Categories
AGENDA NASIONAL

PM: PPSMI diputuskan tahun depan

LANGKAWI, 15 FEB: Keputusan sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan semula atau sebaliknya akan diputuskan tahun hadapan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri, yang memangku jawatan menteri pendidikan berkata kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti perkara itu dan akan menyediakan kertas cadangan yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

Katanya, Kabinet seterusnya akan menentukan sama ada PPSMI dilaksanakan semula atau membuat keputusan mengekalkan kaedah pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan.

“Isu PPSMI akan diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet. Saya tidak boleh buat keputusan…ia mesti dibuat oleh Kabinet.

“(Sebelum ini) saya beritahu kepada pegawai, bukan buat pengumuman (kepada umum mengenai memperkenalkan semula PPSMI), tetapi entah macam mana ia tiris dan orang ramai diberitahu bahawa saya telah buat keputusan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Medical Outreach di Masjid Nurul Islam, Kampung Sungai Itau, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata sebuah jawatankuasa Kabinet dibentuk untuk mengkaji perkara itu memandangkan terdapat tentangan daripada orang ramai terhadap cadangan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pelaksanaan semula PPSMI dikaji secara terperinci-PM

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sedang dikaji secara terperinci dengan menyediakan sistem baharu membabitkan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, melalui sistem itu, pengajaran yang direkod oleh guru terbaik akan diguna di setiap sekolah, supaya kecekapan guru itu dapat dinikmati semua murid dan pelajar.

“Dengan cara ini, semua penuntut akan capai hasil yang hampir sama,” katanya menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PAKATAN-Lembah Pantai) yang ingin tahu adakah PPSMI akan diperkenal semula, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir berkata, pihak Kementerian Pendidikan juga mengambil kira kepentingan penguasaan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa serta diperlukan untuk pengurusan dan perusahaan, selain diambil kira dalam peluang pekerjaan.

“Tidak seperti pelajaran Geografi dan Sejarah, ilmu sains bertambah sepanjang masa hasil kaji selidik pakar yang biasanya dibuat dalam bukan bahasa Melayu.

“Untuk menguasai ilmu yang baharu, kegunaan Bahasa Inggeris menjadi penting,” katanya.

Perdana Menteri berkata, terjemahan kepada bahasa Melayu tidak dapat dibuat melainkan oleh mereka yang pakar dan faham ilmu baharu hendak dialih bahasa.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan turut memberikan pandangan berhubung dasar PPSMI itu.

“Ada ramai berkehendak supaya pelajaran Sains dan Matematik dibuat dalam bahasa Inggeris, ada juga yang berkeras untuk terus dalam bahasa Melayu,” katanya.

Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menekankan penerokaan ilmu baharu termasuk ‘artificial intelligence’ (kecerdasan buatan) yang mampu membawa Malaysia menjadi negara maju.

Namun, beliau berkata, ia hanya dapat dilakukan melalui penguasaan bahasa Inggeris kerana ilmu berkenaan diteroka oleh mereka berbahasa Inggeris.

“Soal perasaan kebangsaan mungkin mendorong kita untuk mengekalkan bahasa kita, tetapi kalau kita menjadi orang yang tidak berilmu, bangsa kita dan bahasa kita tidak akan berkembang maju,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

DLP jelmaan PPSMI, lemahkan Bahasa Melayu

Masih ramai ibu bapa tidak menyedari Program Dwi Bahasa (DLP) adalah jelmaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Kesannya, pelajar jadi mangsa kekeliruan kepada perubahan dasar pembelajaran.

Categories
NASIONAL

DLP jelmaan PPSMI, lemahkan Bahasa Melayu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kerajaan Persekutuan diingatkan tidak memperdayakan rakyat dengan percubaan mengembalikan Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik dan Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan selepas mendapat bantahan pelbagai pihak.

Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI, Profesor Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain, berkata percubaan itu dibuat dengan melaksanakan Program Dwi Bahasa (DLP) di 300 buah sekolah terpilih sebelum dilaksanakan di sekolah-lain.

