Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Seri Setia sumbang 100 pek makanan asas

PETALING JAYA, 6 OGOS: Sebanyak 100 pek makanan asas disumbangkan kepada individu memerlukan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia hari ini.

Wakil rakyatnya berkata penerima terdiri daripada penghantar makanan, pemandu van sekolah dan teksi yang terjejas pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Halimey Abu Bakar menjelaskan bantuan berupa beras, telur, bihun, tepung gandum dan sardin disalurkan melalui peruntukan pusat khidmat serta syarikat swasta.

“Senarai nama penerima dikumpul penggerak belia tempatan (PeBT) Seri Setia, wakil persatuan teksi dan bas sekolah bagi memudahkan proses pemberian bantuan ini.

“Walaupun tidak banyak namun kita percaya sumbangan ini sangat bermakna untuk mereka yang terkesan. Saya juga berterima kasih atas kerjasama dalam menjayakan program ini,” katanya selepas mengedarkan bantuan secara pandu lalu di perkarangan pusat khidmatnya di sini.

Sementara itu, pemandu teksi, Anuar Yaakob, 69, memuji keprihatinan wakil rakyat terbabit yang sudi menghulurkan sumbangan selain memahami situasi getir dihadapi individu sepertinya ketika ini.

Anuar Yaakob, 58, pemandu teksi. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bapa empat anak yang memulakan pekerjaan itu dua tahun lalu memaklumkan pendapatan merosot 80 peratus ekoran pandemik sehingga terpaksa menangguhkan bayaran sewa teksi selama tiga bulan.

“Kesan Covid-19 tahun ini lebih teruk berbanding tahun lepas dan sememangnya memberi masalah cukup besar kepada pemandu teksi. Kami tidak tahu apa akan berlaku jika keadaan berterusan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dapat bantuan bakul makanan. Sekurang-kurangnya tidak perlu mengeluarkan wang untuk berbelanja,” katanya yang sebelum ini berkhidmat sebagai pemandu peribadi orang kenamaan (VIP).

Bagi penghantar makanan, Muhammad Azirol Ashraf Mohammad Noor,26, berkata sumbangan tersebut amat dinantikan kerana pendapatan diperoleh ketika ini sekadar cukup makan, tidak seperti kebiasaan sewaktu bekerja sepenuh masa sebagai juruteknik di sebuah syarikat penapis air.

Muhammad Azirol Ashraf Mohammad Noor, 26, penghantar makanan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebenarnya saya buat kerja ini sejak PKP tahun lepas untuk mencari pendapatan sampingan selepas kerjaya tetap tidak dapat diteruskan kerana bukan dalam sektor perlu.

“Alhamdulillah gaji harian cukup untuk tampung keperluan keluarga walaupun tidak mewah. Apa yang penting rutin ini perlu diteruskan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya yang tinggal di Kampung Lindungan.

Categories
SELANGOR

PRK Seri Setia: Halimey komited perjuang hak perumahan rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 29 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar komited memberikan tumpuan mengenai isu perumahan rakyat di kawasan itu jika diangkat selaku Ahli Dewan Negeri Seri Setia, 8 September depan.

Menurutnya, pertambahan penduduk yang turut dipengaruhi penghijaran dari luar bandar di samping peningkatan kos sara hidup mengakibatkan golongan berpendapatan rendah sukar memiliki kediaman sendiri.

“Langkah pertama yang akan saya ambil ialah bekerjasama dan menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik di kawasan DUN Seri Setia.

“Walaupun terdapat kekangan utama dalam perkara ini, iaitu ketiadaan tapak untuk membangunkan perumahan mampu milik, namun saya percaya setiap masalah akan ada penyelesaiannya,” katanya dalam sidang media di Blik Gerakan Utama (BGU) DUN Seri Setia.

Katanya, melalui program pembangunan semula bandar, beliau akan mencadangkan supaya kawasan perumahan lama seperti di Kampung Lindungan dapat dibangunkan semula untuk menaiktaraf rumah sedia ada supaya menepati dengan keperluan semasa.

Pembangunan semula kawasan perumahan ini boleh mencontohi projek pembangunan semula yang telah dilaksanakan di Kampung Kerinchi, di kawasan Lembah Pantai dan ia dilihat berkesan bagi menangani masalah perumahan.

