Categories
NASIONAL

DAP terima permohonan maaf Utusan dengan amaran keras

utusan fitnah grafik

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: DAP hari ini  amaran kepada Utusan Malaysia supaya  tidak lagi menyiarkan kenyataan tidak bertanggungjawab sekalipun menerima permohonan maaf berkaitan isu Tanda Putera.

Pengerusinya, Karpal Singh turut meminta akhbar harian itu mematuhi etika kewartawanan melalui penulisan yang tepat dan menghentikan penyiaran berita palsu.

“Kami terima permohonan maaf tetapi Utusan tidak boleh terus berbohong. Kami beri mereka peluang untuk beralih kepada cara yang lebih baik dan melaporkan kebenaran,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Akhbar kawalan Umno itu sebelum ini menyiarkan laporan bertajuk “Cuba Sembunyi kebiadaban DAP” dengan mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng cuba menyekat tayangan filem itu.

Pengurus Kanan Utusan Malaysia Berhad, Shirad Anuar dalam kenyataan bertulis pada 13 September lalu bersetuju untuk memohon maaf kepada Kit Siang dan Guan Eng berhubung penyiaran artikel itu.

“Artikel yang disiarkan di muka surat 13 pada 7 September 2013 iaitu “Cuba sembunyi kebiadaban DAP” adalah salah serta tidak menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang,” katanya.

Sementara itu, pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang berkata, permohonan maaf itu mesti ikhlas dan bukan bertujuan meraih publisiti semata-mata.

“Kami tidak minta Utusan memihak kepada kami, tetapi tolong siarkan berita yang benar dan hentikan penipuan,” katanya.

Categories
NASIONAL

48 Jam Untuk Dr Puad Tarik Balik Fitnah Terhadap Anwar

SHAH ALAM 2 OGOS : Dr Mohd Puad Zarkashi diberi tempoh 48 jam bermula hari ini untuk menarik tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa Ketua Umum PKR itu membayar Datuk Seri Lajim Ukin untuk meletakkan jawatan dalam Umno- BN.

Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, Anwar juga menuntut bahawa Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat dalam dua akhbar harian kebangsaan termasuk Sinar Harian dan juga menuntut ganti rugi dan kos undang-undang.

Apa-apa kegagalan oleh Puad untuk mematuhi tuntutan-tuntutan ini akan menyebabkan pengeluaran serta-merta Writ Saman terhadapnya.

“Kenyataan ini adalah satu pembohongan yang keji oleh Dr Puad sebagai Timbalan Menteri Persekutuan.

“Selaras dengan politik Umno fitnah dan pembunuhan watak, tiada bukti yang diberikan oleh Puad untuk menyokong dakwaan keterlaluan,” katanya dalam kenyataan media.

Ujar Surendran, kenyataan fitnah ini adalah bukti terdesak dan ketakutan Umno-BN dalam menghadapi kehilangan besar-besaran sokongan untuk BN di Sabah.

Perletakan jawatan Lajim yang berani dibuat demi kepentingan rakyat Sabah yang lama menderita di bawah pemerintahan yang menindas dan rasuah Umno-BN.

“Kami menyeru pemimpin-pemimpin Umno-BN untuk meninggalkan politik ‘fitnah’ dan sebaliknya bersama Pakatan Rakyat membahaskan persoalan berkaitan kepentingan negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Boleh Bina Sendiri Sekolah Jika Pusat Enggan

SHAH ALAM 9 JUL : Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan membina sendiri sekolah kebangsaan di Taman Medan Petaling Jaya sekiranya Kerajaan Pusat enggan berbuat demikian walaupun tanah sudah disediakan.

Projek tersebut boleh dijalankan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana populasi kawasan tersebut sudah melebihi 40,000 penduduk, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid berkata Kerajaan telah meminta untuk sebuah sekolah kebangsaan dibina di situ tiga bulan lalu dan tanah juga telah diperuntukan bagi tujuan tersebut.

Ini sekaligus menyangkal dakwaan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi bahawa Kerajaan Negeri tidak memberi kelulusan tanah bagi pembinaan sekolah di Selangor.

“Kita sediakan tanah, bukan kata satu sekolah malahan mana-mana sahaja Kerajaan Pusat minta untuk dibangunkan sekolah kita memang ada peruntukan tanah.

“Jadi bagaimana timbul kenyataan seperti ini oleh seorang Timbalan Menteri saya pun tidak pasti kerana kenyataan beliau ternyata tidak benar dan beliau juga tahu ia tidak benar,” jawab Abdul Khalid dalam satu sidang media sejurus Majlis Sambutan Zon Bersih di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata hakikatnya Kerajaan Pusat yang enggan membina sekolah walaupun tanah sudah diperuntukkan untuk pembinaan.

?Setiap 100 ekar pembangunan, pemaju akan beri tanah untuk Kerajaan Negeri wartakan bagi pembangunan sekolah dan lain-lain.

“Tetapi masalah yang kita hadapi dalam kes ini, Kementerian Pelajaran tidak mahu buat dan ini adalah perkara yang amat mengecewakan kerana ia melibatkan keperluan pendidikan anak-anak kita,” katanya.

Beliau meminta Kementerian Pelajaran menyediakan senarai lokasi yang diperlukan pihak kementerian untuk pembinaan sekolah di seluruh Selangor.

“Berikan kita senarai, kita akan cari tanah untuk Kerajaan Pusat bina sekolah kerana kita sememangnya komited dan sangat menggalakkan wang rakyat disalurkan kepada pendidikan,” tegasnya.

Beberapa hari lalu, Dr. Puad mengeluarkan kenyataan meminta Kerajaan Negeri memperuntukkan tanah kepada kerajaan pusat bagi membolehkan lebih banyak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dibina di Selangor.

Menurut beliau, keengganan Kerajaan Negeri bekerjasama memberikan kelulusan tanah menyekat usaha Kerajaan Pusat membina lebih banyak sekolah di negeri ini.