Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD: Penghuni Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1 disaring Rabu

SHAH ALAM, 19 JULAI: Penghuni bergejala di Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan menjalani saringan Covid-19 mulai Rabu ini.

Pegawai Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sedang melaksanakan bancian melibatkan 2,875 penghuni di 998 unit rumah untuk menilai status kesihatan mereka.

“Buat masa ini tumpuan saringan melibatkan individu bergejala namun PKD akan membuat penilaian risiko sama ada terdapat individu tidak bergejala yang perlu menjalani saringan atau tidak.

“Kepada penduduk yang tidak bergejala pula, mereka akan diberi vaksin mulai Sabtu ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 1,000 bakul makanan diagihkan kepada penduduk menerusi kaedah pintu ke pintu hari ini.

Pada 16 Julai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuat kuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Categories
SELANGOR

Rampas tanah jika enggan bayar cukai

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 13 JUN: Pemilik tanah yang masih berdegil serta enggan membayar cukai berdepan tindakan rampasan, demikian tegas Pegawai Daerah dan Tanah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor.

Katanya, kegagalan menjelaskan cukai tanah lebih berisiko buat pemilik sekiranya mereka mempunyai kediaman atau harta benda berada di atas tanah yang sama.

“Kemungkinan lebih besar ialah pemilik tanah boleh kehilangan kediaman, disebabkan itu saya nasihatkan supaya bayarlah cukai tanah mengikut waktu ditetapkan.

“Kami juga mengalukan pemilik tanah hadir ke pejabat sekiranya ada kelemahan melalui pembayaran atas talian sistem ehasil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Jamuan Aidilfitri Pejabat Daerah dan Tanah Klang di pejabatnya, hari ini.

Turut hadir memeriahkan ialah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian.

Mohd Zainal berkata, sehingga Mac lalu, kutipan cukai tanah daerah Klang adalah RM40 juta iaitu 36 peratus daripada jumlah target tahunan.

“Namun, target yang diberikan Kerajaan Negeri untuk kutipan cukai tanah di Klang ialah sebanyak RM119 juta.

“Untuk makluman, Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan ialah 90 peratus sahaja daripada jumlah berkenaan iaitu kira-kira RM105 juta, sehingga kini kita sasarkan sudah dapat mencapai 50 peratus kutipan pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM56 ribu pasang lampu solar, tanam pokok di Klang

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 30 NOV : Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM56 ribu bagi kerja pemasangan lampu solar di Pengkalan Nelayan, Kampung Rantau Panjang dan penanaman pokok di enam kampung sekitar daerah Klang.

Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, pemasangan lampu solar bertujuan meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk Kampung Rantau Panjang yang sering menggunakan laluan itu terutamanya pada waktu malam.

“Pemasangan lampu solar dengan peruntukan RM49,000 ini juga membantu orang luar yang sering berkunjung ke kawasan ini mendapatkan bekalan makanan laut pada harga murah.

“Kerja pemasangan lampu solar ini sudah bermula sejak awal November lalu,” katanya.

Beliau berkata ketika merasmikan Program Penyerahan Lampu Solar dan Program Penanaman Pokok, Di Pengkalan Nelayan, Sayang D’Sayang, Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Zainal berkata, program penanaman pokok di kawasan kampung itu turut dilakukan selain terdapat simbolik penyerahan pokok kepada enam kampung sekitar daerah Klang.

“RM7,000 disalurkan bagi penanaman pokok adalah bertujuan menghijaukan kawasan kampung ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk bersama menjaga keseimbangan pembangunan pesat di daerah Klang.

“Selain Kampung Rantau Panjang, kampung lain yang turut mendapat penyerahan pokok adalah Kampung Pandamaran Jaya, Kampung Kapar, Kampung Batu Belah, Kampung Perigi Nenas dan Kampung Jawa,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta dalam Belanjawan 2018 untuk Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018 membabitkan 33 program berteraskan teknologi hijau di 88 lokasi di seluruh negeri ini.

Categories
SELANGOR

Natural Farming Bantu Petani Tambah Pendapatan RM 2,000 Sebulan

mb lancar buku sri 03

TANJONG KARANG 8 MAC : Penggunaan Sistem Natural Farming berjaya mencatatkan purata tambahan pendapatan kira-kira
RM 2,000 sebulan bagi petani sayur dan pesawah di Selangor kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tambahan pendapatan itu daripada pengurangan kos akibat pengurangan penggunaan racun dan baja kimia sekaligus meningkatkan mutu pengeluaran tanaman.

Tambahan pendapatan itu dirasai oleh 38 penanam sayur dan pesawah di dalam Projek Kelompok D’9 Sungai Leman dan Sri D’5 Sg Nipah di Sabak Bernam.

mb lancar buku sri 01Abdul Khalid sehingga 2012, dianggarkan sebanyak RM 337,590.00 pendapatan dapat dijana oleh para peserta program Natural Farming itu melalui penjualan produk seperti Sri Anak, Sri Bunga dan Sri Buah.

