Categories
NASIONAL

Isu dera: Tiga beranak direman lima hari

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Tiga beranak yang ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes penderaan ke atas dua kanak-kanak di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong dekat Serdang, direman lima hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan reman sehingga 20 Jun ke atas ketiga-tiga individu berkenaan.

Menurut Ismadi, kedua-dua mangsa yang mengalami kesan dera hampir di seluruh badan selain dipercayai mengalami kurang zat badan, kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

“Siasatan terhadap lelaki, wanita dan remaja berkenaan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 masih dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Polis menahan tiga beranak itu dalam siasatan kes dera berkenaan yang melibatkan kanak-kanak berusia tujuh dan lapan tahun.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Suami isteri disyaki dera kanak-kanak direman tujuh hari

 

YAN, 27 Mei: Sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki dua tahun yang meninggal dunia pada 25 Mei lepas, disyaki akibat didera bapa tirinya di Jalan Yan, Guar Chempedak dekat sini.

Perintah reman itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Yan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lelaki berusia 28 tahun dan wanita berumur 22 tahun itu juga didapati positif dadah ketika tangkapan dibuat ke atas mereka.

“Suspek lelaki tersebut juga mempunyai rekod lampau berkaitan melupuskan barang kes dan dadah iaitu masing-masing mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) ADB (Akta Dadah Berbahaya),” katanya.

Semalam media melaporkan mangsa Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul maut selepas mengalami kecederaan dalaman dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Shahnaz dipetik sebagai berkata dalam kejadian jam 7.30 malam itu mangsa ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di lantai rumah di Jalan Yan, Guar Chempedak sebelum bapa tirinya membawa Muhammad Aqil ke hospital dan doktor mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kanak-kanak dua tahun meninggal dunia dipercayai didera

ALOR SETAR, 26 MEI: Seorang kanak-kanak lelaki dua tahun meninggal dunia, dipercayai akibat didera oleh bapa tirinya di Jalan Yan, Guar Chempedak, semalam.

Ekoran kejadian itu polis telah menahan suspek berumur 28 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di atas kematian kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar berkata, kanak-kanak itu telah dibawa sendiri oleh suspek untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, namun doktor yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

“Pada pukul 7.30 malam semalam, suspek memaklumkan telah menemui anak tirinya dalam keadaan terbaring di lantai bahagian dapur,dalam keadaan tidak sedarkan diri. Suspek telah segera membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, doktor yang menjalankan bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan daya tumpul di bahagian abdomen, berikutan terdapat koyakan pada hati mangsa, pendarahan pada organ dan kesan lebam pada usus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahnaz berkata, doktor turut memaklumkan bahawa mangsa juga mungkin dicubit dan ditumbuk di bahagian perut dan belakang badan berdasarkan kesan lebam dan kesan corak kecederaan pada mangsa adalah daripada perbuatan yang disengajakan.

“Kecederaan dalaman yang dialami mangsa juga adalah baru dan tidak sampai beberapa jam sebelum mangsa meninggal dunia,” katanya.

Ibu mangsa berumur 22 tahun juga turut ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pembantu rawatan kesihatan rumah anak yatim bebas tuduhan dera kanak-kanak

 

KUALA LUMPUR, 24 Mei:Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pembantu rawatan kesihatan di rumah anak yatim di Cheras atas pertuduhan mendera kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, tahun lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah membuat keputusan itu terhadap Mohamed Syafiq Mohamed, 27, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah berpendapat bahawa keterangan yang diberikan oleh saksi pendakwaan adalah berpandukan kepada keterangan mengikut keadaan.

“Setelah membuat penilaian maksimun, tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Mohamed Syafiq didakwa melakukan penderaan terhadap kanak-kanak itu di dalam bilik bayi di rumah anak-anak yatim itu pada 8.30 malam, 11 Oktober 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan manakala Mohamed Syafiq diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bapa disyaki dera anak ditangkap

KUALA KANGSAR, 17 Mei: Seorang penggangur ditahan selepas disyaki mendera dua anaknya dalam satu kejadian di Taman Sri Emas di sini malam tadi.

Mangsa masing-masing berusia lima dan 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, suspek berusia 36 tahun ditberkas selepas menerima laporan daripada isterinya pada pukul 8.20 malam.

Menurut Razali, wanita berusia 34 tahun tersebut dalam laporannya memberitahu pada kira-kira pukul 6 petang semalam, suspek telah mengamuk dan memarahi anak mereka dengan menarik rambut anak perempuan yang berumur 13 tahun.

Katanya semasa si isteri cuba menghalang, dia telah ditampar pipi kanan sambil rambutnya turut direntap dan kepala dihentak di kerusi selain tangan kiri dipulas ke belakang.

“Anak pasangan itu lari masuk ke bilik dan suaminya telah membaling pakaian ke muka anaknya. Suspek juga menumbuk perut isterinya, menghentak kepalanya di dinding dan mencekiknya sehingga sukar bernafas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Razali berkata kejadian itu menyebabkan isteri suspek yang merupakan pembantu perawatan Hospital Kuala Kangsar cedera, manakala anak-anak pasangan tersebut mengalami trauma dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan 323/326A Kanun Keseksaan.

