Categories
SELANGOR

Masyarakat digesa gotong-royong bersih rumah atasi wabak denggi

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 FEB : Orang ramai digesa supaya giat menjalankan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan persekitaran rumah selain mengawasi takungan air di kawasan kediaman bagi mengatasi wabak denggi yang semakin serius.

Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari, berkata penyakit demam denggi perlu diatasi secara kolektif dan bukannya sekadar berharap kepada jabatan kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun wakil rakyat semata-mata.

yaakob interview yellow stripe 01Katanya masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan langkah pencegahan awal dapat dilaksanakan apatah lagi Selangor memiliki kepadatan penduduk yang tinggi.

“Pengawasan juga hendaklah diberikan bagi rumah kosong, kawasan pembangunan, rumah tinggal pekerja kontrak dan kawasan hot spot yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Selangor mempunyai 5.6 juta penduduk dan ini merupakan salah satu sebab Selangor mencatat kes denggi tertinggi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Yaakob berkata penyelesaian wabak denggi perlu dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan baru berikutan kaedah semburan asap ternyata tidak lagi berkesan.

Beliau turut bersetuju supaya peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) yang diperuntukkan untuk Dun Kota Anggerik digunakan bagi membaiki longkang di bandar Shah Alam.

“Saya melihat seperti ada toleransi di antara musim panas dan wabak denggi, justeru saya cadangkan supaya perkara ini dilihat dari aspek kejuruteraan seperti longkang-longkang di seluruh Shah Alam.

“Banyak longkang yang telah pecah dipenuhi daun-daun dan saluran, manakala kawasan penangkap pasir menakung air,” katanya lagi.

Sehingga 22 Februari lepas, Selangor mencatatkan 11 kes kematian akibat demam denggi.

Empat daerah utama yang menunjukkan beban kes denggi tertinggi adalah daerah Petaling dengan 2738 kes, Hulu Langat (1784 kes), Gombak (644 kes) dan Klang (775 kes).

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor Perluaskan ‘Natural Farming’, Jana Lebih Keuntungan Untuk Petani

BESTARI JAYA, 8 OKT : Kaedah pertanian ‘natural farming’ atau pertanian semula jadi yang diperkenalkan Jabatan Pertanian Selangor akan diperluaskan bagi meningkatkan pendapatan golongan petani di Selangor.

Pada masa ini, Selangor satu-satunya negeri yang melaksanakan kaedah pertanian ini yang dimulakan di Korea Selatan.

Kaedah itu mampu mengurangkan kos pertanian sehingga sehingga 70 peratus.

Selain itu ia juga dikatakan baik untuk kesihatan disebabkan menggunakan teknik semulajadi untuk menghalang serangan serangga dan memastikan penggunaan bahan kimia pada tahap minima berbanding pertanian konvensional.

Demikian menurut Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari dalam ucapannya ketika melawat ladang penanaman tembikai batu di Taman Agroteknologi Bestari Jaya hari ini.

Menurut Dr Yaakob, kaedah tersebut selain sesuai untuk penanaman tembikai batu, ianya turut sesuai untuk jenis pertanian lain.

“Kita telah berjaya di sawah. Sebahagian dari sayuran kita dan di sawah secara kecil-kecilan tidak menggunakan racun lagi,” kata Dr Yaakob.

Dr Yaakob juga menyatakan, kerajaan negeri mensasarkan kaedah ‘natural farming’ ini akan diaplikasikan oleh seluruh petani di negeri ini dalam jangkamasa tiga tahun lagi.

Menurut Dr Yaakob, kaedah pertanian semulajadi itu juga memberikan penjimatan kos yang tinggi bagi setiap musim dan lebih bernilai berbanding pemberian ‘one-off’ sperti BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia).

Menurut seorang pengusaha tanaman tembikai batu Norhisham Ramlan, beliau hanya mengeluarkan kos RM 300 sahaja setiap musim untuk ladangnya.

Berbanding dahulu, di mana beliau terpaksa membelanjakan
RM 1,500 untuk racun dan baja kimia bagi satu musim yang mengandungi 1,200 pokok.

Terdahulu, dalam majlis yang dihadiri oleh kira-kira 50 orang itu, Dr Yaakob turut sempat melawat ladang penanaman tembikai batu yang diusahakan Norhisham.

Dalam sama dalam lawatan setengah hari itu, beliau turut diiringi Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Yahya Sahri.