Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs mohon runding lanjut cadangan sistem saraan baharu

KUANTAN, 13 MAC: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap dapat mengadakan rundingan lanjut bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secepat mungkin berkenaan cadangan Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu.

Presidennya Adnan Mat berkata sistem baharu itu lebih komprehensif menepati kehendak semasa dengan peningkatan kos sara hidup selain disusun dengan mengambil kira pandangan daripada penjawat awam itu sendiri.

“Usul ini telah dibawa untuk perhatian bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Disember 2019 sebelum perbincangan kali pertama dengan JPA telah dibuat pada 13 Jan 2020 untuk menggantikan sistem saraan kerajaan sedia ada.

“SSM ini telah digunakan sejak tahun 2002 sampai ke hari ini cuma ada sedikit tambahan dari SSM kepada SSM plus. Justeru, kita berharap dapat mengadakan perbincangan lanjut secara terperinci bersama JPA,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada penjawat awam anjuran Cuepacs di sini, hari ini.

Menurut beliau, bagi kenaikan gaji yang diberi pada 2007 dan 2012 hanya dibuat berdasarkan pada keadaan dan permintaan semasa yang tiada pelaksanaan dalam bentuk sistematik supaya kenaikan itu berlaku setiap lima tahun disebabkan tiada perjanjian kolektif.

Selain itu, Adnan berkata, Cuepacs turut melakukan kajian mengenai Bekerja Dari Rumah (BDR) kepada suami yang menyambut kehadiran anak yang baru dilahirkan selain menjaga orang tua yang sedang sakit.

“Hasil kajian Cuepacs itu akan dimuktamadkan pada 9 hingga 11 April depan yang akan diserahkan kepada kementerian terlibat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Sampai bila rakyat tertekan kos sara hidup tinggi?

OLEH: Saiful Izham

Golongan penjawat awam di Malaysia sememangnya berdepan dengan kenaikan mendadak kos sara hidup di bawah pentadbiran kerajaan Umno BN.

Hal ini boleh diakses sendiri melalui cadangan bagi Bajet 2018, terdapat terlalu banyak syor yang dikemukakan termasuk tuntutan kenaikan gaji, elaun dan bonus bagi kakitangan kerajaan.

Sehingga 31 Mac 2017, terdapat 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara dengan 57 peratus daripadanya terdiri daripada guru, tentera, polis, doktor dan jururawat.

Ketidaktentuan ekonomi negara yang tidak menentu menyaksikan kakitangan kerajaan hanya memperoleh bonus secara purata RM500 sejak 2013.

GSTKerajaan Umno BN pimpinan Najib Razak seharusnya melihat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya jurang pendapatan yang ketara selain peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Rakyat turut dibebani dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pemansuhan subsidi kerajaan yang sekaligus menghimpit rakyat berpendapatan sederhana dan membebankan kehidupan golongan miskin tegar.

Kenaikan kos sara hidup pada masa kini telah memberi kesan ketara memandangkan ada di antara pekerja sepenuh masa terpaksa menambah pendapatan dengan melakukan kerja-kerja separuh masa.

Kerajaan Umno BN harus mengawal harga barangan dan bukannya membiarkan barangan dinaikkan sesuka hati kerana ianya hanya menekan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

 

* Saiful Izham adalah Pengarah Strategi KEADILAN Kedah Parti KEADILAN Rakyat