Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ jadi PBT pertama anjur Hari Haiwan Sedunia setiap tahun

Dr Xavier Jayakumar Hari Haiwan Sedunia (1)

SHAH ALAM 28 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencipta sejarah apabila menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia menganjurkan sambutan Hari Haiwan Sedunia setiap tahun, sejak 2009.

Penganjuran tahun keempat itu mengetengahkan tema ‘Tanggungjawab Pemilikan Haiwan Peliharaan’ bertujuan mewujudkan tahap kesedaran pemilik haiwan dan rasa tanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara.

Sempena Hari Haiwan Sedunia 2013,  forum ‘Pemilik Haiwan Yang Bertanggungjawab’ diadakan di Dewan Ilmu Perpustakaan Komuniti MBPJ, di sini, baru-baru ini.

Perasmian program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPJ, Dr Chitradavi; Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Hayati Abdullah serta Ahli Majlis MBPJ.

Pada majlis sama, pemilik haiwan turut diberikan sijil, selain sesi pembentangan kertas kerja dan soal jawab bersama ahli panel.

MBPJ turut memaklumkan penguatkuasaan undang-undang kecil perlesenan dan rumah pembiakan anjing sudah dilaksanakan bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak melakukan perbuatan kejam terhadap haiwan berkenaan.

Penalti sebanyak RM2,000 akan dikenakan atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika terdapat pihak yang melanggar undang-undang kecil itu.

MBPJ juga turut menubuhkan Canine Advisory Team (CAT) di Negeri Selangor sebagai tanda prihatin dan bertanggungjawab atsa kebajikan haiwan.

-NFN-