“Kalau makan nasi daripada keluaran daerah Tanjong Karang dan Sabak Bernam maka berasnya tidak mengandungi bahan kimia melainkan bahan yang bersifat ‘natural’ sahaja,” kata Abdul Khalid.

Sebelum ini, Selangorkini melaporkan bahawa natural farming adalah antara teknik pertanian yang sedang diperluaskan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan pendapatan petani.

Abdul Khalid berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Pesawah Daerah Kuala Selangor yang diadakan di pekarangan Masjid Blok D Sawah Sempadan di sini.

Di dalam majlis itu, Abdul Khalid turut menyampaikan insentif kepada 43 blok sawah padi di Daerah Kuala Selangor.

Pemberian itu berupa sebuah mesin ‘blower’ dan pam air yang berharga kira-kira RM 3,500 diberikan kepada wakil 43 blok sawah padi yang bertujuan dapat digunakan oleh pesawah mengepam air dan menabur serta meracun.

mb lancar buku sri 02Sebanyak RM 268,000 diperuntukkan untuk pemberian insentif itu yang diharap dapat merangsang pesawah agar lebih gigih dan bersemangat mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan.

“Tahun 2012 juga sebanyak enam Pusat Komuniti Pertanian Lestari ditubuhkan di kawasan Barat Laut Sabak Bernam.

“Kejayaan pertanian mesti dilihat bagaimana mereka meningkatkan teknologi dalam meningkatkan pendapatan mereka,” katanya Abdul Khalid.
Sementara itu, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, teknik Natural Farming dapat mengurangkan kos pertanian sehingga RM1,200 untuk semusim.

“Usaha dibuat dipastikan dengan pengurusan yang sistematik dan pengurusan penanaman padi itu dilaksanakan secara saintifik dan hasilnya pendapatan mereka dapat ditingkatkan,” kata Yaakob.

Dalam majlis itu Abdul Khalid turut melancarkan buku bertajuk ‘Panduan Membuat Dan Mengguna Produk Sri Organik’ yang dihasilkan oleh Salehuddin Yahya dan Noorazimah Taharim.

Turut hadir dalam majlis itu, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Yasid Bidin dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Zainal Mohd Nor.

Categories
SELANGOR

37 Tahun Menanti Kini Baru Dapat Hak Milik Tanah

SABAK BERNAM 23 SEPT : Seorang petani berusia 60 tahun yang menghabiskan hampir separuh usianya menetap di Kampung Bagan Terap, Sungai Panjang di sini bersyukur impiannya untuk mendapatkan hakmilik tanah dimakbul juga semalam.

Abu Bakar Hashim melafazkan rasa syukur itu ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hakmilik Tanah dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini.

“Pakcik sudah duduk di kampung ini dalam 37 tahun dan lebih 10 tahun memohon hakmilik tanah ini tapi baru sekarang pakcik dapat.

“Gembira dan syukur sangatlah bila dapat ni,” katanya yang kelihatan begitu gembira.

Beliau adalah salah seorang daripada 111 penerima dari Bagan Sungai Burung, Sungai Besar serta Bagan Terap, Parit 18 Tanjung Medan dan Kampung Hala Cara Baru di Sungai Panjang yang layak mendapat hakmilik tanah atau notis 5A selain 86 orang menerima bantuan SMUE daripada Kerajaan Negeri.

Seorang lagi peserta, Che Aminah Shahrin, 70, bekas pekerja ladang dari Kampung Hala Cara Baru berkata, sememangnya Kerajaan Negeri bertindak betul kerana ramai penduduk yang menetap di kampung dalam daerah itu lebih dari 10 hingga 20 tahun.

“Makcik pun sudah tinggal lebih 20 tahun. Jadi dapat geran hakmilik tanah ini memang seronoklah.

“Lagipun dah minta lebih dari 10 tahun,” katanya ibu empat anak yang kematian suami tujuh tahun lalu itu.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri mengamalkan konsep pembangunan bersama dengan semua rakyat tanpa mengira kaum menikmati hasil negeri ini.

Menurutnya, rakyat berhak ke atas hasil negeri dan pemimpin dipilih hanya perlu menjalankan tanggungjawab mengurus dengan baik.

“Pengurusan yang baik bukan sahaja cekap tetapi amanah.

“Konsep digunakan dengan menguruskan harta negeri Selangor di mana pemimpin tak boleh boros. Dengan cara itu perbelanjaan kita cukup dan simpanan bertambah,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai program dibuat Kerajaan Negeri seperti pemberian hakmilik tanah itu dibuat secara berterusan demi kebaikan rakyat Selangor.

Tambahnya, rakyat yang layak akan mendapat hakmilik itu dan Kerajaan Negeri akan bersikap adil.

“Bila orang dah dapat tanah, dia jaga kawasan tempat tinggal dia dengan baik.

“Ini perkembangan penting di Selangor dan akan membangunkan ekonomi,” katanya.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu; Adun Sekinchan, Eng Suee Lim dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Zainal Mohd Nor.