Di peringkat Selangor, Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Smart Sewa yang membenarkan kumpulan kurang berkemampunan menyewa unit rumah dan sebahagian bayaran sewa dipulangkan semula dalam tempoh tertentu untuk dijadikan wang pendahuluan membeli rumah.

“Bagi golongan termiskin atau miskin bandar pula, saya akan mencadangkan Kerajaan Negeri membina rumah khas untuk disewa golongan itu dengan kadar sewa minimum tidak melebihi RM250 sebulan.

“Usaha serupa juga dilakukan bagi membantu golongan bujang dengan membina rumah satu bilik atau menyamai saiz studio berdasarkan keperluan seharian mereka yang tidak memerlukan ruang kediaman yang luas.

“Pada masa sama, saya juga ingin menegaskan bahawa setiap unit kediaman mampu milik untuk rakyat di kawasan ini adalah dilarang sama sekali untuk disewakan kepada warga asing,” katanya.

Dalam sidang media sama, Halimey turut mencadangkan pembinaan lebih banyak perumahan pekerja industri seperti di Zon Perindustrian Sungai Way bagi mengatasi masalah perumahan serta memantapkan lagi pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Langkah itu sebagai usaha menjadikan kediaman berkelompok untuk menempatkan pekerja asing sekali gus menghindar mereka daripada memonopoli kediaman rakyat di Seri Setia seperti yang banyak berlaku pada hari ini.

Categories
SELANGOR

Halimey fokus isu pendidikan demi kemajuan masyarakat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar optimis memberi perhatian terhadap isu pendidikan termasuk kemudahan infrastruktur demi masa depan masyarakat.

Katanya, insfrastruktur pendidikan di situ akan ditingkatkan pada tahap terbaik bagi memangkin kecemerlangan kepada generasi muda.

“Insfrastruktur ini perlu diperkemas dan diperkasakan dari semasa ke semasa sejak daripada tadika, sekolah rendah dan menengah sehingga mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

“Di DUN Seri Setia terdapat banyak Tadika dan Taski, Pra Sekolah, Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil dan Cina), Sekolah KAFA dan sebagainya di mana pada pemerhatian saya, masih banyak insfrastruktur perlu ditambah baik terutama beberapa tadika yang ada,” katanya.

Halimey berkata, keadaan sama boleh dilihat kepada kemudahan perpustakaan disediakan di mana pada pandangannya masalah capaian internet dan pengenalan aplikasi terkini perlu diberi perhatian.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Dewan Orang Ramai atau Dewan Serbaguna serta Balai Raya boleh dimanfaatkan sebagai pusat tuisyen malah boleh dikemaskini supaya menjadi ruang mengulangkaji bagi pelajar di DUN berkenaan.

“Ini kerana kebanyakan ruang di rumah terutama di pangsapuri kos rendah agak sempit dan tidak selesa untuk dijadikan ruang pembelajaran atau ulangkaji kepada anak-anak.

“Selain itu, masjid, surau dan rumah ibadah boleh juga diadakan ruang untuk dijadikan pusat kecemerlangan dengan bukan hanya kita tambah bangunan untuk dijadikan perpustakaan atau pusat kecemerlangan malah kita aturkan aktiviti bersama sukarelawan dan tutor di situ bagi membantu anak-anak menyiapkan kerja rumah juga latihan,” katanya.

Beliau turut menekankan penguasaan bahasa asing terhadap golongan pelajar dalam menghadapi zaman millennial dengan merangka penambahbaikan terhadap program sedia ada.

“Kelebihan utama mempelajari bahasa luar ini ialah seseorang individu boleh memperoleh banyak maklumat tentang sesuatu ilmu dan banyak buku berkaitannya ditulis dalam bahasa asing terutamanya Bahasa Inggeris.

“Selain itu, usaha untuk mendedahkan pelajar dengan beberapa program bersifat antarabangsa juga akan diberi perhatian seperti program pertukaran pelajar antarabangsa membabitkan negara maju antaranya Jepun, Korea, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Rakyat KEADILAN bersedia memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada ibu bapa yang memerlukan bantuan demi manfaat anak mereka pada masa depan.

Halimey adalah calon PAKATAN dari KEADILAN bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Seri Setia, 8 September ini dan akan berdepan cabaran satu lawan satu dengan calon PAS, Dr Halimah Ali.

PRK DUN Seri Setia diadakan ekoran kematian penyandangnya, Dr Sharuddin Badaruddin (PAKATAN), 2 Ogos lalu.