tidak sahih, terutamanya berkaitan status halal.

“Melaluinya, orang ramai boleh memeriksa status halal sesuatu produk hanya di hujung jari tanpa perlu bersusah payah menghubungi JAKIM.

“Hanya menggunakan aplikasi percuma ini, isu yang tidak sahih atau ragu-ragu boleh ditangani segera, ia sekali gus membantu umat Islam tidak lagi berasa was-was,” katanya.

Aplikasi itu boleh dimuat turun melalui Google Play dan juga AppStore.

Categories
SELANGOR

Pavilion Selangor tawar pelbagai produk halal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 APR: Pavilion Selangor menawarkan pelbagai produk halal kepada pengunjung Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019, bermula dari 3 hingga 6 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, terdapat 40 pempamer yang terdiri daripada industri makanan, perhotelan, pembangunan hartanah dan juga pengangkutan.

“Menariknya kali ini, Selangor di antara negeri yang membawa pempamer teramai berbanding negeri lain.

“Oleh itu, saya yakin pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat berguna khususnya mengenai industri halal dari Selangor,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Hasan Azhari berkata, ia adalah penganjuran kali kedua yang disertai Invest Selangor ketika penganjuran MIHAS.

“Selangor berbangga kerana kita juga adalah di antara negeri yang mempunyai paling banyak syarikat mempunyai sijil halal.

“Malah mereka juga di antara penyumbang besar kepada ekonomi negeri, oleh itu saya mengalu-alukan orang ramai untuk berkunjung ke Pavilion Selangor,” katanya.

Antara pempamer yang menyertai Pavilion Selangor kali ini ialah, Bangi Hotel Resort; Central Spectrum (M) Sdn Bhd; Cookies Most Wanted; Northport; Samza Food; HP Artisan Sdn Bhd dan Palm Fiber Sdn Bhd.

Orang ramai boleh maklumat lanjut mengenai Pavilion Selangor melalui facebook dan instagram: Selangorpavilion.

Categories
NASIONAL

Krisis perdagangan AS-China tak jejas penyertaan China dalam MIHAS 2019

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Penyertaan pempamer China dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang dijadualkan pada 3 hingga 6 April depan, tidak akan terjejas oleh perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berterusan.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, wujud penambahan sebanyak 22 peserta China dalam acara terbabit, sehingga menjadikan China sebagai negara ketiga terbesar mengambil bahagian selepas Thailand (29 pempamer) dan Korea Selatan (26 pempamer).

“Pempamer China sentiasa menjadi antara peserta terbesar di MIHAS.

“Bukan semua mengenai perang perdagangan AS-China akan menjadi negatif. Ia boleh memberi impak positif serta membolehkan Malaysia menjadi alternatif kepada pengimport China yang terjejas akibat tarif 25 peratus yang dikenakan AS,” katanya dalam taklimat media mengenai MIHAS 2019 hari ini, lapor BERNAMA.

Wan Latiff berkata, kira-kira 1,000 pempamer dijangka menyertai edisi ke-16 MIHAS di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada tahun ini.

“Peneraju tempatan terdiri daripada 64 peratus, bakinya adalah peserta luar negara, kebanyakannya terbabit dalam sektor makanan dan minuman,” katanya.

Wan Latiff menegaskan bilangan pembeli Jepun yang akan menyertai sesi padanan perniagaan- Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) – yang berlangsung sempena MIHAS 2019, juga telah melonjak tiga kali ganda kepada 13 peserta berbanding hanya lima syarikat pada tahun lalu, menjelang Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berasa teruja melihat peningkatan itu memandangkan MATRADE telah bekerjasama dengan rakan kongsinya di Jepun, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), selama beberapa tahun untuk mempromosikan industri halal.

Sementara itu, beliau menggesa peneraju industri halal tempatan untuk mengambil kesempatan daripada MIHAS 2019, yang digelar sebagai pameran perdagangan halal terbesar di dunia, bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Katanya, pelbagai program, termasuk enam persidangan dan lebih daripada 35 seminar akan diadakan sempena acara terbabit. Ia merangkumi Forum Inovasi Halal oleh World Startup Festival, Persidangan Pelancongan Islam oleh Pusat Pelancongan Islam dan HalalTrip serta termasuk Hari Kerjaya Halal.

MIHAS 2019 dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan dianjurkan oleh MATRADE.