Categories
SELANGOR

Laksana program padanan kerja, bantu golongan hilang pendapatan

AMPANG, 16 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya akan mengadakan program padanan kerja bagi membantu individu hilang pendapatan akibat Covid-19.

Penyelarasnya Daing Muhammad Reduan Bachok berkata pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan beberapa syarikat yang bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan terjejas

“Soal pekerjaan sangat penting ketika ini memandangkan Selangor telah beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana rakyat perlu meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja dan mencari pendapatan.

“Apabila bekerja, kadar kebergantungan mereka terhadap kerajaan berkurang. Jadi, kita cuba aturkan dengan beberapa syarikat misalnya pasar raya untuk menawarkan pekerjaaan,” katanya kepada Selangorkini.

Ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point hari ini, Daing berkata inisiatif padanan kerja akan menyasarkan semua peringkat usia dan golongan yang diberhentikan.

“Kita tahu ramai terkesan bukan sahaja golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi berpendapatan sederhana (M40) yang sebelum ini memiliki pendapatan yang stabil.

“Memang banyak platform pencarian kerja dalam laman sesawang tetapi kita berusaha untuk bantu selagi boleh, dari situ kita akan lihat dan nilai supaya mereka boleh dapat kerja,” katanya.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Lembah Jaya sumbang hampir RM100,000 bantu penduduk terjejas Covid-19

AMPANG, 7 MAC: Pusat Khidmat Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya memperuntukkan hampir RM100,000 bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 hari ini.

Penyelarasnya Daing Muhammad Reduan Bachok berkata jumlah berkenaan membabitkan sumbangan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40), surau, ketua komuniti India dan Pusat Wanita Berdaya.

“Dari jumlah itu juga sebanyak RM60,000 diberikan kepada enam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Persatuan Belia Bandar Ampang Jaya dan Persatuan Muafakat Lembah Jaya turut menerima bantuan.

“Walaupun DUN ini tidak mempunyai wakil rakyat, namun kami akan pastikan keperluan rakyat mencukupi dan terjamin,” katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelajah sekitar Parlimen Ampang bagi melihat aktiviti masyarakat serta pembangunan kawasan itu.

Sementara itu, beliau berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Mac tahun lalu, pihaknya mengagihkan 3,700 bakul makanan kepada keluarga terjejas.

“Jumlah itu melibatkan 2,000 bantuan sepanjang tahun lalu manakala 1,700 dari Januari hingga hari ini.

“Sebanyak 300 bakul makanan kecemasan turut disediakan di PKR. Ini bagi memastikan individu yang benar-benar terjejas dapat dibantu segera,” katanya.