Categories
AGENDA NASIONAL

Misi kemanusiaan Palestin Ebit Lew dapat kelulusan, tertakluk SOP

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) semasa, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada Ebit Lew semalam bagi memaklumkan misi kemanusiaan itu yang dijadual bermula semalam hingga 30 Mei.

“Misi kemanusiaan ke Mesir ini bertujuan memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang telah terkesan teruk ekoran serangan rejim Israel ke atas Gaza. Urusan yang melibatkan misi tersebut telah dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Mesir.

“Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir,” katanya.

Beliau berkata walaupun misi itu adalah inisiatif sendiri, delegasi Ebit Lew dinasihatkan agar sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

“Selain itu, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi. Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan delegasi itu untuk turut mematuhi semua SOP dalam negara yang sedang berkuat kuasa apabila kembali ke Malaysia.

Kamarudin berkata secara dasarnya, kementerian itu menyokong penuh usaha delegasi Ebit Lew dan sentiasa mengalu-alukan rakan NGO yang lain untuk turut menggerakkan pelbagai usaha bagi membantu rakyat Palestin termasuk mewujudkan tabung-tabung bagi mengumpul dana bantuan kemanusiaan.

“Dalam perkara ini, sekiranya diperlukan kementerian boleh membantu untuk menyalurkan dana yang telah selesai dikumpul oleh NGO ini kepada pihak berwajib di Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.

“Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan, selain membantu memudahkan usaha NGO, kerajaan juga melalui Kementerian Luar Negeri akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tablet sumbangan Ebit Lew ‘talian hayat’ tiga pelajar autisme

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Rasa sedih seorang ibu tunggal apabila komputer terpakai yang dibelinya secara dalam talian tahun lepas untuk tiga anaknya yang menghidap autisme dan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) rosak, terubat apabila menerima tablet sumbangan pendakwah terkenal Ebit Lew, baru-baru ini.

Haslinah Hassan, 40, yang tinggal di perumahan awam Jalan Hang Tuah di sini ketika dihubungi berkata anak sulungnya Muhammad Nur Izzat Ismail, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) begitu kecewa dan hampir hilang semangat untuk belajar selepas komputer yang dibeli Oktober lepas rosak.

Tiga lagi anak Haslinah ialah Putri Nur Alya Batrisyia, sembilan tahun, Putra Nur Irfan Basir, tujuh tahun dan Putra Nur Izzuddin Yusuf, tiga tahun. Anak kedua dan ketiganya mengikuti program PPKI di Sekolah Kebangsaan Yaacob Latif manakala anak bongsunya dihantar ke pusat pemulihan dalam komuniti San Peng.

“Tiga anak saya yang bersekolah begitu meminati bidang teknologi dan Internet. Selepas desktop rosak mereka hanya belajar menggunakan telefon bimbit saya dan saya akan ambil kerja sekolah masing-masing dari sekolah mereka.

Muhammad Nur Izzat Ismail (kanan) menggunakan tablet sumbangan pendakwah terkenal Ebit Lew untuk kegunaan pembelajaran dalam talian sambil diperhatikan ibu dan adik-adiknya di Flat DBKL Hang Tuah pada 23 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Pada Khamis saya lihat hantaran di akaun Facebook Ebit Lew bahawa dia membeli 100 buah tablet untuk dihadiahkan kepada pelajar yang memerlukan untuk kelas dalam talian. Sekitar 6 petang Khamis saya menulis di ruangan komen hantaran Lew. Saya katakan tentang keadaan anak saya dan tiga daripada mereka bersekolah. Saya juga memohon agar boleh dapat satu tablet,” katanya.

Haslinah berkata 45 minit selepas menulis di ruangan komen pada hantaran tersebut, beliau dihubungi pasukan Lew untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dirinya dan pada kira-kira 9.30 malam hari yang sama petugas Lew menghantar tablet itu ke rumahnya.

Lebih menggembirakannya seorang hamba Allah turut menyumbangkan sebuah komputer riba semalam dan Haslinah menyifatkan tablet sumbangan Ebit Lew dan komputer riba itu umpama ‘talian hayat’ kepada tiga anaknya untuk bersemangat belajar dengan mengikuti PdPR memandangkan beliau tidak mampu untuk mendapatkan peranti elektronik baharu untuk mereka.

Ini kerana Haslinah yang menjadi ibu tunggal sejak 2019, merupakan orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran dan turut menghidap ADHD. Keadaan keempat-empat anaknya menyebabkan beliau tidak dapat bekerja dan pendapatan beliau kini hanyalah elaun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan, bantuan Baitulmal dan sumbangan orang ramai.

“Saya terharu dengan sumbangan Ustaz Ebit Lew dan akan pastikan peranti ini digunakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Haslinah, anak sulungnya dan anak keduanya kini masing-masing boleh menggunakan tablet dan komputer riba itu untuk mengikuti PdPR manakala anak ketiganya boleh menggunakan telefon bimbit beliau bagi tujuan itu.

Sementara itu, hantaran Lew mengenai 100 tablet yang dibelinya untuk diberi kepada pelajar yang memerlukan dikongsi lebih 22,000 pengguna Facebook setakat petang ini. Lew dalam posting Facebook seterusnya memberitahu dalam masa separuh hari beliau menerima 43,000 pesanan daripada mereka yang memerlukan tablet untuk anak masing-masing mengikuti PdPR.

“Ramai juga yang OKU, tiada pekerjaan, anak yatim piatu dan bergaji kecil. Maafkan saya ye tidak dapat membantu ramai lagi,” kata Lew dalam hantaran itu.

-BERNAMA