Categories
SELANGOR

Pakatan sambut baik usaha ADUN potong 20% gaji bulanan

Oleh :NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM 2 DIS : DAP dan PAS menyambut baik usaha PKR negeri yang akan membuat potongan gaji bulanan 20 peratus daripada jumlah kenaikan sebagai usaha membiayai program pendidikan di bawah Tabung Pendidikan Keadilan Anak Selangor.

Timbalan Setiausaha DAP negeri, Ng Suee Lim, berkata beliau menghormati keputusan terbabit dan pihaknya juga bersedia jika DAP juga mengikuti jejak langkah inisiatif terbabit.

ngsueelimBagaimanapun, katanya, langkah itu tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi dan akur dengan sebarang keputusan yang bakal ditempatkan.

“Saya menghormati keputusan yang dibuat PKR, namun setiap parti mempunyai kaedah masing-masing untuk menangani masalah itu. Kita tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi dan buat masa ini tiada sebarang arahan dikeluarkan.

“Walaubagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP sentiasa dari semasa ke semasa menyalurkan pelbagai bantuan kepada fakir miskin atas kapasiti peribadi dan parti kerana kami percaya amal jariah itu besar maknanya dan membawa keberkatan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Sekinchan turut menyeru semua ADUN Pakatan Rakyat (PR) supaya fokus kepada kawasan dan meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat kerana enakmen kenaikan gaji sudah diluluskan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rani Osman, berkata PAS Selangor sudah memulakan langkah itu sejak awal 2008 apabila 30 peratus daripada gaji bulanan dipotong untuk disalurkan kepada kebajikan.

DR.RANI OSMAN PIC“Ia membabitkan 20 peratus untuk negeri dan 10 peratus kepada kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing. Langkah PKR untuk memotong gaji itu adalah usaha yang baik dalam membantu rakyat negeri ini,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kenaikan elaun ADUN menjadikan kadar gaji baru bagi mereka RM11,250; Timbalan speaker RM15,750; Speaker RM22,500; Exco RM20,250 dan Menteri Besar RM29,250.

Manakala, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap ADUN PKR menyumbang RM1,000 sebulan atau 20 peratus daripada jumlah kenaikan gaji bulanan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

37 Tahun Menanti Kini Baru Dapat Hak Milik Tanah

SABAK BERNAM 23 SEPT : Seorang petani berusia 60 tahun yang menghabiskan hampir separuh usianya menetap di Kampung Bagan Terap, Sungai Panjang di sini bersyukur impiannya untuk mendapatkan hakmilik tanah dimakbul juga semalam.

Abu Bakar Hashim melafazkan rasa syukur itu ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hakmilik Tanah dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini.

“Pakcik sudah duduk di kampung ini dalam 37 tahun dan lebih 10 tahun memohon hakmilik tanah ini tapi baru sekarang pakcik dapat.

“Gembira dan syukur sangatlah bila dapat ni,” katanya yang kelihatan begitu gembira.

Beliau adalah salah seorang daripada 111 penerima dari Bagan Sungai Burung, Sungai Besar serta Bagan Terap, Parit 18 Tanjung Medan dan Kampung Hala Cara Baru di Sungai Panjang yang layak mendapat hakmilik tanah atau notis 5A selain 86 orang menerima bantuan SMUE daripada Kerajaan Negeri.

Seorang lagi peserta, Che Aminah Shahrin, 70, bekas pekerja ladang dari Kampung Hala Cara Baru berkata, sememangnya Kerajaan Negeri bertindak betul kerana ramai penduduk yang menetap di kampung dalam daerah itu lebih dari 10 hingga 20 tahun.

“Makcik pun sudah tinggal lebih 20 tahun. Jadi dapat geran hakmilik tanah ini memang seronoklah.

“Lagipun dah minta lebih dari 10 tahun,” katanya ibu empat anak yang kematian suami tujuh tahun lalu itu.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri mengamalkan konsep pembangunan bersama dengan semua rakyat tanpa mengira kaum menikmati hasil negeri ini.

Menurutnya, rakyat berhak ke atas hasil negeri dan pemimpin dipilih hanya perlu menjalankan tanggungjawab mengurus dengan baik.

“Pengurusan yang baik bukan sahaja cekap tetapi amanah.

“Konsep digunakan dengan menguruskan harta negeri Selangor di mana pemimpin tak boleh boros. Dengan cara itu perbelanjaan kita cukup dan simpanan bertambah,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai program dibuat Kerajaan Negeri seperti pemberian hakmilik tanah itu dibuat secara berterusan demi kebaikan rakyat Selangor.

Tambahnya, rakyat yang layak akan mendapat hakmilik itu dan Kerajaan Negeri akan bersikap adil.

“Bila orang dah dapat tanah, dia jaga kawasan tempat tinggal dia dengan baik.

“Ini perkembangan penting di Selangor dan akan membangunkan ekonomi,” katanya.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu; Adun Sekinchan, Eng Suee Lim dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Zainal Mohd Nor.