Katanya hasil siasatan mendapati suspek sering memukul isterinya dan pasangan tersebut sedang dalam proses perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wanita dera anak angkat ditahan

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Seorang wanita ditahan polis di Jalan Sungai Tua, Batu Caves dekat sini hari ini kerana disyaki memukul serta menendang anak angkatnya berusia tujuh tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selango,r SAC Fadzil Ahmat berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan pada kira-kira 5 petang oleh anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

“Polis menerima laporan berhubung satu rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dipukul seorang wanita dan mangsa menangis apabila ditendang beberapa kali di bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah apartmen di Taman Raintree, Batu Caves pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata wanita itu dipercayai melakukan perbuatan itu untuk melepaskan geram terhadap suaminya yang juga bapa saudara mangsa. Pasangan itu dikatakan telah bercerai awal tahun ini.

Wanita itu akan direman esok untuk membantu siasatan di bawah Akta Kanak-kanak 2001. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bayi dipercayai mangsa dera meninggal dunia

SIBU, 13 JAN: Bayi lelaki yang kritikal selepas dipercayai didera pengasuhnya, di Taman Permai di sini Isnin lalu, meninggal dunia di Hospital Sibu, hari ini.

Aariz Harraz Zahin Azman, sembilan bulan, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya Hajijah Tahir, pada jam 11.55 pagi selepas alat sokongan hayatnya dihentikan, pada jam 11.30 pagi.

Bayi itu disahkan ‘mati otak’, pada jam 9.10 pagi semalam oleh pasukan perubatan yang merawatnya.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, keputusan untuk menghentikan mesin sokongan hayat itu dipersetujui ibu bapa bayi malang berkenaan, semalam selepas hasil ujian ke atas otak mangsa untuk kali kedua kekal sama.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka, Dr Anuar Rapa’ee yang hadir di hospital untuk menziarah mangsa, meminta masyarakat memberi ruang kepada kedua ibu bapa bayi berkenaan untuk bersama keluarga menghadapi tragedi terbabit.

“Sekarang kita serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai di sini sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain mengalami retak pada bahagian kiri kepala dipercayai akibat hentakan kuat.

Suspek yang berusia 39 tahun ditahan polis pada hari berikutnya susulan laporan polis dibuat bapa mangsa.

Wanita itu kemudiannya dilaporkan mengaku menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis dan mendakwa tertekan kerana mengalami kesakitan akibat haid.

Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen menjalankan pusat asuhan dan hanya membantu menjaga kanak-kanak yang dihantar ibu bapanya, pada waktu bekerja.

*Sumber: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor catat 825 kes dera kanak-kanak hingga Jun lalu

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 OGOS: Seramai 825 kanak-kanak di Selangor didera bagi tempoh Januari hingga Jun lalu seterusnya menyebabkan kebimbangan serius.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata daerah Petaling mencatatkan jumlah tertinggi apabila 154 kanak-kanak membabitkan 79 perempuan dan 75 lelaki didera daripada jumlah keseluruhan itu.

pc dr daroyah 2Katanya, jumlah kanak-kanak yang didera di negeri itu sejak 2012 menunjukkan peningkatan dan ia adalah satu angka yang membimbangkan jika tidak dipandang serius.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti dan program kesedaran dengan kerjasama agensi berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dilaksanakan dan ia akan diteruskan untuk mendidik masyarakat berkenaan masalah penderaan yang semakin meningkat setiap tahun.

“Kanak-kanak yang berdepan dengan penderaan ini akan ditempatkan di rumah perlindungan yang dikawal selia JKM.

“Mengikut Dasar Perlindungan Kanak-Kanak, mereka mempunyai hak untuk mendapat perlindungan dan dijaga daripada segi kebajikan dan JKM adalah agensi yang bertanggungjawab untuk menangani masalah penderaan,” katanya ketika sesi soal jawab dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Jenayah-Dera-Kanak-KanakDr Daroyah berkata, kanak-kanak yang diletakkan di bawah enam pusat perlindungan akan diberikan didikan spiritual, emosi dan pendidikan.

Mengikut rekod, pada 2012 jumlah kanak-kanak yang didera membabitkan 1,113 kes dan ia meningkat setiap tahun iaitu 1,142 kes (2013); 1,255 kes (2014) dan antara Januari hingga Jun lalu membabitkan 825 kes.

Beliau berkata, antara faktor yang dikesan menjadi punca kepada penderaan antaranya masalah kewangan, perbalahan keluarga, masalah di tempat kerja, jenis kediaman dan sikap masyarakat.

“Program motivasi dan bengkel juga turut diadakan kepada ibu bapa bagi memastikan kes penderaan kanak-kanak di negeri ini dapat dikurangkan.

“Penderaan fizikal paling banyak dilaporkan berlaku di negeri ini. Kita harap dengan program dan aktiviti kesedaran yang diadakan dapat mengurangkan jumlah kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha (PAS) yang ingin mengetahi punca dan jenis penderaan yang berlaku terhadap kanak-kanak.

-NFN-