Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Isu perkauman, agama bebankan PDRM

GEORGE TOWN, 28 DIS: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan isu perkauman dan agama yang dibangkitkan sesetengah pihak sejak kebelakangan ini sebagai membebankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, dalam usaha PDRM mahu memberi fokus kepada meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, adil dan telus kepada rakyat, pasukan keselamatan itu dibebani dengan isu-isu di luar jangka.

“Isu ini membebankan PDRM, ia tidak sepatutnya timbul. Selepas 62 tahun kita merdeka, kita sepatutnya bijak dalam berfikir tetapi menyedihkan. Nampak gayanya semakin matang negara ini, semakin kurang matang pula pemikiran sesetengah pihak…mendukacitakan.

“Saya minta pihak-pihak yang suka menyentuh isu-isu perkauman dan agama cuba berfikiran matang sedikit. Akhirnya nanti kalau berlaku kekacauan kita semua yang rugi, tiada siapa yang untung,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan 5,500 peserta ‘Kayuhan & Larian Ria’, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai suara sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan perintah mahkamah bagi melarang penganjuran persidangan membantah tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular, yang dijadual berlangsung di Kajang, hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau percaya tindakan polis memohon perintah mahkamah adalah atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu pembatalan persidangan itu dan menyerahkannya kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin dan Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

“Adalah lebih baik persidangan itu dibatalkan ataupun dibuat semula dalam bentuk yang tidak menyentuh emosi dan sentimen orang lain. Saya kuat berpegang teguh kepada prinsip demokrasi. Rakyat bebas untuk bersuara tapi dalam parameter yang selamat.

“Sekiranya ada unsur provokasi, polis adalah pihak yang paling layak untuk buat penilaian. Saya sebagai Ketua Polis Negara tidak ada agenda tersirat atau sempit untuk menggagalkan persidangan itu. Saya tidak bermain politik,” tegasnya.

Ahmad Dzaffir dalam kenyataannya berkata polis telah menyerahkan perintah mahkamah itu kira-kira pukul 5.00 petang semalam.

Susulan itu, pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa persidangan itu dibatalkan selepas menerima perintah mahkamah itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis dapat perintah mahkamah halang himpunan Dong Zong

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Polis mendapat perintah mahkamah bagi melarang penganjuran persidangan membantah tulisan Jawi di sekolah vernakular, yang dijadual berlangsung di Kajang, esok.

Susulan itu, pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dalam kenyataan bersama memaklumkan persidangan itu dibatalkan selepas menerima perintah mahkamah, petang tadi.

Dong Jiao Zong turut meminta supaya peserta membatalkan kehadiran mereka pada acara itu yang dijadual berlangsung di sebuah kolej universiti.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam kenyataan berasingan berkata polis sudah menyerahkan perintah mahkamah itu pada kira-kira 5 petang tadi.

Beliau berkata perintah mahkamah itu dipohon atas dasar untuk mengelak berlaku gangguan kepada ketenteraman awam yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai.

Katanya polis menerima banyak laporan di seluruh negara berhubung persidangan berkenaan.

“Pihak polis menyeru semua pihak terlibat dan orang ramai supaya tidak hadir ke persidangan itu ataupun mana-mana perhimpunan lain bagi membantah perhimpunan berkenaan yang dianjurkan oleh pihak NGO (badan bukan kerajaan), persatuan dan pertubuhan,” katanya.

Katanya tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak yang enggan mematuhi undang-undang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dong Zong perlu hormati keputusan Kabinet

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong harus menghormati keputusan Kabinet, mengekalkan kebenaran pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu termasuk di sekolah vernakular.

Justeru, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyarankan kumpulan pendidikan Cina itu supaya tidak meneruskan hasrat melangsungkan kongres bagi membantah isu itu pada 28 Disember ini.

“Saya rasa perkara ini kita sudah cari jalan kompromi dan jalan tengah, kerana ia sudah dibincangkan begitu panjang dalam Kabinet, dan kita sudah capai kata sepakat atau konsensus.

“Paling penting kita kena memandang ke depan kerana ada empat isu utama yang rakyat Malaysia mahukan membabitkan ekonomi, kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan. Tolonglah fokus empat perkara ini kerana ia paling mustahak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan sidang kemuncak eUsahawan Hero Muda anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Facebook Malaysia, di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed memberi amaran jika kumpulan itu meneruskan kongres yang dirancang, mungkin mengakibatkan kaum Melayu juga menganjurkan kongres mereka, bagi membincangkan usaha menutup sekolah vernakular Cina.

Perdana Menteri turut menasihatkan setiap pihak bertimbang rasa terhadap sentimen pihak lain.

Ogos lalu, Kementerian Pendidikan mengesahkan akan tetap melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat, pada tahun hadapan seperti yang dijadualkan.

Walaupun mendapat bantahan mengenai pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, bulan lalu Mahkamah Tinggi di George Town, Pulau Pinang memutuskan bahawa pengajaran tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia, dan boleh diajar di sekolah Cina dan Tamil.

Sementara itu ,mengulas program eUsahawan Hero Muda 2019, Syed Saddiq berkata ia antara langkah pro aktif KBS, untuk menggalakkan inovasi, meningkatkan kemahiran bakat, serta mengasah kemahiran generasi muda.

“Mereka (usahawan muda) ini memang dilatih menjadi usahawan muda, khususnya dalam bidang digital agar mereka tahu bagaimana untuk mempromosi produk-produk menggunakan teknologi tinggi dalam dunia globalisasi,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

Program eUsahawan Hero Muda 2019 berjaya melatih seramai 20,653 anak muda di seluruh negara, membabitkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM52.4 juta.

Menerusi program itu , anak muda dilatih menjadi usahawan, khusus dalam bidang digital, dengan cara mempromosi produk menggunakan teknologi tinggi, dalam dunia globalisasi.

Sejak dilancarkan pada 2015, program itu berjaya melatih seramai 328,948 usahawan mikro di seluruh negara, dengan transaksi jualan melebihi RM668 juta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buka kertas siasatan isu Dong Zong

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Sebanyak enam laporan polis berhubung isu Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) diterima setakat ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

“Kami juga membuka kertas siasatan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman (USJT) D5,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu Dong Zong di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, dekat sini.

Sebelum ini, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dilapor berkata, badan pertubuhan pendidikan Cina itu akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan sebagai membantah pembelajaran khat di sekolah vernakular, selain bertegas langkah kerajaan itu sebagai satu bentuk ‘Islamisasi’.

Sebagai respon, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan pertubuhan itu sebagai ‘rasis’, kerana tidak pernah bersetuju dengan keputusan kerajaan sebelum ini termasuk pengenalan Sekolah Wawasan yang menempatkan sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan dalam satu kawasan sama.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata pihaknya tmenerima 115 laporan polis, serta membuka kertas siasatan berhubung isu kehadiran pendakwah Dr Zakir Naik di negara ini.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kerana mengeluarkan kenyataan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan,” katanya.

Pada Selasa lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata masalah yang dihadapi kerajaan ialah Zakir tidak boleh dihantar balik ke negara asalnya, India, kerana bimbang dibunuh.

Bagaimanapun, beliau terbuka kepada sebarang cadangan untuk menghantar Zakir ke mana-mana negara yang mahu menerima penceramah itu.

Antara kenyataan kontroversi Zakir ialah semasa ceramahnya pada 3 Ogos, di mana beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir.

Beliau juga turut dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap masyarakat Cina di Malaysia sebagai respon kepada desakan supaya beliau diusir dari negara ini.

-BERNAMA