Categories
ADN SELANGOR

600 penduduk Jeram dijangka terima vaksin Selangor

KUALA SELANGOR, 3 OGOS: Seramai 600 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram dijangka menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Pengarah programnya berkata sasaran mengambil kira bilangan individu didaftarkan dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selain kehadiran peserta secara terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MDKS, Bandar Baru Kuala Selangor di sini.

“Sejak pendaftaran dibuka minggu lalu, kita menerima kira-kira 1,000 permohonan namun selepas saringan didapati kebanyakannya mendapat janji temu melalui MySejahtera beberapa hari sebelum program ini bermula.

“Untuk program hari ini setakat jam 3 petang, hampir 300 individu menerima dos pertama membabitkan rakyat tempatan dan warga asing dengan majoriti berusia 30 tahun ke atas,” kata Norman Naim Muhamad Rani yang juga ahli majlis Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Sementara itu, penyelaras DUN Jeram berkata tahap kesedaran penduduk untuk mendapatkan vaksin semakin meningkat susulan kebimbangan terhadap varian berbahaya Covid-19.

“Semasa kita pergi dari rumah ke rumah untuk mendaftar, penduduk memberikan sambutan baik biarpun sebahagiannya memaklumkan sudah divaksin di klinik kesihatan berhampiran,” kata Nagmudin Hussain.

Kerajaan Selangor menyediakan 500,000 dos vaksin yang bakal memanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini menerusi Selvax Komuniti.

Maklumat berkaitan program berkenaan boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan Covid-19 secara percuma DUN Batang Kali, Jeram hari ini

SHAH ALAM, 7 JUN: Program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor berlangsung di DUN Batang Kali dan DUN Jeram hari ini.

Saringan secara percuma itu berjalan serentak di Dewan Komuniti Bukit Sentosa dan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah bermula 9 pagi hingga 4 petang.

Pendaftaran boleh dibuat melalui tiga kaedah iaitu aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), pautan http://screening.selangkah.my atau terus mendaftar di lokasi.

Pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 turut ditawarkan dalam program itu.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN.

Categories
ADN SELANGOR

100 kanak-kanak DUN Jeram sertai program khatan percuma

SHAH ALAM, 7 DIS: Seramai 100 kanak-kanak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram menyertai program berkhatan secara percuma anjuran pejabat wakil rakyatnya.

Mohd Shaid Rosli berkata acara tahunan itu menyasarkan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) berusia antara enam hingga 12 tahun.

“Kita memperuntukkan sebanyak RM15,000 dengan kos tanggungan setiap peserta RM150. Rata-rata ibu bapa membawa dua orang anak untuk menyertai program ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata program di Klinik Nuraisha Bandar Puncak Alam dijalankan secara berfasa membabitkan 50 kanak-kanak pada 29 November, manakala selebihnya semalam bermula jam 1 hingga 6 petang.

Tambahnya, program berkenaan akan diteruskan tahun depan memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan pada tahun-tahun sebelumnya.

“Diharap inisiatif seperti ini membantu mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan sekali gus membuktikan keprihatinan dan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Lebih 5,000 banjiri rumah terbuka DUN Jeram

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUNCAK ALAM, 8 JUL: Meriah dan penuh riang, itulah suasana dapat digambarkan apabila lebih 5,000 tetamu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Jeram, di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), di sini, semalam.

Tinjauan SelangorKini mendapati, kebanjiran orang ramai daripada pelbagai etnik ternyata menterjemahkan sokongan tinggi terhadap wakil rakyat kawasan berkenaan

Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, program itu sebagai tanda penghargaan kepada rakyat yang sentiasa memberi komitmen penuh dalam menyokong pentadbiran Kerajaan PAKATAN.

“Sambutan yang sememangnya di luar jangkaan kerana orang ramai dari hampir keseluruhan kampung di kawasan ini datang untuk menyerikan majlis.

“Kunjungan masyarakat berbeza kaum juga menggambarkan betapa utuhnya semangat perpaduan di negeri ini.

“Saya berasa terharu atas kesanggupan mereka yang hadir walaupun ada yang tinggal jauh dari sini,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang mengenakan baju melayu lengkap bersampin, kelihatan ceria melayan kunjungan dan tidak ketinggalan meluangkan masa berjabat tangan bersama hadirin di rumah terbuka itu.

Antara lain yang hadir adalah, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad.

Sementara itu, sebanyak 13 gerai dengan pelbagai juadah disediakan antaranya char kuey tiaw, cakoi, keropok lekor, roti john leleh, laksa dan hidangan pencuci mulut iaitu aiskrim.

Selain dijamu dengan pelbagai hidangan, hadirin juga digamatkan dengan persembahan nyanyian.

Categories
SELANGOR

Bantuan MES di DUN Jeram berjalan lancar

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 23 DIS : Penyerahan bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram berjalan lancar sehingga kini sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih tampuk pemerintahan pada Mac 2008.

Penyelaras PKM DUN Jeram, Muhd Rashid Kassim, berkata sumbangan yang disalurkan kepada individu layak adalah mengikut prosedur dengan peserta paling awal mendaftar akan menerima bantuan terlebih dahulu.

RashidBeliau berkata tidak timbul isu pilih kasih atau mengabaikan mana-mana individu yang layak daripada menerima bantuan kerajaan negeri seperti yang didakwa sebuah akhbar baru-baru ini.

“Sebenarnya apa yang dilaporkan akhbar itu adalah tidak tepat kerana Pusat Khidmat DUN memberi bantuan sama rata kepada pihak yang layak.

“Tiada masalah dengan program MES seperti yang didakwa. Kita mengagihkan bantuan secara beperingkat dengan memberi keutamaan kepada mereka yang mendaftar awal,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Katanya selain bantuan MES, PKM DUN Jeram turut membantu keluarga kurang berkemampuan di kawasan itu dengan menyerahkan nama mereka kepada Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) untuk menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan.

MESMalah katanya bantuan sempena perayaan juga diberikan kepada keluarga yang layak berdasarkan cadangan nama yang diberikan oleh Ketua Kampung di situ.

“Kita pantau keadaan mereka dari semasa ke semasa. Dulu mereka menerima RM95 sebulan daripada JKM tetapi atas bantuan pusat khidmat, bantuan itu berjaya dinaikkan kepada RM300 sebulan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan bantuan Jom Shopping pernah diberikan sebanyak dua kali kepada individu yang sama.

Katanya semua peserta warga emas yang layak hanya diberikan peluang sekali seorang untuk menikmati baucar Jom Shopping berkenaan.

“Semua sudah dapat. Dakwaan yang mengatakan ada individu mendapat dua kali itu tidak tepat kerana sebenarnya individu terbabit mewakili isterinya yang sedang sakit,” katanya.

EZY