Categories
EKONOMI

Pakar dron Malaysia beli saham 60% firma Denmark

LONDON 13 MAC: Pakar dron Malaysia, Aerodyne Group, membeli 60 peratus kepentingan kawalan di dalam AtSite, penyedia perkhidmatan pemeriksaan turbin angin berpangkalan di Denmark bagi industri jana kuasa Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Aerodyne, Kamarul A Muhamed, berkata pembelian itu membolehkan syarikat memperolehkan kedudukan lebih kukuh di dalam pasaran jana tenaga angin yang sedang pesat berkembang, lapor BH ONLINE.

“Pembelian ini membolehkan kami meneroka pasaran turbin angin global. Ini sebenarnya cara kita berkembang ke seluruh dunia.

“Di beberapa negara, kami menubuhkan operasi sendiri, namun di kebanyakan negara, kami bekerjasama dengan rakan tempatan dan itulah strategi yang membolehkan syarikat berkembang sebegini pantas. Justeru, ia satu perjalanan yang amat menarik,” katanya.

Aerodyne Group bermula dengan hanya tiga pekerja kira-kira tiga tahun lalu, dan sekaran ini penyedia penyelesaian dron terurus antarabangsa itu mempunyai pejabat di Australia, Malaysia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia, United Kingdom (UK) dan Denmark.

AtSite, yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mads Obling Rasmussen adalah peneraju perkhidmatan pemeriksaan bilah turbin angin.

Tahun lalu, juruteknik syarikat itu sudah menyiapkan lebih daripada 1,000 pemeriksaan turbin angin di kedua-dua luar pesisir dan atas pesisir.

Perkhidmatan Aerodyne amat berguna untuk memantau dan memeriksa turbin angin luar pesisir dan atas pesisir. Ia berkesan dari segi kos dan menghasilkan penjimatan kepada pengendali tenaga angin.

Kini dikenali Aerodyne AtSite, syarikat itu akan membawa kepakaran dari Malaysia dan menggaji pekerja dari Eropah untuk mengendalikan operasinya.

“Teknologi ini adalah dari Malaysia, penyelesaiannya menggunakan (teknologi) awan, diuruskan oleh pasukan kami. Justeru, kami menggunakan pemandu dron tempatan. Pekerja kami sekarang ini berada di sana melatih pekerja Eropah,” katanya.

“Saya fikir, kami sudah menemui pengkhususan dalam menggunakan dron bagi menyediakan penyelesaian enterpris dan merasakan inilah formula yang betul. Ia membolehkan kami mencatatkan pertumbuhan luar biasa sejak tiga tahun lalu. Kini, kami mempunyai 200 pekerja di 10 negara,” katanya sambil menambah Aerodyne adalah penyedia perkhidmatan dron ketujuh terbesar di dunia.

Kamarul berkata demikian pada Hari Aerodyne yang diadakan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Jumaat lalu yang dianjurkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Perjanjian pembelian saham itu disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) dan Ireland Utara, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata tumpuan utama Aerodyne sekarang ini adalah aset infrastruktur.

“Bagi kami, aset infrastruktur adalah pasaran terbesar dari segi aplikasi dron. Yang bagusnya, ia boleh digunakan dengan agak mudah di beberapa pasaran dan tidak hanya terhad kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, selain aset infrastruktur, satu lagi pasaran yang boleh memanfaatkan penggunaan teknologi dron adalah pertanian.

Katanya, Aerodyne sedang meneliti beberapa rakan perniagaan di sekurang-kurangnya lima negara.

SUMBER: BH ONLINE

 

Categories
NASIONAL

DCA: Bukan semua dron perlu kelulusan

PUTRAJAYA 25 NOV: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memperjelaskan bukan semua dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) perlu mendapatkan kelulusan jabatan itu sebelum ia diterbangkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata orang awam yang mengendalikan dron tidak melebihi berat 20kg boleh menerbangkan UAV itu tanpa kelulusan DCA selagi “pengendali berpuas hati dron dapat diterbangkan dengan selamat.”

“Walau bagaimanapun, semua jenis dron tidak dibenarkan terbang di ruang udara Kelas A, B, C atau G dan di sekitar lapangan terbang melainkan dibenarkan DCA,” katanya lapor BERNAMA.

Menurut artikel itu, DCA sedang menubuhkan sebuah unit penguatkuasaan untuk mengambil tindakan terhadap pemilik dron tidak berdaftar. Unit berkenaan yang akan ditempatkan di kesemua 21 lapangan terbang di negara ini, dijangka mula beroperasi awal tahun depan.

Artikel itu menyebut unit penguatkuasaan itu diperkenalkan kerana ramai pemilik dron tidak sedar aktiviti menerbangkan dron di luar rumah mereka adalah haram.

Azharuddin berkata DCA kini menjalani kajian menyeluruh tentang kemungkinan menubuhkan unit penguatkuasaan bagi tujuan keselamatan penerbangan awam serta kemungkinan mendaftar dron jenis tertentu.

“Tidak ada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan DCA akan memberikan maklumat terkini dan pengumuman akan dibuat setelah keputusan telah dicapai,” katanya.

Menurut artikel itu, DCA merancang mengetatkan kawalan terhadap aktiviti dron dengan menjadikannya wajib bagi pemilik mendaftarkan peranti tersebut.

