Categories
NASIONAL

Anwar Lambang Gerakan Perpaduan dan Perubahan Rakyat

PETALING JAYA, 11 DIS : Senator Dr Syed Husin Ali menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai lambang gerakan bagi perpaduan dan pemacu perubahan rakyat di negara ini.

Ini kerana menurutnya, Anwar yang juga Ketua Umum PKR merupakan medium utama dalam menyuara dan membawa kehendak rakyat yang inginkan perubahan dari sudut politik, ekonomi dan sosial di Malaysia.

Beliau berkata, penerimaan rakyat terhadap Anwar sebagai ikon perubahan mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin Umno-BN.

“Dalam kehendak untuk perubahan ini, kita bernasib baik kerana mempunyai seorang pemimpin yang amat dikagumi. Rakyat terimanya sebagai lambang dan kerana itu Umno-BN terlalu takut untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Dalam membicarakan soal peristiwa di Baling, Kedah pada tahun 1974, kita mempunyai lambang yang merupakan pimpinan di mana beliau (Anwar) mengalami kezaliman yang dikenakan ke atas pejuang Baling,” katanya semasa syarahan signifikan memperingati demonstrasi Baling di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini malam tadi.

Syarahan itu merupakan anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan dihadiri aktivis antaranya Prof Gurdial Singh, Kamarazaman Yaakob dan Syed Hamid Ali.

Dalam pada itu, Syed Husin turut menyeru rakyat supaya bersatu-padu dalam memacu perubahan dari sudut pemerintahan setelah lebih 50 tahun ditadbir oleh Umno-BN.

Beliau berkata, soal perpaduan itu bukan hanya melibatkan golongan tertentu, sebaliknya perlu disertai oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama.

“Taraf kemiskinan tidak berubah walaupun sudah lebih 50 tahun dan dalam tempoh sama kerajaan juga tidak berubah. Kita perlu ubah dan dalam keadaan sekarang rakyat mahu perubahan.

“Pihak pemerintah takut akan perpaduan dan perubahan. Soal perpaduan bukan Umno dengan PAS, bukan dengan orang Melayu sahaja, kalau nak perpaduan yang sebenarnya perlu libatkan semua rakyat daripada semua golongan,” katanya lagi.

Peristiwa Baling Jadi Contoh Kebangkitan Rakyat

PETALING JAYA, 11 DIS : Peristiwa Baling, Kedah pada tahun 1974 yang menunjukkan kebangkitan rakyat dalam menuntut keadilan harus dihayati dan dijadikan iktibar oleh semua masyarakat, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun peristiwa Baling merupakan suatu sejarah terpencil, namun ia mampu membangkitkan suara dan pandangan rakyat bahawa sistem pimpinan kerajaan pada ketika itu adalah ‘rosak’.

“Upacara memperingati peristiwa Baling harus dijadikan acara tahunan yang perlu disebarluaskan supaya anak muda tahu apa yang berlaku dari kebangkitan rakyat era 70 an.

“Jangan kita andaikan kelompok paling miskin itu tidak ikuti perkembangan semasa. Peristiwa Baling harus mengajar bukan sahaja pengalaman sejarah, tetapi mengajar orang bandar bahawa rakyat di desa boleh beri pimpinan,” katanya semasa menyampaikan syarahan memperingati Demonstrasi Baling di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini semalam.

Hadir sama, Senator Dr Syed Husin Ali, aktivis Prof Gurdial Singh, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Kamarazaman Yaakob, Syed Hamid Ali dan Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin.

Pada 1974, Anwar melancarkan demonstrasi besar-besaran apabila ada laporan media yang menyatakan bahawa penduduk di Baling mati kerana kelaparan akibat kemiskinan.

Hasil demonstrasi tersebut, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA) selama 22 bulan.

Bagaimanapun kesan daripada itu, Kerajaan Umno-BN secara sembunyi terpaksa mengambil tindakan proaktif untuk membangunkan masyarakat luar bandar.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa soal kepedulian rakyat harus diutamakan dan tidak boleh ditolak ansur.

Menurutnya, seseorang pemerintah itu perlu menegakkan keadilan yang saksama untuk rakyat bagi mengurangkan amalan ‘kronisme’ yang diamalkan Kerajaan Umno-BN sekarang.

“Memacu pembangunan itu adalah suatu kemestian, namun kita tidak boleh izinkan kelompok kecil memunggah kekayaan seperti yang berlaku sekarang. Kita tidak boleh izinkan penyelewengan dan rasuah,” katanya lagi.