Categories
SELANGOR

Pam tolak air balik ke laut di Telok Gong siap dipasang

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerja pemasangan pam di Kunci Air Kampung Perajurit, Telok Gong siap sepenuhnya untuk beroperasi sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar.

Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri turun padang memantau perkembangan pemasangan pam itu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Klang, tengahari tadi.

“Inisiatif ini diambil sebagai persiapan menghadapi banjir yang dijangka bermula pada waktu Subuh nanti.

“Bersama kita berdoa dan berusaha semoga dijauhi daripada bencana yang tidak diingini,” tulisnya di facebooknya.

m2Pemasangan pam dilokasi terbabit adalah sebahagian daripada 21 pam yang dipasang di daerah Klang untuk menolak balik air ke laut sekali gus menghindar dari berlakunya banjir.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM4.3 juta untuk memperbaiki benteng atau ban yang pecah sebagai persediaan menghadapi fenomena air laut pasang besar kali ini.

Sehingga kini, 414 pusat pemindahan banjir seluruh negeri dibuka secara 24 jam bagi menempatkan mangsa fenomena air pasang besar di kawasan terlibat.

Setakat 6 petang tadi, seramai 312 orang daripada 75 keluarga mula berpindah ke tiga pusat penempatan mangsa banjir iaitu satu di Klang, manakala dua lagi di Sabak Bernam.

Jumlah mangsa dijangka meningkat menjelang tengah malam ini dan awal pagi esok, berikutan air laut diramal meningkat sehingga 5.7m, kira-kira 6 pagi esok.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ jadi PBT pertama anjur Hari Haiwan Sedunia setiap tahun

Dr Xavier Jayakumar Hari Haiwan Sedunia (1)

SHAH ALAM 28 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencipta sejarah apabila menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia menganjurkan sambutan Hari Haiwan Sedunia setiap tahun, sejak 2009.

Penganjuran tahun keempat itu mengetengahkan tema ‘Tanggungjawab Pemilikan Haiwan Peliharaan’ bertujuan mewujudkan tahap kesedaran pemilik haiwan dan rasa tanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara.

Sempena Hari Haiwan Sedunia 2013,  forum ‘Pemilik Haiwan Yang Bertanggungjawab’ diadakan di Dewan Ilmu Perpustakaan Komuniti MBPJ, di sini, baru-baru ini.

Perasmian program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPJ, Dr Chitradavi; Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Hayati Abdullah serta Ahli Majlis MBPJ.

Pada majlis sama, pemilik haiwan turut diberikan sijil, selain sesi pembentangan kertas kerja dan soal jawab bersama ahli panel.

MBPJ turut memaklumkan penguatkuasaan undang-undang kecil perlesenan dan rumah pembiakan anjing sudah dilaksanakan bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak melakukan perbuatan kejam terhadap haiwan berkenaan.

Penalti sebanyak RM2,000 akan dikenakan atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika terdapat pihak yang melanggar undang-undang kecil itu.

MBPJ juga turut menubuhkan Canine Advisory Team (CAT) di Negeri Selangor sebagai tanda prihatin dan bertanggungjawab atsa kebajikan haiwan.

-NFN-