Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia keluarkan vaksin influenza menjelang 2024

SHAH ALAM, 27 OKT: Malaysia bakal mengeluarkan vaksin influenza untuk manusia berstatus halal menerusi kilang Malaysian Vaccines and Pharmaseutical (MVP) Sdn Bhd menjelang 2024.

Pengarah Eksekutif MVP Rashidah Ibrahim berkata kilang yang terletak di Pucong, Selangor mampu menghasilkan kuantiti maksimum 10 juta dos, lapor portal Berita Harian.

“Kami mempunyai bangunan dua lot kilang dan berbekalkan teknologi sama dan kepakaran kami menghasilkan vaksin haiwan dalam tempoh kurang dari tiga tahun, kami mampu membekalkan vaksin manusia.

“Kami tiada masalah kerana kebanyakan pekerja di sini mempunyai kepakaran teknikal yang sangat tinggi,” katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen MVP dan St Petersburg Scientific Research Institutes For Vaccine And Serum Russia di Puchong, dekat sini.

Rashidah berkata perjanjian dengan St Petersburg memberikan MVP pasaran di Asia Tenggara dan beberapa negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

MVP Sdn Bhd adalah syarikat yang menghasilkan vaksin untuk unggas. Sejak 1994, syarikat berkenaan menghasilkan 16 vaksin unggas di negara ini oleh pakar tempatan untuk pasaran domestik dan sebahagian besar dieksport.

Menurut Rashidah, melalui penubuhan cabang syarikat MVP Healthcare, ia sebagai langkah untuk firma itu untuk menceburi bidang penghasilan vaksin manusia sesuai dengan pengalaman, kepakaran dan teknologi dimilikinya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penularan influenza di sekolah terkawal

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Penularan virus Influenza A atau H1N1 yang dilaporkan berlaku di institusi pendidikan berada dalam keadaan terkawal dan langkah-langkah pencegahan telah dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya setakat ini hanya dua sekolah ditutup akibat penularan virus tersebut iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan di Perak (mulai 11 hingga 19 Januari) dan Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Tanjung Aru di Sabah (mulai 22 hingga 28 Januari).

Menurutnya penutupan kelas pula dilaksanakan di tiga sekolah di Pulau Pinang yang setiap satunya melibatkan tempoh masa berlainan hasil perbincangan antara pihak pejabat kesihatan dan pihak sekolah terlibat.

“Majoriti pelaporan kejadian jangkitan saluran pernafasan yang diterima oleh Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tiga minggu pertama tahun 2020 adalah melibatkan institusi pendidikan.

“Antara faktor penyumbang kepada situasi ini adalah penularan virus influenza yang mudah berlaku di tempat padat seperti di sekolah, di mana murid-murid bergaul rapat sesama mereka sepanjang sesi persekolahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kerjasama baik kepada KKM dalam memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan influenza di sekolah dilaksanakan, termasuk sesi townhall yang dijalankan khususnya bagi sekolah yang terlibat dengan kejadian wabak itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tidak semua demam selesema adalah disebabkan jangkitan virus influenza dan lazimnya pesakit dengan jangkitan virus itu sembuh tanpa sebarang rawatan spesifik.

Justeru, KKM mengingatkan orang ramai mengamalkan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau ‘hand sanitiser’, rehat secukupnya, memastikan diri sentiasa terhidrat dan mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat.

Pada masa yang sama, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada sebarang produk yang meragukan terutama yang dikatakan dapat merawat jangkitan influenza.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sejumlah 99,470 dos vaksin influenza dijangka dibawa masuk ke Malaysia pada bulan ini dan daripada jumlah itu 16,839 dos telah lulus penilaian kualiti oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada hari ini dan pihak pembekal akan mengagihkan stok berkenaan ke semua fasiliti yang memohon.

Katanya 15,000 dos lagi telah tiba dalam negara dan akan melalui penilaian kualiti dalam masa terdekat manakala baki 67,631 dos lagi akan tiba sekitar penghujung Januari.

Pada masa sama, sejumlah 35,100 dos vaksin influenza daripada pembekal alternatif juga telah dibawa masuk ke Malaysia pada minggu ini bagi menampung keperluan semasa.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada bukti sains bawang merah ubati influenza tapi tak salah amal

GOPENG, 18 JAN: Tiada bukti sains menyokong dakwaan penggunaan bawang merah mampu merawat influenza, kata timbalan menteri kesihatan.

Dr Lee Boon Chye berkata sebaliknya orang ramai digalakkan mengamalkan penjagaan kebersihan serta mengambil pemakanan seimbang bagi mengelak penularan jangkitan.

“Tidak salah mengamalkan petua seperti meletakkan hirisan bawang merah atau menggunakan semburan pembunuh kuman asalkan ia tidak berlebih-lebihan dan mencetuskan panik.

