Categories
SELANGOR

195 Mahasiswa Miskin KUIS Terima Bantuan Lembaga Zakat Selangor


BANGI, 10 OGOS: Seramai 195 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang terdiri daripada pelajar fakir dan miskin menerima bantuan RM400 daripada Lembaga Zakat Selangor(LZS).

Seorang pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Mohd Saifulnizam Abdullah, 21, mengucapkan terima kasih di atas bantuan LZS dan akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarganya.

“Alhamdullilah, syukur dan terima kasih di atas bantuan LZS selama ini membantu saya untuk terus belajar di sini,” katanya ketika di temui selepas menerima bantuan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Pelajar KUIS di Masjid Al-Azhar, KUIS semalam.

Subangan tersebut disampaikan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda turut menghulurkan bantuan kepada 130 orang muallaf di kawasan Kajang dan Bangi.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr. Yunus Hairi, dan Rektor KUIS, Prof Datuk Dr Aziuddin Ahmad.

Seorang lagi pelajar, Saidatul Halimah Hussin, 20, berkata, bantuan LZS yang diterimanya sejak mula belajar di KUIS ini membantu meringankan beban yang ditanggung keluarganya.

“Saya menerima bantuan berjumlah RM 300 setiap bulan oleh LZS dan sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan pengajian saya di sini,” katanya yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Syariah.