DLP“Walaupun Kementerian Pendidikan mengumumkan tiada paksaan sekolah melaksanakan dasar ini tetapi kami diberitahu beberapa sekolah ini dipaksa melaksanakan dengan menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik iaitu sama dengan PPSMI, tiada konsep dwibahasa itu.

“300 sekolah dipilih itu merupakan sekolah elit dengan mempunyai keputusan peperiksaan cemerlang sekaligus sudah tentu mencerminkan kejayaan dasar DLP ini,” kata Dr Shaharir.

Beliau turut melahirkan keyakinan, sekiranya tidak ditentang Kementerian Pendidikan lambat laun memasukkan DLP ini sebagai dasar wajib yang perlu diikuti sekolah dengan menjadikan keputusan cemerlang dicapai 300 sekolah terbabit sebagai contoh.

Dr Shahrir turut menyamakan tindakan itu sebagai ‘peludah bahasa’ ekoran tindakan itu merupakan tindakan ‘melemahkan’ Bahasa Melayu itu sendiri.

Katanya lagi, sebelum ini pihak beliau mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Pendidikan tetapi sehingga hari ini dasar DLP masih diteruskan di sekolah-sekolah.

“Sekiranya mereka masih tidak menjawab, kita adakan perhimpunan besar-besaran pada 26 Mac nanti di ibu kota Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Pelancaran dihadiri tiga sasterawan negara iaitu Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan, Prof Dr Muhammad Salleh serta Datuk Baharuddin Zainal itu turut dimeriahkan dengan beberapa acara sampingan diantaranya persembahan nyanyian dan deklamasi sajak.

Selain tiga sasterawan negara, turut kelihatan hadir, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, wakil Angkatan Belia Islam dan pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO) lain.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM kecam usaha kembalikan PPSMI lalu pintu belakang

Oleh: MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada laporan yang dibuat oleh Performance Management & Delivery Unit (PEMANDU) dan Education Performance and Delivery Unit (PADU)dalam mencari mekanisme untuk memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.

Antara cadangan yang telah diketengahkan adalah untuk melaksanakan Program Dwi-Bahasa (DLP) untuk membolehkan beberapa mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris bagi sekolah-sekolah tertentu.

Menurut laporan tersebut mata pelajaran Sains, Matematik, dan Reka Bentuk dan Teknologi/ Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah mata pelajaran yang wajib untuk diajar menggunakan Bahasa Inggeris.

logoABIMMunurut laporan tersebut, program DLP tersebut akan dilaksanakan untuk pelajar Tahun 1 dan Tahun 4 untuk Sekolah Kebangsaan dan Tingkatan 1 untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) bermula tahun 2016 yang akan melibatkan 300 sekolah rintis.

ABIM menegaskan program DLP yang dicadangkan ini adalah satu usaha terancang untuk mengembalikan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik dan Bahasa Inggeris (PPSMI) yang terbukti gagal dan terpaksa dimansuhkan oleh kerajaan secara rasmi pada tahun 2012.

PEMANDU dan PADU adalah badan yang dirujuk serta dianggap mempunyai “autoriti” dalam merangka sesebuah dasar. Justeru sebarang cadangan ataupun dasar yang dikemukakan akan dijadikan sebagai rujukan ataupun narasumber.

Oleh itu ABIM menuntut pihak PEMANDU dan PADU memastikan sebarang cadangan yang ingin diutarakan khususnya dalam bidang pendidikan sejajar dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Dalam konteks DLP, PEMANDU dan PADU WAJIB merujuk dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sepertimana yang telah diputuskan semenjak tahun 2009.

Dasar MBMMBI yang diputuskan kerajaan telah menetapkan kesemua Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan akan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk semua subjek bermula 2016 melainkan pelajar tingkatan enam.

Cadangan yang diutarakan menerusi laporan tersebut juga seolah-olah bertujuan untuk membezakan kelas golongan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang akhirnya akan menghasilkan generasi pelajar yang “caca merba” terutama dari sudut tahap pemahaman sesuatu mata pelajaran.

