Categories
RENCANA WAWANCARA

Covid-19 ubah landskap berita misi kemanusiaan

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 235 juta orang di seluruh dunia memerlukan bantuan kemanusiaan dan perlindungan pada tahun ini, iaitu peningkatan kepada satu dalam 33 orang berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Penularan pandemik Covid-19 memburukkan lagi situasi kerana jangkitan virus maut itu turut memberikan kesan hebat terhadap mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan di kawasan krisis, baik akibat konflik bersenjata, kesihatan mahupun bencana alam.

Turut terkesan ialah organisasi media yang mana menurut penganalisis keselamatan dan politik Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, merupakan antara pemain terpenting dalam pelaporan krisis kemanusiaan.

Menurut pensyarah kanan di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara itu, penularan Covid-19 memaksa kerajaan-kerajaan di dunia mengubah dasar mereka dan tadbir urus di negara masing-masing menjadi lebih ketat, merangkumi semua aspek termasuk hal berkaitan misi kemanusiaan.

“Untuk menangani cabaran ini, sesebuah organisasi media perlu terus peka dengan perkembangan perubahan tadbir urus global itu, selain menjadikannya penanda aras baharu untuk media, selaku pengantara di antara kawasan konflik dan masyarakat antarabangsa, bagi membaiki tatacara operasi piawai (SOP) pelaporan berita mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Susun strategi sesuai

Noor Nirwandy berkata untuk memudahkan pelaporan berita, organisasi media perlu memahami tiga garis panduan yang dibentuk oleh PBB, iaitu penjagaan hak asasi manusia, kemajuan manusia dan keselamatan kemanusiaan.

“Berlandaskan tiga garis panduan ini, organisasi media boleh menyusun strategi bagi menterjemahkan isu dan krisis kemanusiaan yang berlaku itu dalam bentuk penyampaian berita yang mudah difahami masyarakat umum. Bukan mudah untuk pembaca (audiens) memahami punca sebenar sesuatu krisis serta bentuk bantuan yang diperlukan penduduk di kawasan terjejas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata media juga perlu menjadikan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB sebagai antara panduan utama dalam pelaporan berita berkaitan krisis kemanusiaan agar isu tersebut terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat umum.

Setiausaha Agung MAPIM Zulhanis Zainol (tiga, kiri) menyampaikan bantuan barangan keperluan seperti gasolin, selimut dan pek makanan spada Misi Bantuan Kemanusian Musim Sejuk ke-10 dan ke-11 di kem pelarian Beyrouti, Beqaa Tengah pada 5 April 2019. Foto BERNAMA

Menurutnya, ini kerana hati manusia pada amnya mudah tersentuh apabila melihat ada manusia lain berada dalam kesusahan walaupun berbeza kewarganegaraan, bangsa dan agama.

Sehubungan itu, katanya, menjadi tanggungjawab organisasi media untuk terus melaporkan dan menyalurkan berita berkaitan krisis kemanusiaan di dalam dan luar negara.

“Kita ambil contoh berdasarkan sasaran ke-16 SDG, iaitu keamanan, keadilan dan institusi yang kukuh. Organisasi media di Malaysia khususnya boleh menterjemahkan pelaporan mereka dalam bentuk komparatif, iaitu membandingkan elemen kemanusiaan yang sedang tergugat di sesebuah negara berisiko tinggi dengan situasi di negara kita.

“Dari situ kita dapat lihat adakah negara kita berada di landasan terbaik dalam membantu mereka yang memerlukan, berdasarkan pada usaha-usaha dan bantuan kemanusiaan yang telah kita salurkan,” katanya.

Lancar perang saraf

Noor Nirwandy turut berpandangan sudah tiba masa untuk organisasi media memulakan perang saraf bagi mendidik ahli masyarakat bahawa krisis kemanusiaan yang berlaku merupakan ancaman serius kerana melibatkan kelangsungan dan ketamadunan manusia untuk jangka panjang.

