Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan alternatif sejuta vaksin Influenza A bantu klinik swasta

SHAH ALAM 13 JAN: Sebanyak satu juta bekalan alternatif tablet vaksin Influenza A diluluskan Kerajaan Persekutuan kepada klinik swasta yang boleh digunakan 100,000 pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tahun lalu pihaknya menerima stok vaksin sebanyak 600,000 dos, lapor Berita Harian.

“Pada 2 Disember lalu, kita menerima lebih 90,000 dos vaksin dan difahamkan pada 21 Januari ini, lebih 60,000 dos vaksin lagi akan diterima.

“Pihak swasta yang mahukannya boleh memohon bekalan alternatif itu dan ia akan mendapat kelulusan khas pada hari sama,” katanya.

Beliau berkata bekalan vaksin bagi Influenza A masih mencukupi dalam sektor kerajaan buat masa ini.

“Kita sebelum ini memang ada stok simpanan vaksin berbanding pihak swasta yang tidak menyimpan stok berkenaan.

“Kita ada stok mencukupi. Apabila jadi keadaan seperti sekarang, rakyat memilih untuk mendapatkan vaksin berkenaan di swasta, namun mereka (swasta) tidak menyimpan stok yang banyak.

“Apabila permintaan melebihi bekalan yang ada, itu sebab berlaku kekurangan dan menimbulkan situasi cemas,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, mendakwa klinik swasta berdepan kekurangan kritikal bekalan vaksin untuk pencegahan influenza daripada empat syarikat pembekal utama.

Beliau mendakwa, kekurangan itu berlaku kerana klinik swasta tidak diberi keutamaan untuk mendapatkan bekalan vaksin terbabit berbanding hospital swasta.

Categories
SELANGOR

Warisi masalah BN tapi berjaya jaga kebajikan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

BALAKONG, 8 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya mentadbir negara selepas mengambilalih daripada Barisan Nasional (BN) melalui pendekatan berhemah dan ketelusan.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun mewarisi masalah dengan hutang negara mencecah kira-kira RM1 trilion, namun PAKATAN tidak mengabaikan kebajikan rakyat dan berjaya menetapkan gaji minima lebih baik berbanding sebelumnya.

“BN naikkan gaji RM100 dalam masa dua tahun tetapi kerajaan PAKATAN naikkan RM50, dalam tempoh tiga bulan. BN naikkan 10 peratus dalam dua tahun tetapi kita naikkan lima peratus, dalam hanya tiga bulan.

“Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kata, kita gagal tetapi yang gagal Najib dan sekarang beliau boleh tidur,” katanya pada Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan dibuat Najib yang menggambarkan kegagalan kerajaan PAKATAN menunaikan janji gaji minima RM1,500, sedangkan BN menetapkannya pada kadar RM900 pada 20014 dan meningkat RM1,000, pada 2016.

Katanya, PAKATAN tidak menawarkan kadar gaji minima RM1,500 ekoran kedudukan ekonomi negara tidak mengizinkan pada masa ini dan hanya akan melaksanakannya secara berperingkat, selepas ini.

“PAKATAN tidak boleh menaikkan gaji minima secara terus kepada RM1,500 ekoran hutang negara yang mencecah kira-kira RM1 trilion

“Bagaimanapun, PAKATAN hanya akan melaksanakan kenaikan gaji minima RM1,500 dalam tempoh lima tahun seperti termaktub dalam manifesto,” katanya.

Dengan kejayaan pentadbiran kerajaan PAKATAN setakat ini, katanya, rakyat termasuk di Dewan Undangan Negeri Balakong perlu terus menyatakan sokongan dengan mengekalkan wakil rakyatnya, di kawasan itu.

PRK Balakong diadakan hari ini menyaksikan satu lawan satu antara calon PAKATAN, Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong.

 

Categories
NASIONAL

Umno-BN perlu henti mangsakan rakyat untuk kurang hutang negara

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 9 JAN : Kerajaan Umno-BN digesa supaya tidak terus memangsakan rakyat dengan mengenakan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan untuk mengurangkan hutang negara akibat perbelanjaan besar pentadbirannya.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata tindakan kerajaan menarik pelbagai subsidi serta mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sangat ‘regresif’ disifatkan sebagai tidak adil terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

dr.dzulKesan daripada itu katanya, negara diramal mencatat inflasi ke paras 2.9 peratus untuk tahun 2014 dan terus melonjak ke paras setinggi 3.3 peratus pada tahun 2015.

“Ramalan inflasi ke tahap Harga Pengguna (CPI) mencecah 3.3 ke 3.5 peratus adalah ganas dan sangat munasabah bahawa lebih ramai akan mengalami kesukaran untuk mengekalkan kos dan gaya hidup yang sudah terbiasa terutama bagi mereka yang kurang disiplin menguruskan kewangan.

“Saya tidak boleh bayangkan, di samping kenaikan harga barang dan servis yang menggila nanti ditambah dengan kenaikan kos pinjaman, maka rakyat seumpama sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya dalam satu kenyataan kepada Selangor Kini.

PenggunaBeliau berkata demikian sebagai respon kepada kajian Ketua Ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng yang berpendapat lebih ramai rakyat Malaysia bakal muflis berikutan pemotongan subsidi kerajaan serta kenaikan harga barangan untuk menyelesaikan masalah kewangan negara.

Akhbar Singapura, Straits Times pula melaporkan terdapat lebih 60 rakyat diisytiharkan muflis setiap hari sehingga September, iaitu naik daripada 53 sehari pada 2012.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata kadar pinjaman semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka turut naik sekaligus meningkatkan ansuran bulanan kereta, rumah dan pinjaman peribadi.

Katanya tindakan itu akan menyebabkan semua institusi perbankan negara turut menaikkan kadar pinjaman purata mereka dalam semua bentuk pinjaman dan ia dikhuatiri bakal ‘melahirkan’ lebih ramai rakyat muflis di negara ini.

“Kenaikan perkara asas oleh BNM akan menyaksikan beban hutang dan bayaran ansuran bulanan meningkat apabila semua institusi perbankan menaikkan kadar pinjaman mereka. Berapa ramai lagi akan muflis?

“Apakah kesan dan impak sosial apabila rakyat mengubah cara hidup mereka untuk memastikan cukup saraan bulanan mereka?” katanya lagi.

EZY