Categories
KENYATAAN MEDIA

Sampai bila rakyat tertekan kos sara hidup tinggi?

OLEH: Saiful Izham

Golongan penjawat awam di Malaysia sememangnya berdepan dengan kenaikan mendadak kos sara hidup di bawah pentadbiran kerajaan Umno BN.

Hal ini boleh diakses sendiri melalui cadangan bagi Bajet 2018, terdapat terlalu banyak syor yang dikemukakan termasuk tuntutan kenaikan gaji, elaun dan bonus bagi kakitangan kerajaan.

Sehingga 31 Mac 2017, terdapat 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara dengan 57 peratus daripadanya terdiri daripada guru, tentera, polis, doktor dan jururawat.

Ketidaktentuan ekonomi negara yang tidak menentu menyaksikan kakitangan kerajaan hanya memperoleh bonus secara purata RM500 sejak 2013.

GSTKerajaan Umno BN pimpinan Najib Razak seharusnya melihat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya jurang pendapatan yang ketara selain peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Rakyat turut dibebani dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pemansuhan subsidi kerajaan yang sekaligus menghimpit rakyat berpendapatan sederhana dan membebankan kehidupan golongan miskin tegar.

Kenaikan kos sara hidup pada masa kini telah memberi kesan ketara memandangkan ada di antara pekerja sepenuh masa terpaksa menambah pendapatan dengan melakukan kerja-kerja separuh masa.

Kerajaan Umno BN harus mengawal harga barangan dan bukannya membiarkan barangan dinaikkan sesuka hati kerana ianya hanya menekan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

 

* Saiful Izham adalah Pengarah Strategi KEADILAN Kedah Parti KEADILAN Rakyat

Categories
SELANGOR

Turun Faedah Pinjaman Perumahan : Tuntutan CUEPACS Munasabah

SHAH ALAM 4 OGOS : Cadangan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus untuk semua penjawat awam yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) adalah satu tuntutan yang munasabah.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan itu amat munasabah kerana ia berikutan kenaikan kos hidup yang tinggi selain lonjakan harga rumah masa kini.

Katanya, ia perkara yang perlu diberi penekanan oleh Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam selaras dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjanjikan  transformasi di negara ini.

Beliau berkata dengan gaji yang diterima penjawat awam pada masa kini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah disamping tidak dapat menjana ekonomi negara.

“Mereka (Umno-BN) selalu lupa apabila turunkan semua ini, mereka ingat pendapatan kerajaan akan berkurangan tetapi sebaliknya mereka lupa bahawa apabila rakyat mendapat kewangan kukuh mereka mampu berbelanja dan menabung.

“Kesan daripada perbelanjaan isi rumah yang kukuh itu, dapat menambahkan pertumbuhan ekonomi negara dan permintaan perkhidmatan dan domestik. Itu bukan satu perkara yang rugi khususnya masa kini. Begitu juga dengan penurunan cukai mereka,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Dr Dzulkefly secara sinis, sekiranya Umno-BN benar-benar mahu meringankan beban rakyat, turunkan ia kepada harga pengurusan seperti yang dicadangkan dan lakukannya secara konsisten.

“Kita tengok sama ada Kerajaan Pusat betul-betul konsisten atau tidak dalam membantu rakyat bukan hanya pada slogan dan pemberian secara ‘One Off’ sahaja tapi dalam jangka masa panjang.

“Bagi Pakatan Rakyat, kami akan memberi respon yang positif kerana kami tidak mahu melihat perkara ini sebagai satu penambahbaikan secara ‘runcit-runcit’, katanya.

Semalam, Cuepacs mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.