Laporan itu juga menyebut DCA mencadangkan yuran pendaftar sekali sebanyak RM800 dan yuran pembaharuan sebanyak RM500 untuk tahun berikutnya untuk pemilik dron.

Azharuddin berkata tiada caj dikenakan terhadap semua jenis dron.

“Bagaimanapun, caj mungkin dikenakan pada jenis-jenis dron tertentu atau digunakan untuk tujuan kerja tinjauan udara bagi menyediakan perkhidmatan khusus,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Dron Amerika serang Daesh di Somalia

WASHINGTON 4 NOV: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan dron terhadap militan Daesh di Somalia kali pertama, semalam.

Serangan dilancarkan di timur laut Somalia dan mengorbankan beberapa pengganas, kata pemerintah tentera AS di Afrika dalam satu kenyataan.

Voice of America (VOA) yang memetik kenyataan pengerusi bandar Qandala di wilayah separuh autonomi Puntland berkata, enam peluru berpandu dilancarkan ke arah pangkalan Daesh di kampung Buqa, 60 kilometer dari situ.

“Penduduk tempatan terkejut dan melarikan diri dari kawasan itu,” kata Jama Mohamed Qurshe kepada VOA.

Jurucakap AFRICOM, Leftenan Komander Anthony Falvo, berkata tiada penduduk awam di situ ketika serangan.

“Mereka menyerang sasaran yang sudah ditetapkan,” katanya sambil menambah ia adalah serangan udara pertama ke atas Daesh di Somalia.

Serangan pertama dilancarkan pada tengah malam waktu Somalia dan yang kedua kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Polis guna dron rakam lokasi kebakaran tahfiz

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Polis hari ini meneruskan siasatan terhadap tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini dengan menggunakan dron bagi merakamkan lokasi kebakaran dari udara.

Menurut sumber, dron yang dikendalikan Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman itu diterbangkan dari belakang pusat tahfiz tersebut pada jam 11 pagi tadi.

“Teknologi ini diperlukan pasukan forensik polis bagi merakamkan visual lokasi kejadian dari pelbagai sudut untuk siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Terdahulu, kira-kira 10 anggota dan pegawai pasukan forensik polis tiba di pusat tahfiz itu bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes kebakaran tersebut.

IMG_8523Tinjauan Bernama mendapati kawasan berkenaan masih dikawal rapi dengan penempatan balai polis bergerak selain terus menerima kunjungan orang ramai.

Pada awal pagi Khamis lepas, 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden di pusat tahfiz itu maut selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat berkenaan.

Susulan kejadian, polis menahan reman tujuh remaja yang disyaki terbabit dalam perbuatan khianat membakar pusat tahfiz tersebut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penggunaan dron baik, Selangor kaji kesesuaian

OLEH HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 12 JAN: Penggunaan dron untuk kerja penanaman padi adalah antara kaedah terbaik dan Kerajaan Negeri sedang mengkaji kesesuaiannya untuk dilaksanakan di negeri itu.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata kajian dilakukan dengan mengambil kira pelbagai aspek supaya ia memberi manfaat kepada golongan petani serta penghasilan pertanian.

“Ia memang satu cadangan yang baik dan kita juga sedang dalam peringkat perintis mengguna pakai kaedah itu.

yb-zaidy“Jika dilihat ketika kita jayakan perasmian Selangor Agrofest baru-baru ini, kita menggunakan dron dan ditunjukkan bagaimana menggunakannya,” katanya kepada SelangorKini, di sini, semalam.

Beliau berkata, penggunaan kaedah itu adalah pelbagai iaitu bukan setakat bagi kerja pemantauan tetapi juga untuk meracun dan seumpamanya.

“Namun, kita perlu mengkaji dari sudut kos dan method supaya tidak membebankan petani,” katanya berhubung perkara itu.

Media melaporkan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersedia menimbang cadangan menggunakan dron untuk kerja penanaman padi di negara ini, kata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya, penggunaannya dapat membantu petani meningkatkan pengeluaran hasil padi selain mengurangkan kos, masa dan tenaga buruh.

-nR-

Categories
SELANGOR

Dron pantau pencerobohan hutan Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 2 JUL: Kerajaan Selangor melangkah setapak ke hadapan dalam isu pemeliharaan hutan dengan menerbangkan dron bagi memantau aktiviti pencerobohan hutan dari udara.

Exco Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong, berkata kapal terbang kecil tanpa pemandu itu bersedia diterbangkan pada bila-bila masa selepas mendapat pelepasan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Kita ada pemantauan darat dan udara. Kini, kita guna teknologi baru iaitu dron yang lebih menjimatkan kos.

elizabeth01“Kita dah ada perkhidmatan ini khas untuk jabatan Kerajaan Negeri dan dikendalikan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) kepada semua jabatan.

“Syaratnya, kena dapatkan kebenaran DCA kerana itu syarat yang ditetapkan untuk setiap apa yang terbang di ruang udara negara,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Bazar Ramadhan Mampan 2015 di Bazar Ramadan Taman Delima, Batu 13, di sini, semalam.

Elizabeth berkata, pihak bertanggungjawab terlebih dahulu menjalankan kerja pemetaan penerbangan yang tepat terlebih dahulu sebelum penerbangan dron ini.

“Dahulu kita gunakan helikopter tetapi selepas pemetaan, dron boleh diterbangkan setiap tiga hingga empat bulan sekali untuk memantau hutan di Selangor,” katanya.

-NFN-