Jelas beliau, perang saraf boleh dijadikan sebagai antara instrumen propaganda positif yang diharap dapat membuka mata dan memahamkan masyarakat bahawa pengurusan krisis kemanusiaan merupakan tanggungjawab sosial komuniti global.

Selain itu, Noor Nirwandy berkata ada sembilan teras keselamatan negara di bawah Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang perlu difahami oleh organisasi media di negara ini untuk diterjemahkan dalam pelaporan berita mereka agar artikel yang disiarkan tidak memburukkan imej mahupun menggugat keselamatan negara.

“Oleh itu, apabila laporan sesebuah berita itu sudahpun mematuhi konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC) seperti yang termaktub di bawah DKN, sekali gus ini boleh meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman berkaitan, termasuk krisis kemanusiaan, agar negara kekal aman, tenteram dan berdaulat,” tambahnya.

Mengulas lanjut tentang cabaran baharu yang dihadapi oleh dunia media moden, Noor Nirwandy berkata penularan pandemik Covid-19 misalnya, mengubah landskap pemberitaan dan hal ini menuntut organisasi media beradaptasi dan membina rangkaian perhubungan yang lebih luas, membabitkan kerajaan luar dan agensi keselamatan yang berkenaan.

“Namun, harus dipastikan rangkaian kita itu ialah sumber yang diiktiraf dan mempunyai kredibiliti, dengan itu memudahkan proses pelaporan berita yang benar dan menyeluruh. Rangkaian perhubungan yang cukup besar turut membolehkan media mewujudkan satu segmentasi berbentuk perisikan untuk mendapatkan persepsi orang ramai terlebih dahulu terhadap sesuatu krisis kemanusiaan.

“Media juga perlu memastikan pemberita mereka mendapat akses kepada naskhah dan manual keselamatan kendiri mengikut piawaian antarabangsa serta memahami asas persekitaran yang dilihat boleh menimbulkan ancaman keselamatan.

“Selain itu, wartawan juga harus diberikan latihan kecemasan dan kawal selia kendiri sekiranya berlaku kecemasan. Perbanyakkan juga kursus keselamatan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan supaya mereka boleh mempersiap diri mereka bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika menjalankan tugas di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Hayati erti tugas

Sementara itu, bekas pemberita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Syed Azwan Syed Ali menasihati pengamal media agar mendalami erti profesion mereka, iaitu melaporkan perkara yang benar secara objektif dan bermanfaat kepada masyarakat umum, bukan sekadar mencari bahan berita.

Berkongsi pengalamannya sepanjang 16 tahun menjadi pemberita termasuk menyertai beberapa misi kemanusiaan di zon konflik, beliau berkata antara yang paling penting ialah mengkaji terlebih dahulu isu kemanusiaan serta situasi di kawasan yang bakal dituju.

“Sediakan pelan kontingensi kendiri untuk sebarang kemungkinan, selain memastikan telefon bimbit dan capaian Internet berfungsi dengan baik,” katanya yang pernah bertugas di beberapa organisasi media tempatan.

Seorang rakyat Palestin mengebarkan bendera tanda solidariti buat negaranya di Washington, Amerika Syarikat pada 18 Mei 2021. Foto AFP

Selain itu katanya wartawan juga perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pascatrauma.

“Wartawan mungkin lalui pascatrauma selepas liputan di zon konflik dan bencana. Saya sendiri pernah tengok mayat, budak kecil makan tanah, terperangkap dalam insiden tembak-menembak dan mereka yang cedera teruk sebab perang. Ada mangsa putus tangan, jadi macam mana nak tangani situasi ini,” katanya.

Menurutnya, antara insiden yang tidak boleh dilupakan ialah beliau pernah diacu pisau dan senjata oleh tentera pemisah ketika menyertai Tim Misi Kemanusiaan Mercy Malaysia ke Yaman pada penghujung 2019.

