Categories
EKONOMI

Muktamad perjanjian Toyoplas di EGM Julai ini

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 MEI: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor), dijangka akan memuktamadkan pengambilalihan Toyoplas Manufacturing (Malaysia) menerusi undian kelulusan daripada pemegang sahamnya.

Pengerusinya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, undian berkenaan akan dipohon pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan pada Julai ini.

“Kita sudah memeterai perjanjian perkongsian jualan bersyarat dengan Toyoplas Consolidated Ltd bagi tujuan pengambilalihan itu sebelumnya.

“Pengambilalihan Toyoplas dan undiannya akan dibuat bagi perjanjian itu pada EGM akhir Julai ini,” katanya dalam sidang media selepas AGM diadakan di Pusat Konvesyen Shab Alam, di sini.

Raja Shahreen berkata, pengambilalihan itu membuka potensi sepenuhnya perniagaan acuan suntikan plastik bersepadu terbabit.

Terdahulu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Perangsang Selangor, Ahmad Fariz Hassan berkata, anak syarikat Perangsang Dinamik Sdn Bhd, mengambil alih keseluruhan kepentingan dana firma itu pada pertimbangan tunai RM311.25 juta.

Katanya, pembelian syarikat pengeluar produk plastik itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi gabungan ekuiti dan pinjaman berjadual, masing-masing sebanyak RM161.25 juta dan RM150 juta.

“Urus niaga itu adalah yang kedua bagi Perangsang Selangor, namun kemasukan lebih besar dalam perniagaan acuan suntikan plastik selepas CPI (Penang) Sdn Bhd.

“Selain pengambilalihan ini yang merangsang peningkatan nilai dan penjanaan tunai, Toyoplas Manufacturing dipilih bagi kecemerlangan kualitinya,” katanya.

Toyoplas Manufacturing mengendalikan operasi tujuh kilang pembuatan meliputi kawasan seluas satu juta meter persegi di tiga negara iaitu Shanghai, Dongguan dan Nanning di China; Ulu Tiram, Muar dan Senai di Malaysia; dan Jakarta di Indonesia.

Apabila pengambilalihan itu selesai, Toyoplas Manufacturing dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Perangsang Selangor mulai suku ketiga berakhir 30 September ini dan seterusnya.

Categories
NASIONAL

AMK Kecam Cadangan Tubuh Majlis Peguam Alternatif

 

 

SHAH ALAM, 18 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam cadangan kerajaan untuk menubuh Akademi Undang-undang sebagai alternatif kepada Majlis Peguam Malaysia.

Cadangan itu bercanggah dengan prinsip serta bidang kuasa yang jelas termaktub dalam Akta Profession Undang-undang 1976.

Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon berkata, tindakan unilateral tersebut menunjukkan kerajaan UMNO-BN tidak berupaya untuk menangani perbezaan pendapat di dalam masyarakat sivil.

Kai Loon berkata Kerajaan Umno-BN mempunyai buruk sangka terhadap Majlis Peguam sejak pertubuhan itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) berkenaan himpunan BERSIH 3.0 baru baru ini.

Di dalam EGM itu, Majlis Peguam meluluskan usul tergempar mengutuk keganasan polis dalam meleraikan peserta di dalam himpunan gergasi itu pada April 28.

Menurut Khai Loon, cara kerajaan Umno-BN dalam menangani pandangan yang berbeza amat ketinggalan zaman dan tidak matang.

“Apakah kerajaan hanya berupaya untuk menubuhkan badan alternatif untuk mengganti badan yang kritikal terhadap polisi kerajaan?.

“AMK membantah sekeras-kerasnya sebarang cubaan kerajaan untuk menubuh Akademi Undang-undang,” ujarnya di dalam sebuah kenyataan.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk mengadakan akademi undang-undang sebagai alternatif kepada Majlis Peguam.

Menurut Nazri di dalam sebuah laporan akhbar, cadangan tersebut akan dilaksanakan melalui pembentangan ?Rang Undang-undang Akademi Undang-undang 2002?

Jelas Khai Loon,sekiranya kerajaan berkeras dengan cadangan tersebut, maka ia hanya menipu diri sendiri dan tidak berupaya untuk menyelamat kredibiliti kerajaan.

“AMK menyeru PM Najib Razak untuk menunaikan janji Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan mendengari suara rakyat dengan hati terbuka.

“Tibalah masa untuk menamatkan era kerajaan autokratik yang seolah-olah mengetahui segala-galanya,” katanya.