“Kita tiada bukti sains menunjukkan petua (penggunaan bawang merah) banyak membantu walaupun kita tak halang ia diamalkan sebab ia tidak jejaskan kesihatan,” katanya selepas pelancaran pembangunan pusat komersial Botani Village di sini, hari ini.

Dr Lee diminta mengulas dakwaan segelintir netizen mendakwa hirisan bawang merah yang diletakkan di persekitaran kawasan kediaman mampu menyerap virus influenza dari terkena jangkitan kepada manusia.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Bahaya influenza dan kaedah rawatan

INFLUENZA ada sejarah panjang yang hitam dalam kehidupan manusia. Pada tahun 2018, genaplah 100 tahun malapetaka kesihatan dalam sejarah moden manusia.

Pada awalnya, 1918, influenza hanya disebut sebagai “selesema Sepanyol”. Namun, masih ramai yang menganggap jangkitan tersebut tidak berbahaya sekalipun virus itu membunuh 650,000 manusia setiap tahun. Lebih parah, influenza merebak pantas, bahkan sentiasa bermutasi hingga muncul virus baru, dari influenza A, B dan C.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak itu dilaporkan meragut satu hingga dua juta nyawa pada 1957 apabila jangkitan virus yang bermula di China tersebar ke seluruh dunia. Pada 2003, muncul pula influenza A (H5N1), atau selesema burung, yang boleh berjangkit dari haiwan kepada manusia tetapi ia hanya dianggap tahap epidemik.

H5N1 tidak menjangkiti manusia kepada manusia. Jangkitan mencapai tahap pandemik apabila virus menyerang dalam skala besar. Umpamanya selesema babi yang bermula di Mexico pada 2009, kemudian merebak ke 214 negara pada kadar cepat.

Dalam masa singkat, kira-kira 105,000 hingga 395,000 orang meninggal dunia akibat selesema babi – digelar sedemikian kerana virus itu bermula dari haiwan berkenaan sebelum ia merebak kepada manusia.

Di Malaysia, kes pertama berlaku pada Mei 2009 apabila seorang pelajar berusia 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat dikesan positif influenza A (H1N1). Mangsa mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan kemudian dirawat di Hospital Sungai Buloh sebelum keadaannya kembali stabil.

Sekitar sebulan kemudian, kes pertama penularan tempatan dikesan di Malaysia apabila seorang pelajar perempuan 17 tahun yang tiada sejarah mengunjungi negara luar dijangkiti. Jangkitan berlaku akibat kelemahan kuarantin.

Sejenis selesema biasa?

Secara am, ada beberapa persamaan antara selesema biasa dengan jangkitan influenza. Seperti simpton selesema biasa, influenza juga menyebabkan hidung berhingus, tersumbat dan bersin akibat jangkitan pada saluran pernafasan. Namun, kadarnya jauh lebih cepat dan lebih bahaya.

Sebenarnya, wabak itu terjadi mengikut musim. Bagi negara beriklim sederhana, penularan jangkitan itu ada variasi yang jelas dengan kemuncaknya berlaku pada musim sejuk. Namun bagi negara rantau tropika termasuk Malaysia, tiada musim penularan influenza yang jelas. Dengan kata lain, ia boleh berlaku sepanjang tahun.

Perbezaan influenza

Ada tiga jenis influenza iaitu A, B dan C. Kategori A dikenal pasti paling berbahaya kerana ia boleh menjadi pandemik. Berbanding influenza B yang hanya menjangkiti manusia, influenza A juga boleh menular kepada haiwan. Keadaan ini menjadikan influenza A lebih mudah tersebar.

Virus influenza A yang menjangkiti haiwan boleh tersebar kepada manusia melalui cecair daripada mulut haiwan. Lazimnya, penternak ayam, itik atau babi mudah dijangkiti. Istilah selesema burung dan selesema babi merujuk kepada virus influenza A yang dijangkiti manusia daripada haiwan. Walaupun kes sedemikian jarang berlaku tetapi simptomnya jauh lebih teruk dan risiko maut lebih tinggi.

Influenza B pula, walau sesekali mendatangkan bahaya, tetapi ia kurang teruk berbanding influenza A. Walaupun sering berlaku tetapi influenza B hanya ditemui dalam kalangan manusia sahaja sekali gus kadar penyebarannya lebih terkawal. Namun, ia berpotensi mengakibatkan simptom yang teruk. Tidak seperti virus A, ia tidak menyebabkan pandemik.

Influenza C juga boleh menjangkiti manusia tetapi lebih ‘ringan’, jarang berlaku dan bukan bersifat epidemik. Kadang kala, orang yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang tanda.