“Kira-kira 11 malam hari kejadian, tim kami ditahan di sebuah pusat pemeriksaan di bandar pelabuhan Aden di selatan Yaman. Pemandu kami yang juga warga tempatan dipukul oleh anggota tentera terbabit akibat salah faham, sementara beg kami digeledah. Mujurlah kami semua selamat,” katanya.

Pengalaman yang diraih membolehkan wartawan menjadi mata, telinga dan suara masyarakat yang lebih baik, khususnya menerusi pelaporan berita yang objektif dan adil.

Laporan-laporan sebegini berupaya membantu masyarakat membuat pertimbangan dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengurangkan kesan krisis dalam kalangan mereka yang terjejas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Misi kemanusiaan Palestin Ebit Lew dapat kelulusan, tertakluk SOP

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) semasa, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada Ebit Lew semalam bagi memaklumkan misi kemanusiaan itu yang dijadual bermula semalam hingga 30 Mei.

“Misi kemanusiaan ke Mesir ini bertujuan memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang telah terkesan teruk ekoran serangan rejim Israel ke atas Gaza. Urusan yang melibatkan misi tersebut telah dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Mesir.

“Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir,” katanya.

Beliau berkata walaupun misi itu adalah inisiatif sendiri, delegasi Ebit Lew dinasihatkan agar sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

“Selain itu, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi. Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan delegasi itu untuk turut mematuhi semua SOP dalam negara yang sedang berkuat kuasa apabila kembali ke Malaysia.

Kamarudin berkata secara dasarnya, kementerian itu menyokong penuh usaha delegasi Ebit Lew dan sentiasa mengalu-alukan rakan NGO yang lain untuk turut menggerakkan pelbagai usaha bagi membantu rakyat Palestin termasuk mewujudkan tabung-tabung bagi mengumpul dana bantuan kemanusiaan.

“Dalam perkara ini, sekiranya diperlukan kementerian boleh membantu untuk menyalurkan dana yang telah selesai dikumpul oleh NGO ini kepada pihak berwajib di Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.

“Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan, selain membantu memudahkan usaha NGO, kerajaan juga melalui Kementerian Luar Negeri akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Misi kemanusiaan MBI bawa nama Selangor ke antarabangsa

Oleh: AFIX REDZUAN

WARSAW, 9 JUL: Peluang melaksanakan tanggungjawab kebajikan terhadap umat Islam di Poland khususnya bangsa Chechnya menunjukkan tiada yang mustahil dalam menyebarkan kebajikan walaupun berdepan cabaran.

Mengambil contoh halangan memasuki kem pelarian Chechnya di Linin 35, Ketua Pegawai Tanggungjawab Sosial dan Korporat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Mohd Jaafarudin Md Ali, berkata ia pengalaman berharga delegasi untuk merencanakan pelan strategik bagi misi bantuan akan datang.

IMG_0958a“Kita tidak boleh memandang ringan soal kebajikan memandangkan ada tanggungjawab khusus. Sebenarnya, kita fokus kepada asnaf yang memerlukan bantuan dalam Selangor.

“Alhamdulillah, sesuai dengan pentadbiran Dato’ Menteri Besar Selangor kini, kita bukan sahaja menumpukan soal kebajikan dan kepedulian untuk rakyat Selangor sahaja tetapi skop kebajikan diperluas ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada Selangor Kini.

Kunjungan ke Poland bagi Misi Bantuan Kebajikan Pelarian Chechnya adalah projek kedua MBI selepas rentak positif dipamerkan di Nepal.

11224176_10204583073877179_1141751778637145071_nKatanya, misi itu membuka ruang membawa nama Selangor ke persada antarabangsa dalam menyampaikan kebajikan untuk umat Islam.

Sepanjang lima hari di Poland, delegasi rombongan yang turut disertai Muslim Care berjaya menyelami keperitan yang dilalui umat Islam Chechnya dengan lebih dekat.

-NFN-