Foto HAFIZ OTHMAN
Latif Mustari, 46, lebih senang bergelumang dengan minyak di bengkel kereta yang diusahakannya sejak 2006.
Pernah bekerja di Mercedes, Audi, Peugeot Edaran Otomobil Malaysia, Naza, dan Mazda, beliau kemudian beralih bidang.
Semua demi bapa mentuanya, Marzuki Yubi, seorang peniaga dodol yang menyimpan impian supaya juadah itu boleh dijual luar musim perayaan.
Berkat kesungguhan, disusuli bantuan penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Malaysia (Mardi), latihan keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pinjaman Hijrah Selangor, perniagaannya kian maju.
Kini, juadah tradisi popular Aidilfitri menjadi kudapan di hotel lima bintang antaranya Four Seasons Hotel & Resorts di Kuala Lumpur atas jenama The Dodol Connoisseur.
Bahkan, dodol buatannya nyaris terbang ke serata dunia apabila beliau ditawar kontrak dengan Penerbangan AirAsia. Malangnya, wabak Covid-19 menyebabkan usaha itu tertangguh.
Impian mentua
Semuanya bermula pada 2013, kira-kira dua minggu menjelang Aidilfitri. Beria betul bapa mentuanya menghidupkan semula pembuatan dodol. Sedangkan perniagaan itu telah lima tahun ditinggalkannya atas faktor usia.
Lebih-lebih lagi, Marzuki mengidap penyakit semput. Mengacau dodol bukan sekejap, tujuh jam lamanya. Perlu banyak tenaga.
Latif pula tidak keberatan melayani permintaan itu. Sebelah pagi bekerja di bengkel depan, petangnya beliau menyinsing lengan mengacau dodol.
Pembuatan dodol mereka berdua mendapat sambutan. Setelah dicongak-congak, jualan mencecah RM6,000 termasuk tempahan beberapa syarikat besar.
Ia benar-benar membuka mata Latif untuk membantu perniagaan dodol setiap kali musim perayaan. Namun, juadah tradisi itu tidak tahan lama. Paling lama tiga minggu, selepas itu berkulat.
“Dengan bantuan Mardi, saya belajar teknik betul membunuh bakteria dan mengawal enzim bagi meningkatkan ketahanan dodol sampai setahun walau disimpan dalam suhu bilik,” katanya.
Namun, Latif hanya mampu memasak sekawah dodol sehari, paling banyak 16 kilogram. Itu pun tiga kali seminggu. Pada masa itu, beliau masih mengusahakan bengkelnya. Mulai 2017, barulah beliau fokus kepada perusahaan dodol.
Selepas membuat penyelidikan dengan bantuan Mardi, Latif, 46, menemukan kaedah menghasilkan dodol yang kadar hayatnya tahan lama.
“Abah, dodol dah jadi. Insya-Allah, dodol kita boleh tahan setahun. Saya minta restu dan doa abah,” kata Latif kepada bapa mentuanya suatu petang pada 2017.
Menangis Marzuki mengetahui impiannya tercapai, dua minggu sebelum meninggal dunia pada usia 72 tahun. Biarpun dirundung sedih, Latif cekal memajukan perniagaan dengan mempelbagai perisa juadah itu.
Perisa unik
Hasilnya, dodol keluarannya ada perisa cempedak madu, kopi dan durian. Malah, Latif giat membangunkan dodol perisa coklat yang masih peringkat ujian makmal Mardi.
Kini, pemilik Mislinda Food Empire di Kampung Jenjarom memiliki lapan mesin automatik yang mampu menghasilkan 64 kilogram dodol sehari atau 1.6 tan sebulan.
“Dahulu kami jalankan perniagaan dodol bermula dua minggu sebelum raya kerana faktor ketahanan tetapi sekarang sepanjang masa sebab dodol boleh tahan lama dan adanya permintaan berterusan,” katanya.
Biarpun bermula dengan modal RM600, kejayaan itu banyak dibantu Hijrah Selangor. Dua kali Latif membuat pinjaman, pertama kali RM10,000 pada 2018 dan RM40,000 dua tahun kemudian.
“Saya mendapat pinjaman Hijrah dua kali, kedua-duanya untuk mengembangkan modal pusingan berikutan permintaan pasaran semakin meningkat.
“Bagusnya pinjaman Hijrah kerana mudah, tiada birokrasi asalkan kita betul-betul serius berniaga,” katanya.
Pada masa ini, dodol syarikatnya turut dipasar ke lebih 900 Kedai Mesra Petronas. Juadah itu boleh juga didapati dalam Shopee dan Lazada.