Simptom

Tanda-tanda dijangkiti boleh dikesan melalui simptom demam panas, batuk, sakit kepala, sakit tekak, menggigil, muntah, sukar bernafas, letih lesu, cirit-birit dan sakit perut. Selain itu, ada juga kes pesakit mengalami muntah darah. Kerap kali juga jangkitan virus sekadar menyebabkan gejala jangkitan pada orang yang memiliki tahap kekebalan tubuh yang baik.

Justeru, ibu bapa perlu sentiasa memantau tahap kesihatan anak masing-masing kerana kanak-kanak khasnya berusia bawah lima tahun antara golongan yang mudah dijangkiti. Namun, golongan paling berisiko adalah wanita hamil, warga emas berumur 65 tahun ke atas, individu dengan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau asma, dan individu obes.

Individu yang memiliki daya ketahanan tubuh yang rendah seperti pesakit barah, penghidap HIV, pesakit yang menjalani kemoterapi juga berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Cara paling berkesan untuk mengelakkan dijangkiti ialah melalui pengambilan vaksin kerana ia berkesan untuk semua golongan termasuk kanak-kanak.

Vaksin yang boleh didapati di kebanyakan klinik perlu diambil secara tahunan kerana formulasi vaksin influenza dikemas kini berdasarkan saranan WHO. Formulasi itu bagi memastikan kandungan vaksin sepadan dengan virus berikutan strukturnya berubah-ubah mengikut musim. Proses itu dikenali sebagai antigenic drift.

Rawatan awal

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai agar mengamalkan lapan langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan.

  • Dapatkan rawatan segera jika ada simptom tertentu termasuk demam panas, batuk, sakit kepala, sakit tekak, menggigil, muntah, cirit-birit dan letih lesu.
  • Elakkan berjumpa saudara mara, rakan atau tempat awam.
  • Pakai penutup hidung jika berada di tempat awam.
  • Tutup hidung dan mulut dengan sapu tangan, tuala atau tisu apabila batuk atau bersin. Tisu yang sudah dipakai hendaklah dibuang.
  • Kerap membasuh tangan menggunakan sabun terutama selepas batuk atau bersin.
  • Elak berkongsi barangan peribadi seperti sapu tangan dan tuala.
  • Pastikan pengudaraan dan cahaya yang baik di rumah atau tempat kerja.
  • Bersihkan lantai dan meja yang tercemar dengan cecair hidung dan mulut.
Categories
AGENDA NASIONAL

Influenza: Sebuah sekolah dan dua kelas ditutup-KPM

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Hanya sebuah sekolah di Perak dan dua kelas di sebuah sekolah di Pulau Pinang yang ditutup setakat semalam berikutan penularan  influenza.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya hari ini menjelaskan sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak yang ditutup mulai 11 hingga 19 Januari dan dua kelas di SJKC Li Hwa, Pulau Pinang (ditutup mulai 7 hingga 19 Januari).

“Keputusan ini dibuat setelah mendapat nasihat dan pandangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Selain itu KPM turut menerima peningkatan laporan kes wabak influenza daripada beberapa sekolah di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan statistik rasmi tentang jumlah murid menghidapi influenza hanya boleh disahkan dan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Murid-murid juga sentiasa diingatkan supaya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dengan amalan kerap membasuh tangan menggunakan air bersih serta sabun atau pencuci tangan selain mengamalkan adab batuk yang baik,” kata kenyataan itu.

Ibu bapa juga dinasihati tidak menghantar anak mereka yang mempunyai gejala influenza ke sekolah atau membawa tempat awam dan jika perlu berbuat demikian perlulah memakai penutup mulut dan hidung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Influenza: Kadar perundingan kemasukan ke wad meningkat

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan alternatif sejuta vaksin Influenza A bantu klinik swasta

SHAH ALAM 13 JAN: Sebanyak satu juta bekalan alternatif tablet vaksin Influenza A diluluskan Kerajaan Persekutuan kepada klinik swasta yang boleh digunakan 100,000 pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tahun lalu pihaknya menerima stok vaksin sebanyak 600,000 dos, lapor Berita Harian.

“Pada 2 Disember lalu, kita menerima lebih 90,000 dos vaksin dan difahamkan pada 21 Januari ini, lebih 60,000 dos vaksin lagi akan diterima.

“Pihak swasta yang mahukannya boleh memohon bekalan alternatif itu dan ia akan mendapat kelulusan khas pada hari sama,” katanya.

Beliau berkata bekalan vaksin bagi Influenza A masih mencukupi dalam sektor kerajaan buat masa ini.

“Kita sebelum ini memang ada stok simpanan vaksin berbanding pihak swasta yang tidak menyimpan stok berkenaan.

