Categories
SELANGOR

Masjid Bandar Seri Putra dirasmi, penuhi keperluan masyarakat setempat

OLEH: HAFIZAN TAIB

BANGI, 16 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan merasmikan masjid di Bandar Seri Putra, di sini, semalam.

Diwakili anakandanya, DYTM Raja Muda, Tengku Amir Shah, Masjid Bandar Seri Putra bernilai RM9.4 juta itu dirasmikan dalam majlis berbuka puasa bersama rakyat dan sumbangan Aildifitri di perkarangan masjid berkenaan.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Zul-Kefli @ Zulkefli Khalid, berkata pembinaan masjid itu atas inisiatif penduduk bermula 18 Julai 2008 dan mula digunakan pada 1 Oktober 2014.

RMS RASMIBeliau berkata, masjid dibina dengan konsep mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, bilik kuliah, ruang sufah, sudut bacaan, bilik jamuan dan sebagainya.

“Jawatankuasa masjid juga telah membina bangunan bagi kediaman pegawai masjid terletak bersebelahannya bernilai RM 2.3 juta di mana kerja pembinaan selesai pada Mei lalu.

“Diharapkan pembinaan masjid ini akan menarik umat Islam di sekelilingnya untuk beribadah dan sekaligus menggunakannya demi kebaikan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap dalam masjid berkenaan.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Ahmad Yunus Hairi; Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim dan kenamaan lain.

RMS SUMBANGANDalam majlis itu, Raja Muda berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 118 asnaf muallaf bernilai RM59,000 dan 269 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) (RM134,500).

Zulkefli memaklumkan cadangan beberapa pembinaan dan menaik taraf masjid lain juga dibuat di daerah itu bagi memenuhi keperluan dan kemudahan masyarakat setempat serta pengunjung ke sini.

-nR-

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor, MB solat Aidiladha bersama 10,000 rakyat

Oleh AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 OKT: Sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah meriah dengan penyertaan 231 orang peserta ibadah korban tahun ini.

Turut mengambil bahagian, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi serta Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang.

Sebanyak 33 ekor lembu korban di peruntukkan sementara seekor lagi lembu untuk majlis aqiqah.

korban9

Pengerusi Jawatankuasa Ibadah Korban Tahun 2014/1435H, Kasjoo Kadis menyatakan kegembiraan peningkatan jumlah penyertaan peserta ibadah korban untuk tahun ini meskipun harga seekor lembu telah meningkat kepada RM3,500 seekor.

“Untuk makluman semua untuk tahun ini harga lembu agak naik sedikit. Untuk satu bahagian kita kenakan harga RM500 dan untuk seekor lembu RM3,500.

“Berbanding tahun lalu harga satu bahagian adalah RM450 dan harga seekor lembu hampir RM3,200,” katanya kepada media.

Katanya, kemungkinan kenaikan harga lembu pada tahun ini dipengaruhi dengan harga pasaran dunia.

Sebelum itu, hampir 10,000 orang jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di dewan utama solat bersama DYMM Sultan, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYTM Raja Muda, Tengku Amir Shah, yang diiringi Datuk Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan Mufti, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

korban1

Para jemaah turut mengambil kesempatan bersalaman dengan Tuanku serta pemimpin Kerajaan Negeri selepas selesai menunaikan solat dan bacaan khutbah yang disampaikan oleh Mufti.

korban4

HM