ABIM turut menegaskan pandangan bahawa mata pelajaran sains dan matematik perlu diajar melalui pengantar Bahasa Inggeris sudah disangkal oleh banyak kajian ilmiah sama ada dalam negara mahupun kajian di peringkat antarabangsa.

Selain itu, pemimpin dari kalangan pertubuhan bukan kerajaan, ahli bahasa dan golongan cendikiawan sebelum ini telah menegaskan bahawa usaha untuk memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan tetapi tidak dengan menggantikan bahasa pengantar dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris.

Justeru, ABIM menyatakan bahawa masalah kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris bukan terletak kepada faktor bahasa pengantar yang diguna dalam sistem pendidikan, tetapi ialah pendekatan pengajaran yang digunakan.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM juga menuntut semua pihak melihat dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) ini secara menyeluruh yang turut menekankan hasrat besar untuk memastikan pelajar sekolah menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

Justeru itu, selain memperkukuh bahasa Inggeris, dasar MBMMBI tersebut perlu melihat keperluan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi memastikan bahasa tersebut menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran dalam usaha kita membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
SETIAUSAHA AGUNG
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)

Categories
NASIONAL SELANGOR

AES :Lagi ‘flip-flop’ BN untuk untungkan kroni

aes-johari

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tindakan ‘flip-flop’ Kerajaan Umno-BN dalam beberapa isu yang melibatkan pengambilan wang rakyat dilihat seolah-olah sengaja dilakukan bagi membolehkan pemimpin-pemimpin Umno/BN menyalurkan keuntungan kepada para kroni.

Ini termasuklah pengumuman terbaru kerajaan yang bercadang untuk mengambilalih Operasi Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti yang diumumkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata tidak mustahil kerajaan sudah merancang pengambilalihan operasi AES sebelum sistem perangkap had laju berkamera itu memulakan operasinya tahun lalu.

Johari yakin tindakan kerajaan tersebut diambil ekoran respon dari bantahan yang dibuat rakyat dan pembangkang.

Beliau juga menjangkakan pengambilalihan ini akan melibatkan pengaliran dana kerajaan kira-kira RM1 bilion kepada dua syarikat pengendali terbabit, sekaligus merugikan rakyat.

“Ini bukan dasar ‘flip-flop’, tetapi memang ‘di-design’ untuk ‘flip-flop’ sebab sepatutnya projek seperti ini perlukan tata kelola yang betul, kajian mendalam termasuk ahli akademi dan respon dari persatuan berkaitan.

“Tetapi di Malaysia tidak berlaku, kerajaan lebih berminat memberi projek kepada kroni yang datang dengan pelbagai cadangan, bila gagal dilaksanakan atau dapat tentangan, akhirnya kerajaan mengambil balik projek tersebut dengan bayaran pampasan yang mahal.

“Jadi seolah-olah ia sengaja direka sebegitu rupa, mereka tahu akan mendapat tentangan rakyat dan pembangkang dan akhirnya masalah itu kononnya diselesaikan dengan bayaran kepada pihak swasta,” kata Johari ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Johari berkata antara beberapa projek swasta yang diambilalih kerajaan sebelum ini termasuklah Indah Water Konsortium, MAS dan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Zaman Tun Dr Mahathir pun sama juga, adakan PPSMI tetapi akhirnya ditukar semula kepada Bahasa Melayu dan menyebabkan kita kerugian kira-kira RM6 bilion untuk kos mencetak buku teks dan lain-lain.

“Dasar ini merugikan rakyat dan dalam isu AES ini sepatutnya dihentikan terus bukan kerajaan ambilalih,” ujar Johari lagi.

Johari menambah, isu ini akan dibangkitkan pembangkang dalam persidang dewan rakyat akan datang.

Selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Hishamuddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan AES daripada pengendali sedia ada.

– MZA