“Kita ada stok mencukupi. Apabila jadi keadaan seperti sekarang, rakyat memilih untuk mendapatkan vaksin berkenaan di swasta, namun mereka (swasta) tidak menyimpan stok yang banyak.

“Apabila permintaan melebihi bekalan yang ada, itu sebab berlaku kekurangan dan menimbulkan situasi cemas,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, mendakwa klinik swasta berdepan kekurangan kritikal bekalan vaksin untuk pencegahan influenza daripada empat syarikat pembekal utama.

Beliau mendakwa, kekurangan itu berlaku kerana klinik swasta tidak diberi keutamaan untuk mendapatkan bekalan vaksin terbabit berbanding hospital swasta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Influenza: 89 murid di Johor terkena jangkitan

JOHOR BAHRU, 12 JAN: Seramai 89 murid di negeri ini dijangkiti influenza setakat 1.30 tengah hari tadi, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

Azman Adnan berkata Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 56 murid diikuti Kulai (15), Tangkak (enam), Kluang (lima), Muar (lima), Batu Pahat (satu) dan Pontian (satu).

Katanya berdasarkan data diperoleh daripada rawatan kesihatan di pusat kesihatan kerajaan mahupun swasta, murid yang dijangkiti terdiri daripada prasekolah serta sekolah rendah dan menengah.

Bagaimanapun, Azman berkata tiada penutupan kelas atau sekolah setakat ini.

“Persekolahan berjalan seperti biasa. Bagi satu atau dua kes perlu ikut prosedur operasi standard (SOP) sekolah iaitu buat pembersihan kelas.

“Manakala, bagi kes membabitkan jumlah sehingga memerlukan kelas atau sekolah ditutup (keputusan) akan dibuat bersama pejabat kesihatan berkaitan, namun setakat ini di Johor tidak perlu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga melakukan tindakan awal bagi menangani isu berkenaan dengan sentiasa berhubung dengan pejabat kesihatan untuk mengetahui maklumat dan tindakan lanjut berhubung perkara itu.

“Surat pekeliling mengenai isu berkenaan juga diedar dan kita juga sentiasa menunggu laporan terkini daripada Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah mengenai keadaan murid.

“Malah kita juga memastikan pihak sekolah mempunyai penyaring suhu badan untuk mengesan murid yang demam,” katanya.

Azman berkata murid atau warga sekolah yang mempunyai simptom influenza juga tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

“Sekiranya mereka hadir, perlu dibawa pulang dan mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital terdekat. Jika tidak, mereka akan diasingkan di dalam bilik khas atau bilik sakit.

“Begitu juga murid-murid yang tinggal di asrama atau di sekolah berasrama penuh, mereka juga akan diasingkan daripada penghuni asrama yang lain sehingga mereka sembuh sepenuhnya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukan baharu, influenza tiada kaitan jangkitan di China

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Walaupun trend jangkitan virus influenza menunjukkan peningkatan, analisa yang dibuat Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan mendapati ia bukan virus baharu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga menegaskan jangkitan influenza yang berlaku di Malaysia ketika ini tiada kaitan langsung dengan wabak radang paru-paru (Pneumonia) yang sedang berlaku di Wuhan, China.

“Analisa semasa itu melibatkan kajian trend influenza meliputi kadar konsultasi kes penyakit serupa influenza dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan jangkitan pernafasan akut teruk,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kempen Derma Darah anjuran Persatuan Alumni Sekolah Tun Fatimah (SK-STJ 73) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan vaksin influenza ditawarkan hospital kerajaan hanya kepada golongan berisiko tinggi seperti pesakit dengan penyakit kronik serta golongan dengan daya ketahanan rendah.

Dr Dzulkefly berkata hanya pesakit yang memenuhi kriteria jangkitan sederhana atau teruk sahaja selepas melalui ujian saringan influenza di hospital akan ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

Berhubung dakwaan kehabisan stok ubat dan vaksin, katanya kementerian meminta pembekal untuk mendapatkan stok vaksin influenza dengan kadar segera bagi memenuhi permintaan di negara ini.

Kebanyakan fasiliti kesihatan swasta yang sebelum ini melaporkan kekurangan stok ubat antivirus bagi merawat influenza telah mula menerima bekalan masing-masing.

“Bagi fasiliti Kementerian Kesihatan pula, Pharmaniaga memberi jaminan stok ubat antivirus akan terus dibekalkan tanpa sebarang gangguan bagi memastikan bekalan mencukupi pada setiap masa,” katanya.

Program kempen Derma Darah SK-STF 73 yang diadakan dengan usaha sama Pusat Darah Negara itu berjaya menarik lebih 80 penderma darah daripada pelbagai lapisan masyarakat di sekitar ibu negara.

-BERNAMA